Skip to content

Ubat Clarinase: Penggunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat clarinase dan kesan sampingannya? Artikel ini akan membincangkan penggunaan ubat clarienase, dos, kesan sampingan dan beberapa perkara yang lain

Pengenalan

Setiap Tablet Clarinase mengandungi dua bahan aktif iaitu; loratadine dan pseudoephedrine sulfat yang diformulasikan untuk diedarkan secara keseluruhan di dalam badan. Tablet Clarinase ‘Prolonged Release’ iaitu pelepasan berpanjangan yang ada di pasaran Malaysia ialah Clarinase 12H dan Clarinase 24H.

Beza terhadap dua jenis ini ialah kuantiti dos yang dibawanya. Untuk Clarinase 12H; dos loratadin ialah 5mg dan dos Pseudoephedrin sulfat pula ialah 120mg. Manakala, Clarinase 24H pula dos nya digandakan sekali ganda daripada kuantiti Clarinase 12jam (12H) tadi.



Dos Clarinase 12H: Loratadine 5mg dan Dos Pseudoephederine 120mg

Dos Clarinase 24H: Loratadine 10mg dan Dos Pseudoephederine 240mg

Cara Ubat Berfungsi

Loratadin adalah sejenis ubat antihistamin. Secara amnya, Loratadin berfungsi dengan mengurangkan simptom alergi. Pseudoephedrine sulfat pula adalah salah satu alkaloid daripada spesies ephedra. Ia menghasilkan kesan dekongestan secara beransur-ansur tetapi berterusan yang memudahkan pengecutan salur darah mukosa di bahagian atas saluran pernafasan iaitu di bahagian hidung.

Lapisan kulit pada hidung ialah organ yang penting kerana ia mengandungi banyak saluran darah kecil. Sekiranya terdapat gangguan pada lapisan ini, seperti jangkitan atau alergi, lebih banyak darah mengalir ke saluran ini sebagai sebahagian daripada tindak balas imun anda, dan seterusnya akan menyebabkan lapisan membengkak.

Hal ini akan menimbulkan penyumbatan yang mengganggu aliran udara melalui hidung, menyukarkan anda bernafas melalui hidung. Oleh itu, dekongestan mengurangkan pembengkakan saluran darah di dalam hidung anda. Ini membantu membuka saluran udara hidung, menjadikan anda lebih mudah bernafas.



Gabungan dua bahan aktif ini cukup berkesan untuk melegakan simptom yang berkaitan dengan rinitis alergi apabila disertai hidung tersumbat. Rinitis alergi adalah keadaan keradangan atau bengkak yang disebabkan alahan pada bahagian hidung akibat terdedah kepada alergen atau punca alahan. Menurut segmen MYSihat Harian Metro yang disiarkan pada 1 September 2019, punca rinitis alergi ini berbeza-beza contoh seperti,ad sesetengah individu yang alah kepada debu persekitaran, manakala yang lain pula alah kepada bulu binatang. Ada juga orang yang mengalami alahan teruk disebabkan tindak balas badan secara berlebihan terhadap punca alahan ataupun alergen. Keadaan ini digelar hipersensitiviti dan ia mencetuskan gejala yang berterusan termasuk sentiasa bersin, hidung berair dan tersumbat serta gatal pada bahagian hidung dan mata.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penggunaan dan Dos

Dos Clarinase Prolonged Release Tablet 12H ; Dewasa dan remaja berusia 12 tahun ke atas: Ambil sebiji tablet Clarinase dua kali sehari dengan segelas air, dengan atau tanpa makanan. Telan keseluruhan tablet.

Manakala, dos Clarinase Prolonged Release 24H ; Dewasa dan remaja berusia 12 tahun ke atas: Ambil sebiji tablet Clarinase satu kali sehari sahaja dengan segelas air, dengan atau tanpa makanan juga telan keseluruhan tablet; jangan hancurkan, pecahkan atau kunyah tablet sebelum menelan.

Kesan Sampingan

Seperti semua ubat, Clarinase juga boleh menyebabkan kesan sampingan, walaupun tidak semua orang mengalaminya. Segera hubungi doktor atau ahli farmasi jika anda mempunyai reaksi terhadap Clarinase yang berterusan.

Kesan sampingan biasa yang dikaitkan dengan tablet ini merangkumi:

  • Dahaga
  • Kegelisahan
  • Kemurungan
  • Kurang selera makan
  • Masalah tidur
  • Pening
  • Mulut kering
  • Degupan jantung yang cepat
  • Sakit tekak
  • Radang pada lapisan hidung
  • Sembelit
  • Loya
  • Sakit kepala
  • Letih.

Kesan sampingan yang jarang berlaku termasuk:

  • Kekeliruan
  • Berpeluh dengan lebih banyak daripada biasa
  • Rasa panas
  • Perubahan deria rasa
  • Telinga berdering
  • Degupan jantung tidak teratur
  • Kulit gatal.

Kesan terlebih dos

Sekiranya anda mengambil lebih banyak Clarinase daripada yang sepatutnya, beritahu doktor atau ahli farmasi anda dengan segera. Mengantuk, degupan jantung cepat dan sakit kepala telah dilaporkan dalam masalah terlebih dos loratadine.

Manakala kekejangan, degupan jantung yang cepat, loya dan kegelisahan telah dilaporkan dengan kesan terlebih dos pseudoephedrin. Jika anda terlupa mengambil Clarinase ketika anda mengalami simptom atau terlupa mengambil dos tepat pada waktunya, ambil secepat mungkin setelah ingat.



Kemudian kembali ke jadual dos yang biasa. Jangan mengambil dos berganda untuk menggantikan dos yang terlupa.

Interaksi antara Ubat

Mereka yang mempunyai masalah kencing manis, stenosing ulser peptik (ulser yang menyebabkan penyempitan perut, usus kecil atau esofagus), penyumbatan pyloroduodenal (penyumbatan usus), penyumbatan serviks vesikal (penyumbatan leher pundi kencing), mempunyai sejarah asma iaitu kesukaran bernafas kerana pengetatan otot paru-paru, atau masalah dengan hati, ginjal, atau pundi kencing disarankan untuk mengelakkan ubat ini atau mendapatkan nasihat dari doktor terlebih dahulu. Selain itu, jika anda menggunakan ubat digitalis (ubat yang digunakan untuk merawat gangguan jantung tertentu) anda juga disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor kerana ia boleh mengganggu penguraian ubat clarinase ini.

Ubat ini juga boleh meningkat tekanan darah anda jika diambil dengan:

  • Ubat dikongestan yang lain
  • Ubat Alkaloid ergot seperti Methylergometrine(ubat migrain)

Seandainya anda mengambil kaolin atau antasid iaitu ubat -ubatan yang mengurangkan kerengsaan perut akibat gastrik atau pedih ulu hati, kerana ia dapat menurunkan keberkesanan Clarinase.

Peringatan Khas

Sebelum mengambil Clarinase, beritahu doktor atau ahli farmasi anda, jika anda berumur 60 tahun ke atas, mempunyai penyakit kronik atau alahan. Orang tua selalunya lebih sensitif terhadap kesan ubat ini. Beritahu doktor anda jika anda mengalami masalah berikut:

  • Tekanan darah tinggi,
  • Degupan jantung yang cepat atau berdebar,
  • Irama jantung yang tidak normal,
  • Berasa sakit dan sakit kepala atau meningkatkan sakit kepala semasa menggunakan Clarinase

Lazimnya doktor mungkin menasihati anda untuk menghentikan pengambilan ubat ini jika anda mempunyai masalah di atas.

Untuk pengetahuan anda, salah satu bahan aktif dalam Clarinase iaitu pseudoephedrine sulfate, berpotensi disalahgunakan sebagai contoh ada segelintir individu yang memang mahukan kesan sampingan ubat ini untuk berjaga malam (insomnia) dan pseudoephedrine sulfate yang disalahgunakan boleh menjadi toksik.

Pengambilan air yang optimum adalah perlu ketika mengambil ubat ini kerana dehidrasi akan membuatkan kesan pseudoephedrin akan lebih mengeringkan mukosa hidung anda dan menyebabkan anda tidak selesa.



Pengambilan ubat ini juga tidak boleh digunakan untuk wanita yang menyusukan anak ini kerana Loratadine dan pseudoephedrine akan dirembeskan ke dalam susu ibu. Pengurangan pengeluaran susu ibu telah dilaporkan dengan pseudoephedrine, iaitu  komponen aktif dalam tablet ini.

Penyimpanan Ubat

Seperti ubat-ubatan yang lain, simpan ubat ini pada suhu yang lebih daripada suhu bilik.  Semestinya jauhkan strip atau kotak ubat-ubatan daripada kanak-kanak. Jangan makan selepas tarikh tamat tempoh yang tertera pada strip atau kotak ubat. Sebagai contoh “EXP: NOV 2022”, tarikh tamat tempoh ini merujuk kepada hari terakhir pada bulan yang dinyatakan itu.

Tetapi kebanyakan kilang ubat kini telah menulis tarikh luputnya dengan lengkap seperti “30112022” di tepi atau belakang strip ubat. Selain itu, anda juga dinasihatkan agar tidak memakan mana-mana ubat-ubatan setelah anda dapati perubahan pada rupa tablet ini. PelupusanJangan buang ubat bersama-sama air sisa atau sampah dari rumah. Tanyalah ahli farmasi tentang cara membuang ubat yang tidak diperlukan lagi.

Rujukan:

  1. Clarinase 24 Hr Extended Release : Mims Malaysia
  2. Rinitis alergi dan Sinusiti – Harian Metro
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

7 − 2 =