Skip to content

Ubat Enalapril: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat enalapril? Salah satu kegunaan ubat ini adalah untuk merawat darah tinggi. Artikel ini akan membincangkan dengan lebih ketara berkenaan kegunaan ubat, dos dan kesan sampingan

Kegunaan

Menurut FDA, kegunaan enalapril secara rasmi adalah untuk

  • Tekanan darah tinggi
  • Kegagalan fungsi jantung (congestive heart failure) – digunakan bersama-sama digoxin dan ubat diuretik (lawas kencing)

Kegunaan di luar kebenaran FDA termasuklah:

  • Sindrom Alport (penyakit genetik melibatkan kemusnahan pembuluh darah kecil)
  • Eritrositosis (erythrocytosis: lebihan sel darah merah dalam badan)
  • Rawatan pencegahan untuk kencing manis (diabetis)
  • Diabetis berkaitan kemusnahan buah pinggang (nefropati)
  • Pesakit buah pinggang bukan diabetik
  • Pencegahan selepas prosedur direct current cardioversion untuk rawatan fibrillasi atrial berterusan (denyutan jantung tidak sekata)
  • Pencegahan bagi sakit migrain
  • Serangan jantung (infarksi miokardial)
  • Pencegahan berulangnya fibrillasi atrial
  • Vasovagal syncope (salah satu jenis pengsan)


Ubat ini dimulakan oleh doktor perubatan sahaja dan memerlukan preskripsi doktor untuk belian di farmasi komuniti.

Cara pengambilan ubat

  • Ambil sebelum atau selepas makan.
  • Perlu diambil pada waktu yang sama setiap hari (1 jam sebelum makan atau 2 jam lepas makan).
  • Telan dengan segelas air kosong. Boleh juga dihancurkan buat pesakit yang sukar menelan ubat. Boleh juga dipotong separuh. (Ini biasanya merujuk pada ubat enalapril sahaja).
  • Jika terlupa, sesetengah pengeluar menyatakan dos ubat yang terlepas perlu dilangkau. Jika teringat ketka hampir ke waktu pengambilan ubat seterusnya pesakit perlu meninggalkan dos lama dan mengambil dos seterusnya. Jangan gandakan dos.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Tablet boleh disimpan dalam suhu bilik (20 – 25°C). Tidak boleh digunakan melepasi tarikh luput. Jauhkan dari kelembapan dan kanak-kanak.

