Skip to content

Sakit Kepala Berpanjangan: Punca dan Rawatan

Setiap orang pasti pernah mengalami sakit kepala dari masa ke masa. Kadang kala, berehat atau pengambilan ubat tahan sakit sudah memadai untuk melegakan rasa sakit kepala.

Tetapi, jika anda mempunyai sakit kepala yang berterusan, anda mungkin perlu mengambil tindakan segera sebelum keadaan bertambah menjadi teruk. Artikel ini akan menerangkan tentang punca, simptom dan rawatan bagi sakit kepala yang berpanjangan.

Pengenalan

Sakit kepala merupakan salah satu rungutan yang paling kerap diterima oleh doktor di klinik. Kajian menunjukkan bahawa 90% orang pernah mengalami sakit kepala sekurang-kurangnya sekali dalam hidup. Pada kebiasaannya, sakit kepala tidak menggambarkan masalah kesihatan yang serius dan boleh dirawat dengan sendiri. Walaupun tidak serius, ia boleh menyakitkan dan mengganggu aktiviti harian seseorang.



Bagi sesetengah orang, ada yang mengalami sakit kepala yang berpanjangan sehingga memberi kesan yang negatif kepada aktiviti harian serta kitaran tidur. Dalam istilah perubatan, sakit kepala berpanjangan bermaksud sakit kepala yang melebihi 15 hari atau melebihi 1 hingga 3 bulan. Ia boleh terjadi kepada orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Jenis Sakit Kepala

Terdapat lebih 150 jenis sakit kepala, tetapi sakit kepala yang paling biasa berlaku adalah:

1. Sakit kepala tegang (tension headache)

Sakit kepala tegang adalah sejenis sakit kepala yang paling biasa berlaku di kalangan orang dewasa dan remaja yang membuatkan seseorang merasa seolah-olah ada tekanan di sekitar dahi, belakang kepala dan leher. Ia lazimnya hanya menyebabkan kesakitan sementara dan selalunya tidak mengganggu aktiviti harian.

2. Migrain



Migrain sering digambarkan sebagai sakit kepala berdenyut yang boleh terjadi dari 4 jam sehingga 3 hari lamanya. Seseorang yang mengalami migrain juga sering berasa loya, muntah dan sensitif kepada cahaya.

3. Sakit kepala kluster

Sakit kepala kluster merupakan rangkaian sakit kepala yang agak pendek tetapi sangat menyakitkan dan boleh terjadi sehingga berbulan lamanya. Kebiasaannya, seseorang yang mengalami sakit kepala ini akan merasa sakit atau bengkak di bahagian mata dan hidung menjadi tersumbat.

4. Sakit kepala sinus

Sakit kepala ini biasanya dirasai di dahi, sekitar mata, dan di pipi. Lazimnya, ia terjadi semasa berlaku perubahan cuaca sejuk, dan diikuti dengan sedikit bengkak di wajah, dan mata berair. Ia berlaku disebabkan jangkitan pada ruang kosong (sinus) pada bahagian tengkorak muka.

5. Hemicrania continua

Ia merupakan sakit kepala yang sangat jarang berlaku, tetapi boleh menyebabkan kesakitan yang menyerupai migrain dan boleh terjadi selama 3 hingga 5 kali sehari. Kebiasaannya, ia melibatkan kesakitan pada satu belah bahagian kepala.

Periksa Simptom anda Di Sini



Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom Lain

Gejala sakit kepala yang berpanjangan adalah berbeza-beza, bergantung kepada jenis sakit kepala yang anda alami. Selain daripada gejala yang telah disebutkan di atas, gejala lain juga boleh berlaku. Antaranya ialah:

  • Sakit kepala sebelah atau kedua-dua belah bahagian kepala
  • Berasa kepala berdenyut dan ketat
  • Loya atau muntah
  • Bervariasi dalam intensiti dari ringan hingga berat
  • Berpeluh
  • Sensitif kepada cahaya atau bunyi
  • Hidung tersumbat atau berair
  • Mata menjadi merah dan berair

