Skip to content

Sakit kepala dan muntah memancut. Ia bukan suatu perkara biasa

Seorang wanita berumur 24 tahun dibawa ke jabatan kecemasan disebabkan dia pengsan di rumah

Ketika sampai di Triage kecemasan, pesakit terus dibawa ke zon merah(red zone) kerana pesakit sudah tidak sedarkan diri.

(Triage ini adalah tempat yang anda wajib pergi dahulu sebelum buat pendaftaran di jabatan kecemasan. Disinilah keadaan pesakit akan diperiksa terlebih dahulu supaya zon pesakit boleh ditentukan. Jika stabil, pesakit akan menunggu di kawasan zon hijau.



Manakala, jika separa kritikal, pesakit akan masuk zon kuning dan jika keadaan pesakit terlalu teruk, maka dia akan masuk ke dalam zon merah dan akan terus diperiksa oleh doktor.)

Ketika di zon merah, tekanan darah pesakit di ambil dan menunjukkan tekanan darah yang tinggi iaitu 190/70. Denyutan jantung pula tidak laju seperti orang biasa iaitu dalam lingkungan 55 denyutan dalam masa satu minit.

Pernafasan pesakit juga tidak seperti biasa. Pesakit hanya tarik nafas sedikit sahaja dan kadarnya lebih kurang 10 pernafasan dalam seminit.

Aku pun mengambil sejarah pesakit daripada ahli keluarga sambil staff perubatan yang lain sedang menstabilkan pesakit.

Ayahnya menyatakan bahawa pesakit menghadapi sakit kepala yang sangat teruk pada waktu pagi sebelum jatuh pengsan. Pesakit pada ketika itu mengerang kesakitan.



Selain dari itu, pesakit juga mengalami muntah-muntah yang teruk. Digambarkan oleh ayahnya muntah tersebut seolah-olah MEMANCUT keluar dari mulut pesakit.

Ayahnya ingat bahawa biasalah, mungkin sakit kepala dan muntah-muntah itu disebabkan keracunan makanan. Tetapi ia berakhir dengan pesakit tersebut pengsan.

Keadaan pesakit pada ketika itu sangat teruk. Pesakit tidak mempunyai tahap kesedaran yang normal dan menyebabkan kami pada ketika itu membuat keputusan untuk ‘Intubate’ pesakit.

Proses intubate ini adalah proses dimana kita menidurkan pesakit terlebih dahulu dan membuatkan otot pesakit relaks dengan pemberian ubat.

Ini akan menyebabkan pesakit tidak bergerak dan pernafasannya terhenti. Kemudian satu tiub dimasukkan terus ke dalam paru-paru supaya oksigen dapat diberikan kepada pesakit.
Kami pada ketika itu mengesyaki bahawa terdapat pendarahan yang berlaku pada bahagian otak pesakit.

Ini kerana daripada cerita yang diberitahu oleh ayahnya pesakit mengalami sakit kepala terlebih dahulu, diikuti dengan muntah yang memancut dan kemudian pesakit pun pengsan tidak sedarkan diri.

Muntah yang memancut ini dalam perubatan dikenali sebagai PROJECTILE VOMITTING dan ia merupakan salah satu simptom yang menunjukkan terdapat pendarahan di dalam otak.

Sakit kepala yang sangat teruk + muntah yang memancut merupakan simptom pendarahan otak yang selalu berlaku pada pesakit.



Pesakit kemudian di hantar ke jabatan pengimejan untuk melakukan CT-scan di bahagian otak. Ternyata dalam CT-scan otak pesakit tersebut terdapat pendarahan yang dipanggil sebagai Subarachnoid haemorrhage bermaksud pendarahan tersebut berlaku dibahagian bawah lapisan arachnoid.

Otak ini sebenarnya ada 3 lapisan iaitu Dura mater, Arachnoid mater dan pia meter. Arachnoid ini lapisan di tengah-tengah . Pendarahan di bahagian arachnoid ini meningkat tekanan di dalam bahagian tengkorak.

Tekanan di dalam tengkorak ini akan menolak otak di bahagian bawah(juga dikenali sebagai Brainstem) keluar melalui satu lubang yang dikenali sebagai Foramen Magnum. Bahagian brainstem ini penting untuk kawalan pernafasan dan juga tekanan darah.

Sebab itulah pesakit mengalami tekanan darah yang tinggi berserta denyutan nadi yang lambat dan pernafasan yang tidak normal kerana kawasan brainstem tersebut telah mengalami masalah.

Ketiga-tiga tanda ini dipanggil sebagai Cushing’s triad dan dikatakan peratusan untuk pesakit selamat adalah tipis jika pesakit sudah mengalami tanda-tanda ini.

Apakah punca yang menyebabkan pendarahan otak dalam pesakit ini?

Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan pendarahan otak berlaku walaupun seseorang itu masih dalam usia muda. Sebagai contoh:

  1. Berry Aneurysm – Saluran darah arteri membengkak menyebabkan ia boleh pecah bila-bila masa
  2. Arteriovenous malformation – Gumpalan saluran darah yang berlaku disebabkan terdapat hubungan terus di antara salur darah arteri dan vena.

Pesakit ini dimasukkan ke dalam ICU beberapa hari kemudian disahkan mengalami ‘Brain death’.

Kesimpulannya jika anda menghadapi sakit kepala yang teruk berserta muntah yang memancut, sila pergi ke hospital secepat mungkin. Kerana ia mungkin menunjukkan anda sedang mengalami pendarahan di dalam otak.



ARTIKEL BERKAITAN: PENDARAHAN OTAK

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − 11 =