Bagaimanakah cara penggunaan ubat arang dan kesan sampingannya? Artikel ini akan membincangkan pengunaan ubat arang, dos, kesan sampingan dan bagaimana ubat ini berfungsi
Pendahuluan
Pernah suatu ketika dahulu semasa masih dalam permulaan semester ketiga dalam Tahun Kedua saya di Universiti Malaya dahulu, saya ada mengalami muntah-muntah yang berterusan sepanjang waktu pagi dari tengah malam sehinggalah kelas di universiti masih belum selesai pun masih tak habis. (Padahal makan nuget je).
Kemudian saya gagahkan diri ke Midvalley (farmasi berhampiran dalam minda saya waktu itu adalah Midvalley, mohon jangan kecam saya), dan terus ke farmasi berhampiran. Selepas saya bertanyakan masalah tersebut kepada seorang akak farmasis di situ (agak sekejap perbualan kami), dia kemudiannya membawa saya ke satu ruang di tengah premis farmasi itu dan memegang satu papan ubat berwarna hitam legam sepenuhnya. Dia cakap dalam Bahasa Inggeris, saya terjemahkan di sini: “Awak ambil ubat pil ini, 2 biji 3 kali sehari. Dah OK, tak payah ambil lagi. Bila sakit saja”.
Teman yang ketika itu hanyalah pelajar farmasi cabuk je, memang menurut saja kata-kata farmasis tu. Saya makan dalam 1 kali ubat itu, mengikut arahan akak farmasis tu, dan kemudiannya, terus segala simptom muntah saya berhenti.
Waktu itulah, saya mula diperkenalkan dengan ubat ini. Saya cubalah mencari ubat yang diberi ini. Di plat timah papan terbabit, tertulislah nama ‘activated charcoal’. Arang? Arang teraktif?
Setelah beberapa tahun berlalu dari kejadian itu, sekali lagi saya dipertemukan kembali dengan ubat arang ini. Dan semestinya sekarang memandangkan saya pun dah tahu ubat ini, tidak salah kalau saya pun mahu menerangkan serba sedikit mengenai ubat arang ini. Tak salah kan?
Penggunaan
Indikasi penggunaan arang sendiri secara rasmi pun tidak dinyatakan dalam FDA selengkapnya memandangkan tiada bukti cukup memberikan indikasi rasmi berkenaan hal demikian. Namun begitu, ubat arang, ataupun biasanya dipanggil “activated charcoal” atau “medicated charcoal”, adalah calon paling sesuai yang kerap digunakan dalam indikasi keracunan. Secara asasnya, keracunan berkaitan apa sahaja (ada limitasi ubat ini pada sesetengah keracunan, dan akan diceritakan selanjutnya dalam perbincangan kali ini).
Penyakit yang menggunakan ubat ini
Terdapat beberapa penggunaan ubat ini iaitu:
- Keracunan ubatan
- Keracunan makanan
- Cirit-birit
- Angin perut (kembung perut; sebu-sebu)
- Muntah-muntah
- Kegatalan berkaitan hemodialisis
- Toksisiti berkaitan simptom uremia (pengumpulan bahan-bahan buangan dan protein yang tidak dikeluarkan tubuh badan dan bertumpu di kawasan buah pinggang) yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan pesakit buah pinggang.
Dos Ubat
Penggunaan arang biasanya digunakan dalam bentuk pil (ada dijual biasa dalam kekuatan 250g dan 200gm sebiji) dan dijual dalam bebutir kecil 50g dalam pelbagai jenis jenama di Malaysia, serta dijual secara over-the-counter (OTC) di Malaysia. Senang cerita, di farmasi memang ada dijual pun!
Rawatan perubatan menggunakan arang berbeza mengikut indikasi. Kalau bercerita bab kembung perut, cirit-birit dan muntah (kalau ikut kes saya), 2-4 biji (atau 1-2 biji bagi kanak-kanak) dalam sela masa 4 – 6 jam adalah dos yang biasa digunakan. Jika kembung perut dalam pesakit dewasa pula, 1 – 2 biji boleh diberikan pada pesakit secepat mungkin selepas makan dan diulang semula pada sela masa 2 jam sehinggalah kembung perut tiada.
Adapun jika pesakit dalam keracunan ubat-ubatan, pemberian arang perlulah diambil dalam dos yang sangat besar. Dos biasanya diberi mengikut berat badan (0.5 – 1 g/kg berat badan, dos kanak-kanak bawah setahun: 1 g/kg), jadi kebiasaanya paling kurang pesakit dewasa akan biasanya mengambil sehingga 2 – 4 biji per berat badan, dan kanak-kanak atas dari setahun boleh mengambil dari 3 – 4 biji per berat badan, semuanya dalam satu dos sahaja ataupun boleh diambil selang 6 – 8 jam jika hendak digunakan secara kerap. [Penting ditulis di sini bahawa walaupun penggunaan ubat tersebut dalam kalangan kanak-kanak bawah setahun tidak berapa digalakkan, tetapi indikasinya masih digunakan secara berhati-hati dan mengikut pengawasan doktor juga.
Cara guna
Pemberian ubat arang ini biasanya kalau dewasa yang tidak mempunyai apa-apa masalah boleh saja ditelan dengan air yang cukup ataupun dibiarkan larut pil biji arang terbabit dalam air dan kemudiannya diteguk perlahan-lahan. Pesakit perlu mengambilnya dalam perut kosong, sebelum makan.
Dalam masa yang sama, jika arang digunakan dalam kes toksisiti berkaitan ubat-ubatan, doktor ataupun jururawat di bawah pengawasan pegawai perubatan biasanya akan mencampurkan arang tersebut dengan air dijadikan sebagai sebuah paste (konsistensi ubat seakan-akan ubat gigi yang biasa digunakan untuk memberus gigi) dan diberikan secara perlahan-lahan dalam kuantiti yang kecil dan secara berterusan kepada pesakit.
Jika pesakit tidak sedarkan diri, ampaian ubat arang dalam air biasa disediakan oleh mereka dan diberikan kepada pesakit melalui tiub gastrik yang disediakan, malah boleh juga dicampurkan bersama sebatian garam elektrolit penuh atau salina isotonik bagi dos pelbagai.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Penyimpanan
Ubat biji dan bebutir ubat arang biasanya perlu disimpan dalam suhu kering dan dingin. Jangan disimpan dalam ruang melebihi 30°C.
Cara Ubat Berfungsi
Ubat arang dihasilkan melalui proses penyulingan musnah (destruction distillation) ataupun proses pirolisis (pyrolysis) bahan organik seperti batang kayu, yang kemudiannya dibakar dalam sebatian gas teroksida dalam suhu tinggi menghasilkan arang yang membentuk liang-liang kecil di dalamnya, lalu menambahkan luas kawasan permukaannya.
Karakter sedemikian memberikan ruang agak berguna buat ubat arang menyerap segala jenis bahan organik dan ubat-ubatan serta bahan kimia yang diambil pesakit, serta toksik dihasilkan bakteria dan virus dan juga dari sumber tumbuh-tumbuhan sekali.
Disebabkan hal sedemikian jugalah, ubat arang amat berpotensi melegakan kesakitan berkaitan sistem penghadaman badan terutama kekembungan perut, muntah, sakit perut dan cirit-birit serta keracunan makanan dan ubat-ubatan.
Kesan sampingan
Kesan sampingan biasa yang telah dikenal pasti adalah muntah-muntah, cirit-birit serta sembelit. Pesakit juga selalunya diingatkan tahi yang dikeluarkan di dubur mereka menjadi hitam, dan ini adalah kesan yang biasa dilihat bagi para pesakit. Aspirasi pulmonari mungkin terjadi jika arang ada tersedut oleh sistem pernafasan badan. Peringatan yang agak ketara juga pada pesakit kegagalan akut sistem pernafasan, sindrom gangguan respiratori akut, bronchilosis obliterans (juga dikenali sebagai paru-paru jagung) ataupun penyakit paru-paru kronik yang ada menggunakan ubat ini.
Selain itu, penggunaan ubat arang bersama ubat laksatif dan katarsis (ubat lawas berak) mengurangkan penyerapan garam dan elektrolit penting dalam badan. Penurunan tekanan darah, ketidakseimbangan elektrolit serta penghadangan sistem penghadaman badan walaupun jarang ditemui, masih lagi tetap dianggap antara kesan sampingan yang dijumpai pada pesakit yang mengambil ubat arang juga.
Secara ringkas, beberapa kesan sampingan ubat ini adalah:
- Muntah-muntah
- Cirit-birit
- Sembelit
- Najis Hitam
- Penurunan Tekanan darah
- Mengurangkan keberkesanaan ubat ubatan
Memandangkan indikasi ubat arang tidak dinyatakan secara spesifik oleh FDA, penggunaannya masih lagi perlu digunakan dengan agak berhati-hati. Kanak-kanak bawah 1 tahun tidak digalakkan menggunakannya. Lagipun ubat arang tidak dapat menyerap sepenuhnya bahan kimia organik berasaskan sianida, asid mineral, alkali kuat mengkakis (sodium hidroksida dalam peluntur misalnya), zat besi dan keracunan melibatkan alkohol (metanol, etanol ataupun etilena glikol secara khususnya), maka penggunaan tersebut tidak digalakkan untuk diguna pada pesakit.
Selain daripada itu, jika doktor menemukan pesakit dalam keadaan sistem penghadaman yang agak bermasalah, terutamanya pesakit yang kerapuhan struktur anatomi sistem penghadaman, penghadangan dalam sistem penghadaman yang disebabkan pelbagai faktor, pendarahan, serta kemunculan lubang-lubang dalam sistem penghadaman (gastrointestinal perforation), pesakit mungkin tidak akan sama sekali dicadangkan penggunaan arang.
Peringatan (Precautions)
Ubat arang biasanya akan lebih bagus digunakan dalam waktu perut kosong (sebelum makan) ataupun diambil kira-kira 2 jam selepas makan. Jika pesakit mengalami penghadaman laju, pengambilan ubat arang sejam selepas makan boleh digunakan. Doktor biasanya menyuruh anda meminum air dalam kuantiti yang banyak selepas memakan ubat arang untuk memudahkan pembuangan ubat tersebut dari badan.
Tidak boleh diambil bersama Ubatan lain
Amatlah penting untuk dinyatakan di sini bahawa penggunaan ubat tersebut tidak boleh diselang-seli bersama pengambilan ubat-ubatan kronik lain, sebaik-baiknya asingkan pengambilan ubat-ubatan dan arang selama 2-4 jam.
Jangan makan ubat arang bersama-sama makanan, susu dan bahan terbitan susu (lebih-lebih lagi ais krim, sherbet dan sebagainya) serta ubat-ubatan lain. Ingatkan para pesakit untuk mengasingkan pengambilan ubat-ubatan dengan sirap batuk berasaskan tumbuhan ipecac paling kurang selang 2 jam lepas memakan ubat arang.
Elakkan pengambilan ubat ini dengan ubat sembelit
Penggunaan ubat arang dengan ubat laksatif sorbitol pula perlu dikurangkan untuk mengelak kehilangan garam dari tubuh badan. Jika pesakit terambil bahan toksik jenis cecair mudah meruap atau terambil bahan hasil penyulingan petroleum, dos pertama toksisiti ubat arang boleh disekalikan dengan laksatif seperti sorbitol namun begitu penggunaan arang juga boleh menyebabkan pemusnahan dinding perut dalam badan juga, jadi tidak boleh diambil terlalu kerap.
Interaksi antara ubat
Seperti yang dibincangkan sebentar tadi, pengambilan susu dan bahan berasaskan tenusu mengurangkan kesan terapeutik ubat arang, dan perkara sama turut berlaku pada makanan lain. Sherbet dan marmalade (buah-buahan sitrus yang diperam) juga turut dikesan mengurangkan kesan ubat arang.
Pengambilan sebahagian besar ubat-ubatan juga mengurangkan kesan terapeutik sesetengah ubat-ubatan terbabit, termasuklah ubat methionine (ubat berkaitan fungsi hati) dan ubat batuk berasaskan herba ipecacuanha sebagai contoh. Dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi berkenaan hal sedemikian juga untuk dapatan lebih lanjut.
Kesan Terlebih Dos
Perbincangan kita sebentar tadi memang menjurus kepada rawatan berdasarkan penggunaan ubat arang dalam pesakit yang mengalami keracunan makan dan ubat-ubatan, tetapi terdapat sesetengah insiden di mana penggunaan ubat terbabit juga mampu mengundang ketoksikan terhadap badan pesakit itu sendiri. Pengambilan ubat arang secara berlebihan adalah merupakan antara faktor yang mudah dilihat dalam pesakit sebegini.
Namun, buat masa sekarang ini, kejadian tersebut masih lagi dianggap jarang-jarang berlaku. Jika adapun rawatan yang mampu diberikan jika insiden ini berlaku, tiada antidot khusus yang mampu diberikan. Untuk kes toksisiti biasa dan sederhana, rawatan agak bertumpu kepada melegakan simptom dan hanyalah sebagai alat sokongan untuk memudahkan rawatan dan melegakan kesakitan yang dihadapi pesakit. Begitu jugalah rawatan sama turut diberikan di kecemasan sekiranya pesakit toksisiti kronik ada ditemukan dalam kes sebegini juga.
Walau bagaimanapun, perhatian lebih kerap para pengamal kesihatan lebih banyak ditujukan bersama kepada pesakit yang mengalami keracunan kronik akibat tersedut ubat arang ke sistem pernafasan pesakit itu sendiri. Seperti yang telah dinyatakan tadi, aspirasi pulmonari yang juga kesan utama yang kerap dilaporkan bagi pesakit sedemikian boleh membuahkan simptom aspirasi pneumonia yang boleh kata berbahaya jugak.
Simptom yang mudah dilihat pada pesakit keracunan ubat arang ini adalah sama seperti apa yang saya terangkan dalam kesan sampingan dan peringatan. Yang pastinya, dapatkan terus bantuan daripada doktor jika pesakit atau orang sekeliling anda menghadapi kesemua simptom ketoksikan ini seberapa segera untuk mengelakkan komplikasi jangkitan yang semestinya tidak diingini.
Rujukan
- Cupisti, A., Piccoli, G. B., & Gallieni, M. (2020). Charcoal for the management of pruritus and uremic toxins in patients with chronic kidney disease. Current Opinion in Nephrology and Hypertension, 29(1), 71–79. doi:10.1097/mnh.0000000000000567d
- Charcoal, activated. Dalam: MIMS Online [Internet]. Diambil menerusi:
- Micromedex