Dos

  • Darah tinggi
    • Dewasa:
      • Dos permulaan 5 mg sekali sehari. Maksimum 40 mg/hari. Boleh dibahagikan dos harian kepada 2 kali sehari. Dos kebiasaannya 10-40 mg/hari dibahagi dos harian sama ada makan sekali sehari atau selang 12 jam (2 kali sehari).
      • Jika mengambil ubat diuretik dalam dos rendah, permulaan dos 2.5 mg/hari. Berhentikan diuretik lepas 2 – 3 hari dimulakan enalapril.
    • Kanak-kanak: Penggunaan ubat darah tinggi jenis penebat ACE tidak sesuai digunakan dalam bayi berumur kurang dari 44 minggu.
      • Usia 1 bulan – 16 tahun: (Oral) Permulaan dos 0.08 mg/kg sekali sehari atau 2 kali sehari (selang 12 jam), maksimum 5 mg/hari. Boleh dinaikkan bila perlu setiap 2 minggu menurut keadaan tekanan darah semasa, dengan jumlah dos tidak boleh lebih dari 0.58 mg/kg/hari atau 40 mg/hari. (IV): infusi intravena bagi kanak-kanak adalah 0.01 – 0.02 mg/kg/hari dibahagi selang 12 jam. Maksimum biasa pesakit 20-50 kg: 20 mg/hari, pesakit 50 kg dan ke atas: 40 mg/hari.
  • Kesan sampingan kemoterapi: kardiomiopati (kemusnahan otot jantung)
    • Dewasa: Dos permulaan 2.5 mg sekali sehari 1 bulan selepas selesai pusingan dos tinggi kemoterapi. Dos kemudiannya dinaikkan sedikit demi sedikit ikut kesesuaian pesakit ke sasaran dos harian 20 mg. Ubat diambil selama setahun (indikasi luar label).
    • Kanak-kanak: Pada hari pertama kemoterapi, mulakan dos 0.1 mg/kg/hari. Dalam kajian percubaan rawak terkawal, ubat diberikan selama 6 bulan (indikasi luar label).
  • Diabetik nefropati – Buah Pinggan Bocor disebabkan kencing manis
    • Dewasa: Dos dalam julat 5 – 10 mg sekali sehari. Maksimum 10 mg 2 kali sehari (indikasi luar label)
    • Kanak-kanak: Permulaan dos 0.2 mg/kg sekali sehari, maksimum 10 mg/hari (indikasi luar label)
  • Penyakit buah pinggang bukan diabetik
    • Dos permulaan 5 mg sekali sehari, dos pengurusan antara 5 – 20 mg/hari. Maksimum 20 mg/hari (indikasi luar label).
    • Alternatif lain (dos panduan): Dos antara 5 – 40 mg/hari dibahagi dos harian sama ada sekali sehari atau dua kali sehari, dos perlu disesuaikan dengan tekanan darah semasa pesakit dengan sasaran tekanan darah 130/80 mmHg ke bawah.
  • Kegagalan fungsi jantung (congestive heart failure)
    • Dewasa: Dos permulaan 2.5 mg 2 kali sehari, dos boleh disesuaikan dengan keadaan semasa pesakit selepas beberapa hari atau beberapa minggu (biasanya setiap 2 minggu) dengan julat biasa 2.5 mg – 20 mg 2 kali sehari. Maksimum 20 mg 2 kali sehari.
    • Kanak-kanak: Permulaan dos 0.1 – 0.5 mg/kg/hari, dos oral harian diambil selang 12 jam, dalam julat dos terendah. Kemudian naikkan dos sedikit demi sedikit setiap 3 – 10 hari (jika di hospital) atau naikkan lebih kerap (jika pesakit luar), sehinggalah maksimum dos harian yang sesuai. Pastikan penyesuaian dos untuk pesakit bawah 5 tahun dibuat dengan kawalan rapat memandangkan fungsi buah pinggang masih belum sempurna dalam kalangan pesakit bawah 5 tahun.
  • Serangan jantung (infarksi miokardial)
    • Dos permulaan 2.5 mg sekali sehari, dos disesuaikan dengan keadaan semasa pesakit sehingga 20 mg sekali sehari (indikasi luar label).
  • Sindrom Alport
    • Dos kanak-kanak antara 0.07 – 0.72 mg/kg/hari diambil oral, maksimum 40 mg/hari (indikasi luar label)
  • Pesakit kegagalan buah pinggang

Dos untuk pesakit buah pinggang hanya ditujukan untuk pengambilan ubat tablet sahaja.

Pesakit kanak-kanak dengan GFR kurang 30 ml/min/1.73 m2 tidak digalakkan untuk ubat ini.

Kadar pelepasan kreatinine (ml/min)Dos
≥30Mulakan dulu 5 mg/hari. Sesuaikan dos hingga ke maksimum 40 mg/hari.
30 ke bawahMulakan dulu 2.5 mg/hari. Dos boleh disesuaikan tapi tidak boleh melebihi 40 mg/hari.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Formulari kebangsaan ada memiliki tablet enalapril berkekuatan 5 mg, 10 mg dan 20 mg. Dapatan NPRA memperoleh tablet seperti berikut:

  • Tablet 5 mg:
    • Pharmaniaga Enalapril (Pharmaniaga),
    • Invoril (Ranbaxy),
    • Enahexal (Idaman Pharma),
    • Acetec (Medispec),
    • Renitec (Organon)
  • Tablet 10 mg:
    • Encardil (SM Pharmaceutical),
    • Enalapril Tablet 10mg (YSP),
    • Invoril (Ranbaxy),
    • Renitec (Organon)
  • Tablet 20 mg:
    • Pharmaniaga Enalapril (Pharmaniaga),
    • Enalapril Tablet 10mg (YSP),
    • Enahexal (Idaman Pharma),
    • Invoril (Ranbaxy),
    • Acetec (Medispec),
    • Renitec (Organon)

Cara Ubat Berfungsi



Seperti perindopril dan captopril, enalapril turut mempunyai aktiviti sama iaitu menebat pertukaran angiotensin I kepada angiotensin II dalam buah pinggang yang menghasilkan tekanan darah tinggi. Tambahan pula, ia turut mengurangkan pengeluaran protein dari urin dan seterusnya memperlahankan kerosakan buah pinggang menerusi pendilatasian saluran arteriol ginjal dan menebat pengeluaran aldosterone yang menaikkan tekanan darah juga.

Enalapril dipercayai boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan risiko mengalami apa-apa kompliasi jantung, diabetik nefropati, dan juga pesakit baru diabetis.  Enalapril mampu melambatkan proses kegagalan jantung, dan sesuai digunakan dalam pesakit hiperlipidemia dan juga migrain.

