Skip to content

Ubat Fluvoxamine: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat Fluvoxamine? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan kegunaan, dos dan kesan sampingan salah satu ubat untuk serangan panik dan kemurungan ini.

Pengenalan

Kesihatan mental kita adalah perkara yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Walaupun agak sukar dikesan dalam peringkat awal, peranan doktor terutamanya doktor psikiatri dalam bidang ini sangatlah diperlukan lebih-lebih lagi untuk menentukan terapi rawatan yang amat berkesan untuk pelbagai spektrum penyakit mental. Kesempatan inilah yang sesuai untuk kita memperkenalkan salah satu ubat yang digunakan dalam bidang psikiatri, iaitu fluvoxamine.

Kegunaan

Beberapa penyakit yang menggunakan ubat ini adalah:



Ubat ini hanya boleh dipreskrib oleh doktor kesihatan sahaja, dan tidak boleh dimulakan secara sengaja.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara pengambilan ubat

  • Ambil sebelum atau selepas makan (biasanya selepas makan).
  • Perlu diambil pada waktu malam setiap hari (ubat ini boleh mengantuk). Sesetengah mengambil selepas makan malam waktu lewat petang.
  • Telan dengan segelas air kosong. Boleh juga dipotong buat pesakit yang sukar menelan ubat, tetapi tidak boleh dihancurkan.
  • Jika terlupa, ambil segera setelah teringat. Jika teringat ketika hampir ke waktu pengambilan ubat seterusnya pesakit perlu meninggalkan dos lama dan mengambil dos seterusnya. Jangan gandakan dos.

Penyimpanan

Ubat perlu disimpan di bawah 30°C (dalam suhu bilik) di tempat selamat dari dijangkau kanak-kanak.

Dos

  • Penyakit obsesif komplusif:
    • Dewasa: Ambil dulu 50 mg setiap malam, dos boleh dinaikkan 50 mg/hari setiap 4 – 7 hari hingga ke 100 – 300 mg/hari (100-300mg/hari adalah dos efektif harian). Dos lebih dari 100 mg/hari perlu dibahagikan kepada 2 bahagian dos (2 kali sehari atau selang 12 jam).
    • Kanak-kanak: Percubaan untuk kanak-kanak bawah 8 tahun tidak digalakkan. Pesakit antara 8 – 11 tahun: Dos permulaan 25 mg makan malam 1 kali sehari, boleh dinaikkan dos setiap 4 – 7 hari sehingga 50 – 200 mg/hari. Selepas dos 50 mg ke atas, dos perlu dibahagikan kepada 2 dos (diambil selang 12 jam). Pesakit 11 – 17 tahun: Dos permulaan 25 mg makan malam 1 kali sehari, boleh dinaikkan dos setiap 4 – 7 hari sehingga 50 – 200 mg/hari. Selepas dos 50 mg ke atas, dos perlu dibahagikan kepada 2 dos (diambil selang 12 jam). Dos maksimum 8 – 11 tahun: 200 mg; remaja lepas 11 tahun: 300 mg.
  • Fobia sosial
    • 50 mg sekali sehari, boleh dinaikkan dos 50 mg dalam jangka masa 1 minggu. Dos biasanya 100 – 300 mg/hari.
  • Kecelaruan panik
    • Dos mula 25 – 50 mg/hari. Selepas beberapa hari, naikkan sedikit demi sedikit ke 100 – 200 mg/hari. Boleh dinaikkan hingga 300 mg/hari kalau rawatan tidak berhasil.
    • Rawatan boleh dilanjutkan hingga 1 – 2 tahun dan dipertimbangkan untuk berhenti dari rawatan dengan pantauan rapat doktor. Pemberhentian ubat tidak boleh dilakukan secara tiba-tiba. Tetapi, dos perlu dikurangkan sedikit-sedikit antara 2 – 6 bulan lamanya untuk memastikan simptom penarikan tidak sama sekali berlaku.
  • Penyakit stres pasca-trauma (PTSD, post-traumatic stress disorder)
    • Dos permulaan 50 mg/hari. Naikkan dos hingga 100 – 250 mg (dewasa) dan 100 mg (warga tua). Dos maksimum 300 mg.
  • Penyelarasan dos:
    • Warga tua, pesakit hati dan buah pinggang: Mulakan dengan dos terendah dengan pengambilan lebih kerap (bukan diambil 1 kali sehari tetapi mungkin perlu diambil kerap selang beberapa jam untuk sehari) dengan penyesuaian dos secara perlahan-lahan.
    • Pesakit dengan fenotaip enzim CYP2D6 metabolisasi ultracepat: tiada cadangan dos diberikan
    • Pesakit dengan fenotaip enzim CYP2D6 metabolisasi pertengahan/biasa: masih dos biasa
    • Pesakit dengan fenotaip enzim CYP2D6 metabolisasi perlahan: perlukan terapi lain selain fluvoxamine atau kurangkan dos permulaan pesakit 25 – 50% dan sesuaikan dos dengan keadaan semasa pesakit. Dengan sistem pemberian dos ubat sekarang, pengurangan 30% dos biasa dengan perbezaan farmakokinetik antara fenotaip terlibat tidak diberi pertimbangan.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Ubat ini ada disimpan dalam fasiliti kesihatan dalam kekuatan 50 mg dan 100 mg. Dalam pasaran pula, carian NPRA mendapati ubat dalam jenama berikut:

