Skip to content

Selesema Berpanjangan: Punca dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah selesema berpanjangan dan juga rawatannya. Artikel ini akan membincangkan masalah ini dan penyelesaiannya.

Dalam kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga seharian, pastinya anda tidak mampu untuk jatuh sakit walaupun hanya selesema. Anda mungkin boleh memilih untuk tidak mempedulikannya dan meneruskan kehidupan seperti biasa, kerana kebanyakan masa selesema akan sembuh dengan sendiri dan cepat. Namun, tanda tanda gangguan selesema yang terpaksa dialami mungkin menganggu anda kerana hidung sentiasa tersumbat ataupun berair. Anda juga kerap bersin menjadikan anda dan juga orang di sekeliling tidak selesa.

Selesama biasanya berlaku secara purata selama 3 hingga 7 hari namun ada masanya, ia boleh berpanjangan sehingga memakan masa 2 minggu. Jika anda mendapati selesema anda berpanjangan ataupun ia kerap datang dan pergi, mungkin ada beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian.

Punca Selesema Berpanjangan



Terdapat beberapa punca selsema berpanjangan. Anda boleh bacanya disini:

1. Anda tidak mendapatkan tidur dan rehat yang secukupnya.

Tempoh tidur dan rehat yang membantu mengekalkan prestasi sistem imun anda untuk bekerja dengan baik. Apabila anda mengalami selesema, anda perlu mendapatkan tidur yang cukup bagi membantu badan melawan jangkitan tersebut. Cuba untuk rehat secukupnya dan kurangkan pergerakan anda pada 2 hari awal selesema.

Tambahan pula, jika anda kurang tidur, anda juga lebih mudah untuk mengalami jangkitan selesema. Berdasarkan satu kajian, mereka yang mendapatkan tidur kurang dari 7 jam setiap malam 3 kali lebih kerap jatuh sakit berbanding mereka yang tidur sebanyak 8 jam setiap malam atau lebih.

2. Anda kurang minum air.



Apabila anda sakit, anda sangat mudah untuk dehidrasi. Tambahan pula, sakit tekak yang dialami membuatkan anda kurang selera makan dan minum.

Selesema juga menyebabkan badan kehilangan kelembapan. Cecair dalam badan banyak digunakan dalam penghasilan mukus dalam hidung. Anda mungkin mengambil ubatan selesema dari farmasi dengan harapan untuk mengurangkan simptom anda, namun tanpa ada sedar terdapat juga beberapa bahan kandungan dalam ubat selesema tersebut yang mempunyai kesan sampingan dehidrasi pada parasa minima.

Oleh itu, pastikan anda mengambil air yang secukupnya setiap hari. Tambahkan juga pengambilan makanan berkuah seperti sup dan amalkan minum jus buah bagi meningkatkan sistem imun badan di samping mengekalkan kandungan air dalam badan. Air yang secukupnya juga akan membantu mengalirkan hingus dalam hidung. Elakkan pengambilan minuman beralkohol, kopi dan kafein pada waktu ini kerana mereka juga berpotensi menjadikan badan dehidrasi.

3. Stress atau tertekan

Apabila anda sering menghadapi tekanan di tempat kerja mahupun di rumah, ia menyebabkan gangguan kepada sistem imun anda menjadikan ia kurang cekap dalam melawan jangkitan. Oleh sebab itu, anda mudah dijangkiti selesema dan jika anda dijangkiti, simptomnya mungkin teruk dan selesema dialami mungkin berpanjangan dan sukar sembuh.

Stres yang berterusan menjadikan badan kurang responsif terhadap hormon kortisol, iaitu sejenis hormon yang mengawal respons badan dalam melawan jangkitan seperti selesema.

4. Resdung atau alahan

Selesema boleh berpunca dari pelbagai keadaan. Anda mungkin menyangka selesema yang anda alami adalah kerana jangkitan virus dan setelah merawatnya selama beberapa minggu, anda masih lagi selesema. Hal ini kerana mungkin selesema anda berpunca dari reaksi alergi(resdung) dan bukannya jangkitan virus.



