Skip to content

Ubat Losartan: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat Losartan ini? Artikel ini akan membincangkan kegunaan, dos dan kesan sampingan yang mungkin dihadapi bila mengambil ubat ini.

Pengenalan

Dalam artikel yang lepas kita banyak menerangkan contoh-contoh ubat darah tinggi dalam pasaran. Satu lagi contoh ubat darah tinggi yang diberikan perhatian adalah ubat penebat reseptor angiotensin (angiotensin receptor blocker, ARB) dengan ciri-ciri penghujung perkataan -sartan, nama khas untuk ARB. Sama jugalah kesnya dengan panggilan -pril dalam 3 episod lalu bagi jenis penebat enzim angiotensin (perindopril, enalapril dan captopril). Kali ini kita melihat salah satu contoh utama ubat dalam kumpulan ini iaitu losartan.

Kegunaan

Menurut FDA, kegunaan losartan adalah untuk:

  • Tekanan Darah Tinggi
  • Rawatan pencegahan untuk angin ahmar dalam pesakit darah tinggi
  • Diabetik nefropati (kerosakan buah pinggang) dalam pesakit kencing manis dan sejarah darah tinggi


Kegunaan di luar kebenaran FDA termasuklah:

  • Sindrom Alport (penyakit genetik melibatkan kemusnahan pembuluh darah kecil)
  • Pencegahan rawatan diabetis
  • Rawatan darah tinggi dalam kalangan pesakit diabetis
  • Diabetik nefropati dalam pesakit diabetis Jenis 1 (sebab genetik)
  • Diabetik nefropati dalam pesakit diabetis Jenis 2 (majoriti pesakit dalam jenis ini)
  • Eritrositosis (lebihan darah merah dalam badan)
  • Gout
  • Kegagalan jantung
  • Darah tinggi dalam pesakit buah pinggang
  • Hiperurisemia (lebnihan asid urik dalam air kencing)
  • Pencegahan rawatan fibrillasi atrial berulang

Ubat ini dimulakan oleh doktor perubatan sahaja dan memerlukan preskripsi doktor untuk belian di farmasi komuniti.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara pengambilan ubat

  • Ambil sebelum atau selepas makan (walaupun penyerapan losartan dalam darah berkurangan dengan makanan).
  • Perlu diambil pada waktu yang sama setiap hari.
  • Telan dengan segelas air kosong. Boleh juga dihancurkan buat pesakit yang sukar menelan ubat (kecuali sediaan salutan filem, tidak boleh dihancurkan). Boleh juga dipotong separuh (sesetengah sediaan ubat ada boleh dipotong kecuali ubat gabungan losartan dan ubat lain seperti amlodipine atau hydrochlorothiazide).
  • Jika terlupa, ambil segera setelah teringat. Jika teringat ketika hampir ke waktu pengambilan ubat seterusnya pesakit perlu meninggalkan dos lama dan mengambil dos seterusnya. Jangan gandakan dos.

Penyimpanan

Ubat perlu disimpan dalam suhu bilik (25°C) dan dijauhkan daripada cahaya dan lembapan serta kanak-kanak. Buang jika ubat melepasi tarikh luput.

Dos

Berikut adalah dos mengikut masalah yang dihadapi oleh pesakit.

