Skip to content

Ubat Candesartan: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat candesartan ini? Artikel ini akan membincangkan kegunaan, dos dan kesan sampingan yang mungkin dihadapi bila mengambil ubat ini.

Pengenalan

Kepelbagaian jenis ubat darah tinggi dalam pasaran terutamanya dari kumpulan sama membolehkan lebih banyak pilihan mampu digarap para doktor dalam memilih rawatan terbaik untuk para pesakit mereka. Dalam edisi lepas kumpulan perintang reseptor angiotensin (angiotensin-receptor blocker) membawakan contoh ubat biasa digunakan – losartan dan satu lagi dalam keluarga yang sama – telmisartan. Kita kali ini akan mula menjengah masuk ke satu lagi ubat dalam keluarga ini juga – candesartan.

Kegunaan

Kegunaan Ubat Candesartan menurut FDA adalah:

  • Penyakit darah tinggi
  • Kegagalan jantung mengikut klasifikasi NYHA II hingga IV dengan fraksi ejakulasi jantung 40% ke bawah, untuk mengurangkan insiden kemasukan hospital dan kematian disebabkan komplikasi kardiovaskular.


Kegunaan diluar penggunaan yang dibenarkan oleh FDA adalah:

  • Rawatan pencegahan angin ahmar (serebrovaskular)
  • Buah pinggang bocor dalam pesakit diabetis
  • Darah tinggi melibatkan tumbesaran ventrikel kiri jantung
  • Penyakit buah pinggang
  • Pencegahan sakit migrain
  • Pencegahan fibrillasi arteri berulang

Memandangkan ubat ini tidak tersedia di fasiliti kerajaan, ubat ini kebiasaannya dimulakan oleh doktor pakar swasta.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara pengambilan ubat

  • Ambil sebelum atau selepas makan.
  • Perlu diambil pada waktu yang sama setiap hari.
  • Telan dengan segelas air kosong. Boleh juga dipotong dan dihancurkan buat pesakit yang sukar menelan ubat.
  • Jika terlupa, ambil segera setelah teringat. Jika teringat ketika hampir ke waktu pengambilan ubat seterusnya pesakit perlu meninggalkan dos lama dan mengambil dos seterusnya. Jangan gandakan dos.

Penyimpanan

Ubat perlu disimpan di bawah 30°C di tempat selamat dan jauhkan dari kanak-kanak. Ubat perlu disimpan dalam pek asal. Buang jika ubat melepasi tarikh luput.

Dos

Dos ubat ini selalunya diberikan mengikut keadaan pesakit.

