Skip to content

Ubat Telmisartan: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat Telmisartan? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan kegunaan, dos dan kesan sampingan salah satu ubat tekanan darah tinggi ini.

Kegunaan

Menurut FDA, kegunaan Telmisartan adalah untuk

  • Penyakit darah tinggi
  • Mengurangkan risiko serangan sakit jantung bagi mereka yang mempunyai risiko yang tinggi

Kegunaan diluar rekomendasi FDA adalah:

  • Rawatan pencegahan fibrillasi atrial berulang dalam kes biasa dan bagi pesakit darah tinggi
  • Dalam pesakit buah pinggang
  • Hipertropi ventrikel kiri jantung (tumbesaran tisu jantung)


Ubat ini dimulakan oleh doktor perubatan sahaja dan memerlukan preskripsi doktor untuk pembelian di farmasi komuniti.

Cara pengambilan ubat ini

  • Ambil sebelum atau selepas makan (walaupun kepekatan telmisartan berkurangan dengan makanan)
  • Perlu diambil pada waktu yang sama setiap hari.
  • Telan dengan segelas air kosong. Boleh juga dipotong dan dihancurkan buat pesakit yang sukar menelan ubat (kecuali sediaan salutan filem, tidak boleh dihancurkan). Boleh juga dipotong separuh (sesetengah sediaan ubat ada boleh dipotong kecuali ubat gabungan telmisartan dan ubat lain seperti amlodipine atau hydrochlorothiazide).
  • Jika terlupa, ambil segera setelah teringat. Jika teringat ketika hampir ke waktu pengambilan ubat seterusnya pesakit perlu meninggalkan dos lama dan mengambil dos seterusnya. Jangan gandakan dos.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Ubat perlu disimpan dalam suhu bilik (25°C) di bawah 30°C dan dijauhkan daripada cahaya dan lembapan serta kanak-kanak. Ubat perlu disimpan dalam pek asal. Buang jika ubat melepasi tarikh luput.

Dos

Ini merupakan dos yang disyorkan. Tetapi dos ubat ini selalunya mengikut kegunaan doktor yang memberikannya.

  • Darah tinggi
    • Dos rawatan disesuaikan dengan keadaan peribadi pesakit. Dos awal 40 mg sekali sehari. Julat dos harian boleh disesuaikan antara 20 – 80 mg sekali sehari. Maksimum mesti 80 mg/hari. Kesan penurunan tekanan darah boleh dijangka berlaku selepas 2 minggu penggunaan, dengan penurunan maksimum boleh ditemui selepas 1 bulan pengambilan.
    • Jika masih belum mencapai sasaran penurunan tekanan darah sepatutnya walaupun dos 80 mg diberikan, ubat diuretik perlu ditambah dalam terapi.
  • Mengurangkan risiko berkaitan jantung: Dos biasa 80 mg sekali sehari. Dos bawah dari 80 mg setakat ini tidak diketahui mempunyai sebarang kelebihan mengurangkan risiko komplikasi jantung dan kematian
  • Pesakit buah pinggang
    • Dos antara 20-80 mg sekali sehari. Dos disesuaikan dengan keadaan semasa pesakit. Sasaran rawatan perlu ≤130/80 mmHg. Jika pesakit darah tinggi perlu menurunkan tekanan darah dengan sasaran ≤130/80 atau ≤140/90 mmHg, dos 80 mg sekali sehari boleh dipertimbangkan.
  • Pesakit kegagalan hati: Dalam kegagalan hati, kepekatan telmisartan bertambah dan badan mempunyai dos penuh telmisartan.
    • Pesakit ringan dan sederhana: Dos permulaan 20 mg sekali sehari, naikkan sedikit demi sedikit. (Lagi penting jika pesakit ada kecelaruan obstruktif hempedu dan kemerosotan fungsi hati). Pengeluar menasihatkan pemberian maksimum sehingga 40 mg sekali sehari sahaja.
    • Pesakit serius: Tidak digalakkan.
  • Pesakit kegagalan buah pinggang: pesakit ringan, sederhana dan serius tidak memerlukan penyesuaian dos. Tetapi pesakit hemodialisis berpotensi mendapat hipotensi ortostatik (tidak boleh bangun dari tempat tidur). Pengeluar menasihatkan pesakit buah pinggang serius perlu dimulakan dengan dos 20 mg sekali sehari.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Formulari kebangsaan ada memiliki tablet telmisartan berkekuatan 40 dan 80 mg. Juga didapati dalam campuran bersama ubat darah tinggi jenis thiazide – hydrochlorothiazide (80 mg telmisartan/12.5 mg hydrochlorothiazide).

