Skip to content

Sakit Kepala Berdenyut: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah sakit kepala berdenyut? Artikel ini akan membincangkan punca dan rawatan kepada masalah sakit kepala berdenyut ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca
  3. Simptom
  4. Pemeriksaan dan Ujian
  5. Cara Rawatan
  6. Bilakah kena berjumpa dengan Doktor?

Pengenalan

Rasa kepala berdenyut ialah simptom biasa yang sering berlaku dengan sakit kepala. Hal ini berlaku kerana salur darah di kepala mengembang sebagai respons kepada sakit kepala untuk mengalirkan lebih banyak darah ke kawasan yang sakit. Sesiapa sahaja boleh mendapat masalah ini namun biasanya wanita lebih ramai yang mengalaminya.

Punca Sakit Kepala Berdenyut

1. Migrain



Sakit kepala akibat migrain sangat sakit dan berdenyut-denyut, biasanya berlaku pada bahagian sebelah kepala. Rasa sakit biasanya dialami selama beberapa jam dan boleh melarat ke beberapa hari. Golongan yang selalunya mendapat migrain ialah golongan wanita. Migrain biasanya bermula dengan aura, iaitu gangguan deria penglihatan dan deria-deria lain sebelum sakit kepala berlaku. Antara simptom lain yang turut boleh berlaku ialah muntah-muntah dan kabur penglihatan

2. Occipital neuralgia

Occipital neuralgia berlaku akibat kerosakan dan kecederaan pada jaringan saraf occipital dari saraf tunjang yang bersambung ke kulit kepala. Sakit biasanya bermula di leher dan kemudian merebak ke kepala. Pesakit boleh turut mengalami masalah kabur penglihatan dan sakit pada bahagian mata. Simptom-simptom occipital neuralgia amat mirip dengan migrain. 

3. Hemicrania Continua

Hemicrania continua ialah masalah sakit kepala berterusan dengan simptom-simptom yang sama seperti migrain iaitu sakit pada separuh bahagian kepala dan muntah. Namun bezanya dengan migrain, hemicrania continua menyebabkan sakit kepala berterusan sepanjang masa yang boleh melarat ke tiga bulan manakala migrain berlaku secara berkala dan tidak berterusan.



4. Sakit kepala berkelompok (Cluster headache)

Sakit kepala berkelompok bukan masalah yang biasa berlaku dalam kalangan masyarakat, namun jika ia berlaku pesakit akan berasa sakit kepala berdenyut yang amat sakit sehingga pesakit boleh terbangun daripada tidur ketika ia berlaku dan mengganggu aktiviti pesakit. Sakit biasanya terasa terasa di keliling atau belakang satu mata dan di sebelah bahagian kepala. Pesakit juga boleh mengalami simptom mata merah dan rembesan air mata berlebihan. Sakit kepala berkelompok hanya berlaku pada musim-musim tertentu dan apabila habis tempoh musimnya, sakit kepala akan hilang serta merta dan boleh jadi ia datang kembali selepas pesakit sudah lama tidak mengalaminya.

5. Flu

Selain demam dan selsema, flu yang disebabkan jangkitan virus influenza juga boleh menyebabkan sakit kepala berdenyut.

6. Berhenti mengambil kopi secara tiba-tiba

Golongan yang kerap minum kopi berisiko mendapat sakit kepala berdenyut apabila mereka tiba-tiba berhenti mengambil kopi. Keadaan ini dipanggil caffeine withdrawal dan biasanya ada simptom-simptom lain seperti rasa loya dan kurang bertenaga. Simptom akan hilang sebaik sahaja pesakit mengambil kafein semula.

7. Hangover selepas minum alkohol

Jika pesakit minum terlalu banyak alkohol, ketika mabuk dan beberapa hari selepas itu pesakit berisiko mendapat masalah hangover yang boleh menyebabkan sakit kepala berdenyut. Hangover ini boleh berlaku sehingga ke tiga hari selepas pesakit mengambil alkohol. Antara simptom lain selain sakit kepala berdenyut ialah loya, cirit birit dan rasa lemah badan.



8. Temporal arteritis

Penyakit ini jarang berlaku dalam kalangan orang muda tetapi boleh jadi punca sakit kepala dalam kalangan orang berumur 50 tahun ke atas. Masalah ini berlaku apabila salur darah ke kepala mengalami keradangan akibat sebab-sebab yang tidak difahami sepenuhnya. Selain sakit kepala berdenyut, pesakit juga boleh ada simptom demam, sakit rahang selepas mengunyah atau bercakap, dan gangguan penglihatan. Temporal arteritis amat berbahaya jika tidak dirawat kerana ia boleh mengakibatkan buta dan pecah salur darah

9. Kanser otak

Sakit kepala amatlah jarang-jarang disebabkan oleh kanser otak namun kanser otak merupakan antara punca sakit kepala serius yang mirip dengan migrain. Doktor harus pastikan bahawa sakit kepala berdenyut yang dialami pesakit benar-benar bukan disebabkan oleh kanser otak. Antara simptom lain yang hadir bersama sakit kepala dalam kanser otak ialah muntah dan sawan.