  • Darah tinggi dalam pesakit diabetis
    • 50 – 100 mg/hari dalam pecahan dos untuk diambil sekali/2 kali sehari, dos disesuaikan mengikut keadaan tekanan darah semasa pesakit. Sasaran rawatan untuk golongan ini adalah bawah 130/80 mmHg (jika berisiko tinggi komplikasi kardiovaskular), dan bawah 140/90 mmHg (jika pesakit berisiko rendah utnuk komplikasi kardiovaskular).
  • Pencegahan kecederaan Angin ahmar dalam pesakit darah tinggi
    • Dos permulaan 50 mg sekali sehari, boleh dinaikkan sehingga 100 mg sekali sehari.
    • Boleh digabung dengan ubat darah tinggi jenis diuretik hydrochlorothiazide dengan dos permulaan 12.5 mg, boleh dinaikkan dos hingga 25 mg sekali sehari. Dos perlu disesuaikan seiring prestasi tekanan darah semasa.
  • Diabetik nefropati dalam pesakit diabetis Jenis 1 dan 2
    • Dos permulaan 50 mg/hari (atau 25 mg/hari bagi warga tua), julat dos antara 50 – 100 mg/hari dalam pecahan dos untuk diambil sekali/2 kali sehari. Dos perlu disesuaikan dngan prestasi tekanan darah semasa dengan sasaran tekanan darah kurang dari 140/90 mmHg bagi pesakit yang mengalami risiko kesan sampingan akibat pengoptimuman rawatan untuk darah tinggi seperti dalam pesakit buah pinggang. Warga tua perlulah dimulakan rawatan dengan dos rendah untuk beberapa minggu sebelum dos mereka disesuaikan seiring dengan keadaan semasa pesakit.
    • Pesakit dengan tekanan darah biasa dan protein dalam urin (albuminuria) perlu sesuaikan dos dengan keadaan semasa sehingga maksimum dos ditetapkan untuk rawatan darah tinggi.
  • Nefropati dalam pesakit diabetis Jenis 2 dan ada sejarah penyakit hipertensi
    • Pastikan kepekatan garam dan air dalam badan diperbetulkan terlebih dahulu, selepas itu dos permulaan 50 mg sekali sehari boleh diberikan. Dos boleh dinaikkan sehingga 100 mg sehari sekali berdasarkan prestasi semasa.
  • Gout: Dos 50 mg sekali sehari dengan gabungan rawatan ubat lain seperti allopurinol (indikasi luar label)
  • Kegagalan jantung: Mulakan dengan dos 25-50 mg sekali sehari, sesuaikan dos ikut keadaan semasa sehingga mencapai maksimum 50 – 150 mg sekali sehari, perlu dinaikkan dos secara berkala (ikut minggu)
  • Hiperurisemia (lebihan asid urik dalam badan): pesakit darah tinggi yang mengambil ubat thiazide yang menyebabkan hiperurisemia diberikan dos 50 mg sekali sehari (indikasi luar label).
  • Darah tinggi dalam kanak-kanak:
    • (6 tahun ke atas) Dos permulaan 0.7 mg/kg sekali sehari (25-50 kg) (jumlah sehingga 50 mg/hari). Pesakit lebih 50 kg, dos permulaan 1.4 mg/kg sekali sehari (dos sehingga 100 mg/hari). Dos lebih 1.4 mg/kg/hari (dos 100 mg ke atas) tidak dikaji langsung. Dos disesuaikan mengikut keadaan tekanan darah pesakit.
  • Pesakit kegagalan buah pinggang: pesakit ringan, sederhana dan serius tidak memerlukan penyesuaian dos melainkan pesakit sendiri ada masalah kurang air dalam badan (volume depleted). Jika ada, dos 25 mg sekali sehari dimulakan. Dos disesuaikan ikut tekanan darah semasa, mungkin boleh diberikan 25 mg 2 kali sehari. Dalam kanak-kanak, tidak boleh digunakan jika GFR <30 ml/min/1.73 m2.

Jenama Ubat yang ada dalam pasaran

Formulari kebangsaan ada memiliki tablet losartan berkekuatan 50 mg dan 100 mg. Juga didapati dalam campuran bersama ubat darah tinggi jenis thiazide – hydrochlorothiazide (50 mg losartan/12.5 mg hydrochlorothiazide, 100mg/12.5 mg dan 100mg/25mg).



