Rasa lemah, mata kuyu, hilang selera makan, muntah dan badan kurus walaupun makan banyak? Anda mungkin mengalami jangkitan cacing dalam badan anda. Sesetengah doktor mungkin ada mengesyorkan ubat seperti albendazole untuk menghilangkan cacing tersebut dari tubuh badan anda. Maka artikel kali ini ingin memberi sedikit penerangan berkenaan ubat cacing yang agak biasa diberikan iaitu albendazole juga terkenal dengan jenama Zentel.
Kegunaan
Kegunaan ubat albendazole adalah untuk merawat serangan parasit:
- Cacing pita anjing (dog tapeworm, Echinococcus granulosus) – echinococcitis yang melibatkan penyakit sista hydatid (hydatid cyst) dalam hati, paru-paru dan peritoneum dari larva Echinococcus
- Cacing pita babi/lembu (Taenia solium) – melibatkan penyakit neurosistiserkosis (neurocysticercosis) terutamanya di kawasan parenchyma otak (parenchymal neurocysticercosis) daripada lepuhan aktif larva Taenia
Tetapi, penggunaan albendazole di luar label juga sama peri pentingnya termasuklah:
- Cacing kerawit/ tambang (hookworm, Ancylostoma duodenale dan Necator americanus)
- Cacing bulat besar/cacing gelang (roundworm, Ascaris lumbricoides)
- Cacing cambuk (human whipworm, Trichuris trichiura)
- Cacing benang (threadworm, Strongyloides stercoralis; pinworm, Enterobius vermicularis)
- Cacing hati (Fasciola hepatica dan F. gigantica)
- Cacing pita kerdil (Hymenolepis nana)
- Jangkitan larva kulit migrans
- Capillariasis (Capillaria hepatica dan Capillaria philippinensis)
- Clonorchiasis (Clonorchis sinensis)
- Giardiasis (Giardia lamblia)
- Jangkitan microsporidia dalam kalangan pesakit HIV/AIDS
- Gnasthotomasis (Gnasthotoma spp.)
- Filariasis limpa (daripada cacing filaria seperti Wuchereria bancrofti, Brugia malayi, Brugia timori)
- Loiasis (African eye worm, disebabkan Loa loa)
- Toxocariasis (dari Toxocara canis dari anjing; Toxascaris leonina dan Toxocara cati dari kucing)
Cara Pengambilan
Cara pengambilan kebiasaannya bagai kanak-kanak dan dewasa:
- Diambil sebelum atau selepas makan. Bagi pesakit rawatan sistemik (dalam badan), biasanya diambil bersama makanan berlemak untuk memudahkan penyerapan. Pengambilan sebelum makan perlu diambil jika jangkitan berkait dalam sistem penghadaman badan.
- Jika pesakit susah menelan ubat, ada sesetengah jenama tablet ubat boleh dikunyah, dan dihancurkan atau dicampurkan bersama makanan.
- Jika terlupa ambil, makan segera setelah teringat. Melainkan hampir ke masa pengambilan ubat seterusnya, pesakit disarankan untuk mengambil dos seterusnya. Tidak perlu menggandakan dos.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Penyimpanan
Ubat biji dan sirap perlu disimpan dalam suhu bilik (20-25°C) dan kering serta dijauhkan daripada cahaya serta kanak-kanak. Ubat tidak boleh digunakan sehingga tarikh luput.
Dos
Dos yang biasa disimpan dalam fasiliti kesihatan kerajaan adalah tablet 200 mg dan sirap ampaian 200 mg/5 ml. Ubat ini sendiri boleh dibeli di farmasi komuniti berhampiran.
Berikut merupakan antara dos kebiasaannya mengikut ketetapan berikut:
- Cacing pita anjing (echinococcosis, penyakit sista hydatid):
- Pesakit berat <60 kg: 15 mg/kg/hari dibahagikan kepada 2 kali sehari (selang 12 jam), tidak boleh melebihi 800 mg/hari untuk 28 hari (4 minggu) KEMUDIAN 14 hari (2 minggu) tiada ubat DAN ULANG SEMULA pengambilan lagi 2 kali (jumlah 3 kali).