  • Tablet 50 mg: Luvox (Abbott), Apo-Fluvoxamine (Pharmaforte), Anwu (Averroes)
  • Tablet 100 mg: Luvox (Abbott)

Cara Bbat Berfungsi

Fluvoxamine adalah antara penebat pengambilan semula bahan perantara neuro iaitu serotonin dalam saraf pusat (otak) [selective serotonin reuptake inhibitor, SNRI]. Fluvoxamine menghalang pengambilan semula serotonin ke dalam saraf pusat dan ia membolehkan serotonin lebih lama bertindak dalam celah sinaptik (synaptic cleft) untuk bereaksi melekap pada reseptor serotonin dalam saraf pusat.

Ini membolehkan rawatan berkesan dalam kalangan pesakit kemurungan serta kecelaruan obesesif kompulsif serta fobia sosial. Ubat ini secara umumnya tidak mempunyai kesan sampingan yang melampau berbanding ubat psikiatri lain (terutamanya ubat antikemurungan trisiklik dan penebat MAO) sebab tidak mempunyai sebarang aktiviti melibatkan reseptor histamin (kegatalan serta kesan imun), alfa dan beta adrenergik (berkaitan perantara neuron adrenalin melibatkan kawalan tekanan darah) serta antimuskarinik dan kolinergik (yang melibatkan reaksi parasimpatetik badan).



Namun begitu, ubat ini ada mempunyai kesan minimum terhadap proses noradrenergik dalam saraf pusat.

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan direkodkan:

  • Agitasi (kegelisahan)
  • Keresahan
  • Ketakutan
  • Gementar
  • Sukar tidur (insomnia)
  • Pening kepala
  • Mengantuk
  • Cirit-birit
  • Sembelit
  • Sakit atau senak perut
  • Loya dan muntah
  • Hilang selera makan
  • Berpeluh berlebihan
  • Menggeletar
  • Berdebar-debar
  • Bacaan nadi naik (tachycardia)
  • Mulut kering
  • Rasa lemah
  • Sakit otot, sendi
  • Sensitif pada cahaya
  • Hipotensi ortostatik (tidak boleh bangun dari tempat tidur pada waktu pagi)
  • Reaksi alergik (melibatkan ruam kulit, kemerahan, kegatalan, bintik-bintik merah)
  • Kesukaran koordinasi badan (salah satu dari jenis kesan sampingan ekstrapiramidal)
  • Kekeliruan
  • Terasa khayal
  • Masalah ejakulasi tertangguh
  • Pengeluaran cecair dari buah dada
  • Bacaan parameter hati abnormal

Kesan sampingan yang penting termasuklah:

  • Kemahuan untuk membunuh diri (terutamanya dalam kanak-kanak, remaja dan awal dewasa, tapi masih berisiko untuk seluruh peringkat usia)
  • Perubahan keadaan kepada mania dan hipomania (keadaan melibatkan reaksi utama seperti rasa terlampau gembira (euforia), hiperaktif, dan kecelaruan perangai) –
  • Kesukaran mengawal pergerakan badan
  • Pendarahan (kulit ataupun kawasan dalam badan), boleh naikkan kesan trombositopenia (kurang platelet dalam badan)
  • Kemurungan sistem saraf pusat (mengantuk, tidak sedarkan diri)
  • Kerapuhan tulang
  • Melibatkan kawalan gula (naik atau turun bacaan gula)
  • Menaikkan kesan disfungsi seksual dan masalah pengeluaran air kencing dan garam natrium – hiponatremia (disebabkan kenaikan fungsi hormon antidiuretik – sindrom pengeluaran hormon antidiuretik tidak diperlukan [syndrom of inappropriate antidiuretic hormone, SIADH])

Kesan sampingan yang bahaya termasuklah

  • Sindrom serotonin (tekanan darah tekanan darah dan nadi jantung menaik, refleks badan meningkat, demam, cirit-birit, loya, muntah, gegaran, halusinasi dan koma – jika serius) – ubat ini boleh menebat laluan perantara neuron dopamine dalam otak.
  • Sindrom malignan neuroleptik (suhu terlampau tinggi, kadar nadi tak sekata, kadar nadi tinggi, perubahan status mental, lumpuh otot badan dan fungsi sistem saraf autonomi badan – hipertensi, kegagalan jantung, kesukaran bernafas).
  • Pendarahan ketara (terutamanya dari perut ataupun pendarahan berkaitan alat kelamin wanita).