Dapatan NPRA memperoleh ubat berikut:

  • Tablet 20 mg: Telsar 20 (Unimed)
  • Tablet 40 mg: Teleact (Ranbaxy), Telday (Laboratories Torrent), Tolura (Pahang Pharmacy), Telsar 40 (Unimed), Micardis (Boehringer Engelheim), Tsart 40 (Ascend), Telswift (Synerv), hovid-Telmisartan (Hovid), Jubitel (Healol), Cresar (Cipla), Telstran (YSP)
  • Tablet 80 mg: Teleact (Ranbaxy), Telday (Laboratories Torrent), Tolura (Pahang Pharmacy), Telsar 80 (Unimed), Micardis (Boehringer Engelheim), Tsart 40 (Ascend), Telswift (Synerv), hovid-Telmisartan (Hovid), Jubitel (Healol), Cresar (Cipla), Telstran (YSP)
  • Campuran bersama ubat thiazide, hydrochlorthiazide
    • Tablet 40 mg dan hydrochlorothiazide 12.5 mg: Teli H (Pahang Pharmacy), Micardis Plus (Boehringer Engelheim), Telstran Plus (YSP)
  • Campuran bersama ubat darah tinggi jenis penebat saluran kalsium amlodipine
    • Tablet 40 mg dan amlodipine 5 mg: Twynsta (Boehringer Engelheim)
    • Tablet 40 mg dan amlodipine 10 mg: Twynsta (Boehringer Engelheim)
    • Tablet 80 mg dan amlodipine 5 mg: Twynsta (Boehringer Engelheim)
    • Tablet 80 mg dan amlodipine 10 mg: Twynsta (Boehringer Engelheim)

Cara Ubat Berfungsi



Angiotensin yang merupakan punca utama meningkatnya tekanan darah dan penyerapan semula garam dan air keluar dari air kencing biasanya dihalang dengan menggunakan 2 cara, sama ada menebat pengeluaran bahan aktif angiotensin II (yang dilakukan oleh penebat enzim angiotensin, penebat ACE) dan menutup laluan angiotensin II melekap pada reseptor angiotensin, yang merupakan medium utama ubat penebat reseptor angiotensin (ARB) yang juga dikenali dengan hujung nama -sartan seperti telmisartan yang dibincangkan sekarang ini.

Kesan yang sama seperti mengurangkan kemusnahan fungsi buah pinggang serta jantung dan mengelakkan strok seperti dialami ubat penebat ACE turut sama dipaparkan ubat kumpulan ARB ini. Yang membezakan antara 2 kumpulan ubat yang bertindak terhadap bahan angiotensin ini adalah, ubat ARB boleh diberikan secara alternatif sekiranya penggunaan penebat ACE (perindopril dan sebagainya) menyebabkan batuk kering dan kesan alergik seperti angioedema (bengkak sesetengah tempat dalam badan). Ini adalah disebabkan ARB tidak melakukan sebarang gangguan pada perantara inflamatori bradykinin yang menyebabkan kesan sampingan dinyatakan sebentar tadi.

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan direkodkan:

