Telinga berdesing ataupun tinnitus merupakan suatu simptom yang selalu berlaku dalam masyarakat. Terkadang kita tidak mengetahui puncanya dan tidak mengendahkannya disebabkan ia berlaku seketika.

Tetapi ada sesetengah individu yang mengalami masalah ini secara berterusan dan ia mungkin mengganggu hidupnya. Bahkan tinnitus juga mungkin menunjukkan seseorang itu mempunyai masalah yang serius

1. Istilah perubatan

Tinnitus: Telinga berdesing. Ia tidaklah begitu tepat untuk mengambarkan tinnitus. Ini kerana tinnitus adalah mereka yang mendengar bunyi seperti dengungan, desiran, bunyi loceng, bunyi denyutan walaupun orang lain tidak mendengari perkara tersebut
Koklea: Adalah struktur yang terletak di dalam telinga. Fungsinya adalah untuk menukarkan gelombang bunyi kepada maklumat yang boleh dihantar melalui saraf ke otak untuk tujuan intepritasi

2. Pengenalan

Telinga berdesing ataupun tinnitus adalah keadaan dimana seseorang mendengar bunyi siulan, dengungan dan desiran walapun orang lain tidak mendengarnya. Ia boleh berlaku secara berterusan ataupun seketika.

Selalunya ia menjadi semakin teruk jika suara latar pada ketika itu rendah menyebabkan bunyi berdesing itu semakin kuat. Oleh itu, pesakit yang mengalami perkara ini selalunya terganggu apabila waktu tidur kerana keadaan yang senyap menguatkan lagi simptom tinnitus tersebut

Jika berlaku secara berterusan, ia boleh mengganggu pekerjaan dan konsentrasi sewaktu bertugas. Mereka yang mengalami perkara tersebut hingga menyebabkan gangguan pada aktiviti harian perlulah berjumpa dengan doktor

2. Punca

Pendedahan bunyi bising yang lama adalah penyebab utama telinga berdesing. 90% daripada mereka yang mengalami masalah ini mempunyai sedikit masalah dalam pendengaran.

Bunyi yang kuat menjadi penyebab kerosakan sel yang sensitif di dalam koklea telinga. Perlu diketahui bahawa koklea merupakan salah satu struktur di dalam telinga yang berfungsi untuk menyerap dan mengubah gelombang bunyi kepada maklumat yang akan dihantar melalui saraf kepada otak

Pembuat perabut, pemandu kapal terbang, pemusik rock dan buruh bangunan merupakan salah satu pekerjaan yang terdedah kepada bunyi yang kuat dan membuatkan mereka lebih berisiko menghadapi masalah ini. Masalah ini juga boleh berlaku walaupun pendedahan kepada bunyi yang kuat berlaku sekali sahaja.

Walaupun kebanyakan masalah tinnitus mempunyai kaitan dengan mereka yang mempunyai masalah pendengaran, tetapi masalah itu sendiri tidak menyebabkan kehilangan pendengaran kepada pesakit

Terdapat beberapa penyebab lain yang boleh menyebabkan telinga berdesing, ianya adalah:

  • Tekanan darah tinggi dan masalah tiroid
  • Telinga yang tersumbat dengan tahi telinga(Impacted earwax)
  • Jangkitan kuman pada bahagian telinga
  • Ketumbuhan pada saraf yang membawa maklumat pendengaran
  • Ubat-ubatan tertentu seperti aspirin, beberapa jenis antibiotik, ubat anti-depressi dan beberapa ubat yang lain
  • Penuaan boleh menyebabkan masalah pada koklea
  • Otosclerosis, masalah dimana tulang yang berfungsi untuk membawa getaran daripada gelombang bunyi menjadi keras dan sukar untuk bergetar

Tinnitus juga boleh menjadi semakin teruk bagi mereka yang mengambil alkohol, merokok, mengambil minuman yang berkafein dan juga mengambil beberapa jenis makanan. Tetapi para pengkaji masih lagi tidak mengetahui bagaimana perkara tersebut terjadi

3. Simptom

Simptom yang selalu dialami pesakit yang mengalami tinnitus adalah pesakit selalunya mendengar bunyi loceng, desiran dan dengungan.

