Skip to content

Ubat Cytotec(Misoprostol): Kegunaan, Dos & Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat atau pil cytotec (misoprostol) ini? Artikel ini akan membincangkan kegunaan ubat ini, dos dan kesan sampingan daripada pengunaan ubat ini.

Pandemik Covid-19 melanda dunia dan juga negara kerap kali diserbu bersama dengan masalah mengandung di luar perancangan, dan kebiasaannya sesetengah pihak lebih-lebih lagi wanita, lelaki atau kedua-duanya sekali terfikir untuk menggugurkan anak terbabit. Kali ini, kita buka bersama salah satu ubat paling jarang dijumpai tetapi hanya dicari dengan tujuan untuk gugurkan anak, itulah dia Cytotec.

Penggunaan

Cytotec (misoprostol) adalah ubat yang dikhaskan penggunaannya oleh FDA bagi ulser perut serius yang disebabkan pengambilan ubat-ubatan NSAID (non-steroidal anti-inflammatory drugs; ubat antiinflamatori bukan steroid – aspirin, mefenamic acid, diclofenac adalah salah satu contoh). Namun begitu, tahukah anda misoprostol juga sebenarnya digunakan untuk MENGGUGURKAN ANAK?



Misoprostol sebagai abortifacient (istilah Inggeris bagi ubat gugurkan anak) tidak didaftarkan penggunaannya oleh FDA, namun masih lagi boleh dijadikan rawatan untuknya (biasanya dalam rejimen persendirian atau diambil bersama mifepristone, JUGA ubat abortifasiens).

Antara kegunaan ubat ini yang tidak didaftarkan FDA selain abortifasiens adalah:

  • Prosedur histerectomi dan beranak untuk ‘memasakkan’ ruang serviks (cervical ripening)
  • Memandulkan wanita
  • Pencegahan ulser perut
  • Menggugurkan kandungan
  • Kesan sampingan penggunaan NSAID – ulser perut atau duodenum (bahagian awal usus kecil)
  • Pendarahan pospartum (selepas kelahiran)
  • Rawatan ulser duodenum

Pengambilan ubat berkenaan kebiasaanya diambil dengan 4 cara:

  • Oral: telan ubat tablet seperti biasa dengan air yang banyak selepas makan.
  • Buccal: diletakkan antara ruang gusi mulut dengan pipi, lagi mudah diserap badan kerana saluran darah yang banyak, ubat dalam kuantiti kesan terapeutik lebih tinggi kerana melepasi metabolisma perut dan hati.
  • Sublingual: ubat diletakkan di bawah lidah, kelebihan sama seperti buccal.
  • Vagina: Dimasukkan dengan cara meletakkan tablet ubat atau vaginal insert dalam ruang vagina.

Ubat ini sendiri tidak dimasukkan dalam formulari KKM, dan memerlukan kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan untuk digunakan di fasiliti kerajaan, kebiasaan penggunaannya oleh Pakar Perunding dalam sesetengah kes di fasiliti kerajaan. Ubat tersebut perlu dipreskrib oleh doktor jika perlu dibeli di farmasi komuniti, jadi ia bukan senang-senang boleh dibeli di luar. Setakat yang diketahui, ubat ini hanya dijual dalam sediaan tablet 200µg sahaja.

Ubat ini tidak digunakan dalam populasi kanak-kanak kerana kurang maklumat keselamatan dan keberkesanan ubat tersebut. Penggunaannya dalam kalangan pesakit kegagalan hati dan buah pinggang dan dalam warga tua tidak membahayakan, cuma dalam pesakit buah pinggang, dos biasa untuk indikasi rasmi dan tidak rasmi boleh dikecilkan jika pesakit sukar mengambil ubat tersebut dalam dos biasa.



Ubat ini diambil selepas makan pada waktu sama setiap hari walaupun sudah tidak ada rasa sakit lagi, sehinggalah doktor menyuruh pesakit berhenti mengambil ubat ini. Jika terlupa, ambil segera ubat tersebut dan jangan menggandakan dos (double dosing) ubat. Seperti biasa, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu berkenaan penggunaan ubat ini sebelum menggunakannya.