Pemberhentian ubat ini boleh juga menyebabkan kesan sindrom penarikan (withdrawal symptom) yang biasa dijumpai dalam pesakit yang diberi rawatan ubat depresi seperti ubat ini. Boleh berlaku 5 hari selepas berhenti ubat, mungkin boleh berlaku secara serius jika pesakit dalam rawatan >8 bulan. Antara simptomnya:

  • Simptom macam flu – rasa letih, lemah longlai, tidak selesa, cirit-birit, sakit kepala dan otot
  • Sukar tidur
  • Muntah
  • Ketidakstabilan pergerakan dan tindak balas badan (pening kepala, vertigo)
  • Gangguan deria badan (rasa renjatan elektrik, badan ‘dicucuk-cucuk’, gangguan penglihatan)
  • Kekeliruan dan agitasi

Oleh sebab itu, ubat ini tidak boleh digunakan bagi golongan berikut:

  • Jika pesakit ada mengambil ubat mengelakkan muntah jenis penebat 5-HT3 (alosetron), pengendur otot badan tizanidine, ubat antipsikotik pimozide dan ubat tidur ramelteon. [ubat ini tidak dijual di Malaysia].
  • Jika pesakit ada mengambil bersama, ATAU dalam tempoh 14 hari selepas berhenti ambil, ubat penebat monoamine oksida (MAOI) (isocarboxazide, tranylcypromine), linezolid (ubat antibiotik) atau pewarna methylene blue (dalam penilaian diagnostik kepada rawatan sesetengah penyakit dan methenemoglobinemia), atau dalam tempoh 14 hari selepas berhenti rawatan fluvoxamine dan kemudiannya ada rawatan ubat penebat monoamine oksida (MAOI) (isocarboxazide, tranylcypromine), linezolid atau pewarna methylene blue tadi.
  • Hipersensitif terhadap ubat ini.
  • Masalah sawan yang tidak stabil.
  • Kanak-kanak bawah 8 tahun (tidak ada bukti mencukupi).
  • Pesakit dalam keadaan mania (Rawatan tidak berkesan).
  • Pesakit mengandung (penggunaan dalam trimester 1 boleh menyebabkan risiko kecacatan jantung dalam janin, penggunaan dalam trimester 3 boleh menyebabkan sindrom penarikan bayi, kes hipertensi berterusan dalam kanak-kanak baru lahir juga ada dilaporkan).
  • Pesakit menyusu (fluvoxamine muncul dalam susu ibu)

Peringatan (precaution)

Pengilang ubat ada menyebut ubat ini selagi tidak menyebabkan mengantuk, pesakit boleh menagambil ubat ini dan kendalikan mesin dan jentera berat atau memandu. Jika terasa mengantuk, jangan kendalikan mesin dan jentera berat atau memandu.

Perhatian kerap adalah perlu untuk mereka yang terlibat:



  • Pesakit mengandung (sekiranya kelebihan mengatasi risiko)
  • Pesakit bipolar, pesakit ada sejarah mengalami keadaan mania atau hipomania
  • Pesakit ada sejarah sawan
  • Pesakit ada sejarah berkaitan penyakit jantung (penyakit jantung tak stabil, lepas serangan jantung dsb)
  • Ada sejarah pendarahan dan risiko pendarahan (masalah koagulasi, trombositopenia)
  • Pesakit kenaikan tekanan intraokular mata, atau berisiko mendapat glaukoma (jenis narrow-angle) akut
  • Pengurangan cecair dalam badan
  • Perokok
  • Juga dalam rawatan elektrokonvulsif (prosedur stimulasi otak dalam kalangan pesakit depresi)
  • Pesakit hati dan buah pinggang (ubat akan lebih lama dalam tubuh badan)
  • Pesakit polimorfisma enzim CYP2D6 metabolisasi perlahan.