Kesan enalapril menerusi metabolit aktifnya, enalaprilat menunjukkan kesan dilatasi pembuluh darah arteri dan vena. Pesakit masih boleh mendapat batuk kering (non-productive cough) disebabkan kenaikkan perantara inflamatori bradykinin dan bahan P yang biasanya didegradasikan oleh enzim ACE sendiri. Enalapril biasanya menjalankan kesannya dalam tempoh 12 -24 jam, menyebabkan ia lebih biasa digunakan sama ada sekali atau dua kali sehari.

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan signifikan:

  • Tekanan darah rendah
  • Angioedema (bengkak-bengkak) pada usus- manifestasi seperti sakit abdomen perut
  • Pengeluaran protein dalam urin
  • Jaundis (kekuningan)- kolestatik jaundis perlu diambil perhatian
  • Kenaikan garam kalium
  • Batuk-batuk kering
  • Kekurangan sel darah merah (anemia), putih (neutropenia, agranulositosis) dan sel darah lain – trombositopenia
  • Penurunan fungsi ginjal akut, boleh mendatangkan kegagalan fungsi ginjal

Kesan sampingan biasa:

  • Bengkak-bengkak muka, bibir, mulut dan lidah dan bahagian badan
  • Kesukaran bernafas
  • Ruam kulit
  • Bintik-bintik merah pada kulit
  • Pening dan sakit kepala, rasa pitam
  • Sukar tidur
  • Sakit-sakit, kejang atau lemah otot badan dan sendi
  • Sakit dada
  • Sakit perut
  • Loya dan muntah
  • Cirit-birit
  • Sembelit
  • Gangguan deria pendengaran dan penglihatan serta rasa
  • Boleh mengganggu nilai nisbah aldosterone/renin makmal.
  • Boleh menyebabkan nilai salah positif (false positive) urin aseton

Oleh sebab itu, ubat enalapril tidak boleh digunakan bagi golongan berikut:

  • Ibu mengandung: Kategori D FDA. Boleh membahayakan tekanan darah dan fungsi ginjal ibu dan anak. Kecacatan kekal otak juga turut dilaporkan.
  • Ibu menyusu: Ubat boleh masuk ke dalam susu ibu. Pengunaan ubat selepas kelahiran tidak digalakkan untuk beberapa minggu selepas kelahiran terutamanya bayi pramatang – mengelakkan hipotensi dalam bayi. Jika digunakan dalam kanak-kanak lebih tua untuk menyusu boleh digunakan tetapi tekanan darah anak perlu dipantau.
  • Bayi bawah 44 minggu.
  • Pesakit pernah mengalami angioedema tanpa diketahui sebab (idiopati) atau mempunyai ahili keluarga yang mengalami angioedema atau mengalami angioedema selepas pengambilan ubat jenis penebat ACE lain.
  • Pesakit buah pinggang renal stenosis (tidak mengira unilateral atau bilateral)
  • Pengambilan bersama dengan aliskiren (penebat renin) dalam pesakit diabetis atau fungsi buah pinggang bawah 60 ml/min
  • Pengambilan bersama sacubitril/valsartan (ubat untuk kegagalan jantung) – kesan angioedema lebih tinggi. Jika terapi ditukar dari sacubitril/valsartan atau ditukar ke ubat ini, pemberian enalapril ke atas pesakit ini tidak boleh diberikan 36 jam selepas pertukaran seperti disebutkan tadi boleh dilakukan.

Peringatan (precaution)

  • Ubat ini mungkin boleh menyebabkan mengantuk, jadi disarankan untuk tidak membuat kerja berat dan memandu.
  • Ubat masih lagi boleh diberikan pada mereka tetapi dengan nasihat dan pantauan doktor:
    • Pesakit kardiovaskular lain (penyakit jantung iskemik)
    • Penyakit kardiomiopati hipertropik (penyakit berkaitan tumbesaran otot jantung)
    • Pesakit dengan kekurangan garam dalam badan dan air dan pesakit garam kalium berlebihan
    • Penyakit autoimun tisu badan (SLE, skleroderma)
    • Pesakit mengalami penyempitan injap aortik dan mitral jantung
    • Dalam operasi pembedahan atau dalam anestesia
    • Ascites (pengumpulan cecair dalam perut) berulangan atau dalam pesakit cirrhosis (parut) hati
    • Diabetis
    • Pesakit kulit hitam (berkemungkinan mendapat kesan angioedema lebih tinggi)
    • Penyakit aldosteronisme prima (badan pesakit mengeluarkan aldosterone dalam kuantiti banyak)
    • Pesakit gout atau terlampau banyak asid urik (hiperurisemia)
    • Pesakit kegagalan hati dan ginjal
    • Warga tua