Berikut merupakan perbezaannya; selesema yang terjadi kerana jangkitan virus mengambil masa beberapa hari untuk terjadi. Reaksi alergi pula datang sangat cepat dan akan terjadi selama anda terdedah dengan bahan yang mencetuskan alergi tersebut. Kedua duanya menyebabkan selsema, batuk, hidung berair dan bersin, namun selsema jangkitan virus mungkin menyebabkan anda sakit badan ataupun demam.

5. Jangkitan sinus

Anda juga mungkin sebenarnya mengalami jangkitan sinus. Ia juga boleh menyebabkan sakit sekitar mata dan hidung, dan juga penghasilan mukus. Pesakit juga mungkin akan mengalami simptom demam dan bau hingus yang busuh seperti nanah.

6. Polip Hidung

Polip adalah ketumbuhan bukan kanser dan ia boleh tumbuh dalam saluran badan seperti saluran usus termasuk saluran hidung. Apabila polip ini tumbuh dalam hidung, ia boleh menghasilkan lebih banyak mukus(hingus) dan menyebabkan seseorang itu mengalami selsema yang berpanjangan. Selain itu, pesakit juga akan selalu merasakan hidungnya tersumbat.

7. Anda mengambil ubat yang tidak sesuai dengan anda.

Terdapat pelbagai jenis ubatan herba yang diiklankan di televisyen dan juga dijual secara meluas di kedai jamu yang menjanjikan kelegaan kepada selsema anda dalam sekelip mata. Harus anda ingat bahawa ubatan herba ini mungkin boleh membahayakan anda.

Herba echinacea merupakan sejenis rawatan tradisional yang sering digunakan untuk merawat selesema namun kajian mendapati tumbuhan tersebut langsung tidak memberi kesan.



Ramai juga yang bertindak mengambil antibiotik apabila selesema dengan harapan mereka akan sihat. Antibiotik juga tidak akan berkesan bagi selesema kerana kebanyakan selesema adalah disebabkan oleh jangkitan virus, bukannya bakteria.  Cara terbaik bagi merawat selesema adalah dengan merawat simptomnya seperti ubat anti histamine iaitu anti radang bagi mengurangkan hidung gatal dan hidung berair.

Periksa Simptom anda Di Sini

Cara mengenal pasti selesema

Kebiasaannya doktor mengenal pasti selesema melalui sejarah perubatan dan klinikal anda seperti simptom yang dialami beserta tempoh. Jika perlu, anda mungkin memerlukan ujian lain seperti:

  • Throat swab iaitu doktor mengambil sample mukus dari belakang tekak bagi mengenal pasti virus
  • Ujian X ray dada bagi melihat sekiranya anda mengalami komplikasi selsema berpanjangan seperti jangkitan kuman pada paru paru
  • Ujian darah sekiranya keadaan anda sangat lemah bagi melihat sel darah putih dalam darah yang menandakan jangkitan kuman
  • Scope hidung: dalam ujian ini satu kamera akan dimasukkan ke dalam hidung untuk melihat keadaan dalam hidung. Daripada pemeriksaan ini anda boleh mengesahkan seseorang itu mempunyai polip(ketumbuhan bukan kanser) dan juga jangkitan sinus

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Rawatan selesema berpanjangan

Rawatan selesema berbentuk simptomatik iaitu merawat simptom yang dialami. Kebiasaannya, simptom seperti bersin, hidung berair, batuk dan demam merupakan simptom yang dialami oleh mereka yang dijangkiti selesema.

  • Ubat tahan sakit seperti acetaminophen – digunakan untuk merawat demam dan juga sakit kepala dan sakit badan yang dialami.
  • Ubat batuk – mengurangkan kekerapan anda batuk. Ia digunakan dalam batuk tidak berkahak.
  • Decongestant – memberikan kelegaan kepada hidung tersumbat.
  • Ubat anti histamine – digunakan untuk mengawal radang yang menyebabkan hidung berair, hidung gatal dan penghasilan mukus

Rawatan di atas ini lebih kepada rawatan simptom. Tetapi jika pesakit mengalami punca-punca dibawah ini, maka pesakit memerlukan rawatan spesifik daripada doktor:

1. Polip hidung

Rawatan pesakit pada awalnya adalah dengan pemberian steroid secara sembur ke dalam hidung. Ia berfungsi untuk mengecutkan polip dan mengurangkan simptom selesama. Tetapi jika saiz polip masih besar dan simptom pesakit masih ada, maka pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang polip tersebut

2. Jangkitan sinus



Mereka yang mengalami jangkitan sinus perlulah diberi ubat tahan sakit dan juga ubat selesema. Akan tetapi jangkitan sinus ini selalunya disebabkan bakteria. Oleh itu, jika pesakit mengalami sakit muka yang teruk berserta demam, pesakit juga perlu mengambil antibiotik untuk merawat jangkitan sinus tersebut

3. Resdung

Resdung atau alahan selalu menyebabkan pesakit mengalami selesema, hidung tersumbat, bersin dan hidung gatal. Simptom ini selalunya teruk waktu pagi, waktu sejuk atau jika terdedah dengan benda yang pesakit alah. Untuk pesakit resdung, selalunya doktor akan memberikan ubat spray steroid ke dalam hidung untuk mengurangkan simptom pesakit.

Cara mencegah selesema

Berikut merupakan langkah yang boleh diambil bagi mencegah jangkitan selesema dan juga mencegah komplikasi dari selesema berpanjangan.

Walaupun selesema secara amnya tidak berbahaya dan boleh sembuh sendiri, namun bagi golongan yang berisiko seperti kanak kanak dan orang tua, ia boleh menyebabkan komplikasi bahaya seperti jangkitan kuman dalam paru paru.

1. Elakkan tempat sesak.

Tambahan pula di waktu pandemik COVID -19 ini, anda tidak digalakkan untuk keluar ke tempat orang ramai tanpa sebab yang penting. Selesema boleh merebak dengan cepat dalam tempat sesak. Jika anda perlu keluar, pastikan anda memakai penutup hidung dan mulut.

2. Kerap basuh tangan.



Virus selesema boleh kekal pada permukaan buat tempoh yang lama. Oleh itu, amalan kerap membasuh tangan selepas menyentuh permukaan dapat melindungi anda daripada jangkitan.

3. Kuatkan sistem imun.

Antara cara yang boleh anda lakukan bagi menguatkan sistem imun anda adalah dengan mendapatkan tidur yang cukup, mengamalkan gaya hidup cergas dan mengambil multivitamin sebagai suplemen.

4. Mengambil vaksin.

Bagi bayi dan kanak kanak, ibubapa boleh memberikan mereka vaksin influenza dan juga pneumococcal bagi melindungi mereka daripada jangkitan virus dan jangkitan paru paru, meningitis dan sebagainya.

Pembacaan bagi masalah yang lain

Sakit Pinggang Sebelah KananSakit Perut Berpanjangan
Sakit Kepala BerdenyutBatuk Berpanjangan
Sakit DadaSakit Bahu
Kuat BerpeluhKetiak Berbau
Muntah Hijau dan KuningSakit Kepala Berpanjangan
Selesema BerpanjanganRasa Tercekik
TercekikBernafas Laju
Buku Lali Bengkak

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:



  1. Schulz KA, et al. Patterns of migraine disease in otolaryngology: A CHEER Network Study. Otolaryngology — Head and Neck Surgery. 2018;159:42.
  2. King TE, et al. Clinical features and diagnosis of eosinophilic granulomatosis with polyangiitis (Churg-Strauss). – Uptodate
  3. Sexton DJ, et al. The common cold in adults: Diagnosis and clinical features. – uptodate
  4. Nasal congestion and rhinorrhea. Merck Manual Professional Version.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + 19 =