- Pesakit berat >60 kg: 400 mg 2 kali sehari (selang 12 jam) untuk 28 hari (4 minggu) KEMUDIAN 14 hari (2 minggu) tiada ubat DAN ULANG SEMULA pengambilan lagi 2 kali (jumlah 3 kali).
- Cacing pita lembu/babi (Neurocystocercosis)
- Pesakit berat <60 kg: 15 mg/kg/hari dibahagikan kepada 2 kali sehari (selang 12 jam), tidak boleh melebihi 800 mg/hari untuk 8 – 30 hari.
- Pesakit berat >60 kg: 400 mg 2 kali sehari (selang 12 jam) untuk 8 – 30 hari.
- Cacing kerawit, cacing bulat, cacing benang, cacing cambuk:
- Dewasa dan 2 tahun ke atas: 400 mg sekali makan sebelum makan.
- Kanak-kanak 1 – 2 tahun: 200 mg sekali makan sebelum makan. Maksimum 200 mg.
- Clonorchiasis dan opisthorchiasis
- Kanak-kanak ≥2 tahun dan dewasa: 400 mg 2 kali sehari (selang 12 jam) x 3 hari. Maksimum pengambilan 800 mg/hari, 1200 mg/3 hari. Beritahu doktor selepas 1 bulan jika jangkitan berjaya dihapuskan. Sesetengah rujukan lain memberikan dos 10 mg/kg sekali sehari x 10 hari untuk jangkitan clonorchiasis.
- Capillariasis
- Kanak-kanak ≥2 tahun dan dewasa: 400 mg sekali sehari x 10 hari
- Cacing pita kerdil
- Kanak-kanak ≥2 tahun dan dewasa: 400 mg sekali sehari x 3 hari, maksimum 400 mg/hari, 1200mg/3 hari. Ulang semula selepas 10 – 21 hari jika jangkitan masih berlaku (jika pesakit disahkan terkena cacing pita kerdil) atau ulang rawatan semula selepas 3 minggu jika pesakit belum sembuh (bagi pesakit disyaki terkena cacing pita kerdil). Maklumat berkenaan pengambilan ubat berkenaan mungkin berbeza bagi sesetengah negara dan produk-produk yang ada di pasaran.
- Jangkitan larva kulit migrans (dewasa dan kanak-kanak ≥2 tahun)
- Pada kawasan kutaneus (kulit): 400 mg sekali sehari makan untuk 3 hari
- Pada kawasan viseral badan: 400 mg sekali sehari makan untuk 10 hari
- Giardiasis
- Kanak-kanak 1 – 12 tahun: Dos 400 mg sekali sehari x 5 hari (maksimum 400 mg/hari, 2000mg/5 hari). Cara pengambilan ubat mungkin berbeza bagi sesetengah negara dan produk-produk yang ada di pasaran.
- Toxascaris
- 6 tahun ke atas: 400 mg 2 kali sehari (selang 12 jam) untuk 5 hari, maksimum jangka masa pengambilan ubat tidak dipastikan.
- Strongyloides stercoralis
- 2 tahun ke atas: 400 mg sekali sehari dalam perut kosong x 3 hari. Selepas 2 minggu, berjumpa semula dengan doktor untuk kenal pasti pesakit sudah sembuh sepenuhnya.
- Gnasthotoma
- 6 tahun ke atas: 400 mg sekali ATAU 2 kali sehari (selang 12 jam) x 3 minggu, data tidak mencukupi bagi dos sepatutnya diberikan untuk jangkitan tersebut tetapi dos tinggi perlu digunakan berhati-hati.
Sesetengah jangkitan lain mungkin memerlukan pemberian dos dan pemerhatian para doktor. Ini hanyalah sebahagian dari dos yang diberikan mengikut rujukan perubatan biasa.