  • Tekanan darah rendah (dalam kalangan pesakit kurang air atau garam natrium dalam badan)
  • Masalah buah pinggang akut terutamanya fungsi buah pinggang merudum (jika berterusan perlu dihentikan)
  • Masalah hati terutamanya merudumnya fungsi hati dan menaikkan kesan komplikasi penyakit hati (kalau ada perlu dihentikan)
  • Lebihan garam kalium (sangat tidak sesuai jika digandingkan bersama ubat lain yang menaikkan garam kalium)
  • Kesan hipersensitif (angioedema – bengkak-bengkak bahagian badan) – jarang berlaku
  • Sepsis (keracunan darah) – jarang berlaku tapi serius
  • Sukar bernafas
  • Kulit terlampau sensitif cahaya matahari
  • Kulit bengkak, gatal-gatal dan ruam
  • Pening dan sakit kepala, migrain
  • Sukar tidur
  • Kebimbangan
  • Berpinar-pinar
  • Sukar bangun dari tempat tidur (hipotensi ortostatik)
  • Sakit otot dan sakit sendi dan badan (termasuklah dada)
  • Batuk-batuk
  • Letih dan lemah
  • Loya dan muntah
  • Sakit perut
  • Cirit-birit
  • Pengurangan sel darah merah dan putih (neutropenia dsb)
  • Bacaan nadi dan pernafasan tak menentu
  • Boleh menyebabkan fibrillasi atrial, serangan jantung, mati pucuk, depresi pada sesetengah pesakit.
  • Gangguan sensori (pendengaran dan penglihatan dsb), boleh menyebabkan gout, diabetis dan menaiknya kolesterol

Golongan yang Dilarang menggunakan ubat ini

Ubat telmisartan tidak boleh digunakan bagi golongan berikut:

  • Ibu mengandung: Kategori D FDA. Boleh membahayakan tekanan darah dan fungsi ginjal ibu dan anak. Kecacatan kekal otak juga turut dilaporkan. Penggunaan perlu dihentikan apabila ibu mula tahu mengandung.
  • Ibu menyusu: Ubat tidak dikenal pasti boleh keluar dari susu ibu, tetapi kajian haiwan mendapati ubat ada muncul dalam susu ibu tikus.
  • Pesakit buah pinggang renal stenosis (tidak mengira unilateral atau bilateral)
  • Pengambilan bersama dengan aliskiren (penebat renin) dalam pesakit diabetis atau fungsi buah pinggang bawah 60 ml/min
  • Pengambilan bersama ubat penebat ACE – menaikkan insiden hiperkalemia, hipotensi serius dan pengurangan fungsi buah pinggang (lebih-lebih lagi bagi pesakit diabetis dan pesakit ginjal)
  • Pesakit kegagalan hati serius (kecelaruan obstruktif hempedu dan kemerosotan fungsi hati)
  • Kanak-kanak bawah 18 tahun (belum cukup bukti)

Peringatan (precaution)

Ubat ini boleh menyebabkan pening kepala dan mengantuk, jadi tidak boleh memgang jentera berat dan tidak boleh memandu.

Penggunaan ubat ini perlu digunakan dengan pantauan doktor terhadap golongan ini:

  • Pesakit buah pinggang renal stenosis (tidak mengira unilateral atau bilateral), pesakit stenosis jantung (tidak mengira injap aortik dan mitral)
  • Pesakit pernah mengalami angioedema tanpa diketahui sebab (idiopati) atau mempunyai ahli keluarga yang mengalami angioedema atau mengalami angioedema selepas pengambilan ubat jenis penebat ACE lain.
  • Pesakit memiliki masalah berkaitan kardiovaskular (kardiomiopati sebagai contoh)
  • Pesakit kegagalan jantung serius
  • Pesakit kulit hitam
  • Sel hati rosak/robek (cirrhosis) dan komplikasi disebabkan perkara tersebut (ascites – lebihan cecair dalam perut dsb)
  • Pesakit kegagalan buah pinggang dan hati (ringan dan sederhana).
  • Warga tua
  • Pesakit menyusu.

Interaksi antara ubat

Seperti biasa, beritahu doktor jika ada mengambil ubat-ubat lain selain telmisartan. Berikut adalah interaksi telmisartan bersama ubat-ubat pilihan:

  • Menaikkan kesan hipotensi, lebihan garam kalium (hyperkalemia) dan menaikkan risiko kegagalan buah pinggang (nefrotoksisiti) jika diambil dengan ubat penebat ACE (perindopril, enalapril, captopril) dan aliskiren (penebat renin)
  • Menaikkan kesan hipotensi jika diambil dengan ubat darah tinggi lain (amlodipine, prazosin, metoprolol dsb), NSAID (aspirin, mefenamic acid, diclofenac dsb), ubat mati pucuk (sildenafil dsb), ubat stimulan otak (methylphenidate)
  • Menaikkan insiden hiperkalemia jika diambil dengan ubat penahan garam kalium untuk rawatan darah tinggi (amiloride, spironolactone), suplemen kalium (kalium klorida dsb), antibiotik trimethoprim, ubat cair darah (heparin, enoxaparin, tinzaparin dsb), ubat darah tinggi jenis penebat beta (bisoprolol, metoprolol dsb), ubat diabetis generasi baru (canagliflozin), ubat jantung (digoxin)
  • Menaikkan kesan nefrotoksisiti (NSAID– aspirin, mefenamic acid, diclofenac dsb; lithium – ubat psikoterapi; ubat imunosupresan – cyclosporin, tacrolimus
  • Menaikkan kesan hipersensitif (angioedema) – ubat kencing manis jenis penebat DPP4 (sitagliptin, vildagliptin dsb)
  • Mengurangkan kepekatan telmisartan dalam darah: rifampicin, ubat sawan (phenytoin, phenobarbitone, valproic acid, sodium valproate, carbamazepine), ubat antibiotik nafcillin, ubat antikulat fluconazole dsb, jus limau gedang
  • Menaikkan serum telmisartan: ubat HIV/AIDS (ritonavir, indinavir, efavirenz dsb), ubat jantung (amiodarone), ubat gastrik omeprazole, ubat asma zafirlukast
  • Menaikkan kesan hipoglisemia dengan insulin
  • Menaikkan risiko keracunan jantung (kardiotoksisiti) digoxin (ubat jantung)

Kesan terlebih dos

Kes toksisiti telmisartan biasanya datang dengan tanda-tanda seperti tekanan darah rendah. Antara gejala lain:



  • Kesan sampingan ringan: sederhana: hipoglisemia tanpa simptom, kejang otot dan pening kepala. Bacaan nadi naik (tachycardia) atau turun (disebabkan efek saraf parasimpatetik badan). Satu kes melibatkan hipokalemia melibatkan pengambilan 28 biji valsartan 80 mg.
  • Kesan serius: Ada kajian mendapati kes kegagalan buah pinggang tanpa pengeluran air kencing (anuric renal failure) selepas mengambil dos telmisartan 2700 mg dan amlodipine 200 mg. Terdapat juga kes kejutan, keruntuhan sistem peredaran darah (circulatory collapse), dan pesakit makin tidak sedarkan diri boleh berlaku dengan pengambilan dos tinggi valsartan (satu lagi jenis ARB), tetapi mungkin boleh berlaku.

Rawatan utama utk pesakit ini adalah:

  • Pemberian cecair IV untuk hipotensi (dalam pesakit ringan dan sederhana)
  • Dalam pesakit serius, rawatan simptomatik perlu diberikan. Prioriti utama untuk menstabilkan sitem kardiovaskular terlebih dulu).

Ubat Darah Tinggi yang lain

Ubat AmlodipineUbat Perindopril
Ubat CaptoprilUbat Losartan
Ubat EnaprilUbat Candesartan
Ubat TelmisartanUbat Darah Tinggi

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. Micromedex
  4. MIMS Gateway
  5. Medscape
  6. Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan: Product Search
  7. Malaysian Society of Hypertension, Ministry of Health Malaysia & Academy of Medicine of Malaysia (2018). Clinical practice guidelines on management of hypertension (5th ed.). Malaysia: Malaysian Society of Hypertension.
  8. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Tablet Micardis 20 mg (MAL 20014487A), Tablet Micardis 40 mg (MAL 19992673A), Tablet Micardis 80 mg (MAL 19992674A): Telmisartan
Advertisements

2 thoughts on “Ubat Telmisartan: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan”

  1. doktor telah memberhentikan saya pengambilan ubat Tolura Telmisartan 40g selama 1 bulan. Tekanan Darah saya masih baik iitu 136/83. Tetapi saya sering mengalami rasa kepala berpusing dalam tepoh 2 ke 3 saat akan kembali ok.

    adakah kepala kerap rasa berpusing ini disebabkan berhenti mengambil ubat tersebut.

    1. Pemberhentian Ubat Telmisartan sepatutnya tidak menyebabkan rasa kepala berpusang. Boleh periksa dengan doktor untuk mengetahui punca sebenar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 + six =