  • Darah tinggi
    • Dewasa: permulaan dos 16 mg/hari sama ada diambil sekali sehari (selang 24 jam) atau 2 kali sehari (selang 12 jam). Dos biasa dalam julat 8 – 32 mg/hari, diambil sekali/2 kali sehari.
    • Kanak-kanak
      • 1-6 tahun: Dos permulaan 0.2 mg/kg/hari, diambil sekali atau 2 kali/hari. Julat 0.05 – 0.4 mg/kg/hari, diambil sekali atau 2 kali/hari.
      • 6-bawah 17 tahun dengan berat <50kg: Dos awal 4 – 8 mg sekali sehari, boleh disesuaikan dos antara 2 – 16 mg/hari sama ada diambil sekali atau 2 kali/hari.
      • 6-bawah 17 tahun dengan berat ≥50kg: Dos awal 8 – 16 mg sekali sehari, boleh disesuaikan dos antara 4 – 32 mg/hari sama ada diambil sekali atau 2 kali/hari.
  • Kegagalan jantung mengikut klasifikasi NYHA II hingga IV dengan fraksi ejakulasi jantung 40% ke bawah, untuk mengurangkan insiden kemasukan hospital dan kematian disebabkan komplikasi kardiovaskular
    • Dos permulaan 4 mg sekali sehari; selang 2 minggu naikkan dos 2 kali ganda sehingga dos sasaran 32 mg sekali sehari mengikut kesesuaian.
  • Rawatan pencegahan Angin Ahmar (serebrovaskular)
    • Dos 8 – 32 mg sekali sehari. Terapi antihipertensi untuk pesakit boleh disesuaikan dengan ekadaan semasa pesakit dengan sasaran tekanan darah ≤130 mmHg (jika pesakit ada risiko tinggi penyakit berkaitan kardiovaskular, boleh dipertimbangkan sasaran ini untuk pesakit dengan risiko rendah juga)
  • Buah Pinggang Bocor dalam pesakit diabetis, pesakit buah pinggang
    • Dos 8 – 32 mg sekali sehari. Terapi antihipertensi untuk pesakit boleh disesuaikan dengan ekadaan semasa pesakit dengan sasaran tekanan darah ≤130 mmHg.
  • Pencegahan fibrillasi arteri berulang: 8 – 32 mg sekali sehari.
  • Penyelarasan dos untuk pesakit kegagalan hati:
    • Pesakit ringan: Tiada sebarang pelarasan dos.
    • Pesakit sederhana: Mulakan dengan dos rendah terlebih dahulu, 4 mg sekali sehari. Selaraskan dos dengan keadaan semasa pesakit.
    • Pesakit serius: Tidak digalakkan penggunaannya.
  • Penyelarasan dos untuk pesakit kegagalan buah pinggang:
    • Pesakit dengan kegagalan sederhana ke serius (15-60 ml/min/1.73 m2): Dos 8 mg sekali sehari mungkin mencukupi.
    • Pesakit hemodialisis: Tiada penyelarasan dos dilakukan.
    • Pesakit kanak-kanak dengan GFR kurang 30 ml/min/1.73 m2: Tidak digalakkan penggunaannya.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Ubat ini tidak dimasukkan dalam formulari kebangsaan, namun begitu carian NPRA mendapati ubat tersebut dalam pelbagai jenis kekuatan:

  • Tablet 8 mg: Candesartan Sandoz (Novartis), Atacand (AstraZeneca)
  • Tablet 16 mg: Candesartan Sandoz (Novartis), Blopress (Takeda), Atacand (AstraZeneca), Finil (Medispec)
  • Tablet 32 mg: Candesartan Sandoz (Novartis)


Selain dipasarkan bersendirian, ia juga turut diformulasi bersama ubat darah tinggi jenis thiazide, hydrochlorothiazide:

  • Tablet 16 mg dan 12.5 mg hydrochlorothiazide: Atacand Plus (AstraZeneca), Blopress Plus (Takeda)

Cara Ubat Berfungsi

Angiotensin yang merupakan punca utama meningkatnya tekanan darah dan penyerapan semula garam dan air keluar dari air kencing biasanya ditebat menggunakan 2 cara, sama ada menebat pengeluaran bahan aktif angiotensin II (yang dilakukan oleh penebat enzim angiotensin, penebat ACE) dan menutup laluan angiotensin II melekap pada reseptor angiotensin, yang merupakan medium utama ubat penebat reseptor angiotensin (ARB) yang juga dikenali dengan hujung nama -sartan seperti candesartan yang dibincangkan sekarang ini.

Kesan yang sama seperti mengurangkan kemusnahan fungsi buah pinggang serta jantung dan mengelakkan strok seperti dialami ubat penebat ACE turut sama dipaparkan ubat kumpulan ARB ini. Yang membezakan antara 2 kumpulan ubat yang bertindak terhadap bahan angiotensin ini adalah, ubat ARB boleh diberikan secara alternatif sekiranya penggunaan penebat ACE (perindopril dan sebagainya) menyebabkan batuk kering dan kesan alergik seperti angioedema (bengkak sesetengah tempat dalam badan).

Ini adalah disebabkan ARB tidak melakukan sebarang gangguan pada perantara inflamatori bradykinin yang menyebabkan kesan sampingan dinyatakan sebentar tadi.