Ia mungkin boleh berlaku seketika sahaja ataupun berterusan

Tinnitus boleh terbahagi kepada 2 bahagian iaitu

  • Tinnitus subjektif: Dimana hanya pesakit sahaja mendengar bunyi berdesing tersebut
  • Tinnitus objektif: Dimana doktor juga boleh mendengar bunyi berdesing tersebut jika sthetoscope digunakan pada telinga pesakit

Sila berjumpa dengan doktor jika anda mempunyai masalah tersebut bersama dengan tinnitus:

  • Mempunyai cairan yang keluar daripada telinga. Ini kerana mungkin pesakit mempunyai jangkitan di bahagian telinga
  • Berasa pening ketika bunyi berdesing itu berlaku. Mungkin ia mempunyai kaitan dengan masalah saraf

4. Rawatan Tinnitus

Rawatan untuk telinga berdesing adalah bergantung kepada penyebab masalah tersebut. Jika penyebab tersebut dihilangkan ataupun dirawat, pesakit mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk sembuh daripada masalah tersebut

Mengelakkan daripada bunyi bising

Pesakit yang mempunyai masalah tinnitus disebabkan bunyi yang kuat perlulah mengelakkan daripada bunyi tersebut.

Pesakit mungkin perlu memilih pekerjaan yang lain untuk mengelakkan masalah tersebut daripada terus berlaku. Penggunaan alat penutup telinga juga boleh digunakan ketika melakukan aktiviti pekerjaan yang melibatkan bunyi yang kuat.

Pembersihan tahi telinga

Jika punca kepada masalah tinnitus tersebut adalah disebabkan tahu telinga yang tersumbat, selalunya perawat perubatan akan memberikan satu larutan untuk mencairkan tahu telinga tersebut. Temujanji yang seterusnya akan digunakan untuk mengeluarkan tahi telinga dan membersihkan telinga pesakit

Penggunaan antibiotik

Jika pesakit mempunyai jangkitan kuman pada bahagian telinga, penggunaan antibiotik mampu membunuh kuman tersebut

Selalunya pesakit yang mempunyai jangkitan kuman dibahagian telinga akan mempunyai beberapa simptom seperti:

  • Sakit telinga yang kuat
  • Keluar cecair ataupun nanah daripada telinga

Pembedahan

Pembedahan hanya perlu dilakukan jika ia melibatkan ketumbuhan, cyst dan juga otosclerosis

Ubat-ubatan

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh mengurangkan simptom telinga berdesing. Yang digunakan selalunya adalah ubat yang sebelum ini digunakan untuk mengurangkan kebimbangan dan juga depressi.

Didapati ubat tersebut dapat juga bertindak untuk mengurangkan simptom tinnitus pada pesakit.

Alat bantu

Ada dua jenis alat yang digunakan untuk membantu pesakit ini:
1) Alat bantu pendengaran

Ada sesetengah pesakit mengalami kehilangan ataupun kekurangan pendengaran yang menyebabkan simptom telinga berdesing itu menjadi semakin teruk. Oleh itu, alat bantu dengar mampu membuatkan pendengaran mereka menjadi normal lalu simptom tinnitus itu berkurangan ataupun hilang

2) Alat bantu untuk mewujudkan suara latar(Masking device)

Ianya seperti alat bantu dengar. Tetapi dalam alat ini, ia akan memberikan bunyi yang rendah secara berterusan untuk membatalkan bunyi tinnitus yang terhasil. Oleh itu, pesakit akan merasa lebih selesa.

Akan tetapi pesakit selalunya terganggu ketika waktu tidur kerana bunyi yang senyap akan menjadikan simptom pada pesakit menjadi lebih teruk. Oleh itu, dinasihatkan untuk pesakit menggunakan radio ketika tidur untuk mengurangkan bunyi telinga berdesing tersebut.

Jika anda merasa perkongsian ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa.

Rujukan:

  1. Moller AR. Sensorineural Tinnitus: Its Pathology and Probable Therapies. Int J Otolaryngol. 2016. 2016:2830157.
  2. Bhatt JM, Bhattacharyya N, Lin HW. Relationships between tinnitus and the prevalence of anxiety and depression. Laryngoscope. 2017 Feb. 127 (2):466-9
  3. Kim HJ, Lee HJ, An SY, et al. Analysis of the prevalence and associated risk factors of tinnitus in adults. PLoS One. 2015. 10 (5):e0127578.
  4. Yang P, Ma W, Zheng Y, Yang H, Lin H. A Systematic Review and Meta-Analysis on the Association between Hypertension and Tinnitus. Int J Hypertens. 2015. 2015:583493.
  5. Phillips JS, McFerran DJ, Hall DA, Hoare DJ. The natural history of subjective tinnitus in adults: A systematic review and meta-analysis of no-intervention periods in controlled trials. Laryngoscope. 2017 Apr 20.
  6. Jalali MM, Kousha A, Naghavi SE, Soleimani R, Banan R. The effects of alprazolam on tinnitus: a cross-over randomized clinical trial. Med Sci Monit. 2009 Nov. 15(11):PI55-60.
  7. sumber featured image: wikipedia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *