Skip to content

Ubat Captopril: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat captopril ini? Artikel ini akan membincangkan kegunaan, dos dan kesan sampingan yang mungkin dihadapi bila mengambil ubat ini.

Terdahulu kita membincangkan tentang satu ubat darah tinggi jenis penebat pertukaran angiotensin (atau biasa disebut penebat ACE) bernama perindopril. Di bawah jenis ini terdapat lagi banyak contoh ubat yang terkandung dalam keluarga yang sama. Salah satunya adalah captopril.

Kegunaan

Menurut FDA, kegunaan captopril secara rasmi adalah

  • Tekanan Darah Tinggi
  • Krisis Tekanan Darah Tinggi
  • Pesakit Kencing Manis – Terdapat kajian yang menunjukkan ubat jenis Penebat ACE mampu melindungi buah pinggang dalam pesakit kencing manis
  • Buah Pinggang Bocor – Terdapat kajian yang menunjukkan ubat jenis penebat ACE mampu melindungi buah pinggang daripada semakin rosak disebabkan masalah ini
  • Kegagalan fungsi jantung (congestive heart failure) – digunakan bersama-sama digoxin dan ubat diuretik (lawas kencing)


Kegunaan di luar FDA termasuklah:

  • Darah tinggi sebagai komplikasi krisis akut skleroderma ginjal (satu penyakit jarang ditemui tetapi bahaya yang melibatkan penebalan ketara tisu ginjal)
  • Serangan jantung (infarksi miokardial)
  • Penyakit buah pinggang bukan diabetis
  • Diagnosis bagi aldosteronisme primer
  • Akut edema pulmonari (bengkak air dalam paru-paru) sebagai rawatan adjung

Ubat ini hanya boleh dimulakn oleh Doktor Perubatan sahaja dan ia memerlukan preskripsi doktor untuk belian di farmasi komuniti.

Cara pengambilan ubat ini

  • Ambil waktu perut kosong dan diambil pada waktu yang sama setiap hari (1 jam sebelum makan atau 2 jam lepas makan).
  • Telan dengan segelas air kosong. Boleh juga dihancurkan buat pesakit yang sukar menelan ubat. Boleh juga dipotong separuh. (Ini biasanya merujuk pada ubat captopril sahaja).
  • Jika terlupa, ubat tersebut perlu dimakan segera. Jika teringat ketka hampir ke waktu pengambilan ubat seterusnya (kurang dari 12 jam), pesakit perlu meninggalkan dos lama dan mengambil dos seterusnya. Jangan gandakan dos.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Boleh disimpan dalam suhu bilik (20 – 25°C). Tidak boleh digunakan melepasi tarikh luput. Jauhkan dari kelembapan dan kanak-kanak.

Dos

Kuantiti dos ubat ini bergantung kepada malah yang dihadapi oleh pesakit:

  1. Darah tinggi
    • Dewasa:
      • Dos permulaan menurut FDA 25 mg 2 – 3 kali sehari (selang 12 jam atau 8 jam), boleh naik ke 50 mg 2 – 3 kali sehari mengikut keadaan semasa pesakit. Jika perlu, dos harian boleh dinaikkan setiap 24 jam atau kurang dari itu dengan pemantauan berterusan oleh doktor. Sesetengah pesakit boleh dimulakan dengan dos lebih rendah dari itu. Menurut formulari kebangsaan, dos permulaan boleh diberikan 12.5 mg 2 kali sehari terlebih dahulu sebelum dinaikkan dos ikut kesesuaian.
      • Dos pengurusan: 25 – 150 mg 2 – 3 kali sehari.
      • Maksimum biasa 450 mg/hari.
      • Pesakit darah tinggi dengan pengambilan ubatan pelbagai boleh ditambah bersama dengan ubat diuretik hydrochlorothiazide (dari jenis diuretik thiazide) 25 mg sekali sehari jika tekanan darah tinggi masih tidak dikawal dengan dos 50 mg 3 kali sehari untuk 1 – 2 minggu.
    • Kanak-kanak: Penggunaan ubat penebat ACE tidak digalakkan bagi bayi kurang dari 44 minggu.
      • Bayi kurang 1 bulan: Dos mengikut berat badan 0.05-0.1 mg/kg/dos diberikan selang 6 – 24 jam dan disesuaikan dos sehingga 0.5 mg/kg/dos (maksimum mesti 6 mg/kg/hari).
      • Bayi 1 bulan- 1 tahun: 0.15 – 0.3 mg/kg/dos, dos dinaikkan hingga maksimum 6 mg/kg/hari dalam 1 – 4 bahagian dos (Biasanya 2.5 – 6 mg/kg/hari)
      • Kanak-kanak ≥1 tahun hingga bawah 6 tahun: 0.3 – 0.5 mg/kg/dos 3 kali sehari. Dos boleh disesuaikan ikut keadaan pesakit hingga ke maksimum 6 mg/kg/hari diambil selang 6 – 12 jam (2 – 4 kali sehari).
      • Kanak-kanak 6 – 12 tahun boleh diberikan 6.25 -12.5 mg/dos selang 12 hingga 24 jam (1 – 2 kali sehari) dan disesuaikan dos kepada maksimum 6 mg/kg/hari diambil selang 6 – 12 jam (2 – 4 kali sehari).
      • Kanak-kanak 12 tahun ke 18 tahun- 12.5 – 25 mg/dos selang 2-3 kali sehari, dos boleh dinaikkan hingga 25 mg/dos setiap 1 – 2 minggu hingga ke maksimum 450 mg/hari.
  2. Serangan jantung (infarksi miokardial) melibatkan kenaikan nadi ST akut
    • Dos permulaan: 6.25 – 12.5 mg 3 kali sehari dimulakan dahulu 24 jam selepas infarksi miokardial akut; dos boleh dinaikkan hingga 25 – 50 mg 3 kali sehari selagi mana pesakit boleh sesuai mengambilnya.
  3. Kegagalan jantung (digunakan bersama ubat berdasarkan digitalis (contoh: digoxin) dan ubat diuretik
    • Dewasa
      • Dos permulaan 6.25 – 12.5 mg selang 8 jam (3 kali sehari) bila digunakan bersama ubat digoxin dan diuretik. Sasaran terapi 50 mg selang 8 jam perlu dicapai dan diambil berterusan selama 2 minggu untuk penilaian respons sebelum dinaikkan lagi hingga maksimum 450 mg/hari. Dos disebut tadi boleh dipertimbangkan bagi pesakit dengan tekanan darah biasa atau rendah, penggunaan ubat diuretik terlalu kerap, dan hiponatremia (kurang ion natrium dalam darah) dan hipovolemia (kurang air dari badan).
    • Kanak-kanak
      • Bayi bawah 1 bulan: dos biasa 0.4 – 1.6 mg/kg/hari dibahagikan dalam 3 bahagian dos. Tetapi penggunaan dos permulaan bagi bayi biasa 0.05 – 0.1 mg/kg/hari dalam 3 bahagian dos atau 0.01 mg/kg selang 12 jam dalam bayi pramatang boleh mengurangkan kesan sampingan dan kesesuaian pesakit (dos luar indikasi)
  4. Penyakit buah pinggang bukan diabetik
    • Julat dos biasa 12.5 – 150 mg/hari dalam 2 – 3 bahagian dos, dan terapi boleh disesuaikan hingga sasaran tekanan darah berjaya turun 130/80 mmHg ke bawah
  5. Pesakit kegagalan buah pinggang

Kurangkan dos permulaan harian dan naikkan sedikit demi sedikit selang 1-2 minggu. Setelah rawatan berjaya ikut sasaran, letakkan dos dalam dos efektif minimum. Jika memerlukan rawatan bersama, penggunaan diuretik dari jenis loop diuretic, (contoh: frusemide) boleh digunakan berbanding jenis thiazide dalam pesakit kegagalan ginjal.

Kadar pelepasan kreatinin(mL/min Dos
<10  6.25 mg sehari. Maksimum: 37.5 mg sehari.
10-20 12.5 mg sehari. Maksimum: 75 mg sehari.
21-40 25 mg sehari. Maksimum: 100 mg sehari.
>40 25-50 mg sehari. Maksimum: 150 mg sehari.

Brand ubat yang ada dalam pasaran



Formulari farmasi kerajaan hanya cuma menyimpan ubat captopril berkekuatan 25 mg/biji.  Dapatan NPRA memperoleh jenama ubat dalam kalangan bersendirian sahaja.

  • Tablet 25 mg: Pharmaniaga Captopril (Pharmaniaga), Apuzin (YSP), Miniten (Medidata)
  • Tablet 12.5mg: Miniten (Medidata)

Cara Ubat Berfungsi

Seperti perindopril, captopril turut mempunyai aktiviti sama iaitu menebat pertukaran angiotensin I kepada angiotensin II dalam buah pinggang yang menghasilkan tekanan darah tinggi. Tambahan pula, ia turut mengurangkan pengeluaran protein dari urin dan seterusnya memperlahankan kerosakan buah pinggang menerusi pendilatasian saluran arteriol ginjal dan menebat pengeluaran aldosterone yang menaikkan tekanan darah juga.

Kesan captopril menerusi metabolit aktifnya, captoprilat menunjukkan kesan dilatasi pembuluh darah arteri dan vena lebih cepat daripada captopril. Kesan antihipertensi yang lebih cepat (30 minit) membolehkan ubat ini digunakan untuk mengenal pasti keberkesanan penurunan tekanan darah dalam kalangan pesakit.

Pesakit masih boleh mendapat batuk kering (non-productive cough) disebabkan kenaikkan perantara inflamatori bradykinin dan bahan P yang biasanya didegradasikan oleh enzim ACE sendiri. Namun begitu, ubat ini perlu diambil sehingga maksimum 3 atau 4 kali sehari, yang mungkin menyukarkan komplians pesakit. Ubat terbaru dari kumpulan ini seperti captopril (1 kali sehari) atau enalapril (2 kali sehari) biasa diberikan pada pesakit.

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan signifikan:

  • Tekanan darah rendah
  • Angioedema (bengkak-bengkak) pada usus- manifestasi seperti sakit abdomen perut
  • Pengeluaran protein dalam urin
  • Jaundis (kekuningan)- kolestatik jaundis perlu diambil perhatian
  • Kenaikan garam kalium
  • Batuk-batuk kering
  • Kekurangan sel darah merah (anemia), putih (neutropenia, agranulositosis) dan sel darah lain – trombositopenia
  • Penurunan fungsi ginjal akut, boleh mendatangkan kegagalan fungsi ginjal

Kesan sampingan biasa:

  • Bengkak-bengkak muka, bibir, mulut dan lidah dan bahagian badan
  • Kesukaran bernafas
  • Ruam kulit
  • Bintik-bintik merah pada kulit
  • Pening dan sakit kepala, rasa pitam
  • Sukar tidur
  • Sakit-sakit, kejang atau lemah otot badan dan sendi
  • Sakit dada
  • Sakit perut
  • Loya dan muntah
  • Cirit-birit
  • Sembelit
  • Gangguan deria pendengaran dan penglihatan serta rasa
  • Boleh mengganggu nilai nisbah aldosterone/renin makmal.
  • Boleh menyebabkan nilai salah positif (false positive) urin aseton
  • Jarang-jarang menyebabkan ginekomastia (pembesaran dada)

Oleh sebab itu, ubat captopril tidak boleh digunakan bagi golongan berikut:

  • Ibu mengandung: Kategori D FDA. Boleh membahayakan tekanan darah dan fungsi ginjal ibu dan anak. Kecacatan kekal otak juga turut dilaporkan.
  • Ibu menyusu: Ubat boleh masuk ke dalam susu ibu. Pengunaan ubat selepas kelahiran tidak digalakkan untuk beberapa minggu selepas kelahiran terutamanya bayi pramatang – mengelakkan hipotensi dalam bayi. Jika digunakan dalam kanak-kanak lebih tua untuk menyusu boleh digunakan tetapi tekanan darah anak perlu dipantau.
  • Bayi bawah 44 minggu.
  • Pesakit pernah mengalami angioedema tanpa diketahui sebab (idiopati) atau mempunyai ahili keluarga yang mengalami angioedema atau mengalami angioedema selepas pengambilan ubat jenis penebat ACE lain.
  • Pesakit buah pinggang renal stenosis (tidak mengira unilateral atau bilateral)
  • Pengambilan bersama dengan aliskiren (penebat renin) dalam pesakit diabetis atau fungsi buah pinggang bawah 60 ml/min
  • Pengambilan bersama sacubitril/valsartan (ubat untuk kegagalan jantung) – kesan angioedema lebih tinggi. Jika terapi ditukar dari sacubitril/valsartan atau ditukar ke ubat ini, pemberian captopril ke atas pesakit ini tidak boleh diberikan 36 jam selepas pertukaran seperti disebutkan tadi boleh dilakukan.

Peringatan (precaution)

  • Ubat ini mungkin boleh menyebabkan mengantuk, jadi disarankan untuk tidak membuat kerja berat dan memandu.
  • Ubat masih lagi boleh diberikan pada mereka tetapi dengan nasihat dan pantauan doktor:
    • Pesakit kardiovaskular lain (penyakit jantung iskemik)
    • Penyakit kardiomiopati hipertropik (penyakit berkaitan tumbesaran otot jantung)
    • Pesakit dengan kekurangan garam dalam badan dan air
    • Penyakit autoimun tisu badan (SLE, skleroderma)
    • Pesakit mengalami penyempitan injap aortik dan mitral jantung
    • Dalam operasi pembedahan atau dalam anestesia
    • Ascites (pengumpulan cecair dalam perut) berulangan atau dalam pesakit cirrhosis (parut) hati
    • Diabetis
    • Pesakit kulit hitam (berkemungkinan mendapat kesan angioedema lebih tinggi)
    • Penyakit aldosteronisme prima (badan pesakit mengeluarkan aldosterone dalam kuantiti banyak)
    • Pesakit gout atau terlampau banyak asid urik (hiperurisemia)
    • Pesakit kegagalan hati dan ginjal
    • Warga tua

Interaksi antara ubat

Pesakit perlu memaklumkan pada doktor jika mengambil apa-apa ubat bersama captopril. Antara interaksi biasa dijumpai termasuklah:



  • Kepekatan dalam darah berkurangan dengan makanan
  • Menaikkan kesan tekanan darah rendah: bersama ubat darah tinggi dalam jenis sama (enalapril, perindopril dsb) dan jenis lain (losartan, valsartan, metoprolol, bisoprolol, prazosin, tamsulosin, doxazosin, hydrochlorothiazide dan keluarga thiazide, furosemide dsb); pengambilan alkohol menaikkan insiden tekanan darah rendah orthostatik (badan tidak boleh bergerak)
  • Menaikkan kesan hiperkalemia (ion kalium menaik): ubat diuretik penahan ion kalium – spironolactone, amiloride; suplemen penambah kalium; ataupun ubat yang mempengaruhi ion kalium seperti antibiotik trimethoprim, ubat imunosupresan cyclosporin dan ubat cair darah heparin, enoxaparin dsb; ubat tahan sakit NSAIDS (diclofenac, mefenamic acid, aspirin dsb)
  • Menaikkan kesan kecederaan buah pinggang: pengasidifikasi urin dinatrium hydrogen fosfat
  • Menaikkan kesan angioedema: ubat imunosupresan (tacrolimus, sirolimus), ubat diabetis jenis penebat enzim DPP4 (vildagliptin, sitagliptin dsb)
  • Reaksi anafilaktik serius: ubat tambah darah iron dextran dalam kalangan pesakit aferesis LDL (proses penyedutan lemak)
  • Menaikkan toksisiti buah pinggang: ubat antimania lithium, ubat-ubatan NSAIDS
  • Menaikkan insiden neutropenia dan hipersensitiviti ubat: allopurinol (ubat gout)
  • Menaikkan kesan toksisiti darah – azathioprine (ubat imunosupresan), interferon (protein direka khas untuk pelbagai penyakit seperti kanser dan kelemahan sistem imun badan)
  • Menaikkan insiden hipoglisemia dalam pesakit diabetis: insulin dan ubat diabetis lain (gliclazide, glimepiride dsb)

Kesan terlebih dos

Simptom captopril berlebihan seperti tekanan darah rendah serius, degupan jantung tidak stabil (bradycardia dan tachycardia), hiperventilasi, kepekatan garam tidak seimbang dalam badan, tidak sedarkan diri dan kegagalan buah pinggang dilaporkan.

Rawatan yang biasa diberikan:

  • Prosedur gastric lavage (jika serius)
  • Pemberian arang ubatan dan sodium sulfat untuk menyerap lebihan captopril yang belum diserap (jika belum melebihi 30 minit lepas pengambilan)
  • Pesakit hipotensi perlu diletakkan dalam keadaan kejutan (shock position) dan mungkin perlukan infusi garam dan cecair penting serta ejen menaikkan tekanan darah (epinephrine atau norepinephrine sebagai contoh). Atropine mungkin boleh dipertimbangkan.
  • Hiperkalemia (lebihan garam kalium) boleh diperbetulkan dengan penginfusian glukosa (gula), insulin, kalsium, natrium bikarbonat dan natrium polistirene sulfat dan hemodialisis.

Ubat Darah Tinggi yang lain

Ubat AmlodipineUbat Perindopril
Ubat CaptoprilUbat Losartan
Ubat EnaprilUbat Candesartan
Ubat TelmisartanUbat Darah Tinggi

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. Micromedex
  4. MIMS Gateway
  5. Medscape
  6. Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan: Product Search
  7. Malaysian Society of Hypertension, Ministry of Health Malaysia & Academy of Medicine of Malaysia (2018). Clinical practice guidelines on management of hypertension (5th ed.). Malaysia: Malaysian Society of Hypertension.
  8. Nicolas, D., Kerndt, C. C. & Reed, M. (2021). Sacubitril/valsartan.
  9. Risalah maklumat ubat untuk pengguna (RiMUP) Pharmaniaga Captopril Tablet 25mg: Captopril 25 mg
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty − 12 =