Skip to content

Tanda tanda Bersalin yang anda perlu tahu

Tempoh kehamilan mengambil masa sebanyak 9 bulan untuk bayi yang dikandungi menjadi matang dan tidak mempunyai masalah selepas kelahiran. Akan tetapi proses kelahiran akan menjadi salah satu tanda tanya kepada ibu mahupun bapa. Bagaimana ia berlaku dan apakah tanda tanda bersalin yang saya perlu tahu?

Tanda tanda bersalin di peringkat awal

Selalunya ibu yang hamil akan mengadu:

  • Sakit bahagian ari ari yang digambarkan seperti mengeras
  • Pecah air ketuban. Akan terdapat air yang keluar daripada bahagian kemaluan dan air tersebut tidak boleh dikawal seperti air kecil.
  • Pengeluaran bendalir yang bercampur dengan darah. Ia merupakan mukus plug yang terdapat pada bahagian pangkal rahim. Ini menunjukkan proses bersalin ini akan bermula selepas beberapa jam ataupun beberapa hari.
  • Kesakitan itu akan berlaku kerap iaitu sebanyak 2 kali ataupun lebih dalam masa 10 minit. Jika ia berterusan untuk beberapa jam, selalunya anda sudah masuk ke dalam fasa kelahiran.
  • Bayi kurang gerak. Bayi tersebut dirasakan kurang bergerak selalunya disebabkan rahim yang sedang mengeras menyebabkan pergerakan bayi tidak dirasai. Tetapi jika perut tidak mengeras dan bayi kurang bergerak, anda perlu bergegas ke hospital untuk memeriksa kandungan anda.

‘Braxton Hicks Contraction’  Tanda tanda bersalin yang palsu

Selalunya wanita yang mengandung akan merasakan sakit perut seperti ingin melahirkan anak selepas daripada 20 minggu tempoh kehamilan.



Pesakit ketika ini akan mengalami tanda perut mengeras tetapi selalunya tidak menyebabkan kesakitan. Bahkan sakit tersebut datang pergi dan tidak kerap.

Braxton Hicks Contraction tidak menyebabkan pangkal rahim untuk terbuka. Akan tetapi jika anda mengalami sakit perut yang kerap dan mempunyai tanda tanda seperti diatas, anda dinasihati untuk berjumpa dengan doktor.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Fasa Kelahiran

Terdapat 3 fasa kelahiran yang mempunyai tanda tanda bersalin yang berbeza iaitu;

  • Fasa pertama(Fasa awal dan kelahiran aktif)
  • Fasa Kedua
  • Fasa Ketiga

Fasa pertama kelahiran dan apa yang anda perlu buat

Dalam fasa ini ia terbahagi kepada dua iaitu fasa awal dan fasa aktif. Pada fasa awal ia mengambil masa beberapa jam hingga beberapa hari. Pada ketika itu, pintu pangkal rahim akan terbuka daripada 0cm hinggalah kepada 4cm. Pesakit akan merasa sakit tapi masih boleh melakukan aktiviti yang lain.

Ketika mana masuk fasa kelahiran aktif, selalunya pesakit akan mengalami sakit perut dan kontraksi yang teruk hingga menyebabkan pesakit tidak boleh melakukan aktiviti harian yang lain. Proses ini bermula daripada bukaan rahim 4cm hinggalah kepada 10cm.



Ketika fasa awal, pesakit dinasihati untuk berjalan-jalan sedikit untuk mengurangkan rasa sakit dan membantu untuk bayi lebih mudah bersalin. Pesakit juga boleh mula mengamalkan teknik relaksasi agar kesakitan tersebut tidak terlalu teruk dan pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Ketika kesakitan menjadi lebih kerap dan kuat, pesakit dinasihati untuk berjumpa semula dengan doktor untuk pemeriksaan. Mungkin pada ketika itu, bukaan telah pun mencapai 4cm iaitu telah masuk ke dalam fasa kelahiran aktif dan pesakit perlu dimasukkan dalam dewan bersalin.

Fasa kedua kelahiran

Ia bermula apabila pintu rahim telah betul-betul terbuka iaitu dengan bukaan 10cm sehinggalah bayi tersebut keluar. Pada waktu inilah, ibu diminta untuk meneran untuk melahirkan bayi.

Cara yang betul untuk meneran adalah:

  • Kepala perlu diangkatkan dan dagu perlu mencecah bahagian dada
  • Pesakit perlu meneran dengan panjang jika boleh selama 10 saat.
  • Pesakit tidak boleh menjerit ataupun mengeluarkan suara ketika meneran kerana ia akan mengurangkan tekanan bagi melahirkan bayi
  • Pesakit boleh bernafas dengan laju selepas 10 saat dan meneruskan teranan balik
  • Pesakit perlulah meneran ketika perut dirasakan sakit kerana pada ketika itu rahim sedang mengecut untuk mengeluarkan bayi. Bagi pesakit yang mengambil ubat bius epidural, selalunya mereka tidak akan merasakan kesakitan. Oleh itu, pesakit memerlukan arahan daripada jururawat sama ada perlu meneran ataupun tidak. Ini kerana jururawat pada ketika itu akan merasakan perut anda untuk menentukan sama ada rahim anda sedang mengeras ataupun tidak.
  • Jika anda tidak sakit ataupun rahim tidak mengecut, anda boleh berehat seketika sebelum rahim tersebut mengecut semula.

Fasa ketiga kelahiran

Dalam fasa ketiga kelahiran ia melibatkan pengeluaran uri. Pada ketika ini, pesakit akan disuntik dengan satu ubat untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan uri di dalam rahim.

Perawat kesihatan akan cuba membuatkan rahim anda mengecut dengan elok. Jika rahim tidak mengecut, anda mungkin akan mengalami pendarahan yang teruk dan mengancam nyawa anda.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:



  1. Labor and birth. (n.d.) americanpregnancy.org
  2. Labor and delivery. (2012, December 12), Clevelandclinic
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 + 18 =