Interaksi antara ubat

Pesakit perlu memaklumkan pada doktor jika mengambil apa-apa ubat bersama enalapril. Antara interaksi biasa dijumpai termasuklah:

  • Tekanan darah berkurangan dengan pengambilan alkohol.
  • Menaikkan kesan tekanan darah rendah: bersama ubat darah tinggi dalam jenis sama (enalapril, perindopril dsb) dan jenis lain (losartan, valsartan, metoprolol, bisoprolol, prazosin, tamsulosin, doxazosin, hydrochlorothiazide dan keluarga thiazide, furosemide, nitrat, dsb); pengambilan alkohol menaikkan insiden tekanan darah rendah orthostatik (badan tidak boleh bergerak)
  • Menaikkan kesan hiperkalemia (ion kalium menaik): ubat diuretik penahan ion kalium – spironolactone, amiloride; suplemen penambah kalium; ataupun ubat yang mempengaruhi ion kalium seperti antibiotik trimethoprim, ubat imunosupresan cyclosporin dan ubat cair darah heparin, enoxaparin dsb; ubat tahan sakit NSAIDS (diclofenac, mefenamic acid, aspirin dsb)
  • Menaikkan kesan kecederaan buah pinggang: pengasidifikasi urin dinatrium hydrogen fosfat
  • Menaikkan kesan angioedema: ubat imunosupresan (tacrolimus, sirolimus), ubat diabetis jenis penebat enzim DPP4 (vildagliptin, sitagliptin dsb), ubat kegagalan jantung (sacubitril)
  • Reaksi anafilaktik serius: ubat tambah darah iron dextran dalam kalangan pesakit aferesis LDL (proses penyedutan lemak)
  • Menaikkan toksisiti buah pinggang: ubat antimania lithium, ubat-ubatan NSAIDS
  • Menaikkan insiden neutropenia dan hipersensitiviti ubat: allopurinol (ubat gout)
  • Menaikkan kesan toksisiti darah – azathioprine (ubat imunosupresan), interferon (protein direka khas untuk pelbagai penyakit seperti kanser dan kelemahan sistem imun badan)
  • Menaikkan insiden hipoglisemia dalam pesakit diabetis: insulin dan ubat diabetis lain (gliclazide, glimepiride dsb)
  • Jarang-jarang menyebabkan kesan sampingan ala-ala nitrate (tekanan darah rendah, pengsan, loya dan muntah) dengan sebatian emas (digunakan dalam rawatan artritis reumatoid – juga turut menyebabkan keadaan sama bagi captopril, perindopril dan ubat dari keluarga yang sama).

Kesan terlebih dos

Simptom enalapril berlebihan seperti tekanan darah rendah serius, degupan jantung tidak stabil (bradycardia dan tachycardia), rasa berdebar-debar, gelisah, hiperventilasi, kepekatan garam tidak seimbang dalam badan, dan batuk-batuk serta kemunduran fungsi buah pinggang dilaporkan.



Rawatan yang biasa diberikan:

  • Kebanyakan pesakit yang mengalami tekanan darah rendah dari keracunan enalapril dapat dikawal melalui cara berbaring. Jika kes hipotensi berlaku dengan agak ketara, cecair intravena boleh digunakan.
  • Pesakit dengan tekanan darah dan jantung serius perlu diperbetulkan dengan infusi cecair intravena dan ubat yang boleh menaikkan tekanan darah semula (vasopressor)
  • Hiperkalemia (lebihan garam kalium) boleh diperbetulkan dengan penginfusian glukosa (gula), insulin, kalsium, natrium bikarbonat dan natrium polistirene sulfat dan hemodialisis.

Ubat Darah Tinggi yang lain

Ubat AmlodipineUbat Perindopril
Ubat CaptoprilUbat Losartan
Ubat EnaprilUbat Candesartan
Ubat TelmisartanUbat Darah Tinggi

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. Micromedex
  4. MIMS Gateway
  5. Medscape
  6. Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan: Product Search
  7. Malaysian Society of Hypertension, Ministry of Health Malaysia & Academy of Medicine of Malaysia (2018). Clinical practice guidelines on management of hypertension (5th ed.). Malaysia: Malaysian Society of Hypertension.
  8. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Pharmaniaga Enalapril Tablet (Enalapril maleate 5 mg/20 mg)
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

six + six =