Pernah tak ketika anda bawa kereta dan ingin bertukar laluan ke sebelah kanan dan tiba-tiba anda lihat ada kereta di laluan tersebut. Anda mungkin terkejut pada ketika itu sebab sebelum itu anda lihat menggunakan cermin sisi laluan tersebut kosong.
Ini adalah salah satu contoh yang berlaku disebabkan kereta tersebut mungkin terletak pada titik buta mata. Titik buta ini dikenali sebagai ‘Scotoma’.
Penulis punya pengalaman lagi teruk. Saya nyaris terlanggar pejalan kaki disebabkan dia berada di sebelah kanan kereta saya dan pada ketika itu saya betul ingatkan tiada orang yang berjalan. Pejalan kaki tersebut sempat menolak kereta saya dan melompat kebelakangan disebabkan nyaris hendak di langgar kereta.
Ujian untuk tunjukkan kewujudan
Pertamanya anda boleh ambil satu kertas dan tulis titik dan juga simbol tambah seperti dalam gambar dibawah. Jika nak gunakan gambar ini di telefon ataupun komputer anda pun boleh.
Kemudian, mata kanan anda dan mata yang tidak ditutup itu perlu lihat titik hitam tersebut. Jangan tengok benda lain. Gerakkan telefon anda ke belakang atau kedepan sehingga simbol tambah itu hilang dengan sendirinya.
Di tempat simbul itu hilang, itulah titik buta di mata anda. Anda tidak dapat melihat apa-apa dikawasan tersebut.
Kenapa terjadinya titik buta di mata kita?
Di belakang mata kita terdapat reseptor yang menerima cahaya dan menghantar maklumat ini ke otak untuk diterjemahkan supaya kita dapat maklumat berkenaan dengan apa yang kita lihat. Photoreceptor ini akan bersambung kepada saraf optik yang berfungsi untuk membawa maklumat ke otak di kawasan yang dipanggil sebagai cakera optik(optic disc)
Cakera optik ini terdapat di bahagian retina dan ia tidak mengandungi sebarang reseptor untuk menerima maklumat cahaya daripada luar. Ini menyebabkan imej objek yang jatuh dibahagian tersebut tidak akan dapat dilihat oleh seseorang.
Titik buta ini adalah sesuatu yang normal bagi seseorang. Tetapi ada beberapa jenis penyakit yang boleh meningkatkan kawasan titik buta di mata anda seperti kencing manis, darah tinggi, glaucoma dan beberapa jenis penyakit yang lain.
Rujukan
- Anatomy of the eye. (2017).
- Gregory R, et al. (2011). The blind spot.
scholarpedia.org/article/The_Blind_Spot