Apakah punca kepada masalah Mata buta? Artikel ini akan membincangkan punca kepada masalah ini berserta rawatan nya.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Adakah anda tahu bahawa hampir 2.2 bilion manusia yang mengalami masalah penglihatan dan kecacatan penglihatan?
1 bilion dari jumlah itu mengalami kehilangan dan kecacatan penglihatan yang bersifat sederhana dan berbahaya. Punca utama kepada kehilangan penglihatan ini adalah berpunca daripada penyakit katarak (cataract) dan masalah pembiasan cahaya yang tidak dibetulkan (uncorrected refractive errors). Selalunya golongan yang berumur 50 tahun dan ke atas yang akan mengalami masalah penglihatan.
Kecacatan penglihatan atau buta juga dikenali sebagai blindness. Dalam artikel ini akan dibincangkan apakah faktor penyebab, golongan berisiko dan rawatan kepada blindness ini.
Definisi
Blindness adalah salah satu masalah penglihatan, di mana masalah penglihatan ini membawa kepada kecacatan dan kehilangan penglihatan secara kekal yang tidak boleh dibetulkan melalui cermin mata atau kanta lekap.
Apabila penglihatan mata kurang daripada 3/60 dan tahap medan penglihatan (visual field) kurang dari 10 darjah pada kedua-dua belah mata, maka seseorang itu boleh dianggap mengalami kecacatan penglihatan, walaupun setelah dibetulkan dengan sebarang alat rawatan penglihatan seperti cermin mata dan sebagainya.
Kecacatan penglihatan ini mempunyai dua jenis yang utama:
- Kecacatan penglihatan secara separa (partial blindness): Keupayaan penglihatan mata yang agak terhad. Mata akan menjadi kabur dan tidak boleh membezakan beberapa objek yang dilihat.
- Kecacatan penglihatan secara kekal (complete blindness): Ketidakupayaan untuk melihat dan juga tidak mampu melihat cahaya.
Kecacatan penglihatan ini boleh berlaku secara tiba-tiba dan boleh juga berlaku dalam tempoh masa yang agak lama.
Jika anda mengalami kecacatan penglihatan sehingga tidak boleh melihat, sila dapatkan rawatan segera dengan ditemani oleh orang lain untuk membawa anda berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Punca Mata Buta
Terdapat beberapa punca yang boleh dikategorikan menjadi penyebab kepada kecacatan penglihatan:
- Glaukoma: Penyakit saraf mata yang menyebabkan medan penglihatan hilang sedikit demi sedikit, sehingga semua medan penglihatan hilang dan seterusnya mengakibatkan kecatatan penglihatan yang kekal.
- Katarak: Penglihatan menjadi kabur.
- Radang optik (optic neuritis): Keradangan pada bahagian optik.
- Retinitis pigmentosa: Kerosakan yang berlaku pada bahagian retina.
- Retinopati diabetic: Masalah yang berlaku pada retina disebabkan komplikasi penyakit diabetis.
- Tumor atau barah mata (retinoblastoma): Ketumbuhan pada bahagian retina dan saraf optik.
- Jangkitan kuman pada mata.
- Kecederaan pada mata: Tercucuk, terkena bahan kimia.
Namun begitu, terdapat beberapa punca juga yang menyebabkan kecacatan pada kanak-kanak seperti:
- Kecacatan semulajadi seperti congenital cataract, congenital glaucoma.
- Masalah semasa hamil seperti jangkitan kuman akibat rubella, toxoplasmosis dan minum arak.
- Penyebab perinatal seperti retinopathy of prematurity.
- Jangkitan kuman pada mata seperti ophthalmia neonatorum.
- Strabismus: Mata juling
Golongan Berisiko
Siapakah golongan berisiko yang mempunyai potensi untuk menghidapi masalah kecacatan penglihatan?
- Mempunyai penyakit mata yang lain seperti glaukoma dan degenerasi makula.
- Mempunyai penyakit kencing manis.
- Mempunyai penyakit strok.
- Bayi yang lahir secara pramatang.
- Bekerja di tempat yang sentiasa terdedah dengan objek tajam dan bahan kimia.
Simptom Mata Buta
Antara tanda yang sering berlaku sebelum terjadinya kecacatan penglihatan ini adalah:
- Penglihatan kabur.
- Tidak boleh melihat dan membezakan sesuatu objek.
- Hanya nampak bayang.
- Tidak boleh melihat pada waktu malam.
- Mata yang kemerahan dalam tempoh yang lama.
Bagi simptom yang berlaku pada kanak-kanak pula, peranan ibu bapa sangat penting dalam mengenal pasti masalah penglihatan yang berlaku pada anak-anak.
- Mata yang melilau (tidak fokus), juling atau anak mata kelihatan putih.
- Sering menggosok mata, kepala yang senget, mengecil/menyepetkan mata, berkedip-kedip, sering terlanggar objek, keliru dengan perkatan yang tertulis, menonton TV dan membaca pada jarak terlalu dekat.
- Sering mengadu sakit kepala dan kadangkala muntah, kabur atau Nampak dua imej dan sensitif pada cahaya yang keterlaluan.
- Mata yang kemerahan dalam tempoh yang lama.
Ujian Pengesanan Punca
Melalui pemeriksaan mata yang dilakukan oleh pakar mata (optometrist) ia akan membantu untuk mengenal pasti punca kepada masalah penglihatan anda. Antaranya ialah:
- Ujian kejelasan penglihatan: Carta Snellen akan digunakan untuk menguji kejelasan mata anda.
- Ujian penilaian fungsi pergerakan mata.
- Tindak balas mata terhadap cahaya.
- Pemerhatian terhadap rupa paras, tingkah laku dan aduan seseorang.
- Ujian medan penglihatan.
Cara untuk mencegah masalah buta
Pencegahan adalah langkah pertama yang perlu dilakukan untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk terjadi.
- Amalkan gaya hidup sihat.
- Mengelakkan kecederaan yang serius pada mata dan elakkan kemalangan.
- Dapatkan suntikan pelalian seperti suntikan rubella dan tetanus.
- Merancang kehamilan untuk penjarakan kehamilan, pembekalan asid folik dan mendapatkan diet yang seimbang.
- Membuat pemeriksaan secara berlaku jika anda telah di diagnosa mengalami penyakit mata yang lain.
Rawatan Mata Buta
Jika anda telah di sahkan mengalami kecacatan penglihatan atau blindness, terdapat beberapa rawatan yang mungkin akan diberikan untuk merawat masalah yang dihadapi. Rawatan adalah lebih kepada untuk merawat punca yang menyebabkan kecacatan penglihatan.
- Katarak melalui pembedahan.
- Glaukoma dengan menggunakan ubat-ubatan atau pembedahan jika diperlukan.
- Pemindahan kornea jika mempunyai penyakit kornea.
- Retinopati diabetik melalui pemeriksaan berkala dan rawatan laser.
Tentunya untuk mendapatkan rawatan di atas perlu kepada nasihat dan saranan doktor selepas anda melakukan pemeriksaan.
Rujukan:
- My Health: Kecatatan Penglihatan
- Medline Plus: Blindness
- World Health Organization: Blindness
- Healthline: Blindness