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan direkodkan:

  • Tekanan darah rendah (dalam kalangan pesakit kurang air atau garam natrium dalam badan)
  • Masalah buah pinggang akut terutamanya fungsi buah pinggang merudum (jika berterusan perlu dihentikan)
  • Masalah hati terutamanya merudumnya fungsi hati dan menaikkan kesan komplikasi penyakit hati (kalau ada perlu dihentikan)
  • Peningkatan Garam Kalium (sangat tidak sesuai jika digandingkan bersama ubat lain yang menaikkan garam kalium)
  • Kesan hipersensitif (angioedema – bengkak-bengkak bahagian badan) – jarang berlaku
  • Sukar bernafas
  • Kulit bengkak, gatal-gatal dan ruam
  • Pening dan sakit kepala, migrain
  • Sukar tidur
  • Kebimbangan
  • Berpinar-pinar
  • Sukar bangun dari tempat tidur (hipotensi ortostatik)
  • Sakit otot dan sakit sendi dan badan (termasuklah dada)
  • Batuk-batuk
  • Letih dan lemah
  • Loya dan muntah
  • Sakit perut
  • Cirit-birit
  • Pengurangan sel darah merah dan putih (neutropenia, agranulocytosis dsb)
  • Bacaan nadi dan pernafasan tak menentu (tachycardia, rasa berdebar-debar)
  • Boleh mengakibatkan serangan jantung dan infarksi miokardial
  • Jangkitan sistem pernafasan (selesema, asma, resdung dsb)
  • Gangguan sensori (pendengaran dan penglihatan dsb)
  • Menaikkan parameter lemak (hypertriglyceridemia, naik trigliserida) dan asid urik (potensi gout)
  • Menaikkan bacaan enzim hati dan mengakibatkan jangkitan hati
  • Protein albumin dalam air kencing (albuminuria)
  • Rhabdomyolysis(Kerosakan otot) – jarang berlaku

Oleh sebab itu, ubat candesartan tidak boleh digunakan bagi golongan berikut:

  • Ibu mengandung: Kategori D FDA. Boleh membahayakan tekanan darah dan fungsi ginjal ibu dan anak. Kecacatan kekal otak juga turut dilaporkan. Penggunaan perlu dihentikan apabila ibu mula tahu mengandung.
  • Ibu menyusu: Ubat tidak dikenal pasti boleh keluar dari susu ibu, tetapi kajian haiwan mendapati ubat ada muncul dalam susu ibu tikus.
  • Pengambilan bersama dengan aliskiren (penebat renin) dalam pesakit diabetis atau fungsi buah pinggang bawah 60 ml/min
  • Pengambilan bersama ubat penebat ACE – menaikkan insiden hiperkalemia, hipotensi serius dan pengurangan fungsi buah pinggang (lebih-lebih lagi bagi pesakit diabetis dan pesakit ginjal)
  • Pesakit kegagalan hati serius (kecelaruan obstruktif hempedu dan kemerosotan fungsi hati)
  • Kanak-kanak bawah 1 tahun (belum cukup bukti) dan kanak-kanak dengan fungsi buah pinggang (GFR kurang 30 ml/min/1.73 m2)

Peringatan (precaution)

Ubat ini boleh menyebabkan pening kepala dan mengantuk, jadi tidak boleh memgang jentera berat dan tidak boleh memandu.

Penggunaan ubat ini perlu digunakan dengan pantauan doktor terhadap golongan ini:



  • Pesakit buah pinggang renal stenosis (tidak mengira unilateral atau bilateral), pesakit stenosis jantung (tidak mengira injap aortik dan mitral)
  • Pesakit pernah mengalami angioedema tanpa diketahui sebab (idiopati) atau mempunyai ahli keluarga yang mengalami angioedema atau mengalami angioedema selepas pengambilan ubat jenis penebat ACE lain.
  • Pesakit memiliki masalah berkaitan kardiovaskular (kardiomiopati sebagai contoh)
  • Pesakit kegagalan jantung serius
  • Pesakit kulit hitam
  • Pesakit hiperaldosteronisme primer
  • Pesakit kegagalan buah pinggang dan hati (ringan dan sederhana).
  • Warga tua
  • Pesakit menyusu
  • Pesakit dalam pembedahan