10. Meningitis atau encephalitis

Meningitis dan encephalitis kedua-duanya ialah jangkitan kuman pada otak yang boleh menyebabkan sakit kepala, demam, muntah, leher tegang, lemah badan dan hilang kesedaran. Meningitis ialah penyakit penting yang perlu disiasat jika pesakit ada sakit kepala dan demam pada masa yang sama.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom

Sakit kepala berdenyut boleh jadi pada

  • Sebelah atau kedua-dua bahagian hadapan kepala di dahi
  • Belakang mata
  • Pelipis kepala
  • Bahagian atas kepala
  • Pangkal tengkorak kepala

Sakit kepala berdenyut boleh terjadi bersama-sama simptom berikut



  • Loya dan muntah
  • Kabur penglihatan
  • Mata merah dan air mata keluar berlebihan
  • Mata sensitif kepada cahaya (photophobia)

Pemeriksaan dan Ujian

Mengambil sejarah pesakit sahaja sudah mencukupi untuk doktor mengenalpasti punca sakit kepala berdenyut.

Jika doktor mengesyaki sebab yang lebih serius, pemeriksaan sistem saraf akan dilakukan dan ujian-ujian berikut akan diambil

  • CT scan otak
  • Sampel air tulang belakang

Cara Rawatan

Rawatan Kendiri di Rumah

Rawatan yang boleh dibuat sendiri di rumah untuk sakit kepala berdenyut merangkumi

  • Dapatkan ubat tahan sakit seperti NSAID daripada farmasi
  • Berehat dalam bilik gelap
  • Lakukan urutan kepala
  • Tidur secukupnya
  • Minum air secukupnya
  • Letakkan kompres hangat atau dingin pada bahagian yang sakit
  • Berhenti mengambil alkohol
  • Kurangkan pengambilan kafein secara bertahap

Rawatan oleh Doktor

Doktor akan berikan ubat tahan sakit yang umum seperti NSAID bersama ubat-ubat yang lebih spesifik seperti ubat jenis triptan. Ubat tahan muntah juga mungkin diberikan.

Hemicrania continua biasanya dirawat dengan indomethacin manakala temporal arteritis dirawat dengan steroid.

Kebanyakan ubat selain NSAID yang disebut di sini hanya boleh didapatkan daripada doktor, jadi buat temu janji dengan doktor untuk menerima rawatan yang tepat mengikut konteks keadaan dan punca masing-masing.



Bilakah kena berjumpa dengan doktor?

Pesakit perlu bertemu dengan doktor jika

  • Sakit berlarutan dan berpanjangan walaupun ubat tahan sakit sudah dicuba
  • Sakit semakin teruk dan berbeza daripada biasa
  • Sakit tiba-tiba yang tidak pernah berlaku sebelum ini
  • Sakit berlaku selepas kecederaan kepala atau jatuh biarpun tidak teruk
  • Sakit berlaku bersama dengan simptom demam, leher tegang, muntah berterusan, lemah badan, gangguan penglihatan, tidak boleh bercakap, atau hilang kesedaran

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit Pinggang Sebelah KananSakit Perut Berpanjangan
Sakit Kepala BerdenyutBatuk Berpanjangan
Sakit DadaSakit Bahu
Kuat BerpeluhKetiak Berbau
Muntah Hijau dan KuningSakit Kepala Berpanjangan
Selesema BerpanjanganRasa Tercekik
TercekikBernafas Laju
Buku Lali Bengkak

Rujukan

  1. What Causes a Throbbing Headache? -WebMD
  2. Throbbing Headache: Types, Causes, and Treatments – Healthline
  3. Throbbing headache: Causes, treatments, and home remedies – Medical News Today
  4. Migraine – Symptoms and causes – Mayo Clinic. – Mayo Clinic
  5. Occipital Neuralgia | National Institute of Neurological Disorders and Stroke.
  6. Cluster headache – Symptoms and causes – Mayo Clinic.
  7. Rakel, R. E., & Rakel, D. (2016). Textbook of family medicine (Ninth edition.). Philadelphia, PA: Elsevier Inc.
  8. Temporal Arteritis: Treatment, Symptoms & Diagnosis – Clevel and Clinic
  9. Migrain: Punca, Simptom dan Rawatan – The Diagnosa
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − three =