Penyimpanan

Sediaan ubat tablet disimpan dalam suhu kering dan dingin (suhu bilik diutamakan). Jangan letak berdekatan kawasan lembap dan dibiarkan dalam penutup blister untuk mengekalkan keberkesanannya.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Ubat Berfungsi

Prostaglandin adalah salah satu perantara keradangan dalam tubuh badan kita, biasanya dikawal menerusi pengeluaran asid arakidonik yang menghasikan pelbagai cabang perantara keradangan, berfungsi sebagai pengawal keselamatan dalam tubuh badan dan menjalankan fungsi homeostasis tubuh badan utama, seperti jantung, buah pinggang, perut, sistem persenyawaan dan sebagainya.

Misoprostol memiliki struktur hampir sama dengan struktur prostaglandin E1 (menjadikan misoprostol juga dikenali sebagai antara ubat dalam kumpulan analog prostaglandin). Kesan pencegahan masalah gastrik dari ubat ini adalah datang daripada efek ubat ini menghadang pengeluaran asid dari perut, merangsangkan penghasilan lebih banyak mukus dan ion bikarbonat dalam ruang perut dan duodenum juga. Disebabkan misoprostol juga menegangkan tisu lembut dan melonggarkan rahim, ubat ini kerap kali digunakan dalam wanita mengandung untuk mempermudah proses kelahiran.

Kesan sampingan

Kesan biasa

  • Cirit-birit (14-40%)
  • Sakit di bahagian perut (13-20%)
  • Pening (2%)

Kesan serius (jarang berlaku, tetapi perlu berjumpa doktor segera jika ada simptom berikut)

  • Kardiovaskular: sakit dada, disritmia jantung dan infarksi miokardium, tekanan darah turun
  • Sistem penghadaman: pendarahan, loya, dan angin perut
  • Anafilaksis (jarang tapi serius)
  • Simptom tuli (jarang)
  • Pengoyakan rahim
  • Kurang darah, gangguan tromboembolus dalam darah
  • Kejutan sepsis dan kejutan toksik berkaitan jangkitan kuman (jarang tapi berpotensi  membawa maut)

Pengecualian Ubat Ini

  • Pesakit mengandung: Kesan teratogenik pada pesakit mengandung dalam trimester pertama (Kategori X oleh FDA). Termasuk juga pesakit yang mengandung secara ektopik (di luar rahim), kehamilan lebih dari 49 hari tanpa keluar darah haid, pesakit yang mengandung tanpa disahkan ujian ultrasound ataupun parameter biologikal, dan pesakit yang alah pada mifepristone. Pesakit yang pernah ada sejarah melahirkan anak melalui pembedahan Caesar (placenta praevia, kepincangan janin dan sebagainya), pembedahan rahim besar, keabnormalan rahim, juga tidak digalakkan menggunakan misoprostol untuk mengelakkan risiko pengoyakan rahim lebih kritikal dalam trimester ketiga. Penggunaan ubat ini juga tidak digalakkan jika pesakit mengandung turut mempunyai tanda-tanda dan simptom chorioamnionitis dan digunakan bersama ubat-ubat menggalakkan peregangan rahim dan oxytocin.
  • Pesakit menyusukan anak: Misoprostol boleh muncul dalam susu bayi, praktis klinikal mencadangkan pengambilan misprostol dalam tempoh sejam selepas menyusu untuk mengelak kesan sampingan pada anak. Perhatian perlu diberikan pada pesakit yang mengambil ubat ini.
  • Penyakit radang usus
  • Kurang air (dehidrasi)
  • Hipersensitif kepada misoprostol, prostaglandin dan analog prostaglandin lain

Peringatan (Precaution)