Punca Sakit Kepala Berpanjangan

Terdapat beberapa punca sakit kepala berpanjangan. Antaranya ialah:

1. Tekanan

Sakit kepala akibat tekanan merupakan sakit akibat daripada ketegangan otot. Ia lebih kerap dialami oleh wanita berbanding lelaki, dan lebih banyak terjadi kepada pelajar atau orang dewasa yang bekerja. Menurut pakar, jika seseorang melakukan sesuatu tugasan dalam posisi yang sama untuk tempoh masa yang panjang, ia akan menyebabkan ketegangan pada otot terutamanya di bahagian tengkuk dan bahu. Ini sekaligus membuatkan pengaliran darah terganggu dan memberi kesakitan pada bahagian tersebut.

2. Persekitaran

Persekitaran yang bersih juga memainkan peranan yang penting dalam mencegah rasa sakit kepala. Seseorang yang terdedah kepada asap rokok, bau kuat dari bahan kimia, alergen, makanan yang mengandungi kafein atau alkohol, tekanan dan pencemaran bunyi lebih cenderung untuk mengalami sakit kepala.

3. Penyakit

Ini termasuk jangkitan, selesema dan demam. Sakit kepala juga sering berlaku jika anda mempunyai masalah kesihatan seperti sinusitis (radang sinus), jangkitan tekak, atau jangkitan telinga. Dalam beberapa kes, sakit kepala boleh disebabkan oleh pukulan ke kepala atau merupakan tanda masalah perubatan yang lebih serius.



4. Genetik

Jika anda mempunyai sejarah migrain dalam keluarga, risiko anda untuk mendapat migrain adalah tinggi kerana ia boleh berlaku disebabkan genetik. Jika salah seorang daripada ibu bapa mengalami migrain, kemungkinan untuk anak mendapat migrain adalah sekitar 70%. Namun, peratus berkenaan menjadi 25-50% jika hanya salah seorang ibu atau bapa yang menghidap migrain.

5. Perubahan hormon

Sakit kepala boleh berlaku sekiranya terdapat perubahan terhadap paras hormon seperti serotonin dan estrogen. Apabila paras hormon-hormon ini tidak stabil, anda boleh mendapat sakit kepala.

6. Penggunaan ubat

Penggunaan ubat tahan sakit dalam jangka masa lama boleh menyebabkan rasa sakit kepala yang berpanjangan. Ini dipanggil sebagai Medication Overused Headache (MOH). Anda berisiko untuk mendapat MOH sekiranya anda kerap mengambil ubat tahan sakit melebihi 2 hari seminggu.

7. Kanser Otak

Mereka yang mempunyai masalah kanser otak juga akan mengalami sakit kepala yang berpanjangan. Ini kerana pembesaran kanser akan memberi tekanan di dalam otak dan pesakit akan mengadu sakit kepala yang berbulan panjanga



Ujian Pemeriksaan

Selain sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal, diagnosis sakit kepala tidak memerlukan sebarang penyiasatan makmal kecuali jika doktor mengesyaki sakit kepala anda berkait rapat dengan jangkitan atau masalah kesihatan lain. Doktor anda mungkin mengesyorkan ujian imbasan CT dan MRI untuk mengenal pasti punca sebenar sakit kepala.

Rawatan Sakit Kepala Berpanjangan

Rawatan bergantung kepada punca yang menyebabkan anda rasa sakit kepala. Secara amnya, rawatan dibahagikan kepada ubat-ubatan dan terapi.