Interaksi antara ubat

Seperti biasa, beritahu doktor jika ada mengambil ubat-ubat lain selain candesartan. Berikut adalah interaksi candesartan bersama ubat-ubat pilihan:

  • Menyebabkan tekanan darah rendah, meningkatkan garam potassium (hyperkalemia) dan menaikkan risiko kegagalan buah pinggang (nefrotoksisiti) apabila digunakan dengan ubat penebat ACE (perindopril, enalapril, captopril) dan aliskiren (penebat renin)
  • Menyebabkan tekanan darah rendah dengan penggunaan bersama ubat darah tinggi lain (amlodipine, prazosin, metoprolol dsb), NSAID (aspirin, mefenamic acid, diclofenac dsb), ubat mati pucuk (sildenafil dsb), ubat stimulan otak (methylphenidate)
  • Menaikkan insiden hiperkalemia dengan ubat penahan garam kalium untuk rawatan darah tinggi (amiloride, spironolactone), suplemen kalium (kalium klorida dsb), antibiotik trimethoprim, ubat cair darah (heparin, enoxaparin, tinzaparin dsb)
  • Menaikkan insiden kecederaan sistem ginjal (sodium dihydrogen fosfat – ejen pengasidifikasi air kencing)
  • Menaikkan kesan nefrotoksisiti (NSAID– aspirin, mefenamic acid, diclofenac dsb; lithium – ubat psikoterapi; ubat imunosupresan – cyclosporin, tacrolimus
  • Menaikkan kesan hipersensitif (angioedema) – ubat kencing manis jenis penebat DPP4 (sitagliptin, vildagliptin dsb)

Kesan terlebih dos

Kes toksisiti candesartan biasanya datang dengan tanda-tanda seperti tekanan darah rendah.

  • Kes toksisiti ringan dan sederhana: melibatkan hipotensi ringan, bacaan nadi tinggi (dan rendah – mungkin dari respons saraf parasimpatetik badan), hipoglisemia tanpa simptom, kejang otot serta pening kepala. Kes hipokalemia (2.8 mmol/L) ada dilaporkan pada individu dewasa selepas makan 20 biji 80 mg valsartan (perlu diambil perhatian memandangkan candesartan juga dalam kumpulan sama)
  • Kes toksisiti serius: Kegagalan buah pinggang dengan tiada pengeluaran air kencing (selepas pengambilan 2700 mg losartan dan 200 mg amlodipine), kejutan (shock), tidak sedarkan diri serta kegagalan peredaran darah boleh berlaku.

Rawatan utama utk pesakit ini adalah:

  • Pemberian cecair IV untuk hipotensi (dalam pesakit ringan dan sederhana)
  • Dalam pesakit serius, rawatan simptomatik perlu diberikan. Prioriti utama untuk menstabilkan sitem kardiovaskular terlebih dulu).

Ubat Darah Tinggi yang lain

Ubat AmlodipineUbat Perindopril
Ubat CaptoprilUbat Losartan
Ubat EnaprilUbat Candesartan
Ubat TelmisartanUbat Darah Tinggi

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. Micromedex
  4. MIMS Gateway
  5. Medscape
  6. Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan: Product Search
  7. Malaysian Society of Hypertension, Ministry of Health Malaysia & Academy of Medicine of Malaysia (2018). Clinical practice guidelines on management of hypertension (5th ed.). Malaysia: Malaysian Society of Hypertension.
  8. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Atacand Tablet: Candesartan cilexetil (8 mg & 16 mg)
  9. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Candesartan Sandoz Tablet: Candesartan cilexetil (8 mg, 16 mg and 32 mg)
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × 5 =