  • Pesakit diingatkan agar tidak membuat kerja berat dan memandu/ menunggang motorsikal kerana ubat ini boleh membuatkan pesakit pening.
  • Penggunaan ubat dalam pesakit mengandung tidak digalakkan kerana misoprostol mempunyai kesan teratogenik, tidak sesuai digunakan dalam trimester pertama.
  • Penggunaan dalam pesakit mengandung sebagai agen ‘memasakkan’ dinding rahim bersama oxytocin tidak digalakkan melainkan untuk kes serius.
  • Pesakit menyusukan anak perlu mengambil ubat ini sejam selepas menyusu.
  • Perhatian turut diberikan pada pesakit berkaitan:
  • Sistem penghadaman: radang usus (inflammatory bowel disease)
  • Pesakit hipertensi dan komplikasi jantung (kedua-dua penyakit berkenaan boleh berlarutan akibat kurang tekanan darah)
  • Kegagalan buah pinggang
  • Pesakit yang kurang minum air

Interaksi antara ubat

Kesan oxytocin dan ubat-ubat merangsang pengecutan dinding rahim yang lain (seperti carbetocin) berganda apabila digunakan bersama misoprostol. Namun begitu, kesannya mungkin akan membahayakan pesakit mengandung itu sendiri.

Pesakit yang mengabil ubat antasid yang mengadungi magnesium (magnesium trisilikat sebagai contoh) menyebabkan cirit-birit. Pesakit dinasihatkan untuk tidak menggunakan ubat tersebut.



Pengambilan alkohol tidak digalakkan untuk pesakit misoprostol.

Kesan cirit-birit dan sakit di abdomen badan melalui pengambilan bersama ubat NSAID (diclofenac, aspirin dan sebagainya). Pengambilan bersama phenylbutazone (ubat tahan sakit NSAID yang kini digunakan untuk binatang contohnya kuda) menambahkan kesan pening dan sakit kepala pada pesakit.

Sesetengah pengambilan herba terutamanya herba yang mempunyai efek abortifasiens seperti dong quai dan peony meningkatkan kesan toksisiti misoprostol jika diguna bersama.

Ini hanya sebahagian daripada contoh interaksi ketara yang dilihat dari pengambilan misoprostol bersama ubat lain. Amat penting untuk para pesakit berbincang terus dengan doktor dan farmasis berkenaan ubat yang pesakit ambil untuk maklumat lanjut.

Kesan terlebih dos

Simptom terlebih dos akut misoprostol jarang dilaporkan, tetapi mungkin datang dari lanjutan kesan sampingan ubat terbabit dari dos terapeutik biasa, seperti:

  • Cirit-birit
  • Pening
  • Sakit kepala
  • Pengecutan dinding rahim
  • Pendarahan
  • Badan panas
  • Nadi naik dan kadar pernafasan naik
  • Metabolik asidosis

Dalam sesetengah kes serius, simptom yang direkodkan termasuklah:

  • Tekanan darah tinggi
  • Nadi tinggi
  • Demam
  • Kekejangan
  • Rhabdomyolysis (pengoyakan tisu otot dari sel badan ke dalam saluran darah)
  • Pengecutan dinding rahim, pendarahan ketara dan kematian janin dan keguguran (untuk ibu mengandung)
  • Satu kes melibatkan kematian tisu esophagus dan gastrik, dan pendarahan bahagian atas sistem penghadaman.

Walaupun begitu, tiada spesifik dos toksisiti ubat berkenaan terhadap pesakit.

Rawatan kebiasaannya berpandukan pada simptom pesakit dalam kes akut, sederhana dan juga serius. Tiada antidot khas untuk misoprostol.



Diharapkan artikel ubat cytotec ini dapat memberikan sedikit sebanyak berkenaan kebaikan dan keburukan jika menggunakan ubat cytotec ini.

Rujukan

  1. Misoprostol. Dalam: MIMS Gateway.
  2. Micromedex
  3. Misoprostol: Drug Information. Dalam: UpToDate
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one − 1 =