Ubat-ubatan

Senarai ubat-ubatan yang mampu menghilangkan rasa sakit kepala ialah:

  • Antidepresan yang disebut trisiklik, seperti Amitriptyline dan Nortriptyline, yang dapat membantu mencegah sakit kepala. Mereka juga dapat membantu mengatasi kegelisahan atau kemurungan yang boleh terjadi dengan sakit kepala yang berterusan.
  • Beta-blockers seperti Propranolol dan Metoprolol. Ubat ini berfungsi untuk meluaskan saluran darah anda yang sempit, seterusnya membolehkan darah untuk mengalir secara normal dan ini sekaligus dapat membantu menghilangkan rasa sakit kepala.
  • Ubat anti radang (NSAIDs) seperti Ibuprofen dan Naproxen. Ubat jenis ini mestilah digunakan secara berhemat kerana penggunaan secara berlebihan boleh mengakibatkan sakit kepala berulang (rebound headache).
  • Ubat anti sawan seperti Gabapentin dan Topiramate.
  • Suntikan botox, iaitu sejenis suntikan menggunakan neurotoksin daripada bakteria yang menyebabkan botulism. Ini juga boleh menjadi alternatif kepada orang yang tidak sesuai dengan pengambilan ubat secara harian.

Terapi

Rawatan untuk sakit kepala yang berterusan tidak hanya melibatkan ubat-ubatan. Terapi lain boleh digunakan juga, mungkin dalam kombinasi dengan ubat-ubatan:

1. Urutan

Urutan badan dapat membantu mengurangkan tegangan otot serta memberi rasa relaks pada otot.



2. Akupuntur

Akupuntur dapat membantu mengurangkan kekerapan sakit kepala dan migrain, sekurang-kurangnya dalam jangka masa yang pendek. Jarum yang digunakan akan merangsang saraf untuk melepaskan hormon seperti endorfin yang bertindak untuk melancarkan peredaran darah, sekaligus melegakan migrain dan sakit kepala.

3. Terapi tingkah laku

Terapi ini boleh dilakukan secara sendirian atau berkumpulan. Ia membantu anda memahami kesan mental akibat daripada sakit kepala berpanjangan dan membincangkan cara untuk mengatasinya.

4. Berehat dan matikan lampu

Cahaya silau atau terang daripada lampu, telefon mahupun skrin komputer boleh menyebabkan rasa sakit kepala menjadi teruk. Cari masa untuk berehat di ruangan yang gelap, tenang dan bebas bunyi. Jika anda terpaksa menggunakan komputer, pasang alat anti-silau pada monitor komputer.

5. Perubahan gaya hidup

Cuba lakukan perubahan gaya hidup sihat seperti mendapatkan tidur yang cukup dan elakkan makanan atau minuman yang boleh membuatkan anda sakit kepala.



Tanda Bahaya Sakit Kepala

Jika anda mempunyai gejala seperti berikut, sila berjumpa doktor dengan kadar segera:

  • Sakit kepala selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala
  • Sakit kepala diikuti dengan demam, muntah, penglihatan menjadi kabur, kaki dan tangan berasa lemah
  • Sakit kepala tidak hilang walaupun telah mengambil ubat tahan sakit yang biasa
  • Sakit kepala menjadi teruk ketika batuk, bersin atau meneran

Kesimpulan

Kebanyakan sakit kepala boleh dirawat dengan berehat atau pengambilan ubat tahan sakit. Namun, jika sakit kepala anda berterusan, eloklah sekiranya anda berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca sebenar sakit kepala dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit Pinggang Sebelah KananSakit Perut Berpanjangan
Sakit Kepala BerdenyutBatuk Berpanjangan
Sakit DadaSakit Bahu
Kuat BerpeluhKetiak Berbau
Muntah Hijau dan KuningSakit Kepala Berpanjangan
Selesema BerpanjanganRasa Tercekik
TercekikBernafas Laju
Buku Lali Bengkak

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Seladi-Schulman, J. (2018, November 29). Constant Headaches: Diagnosis, Treatment, Risk Factors, and More. Retrieved September 27, 2020, from Healthline
  2. Dottie. (2016, November 02). Sakit Kepala. Retrieved September 27, 2020, from Portal Myhealth
  3. Headaches – Types, Causes, Symptoms, Diagnosis, Treatment. (2020, September 14). Retrieved September 27, 2020, from WebMd
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 4 =