Brand ubat yang ada dalam pasaran
Carian NPRA menemukan ubat dalam dos tertentu dengan jenama-jenama seperti di bawah:
- Tablet 200 mg:
- Zentel (Duopharma),
- Zentel (GSK),
- Zoben (Pharmaniaga),
- Champs D-Worms 200 mg Chocolate Flavour Chewable Tablet (Duopharma),
- Noxworm Chewtab (Winwa Medical),
- Adazol (Prime Pharmaceutical),
- Denzol Film-Coated Tablets (Averroes),
- K-Worm Choc Chewtab (Powerlife),
- Zenmox (YSP)
- Tablet 400 mg:
- Odibend (boleh kunyah) (Healol),
- Alzental (The Zyfas)
- Sirap ampaian 200 mg/5 ml:
- Idaman Pharma Albendazole Suspension (Idaman Pharma),
- Zentel (GSK), Vemizol Suspension (Duopharma),
- Champs D-Worms Suspension (Duopharma),
- Adazol (Prime Pharmaceutical),
- A-zole Suspension (Strawberry) (Winwa Medical),
- Noxworm Suspension (Chocolate) (Winwa Medical),
- Thelban (Medispec),
- Mesin-C Oral Suspension (Medispec),
- K-Worm Choc Suspension (Powerlife)
- Sirap ampaian 100 mg/5 ml:
- Thelban (Medispec),
- Denzol (Averroes)
Cara Ubat Berfungsi
Albendazole adalah satu jenis ubat antiprotozoa dan antihelmintik (ubat parasit serta cacing) dari kumpulan benzimidazole yang mempunyai spektrum aktiviti yang besar (broad-spectrum antihelmintics), antara ubat lain yang tergolong dalam kumpulan ini termasuklah mebendazole.
Albendazole dipercayai mempunyai kelebihan melekat pada kawasan β-tubulin yang sensitif pada colchicine dan seterusnya menghalang polimerisasi tubulin badan cacing dan protozoa yang terlibat.
Ini sekaligus menebat kebolehan cacing atau parasit terlibat dari mengambil gula (nutrien penting bagi cacing dan parasit terlibat), serta melumpuhkan mereka dengan pengurangan penghasilan ATP (tenaga penting dihasilkan organisma bernyawa) lalu menyebabkan kematian parasit dan cacing dewasa dan larvanya sekali.
Albendazole sukar diserap oleh badan ketika perut kosong, membolehkan ubat ini menyerang cacing atau parasit yang berada di usus dan seterusnya dikeluarkan melalui tinja. Penyerapan ke dalam badan untuk rawatan sistemik ditingkatkan dengan pengambilan makanan bergoreng dan berlemak, dan boleh dibuang menerusi air kencing juga.
Kesan sampingan
Kesan sampingan biasa:
- Sakit-sakit abdomen badan (kerana penyakit hydatid) atau epigastrik
- Loya dan muntah
- Cirit-birit
- Kabur penglihatan
- Pening dan sakit kepala
- Sawan
- Mengantuk
- Gugur rambut (alopecia)
- Kenaikan parameter penting hati
- Sakit-sakit otot (rhabdomyolysis)
Kesan sampingan serius:
- Masalah berkaitan kurang darah putih dan darah merah (apalstik anemia, leukopenia, agranulocytosis, neutropenia, pancytopenia, thrombocytopenia)
- Tindakan hipersensitif: ruam, gatal-gatal dan bintik merah (urticaria), boleh berlaku hingga ke sindrom Steven-Johnson
- Hepatitis, kegagalan akut fungsi hati
- Menaikkan tekanan intrakranial otak
Disebabkan itulah pengambilan albendazole tidak digalakkan bagi:
- Pesakit yang sensitif terhadap albendazole, mebendazole dan ubat dalam kumpulan benzimidazole yang lain, serta bahan-bahan yang terkandung dalam ubat berkenaan.