Interaksi antara ubat

Beritahu doktor jika ada mengambil ubat-ubat lain selain fluvoxamine. Berikut adalah interaksi fluvoxamine bersama ubat-ubat pilihan:

  • Menaikkan kesan pendarahan (ubat NSAID tahan sakit: aspirin, diclofenac dsb; ubat cair darah aspirin, ticlopidine, clopidogrel, abciximab, dipyridamole, warfarin, heparin dsb; antipsikotik atipikal – quetiapine dsb; antidepresan trisiklik – amitryptyline, chlorpromazine dsb)
  • Menaikkan serum ubat berspektrum terapeutik sensitif dan menaikkan kesan sampingan mereka (theophylline, methadone, tacrolimus, phenytoin, carbamazepine, cyclosporine)
  • Menaikkan serum ubat antikemurungan jenis antidepresan trisiklik (amitryptyline, imipramine, dothiepin dsb), ubat penenang (neuroleptik)- clozapine, olanzapine, risperidone dan quetiapine, ubat benzodiazepine (midazolam, alprazolam, diazepam dsb), ubat Parkinson (pramipexole, ropinirole), ubat darah tinggi propranolol dan cair darah warfarin serta ubat antipsikotik haloperidol, serta ubat tidur zolpidem
  • Menaikkan kesan hiponatremia dengan ubat diuretik (hydrochlorthiazide, frusemide dsb).
  • Menaikkan kesan sindrom serotonin: ubat SSRI jenis lain [sertraline, citalopram, escitalopram, fluoxetine, fluvoxamine, paroxetine], ubat migrain dari kumpulan agonis 5-HT3 (keluarga triptan seperti sumatriptan), ubat penebat pengambilan semula noradrenalin (SNRI) [duloxetine, venlafaxine, desvenlafaxine], MAOI (isocarboxazid, tranylcypromine, selegiline, rasagiline), antibiotik linezolid, ubat bipolar (garam lithium), ubat reseptor agonis serotonin (sumatriptan), herba (St John’s wort), pewarna methylene blue, antibiotik TB (isoniazid) dan pengambilan bersama ubat-ubatan opioid lain (morfin, fentanyl dsb), suplemen tryptophan (tryptophan adalah bahan pemula penghasilan serotonin dalam badan), ubat gastrik (omeprazole, pantoprazole), ubat mati pucuk (sildenafil)
  • Menaikkan insiden pemanjangan nadi QT dan torsade de pointes (kesan sampingan melibatkan nadi jantung abnormal): ubat kulat terfenadine, ubat jantung quinidine
  • Menaikkan kepekatan kafein (kopi) dalam darah
  • Mempengaruhi keadaan mental (psikomotor) dengan alkohol
  • Insulin, ubat kencing manis (gliclazide dsb): bacaan gula tak menentu (hipoglisemia dan hiperglisemia)
  • Buah limau gedang: Menaikkan kepekatan fluvoxamine dalam badan
  • Levodopa (ubat Parkinson): menaikkan kesan Parkinson

Kesan terlebih dos

Antara kesan terlebih dos ubat SSRI termasuklah:

  • Loya dan muntah
  • Nystagmus (bebola mata bergerak-gerak tanpa kawalan)
  • Mengantuk dan terasa mahu tidur
  • Kegelisahan
  • Badan bergetar-getar
  • Degupan jantung naik (sinus tachycardia) dan turun (bradycardia)
  • Sawan (boleh berlaku)
  • Tekanan darah rendah
  • Fungsi buah pinggang dan hati
  • Masalah darah terlalu cair (pendarahan dan darah beku dsb)
  • Suhu badan terlampau tinggi
  • Pening kepala
  • Koma

Rawatan yang terlibat termasuklah:

  • Pemberian arang ubatan (activated charcoal) dan laksatif osmotik untuk membuang lebihan ubat fluvoxamine dari badan (sebaik-baiknya 1 jam selepas kes keracunan berlaku)
  • Sawan: lorazepam, diazepam, midazolam

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. Micromedex
  4. MIMS Gateway
  5. Medscape
  6. Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan: Product Search
  7. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Luvox® film-coated tablet: Fluvoxamine maleate (50mg, 100mg).
  8. Chu, A. & Wadhwa, R. (2021). Selective serotonine reuptake inhibitors. Dari StatPearls
  9. Warner, C. H., Bobo, W., Warner, C., Reid, S. & Rachal, J. (2006). Antidepressant discontinuation syndrome. American Family Physician, 74(3), 449 – 456.
Advertisements

2 thoughts on “Ubat Fluvoxamine: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan”

  1. Saya mengalami kecenderungan overthingking pada isteri saya menyebabkan sya hilang selera makan, tidak boleh tidur ( tidur selalu terjaga) kerja tidak menentu

    1. Cadangan saya perlu berjumpa dengan doktor untuk bantuan diagnosis and rawatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13 − 1 =