- Pesakit mengandung (Kategori C FDA) – kajian pada haiwan menunjukkan kesan teratogenik
- Kanak-kanak bawah umur 1 tahun – bukti tidak mencukupi
- Pesakit menyusukan anak- walaupun mucul dalam kuantiti sedikit, pengeluar menegaskan tidak perlu diambil oleh mereka.
Peringatan (precaution)
- Ubat boleh memberikan kesan mengantuk, jadi tidak dibenarkan memegang jentera berat atau memandu.
- Pastikan kawalan kesihatan yang ketat apabila mengambil ubat ini.
- Ubat sirap ampaian jangan terkena kulit, mata, mulut atau hidung kerana ubat ini boleh merengsa.
Pengambilan ubat berkenaan masih boleh diberikan tetapi perlu digunakan secara berhati-hati dan dalam pemerhatian doktor seperti:
- Pesakit kegagalan hati – jika fungsi hati makin merosot perlu dihentikan
- Mengurangkan fungsi sumsum tulang dan menaikkan kesan kekurangan darah merah dan putih – jika keadaan masih berlarutan ubat perlu dihentikan, kesan mungkin teruk jika pesakit ada masalah kegagalan hati dari awal.
- Pesakit neurosistiserkosis – mungkin menaikkan tekanan intrakranial dan menaikkan kesan kesakitan/inflamatori dalam otak, perlukan pemerhatian doktor
- Mata- mencalarkan retina mata (keadaan berisiko bagi pesakit sistiserkosis mata, juga perlukan kawalan dan pemerhatian doktor)
- Sistem reproduktif badan – pesakit dinasihatkan memakai alat perancang kehamilan sesuai untuk mengelak kehamilan ketika rawatan dan tetap memakainya selama 3 hari selepas dos terakhir. Ujian kehamilan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum mulakan ubat.
Interaksi antara ubat
Pesakit perlu memaklumkan pada doktor jika mengambil apa-apa ubatan bersama albendazole. Berikut adalah antara ubat dan makanan yang terlibat:
- Jus limau gedang dan limau gedang dan makanan bergoreng dan berlemak, cimetidine (ubat gastrik), praziquantel (ubat antihelmintik), ubat kortikosteroid (dexamethasone, prednisolone) : menaikkan kepekatan albendazole dalam darah
- Mengurangkan kepekatan albendazole dalam darah: Ubat sawan (carbamazepine, phenytoin, phenobarbitone, valproic acid), ubat antiviral (ritonavir).
Kesan terlebih dos
Data pengambilan albendazole berlebihan agak terhad. Seorang pesakit menelan 16 g albendazole dalam jangka masa 12 jam dan tiada apa-apa kesan klinikal dilaporkan. Satu lagi kes melaporkan pesakit mengambil 113.6 g albendazole (5.4 g sehari) selama 3 minggu dan kemudiannya dilaporkan mendapat keguguran rambut dan kurang sel darah merah dan putih. Namun begitu, kesan toksisiti ubat ini disepakati sebagai lanjutan dari kesan sampingan ubat.
Rawatan keracunan ini kebanyakan bersifat suportif. Pesakit perlu dipantau keadaan parameter darah serta hati mereka.
Rujukan
- Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
- BNF 78
- Micromedex
- MIMS Gateway
- Medscape – Albendazole
- Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan: Product Search
- Jabatan Farmasi Hospital USM (n.d.). Maklumat ubat masyarakat: Albendazol
- Kementerian Kesihatan Malaysia (2017). Penggunaan ubat cacing – satu keperluan atau kemestian?
- Patient information leaflet: Ubat untuk merawat- jangkitan cacing: Albendazole.
- Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Zentel Tablet 200 mg: Albendazole 200 mg
- Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Zentel Suspension 400 mg/10 ml: Albendazole 400 mg/10 ml
- Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Zoben Tablet: Albendazole 200 mg