Dapatan NPRA memperoleh losartan sebagai ubatnya yang tersendiri dan campuran bersama hydrochlorothiazide (sama seperti dalam formulari) dan amlodipine dalam garam camsylate, seperti di bawah:

  • Tablet 25 mg:
    • Losagen 25 (Unimed),
    • Tozaar (Torrent Laboratories)
  • Tablet 50 mg:
    • Zosaar (Abio),
    • Saranto (Healol),
    • Hartan (Stadpharm) (jenis salutan filem),
    • Acetan (Duopharma),
    • Zyltan 50 (Unimed),
    • Losartan K (Averroes) (jenis salutan filem),
    • Losagen 50 (Unimed),
    • Cozaar 50 (MSD),
    • Rosart (Ranbaxy),
    • Zylovaa (Xepa sp),
    • Tozaar (Torrent Laboratories),
    • Tosan (Imeks),
    • Presartan-50 (The Zyfas) (jenis salutan filem),
    • Hovid-losartan (Hovid),
  • Tablet 100 mg:
    • Tozaar (Torrent Laboratories),
    • Acetan (Duopharma),
    • Losagen 100 (Unimed),
    • Rosart (Ranbaxy),
    • Zylovaa (Xepa sp),
    • Losacar (The Zyfas),
    • Presartan-100 (The Zyfas) (jenis salutan filem),
    • Hovid-Hozar (Hovid)
  • Campuran bersama ubat darah tinggi jenis penebat saluran kalsium amodipine (garam camsylate): Cozaar® XQ (MSD) – losartan 50 mg/amlodipine camsylate 5 mg, 100 mg/5 mg.
  • Campuran bersama ubat darah tinggi jenis thiazide – hydrochlorothiazide
    • Losartan 50 mg dan hydrochlorothiazide 12.5 mg: Acetan HCT (Duopharma), Lostad HCT (Stadpharm), Saranto-H (Healol), Hyzaar (MSD), Tozaar Plus LS (Torrent Laboratories), Lorista H (Pahang Pharmacy), Zylovaa-H (Xepa sp)
    • Losartan 100 mg dan hydrochlorothiazide 12.5 mg: Hyzaar (MSD)
    • Losartan 100 mg dan hydrochlorothiazide 25 mg: Acetan HCT (Duopharma), Lostad HCT (Stadpharm), Lorista HD (Pahang Pharmacy), Zylovaa-H (Xepa sp)

Cara Ubat Berfungsi

Angiotensin yang merupakan punca utama meningkatnya tekanan darah dan penyerapan semula garam dan air keluar dari air kencing biasanya ditebat menggunakan 2 cara, sama ada menebat pengeluaran bahan aktif angiotensin II (yang dilakukan oleh penebat enzim angiotensin, penebat ACE) dan menutup laluan angiotensin II melekap pada reseptor angiotensin, yang merupakan medium utama ubat penebat reseptor angiotensin (ARB) yang juga dikenali dengan hujung nama -sartan seperti losartan yang dibincangkan sekarang ini.

Kesan yang sama seperti mengurangkan kemusnahan fungsi buah pinggang serta jantung dan mengelakkan strok seperti dialami ubat penebat ACE turut sama dipaparkan ubat kumpulan ARB ini. Yang membezakan antara 2 kumpulan ubat yang bertindak terhadap bahan angiotensin ini adalah, ubat ARB boleh diberikan secara alternatif sekiranya penggunaan penebat ACE (perindopril dan sebagainya) menyebabkan kesna sampingan seperti batuk kering dan kesan alergik seperti angioedema (bengkak sesetengah tempat dalam badan). Ini adalah disebabkan ARB tidak melakukan sebarang gangguan pada perantara inflamatori bradykinin yang menyebabkan kesan sampingan dinyatakan sebentar tadi.

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan direkodkan:

  • Tekanan darah rendah (dalam kalangan pesakit kurang air atau garam natrium dalam badan)
  • Masalah buah pinggang terutamanya fungsi buah pinggang merudum (jika berterusan perlu dihentikan) – melalui menaiknya kreatinin dalam darah
  • Lebihan garam kalium (sangat tidak sesuai jika digandingkan bersama ubat lain yang menaikkan garam kalium)
  • Pening dan sakit kepala, migrain
  • Sukar tidur
  • Sakit otot dan sakit sendi dan badan
  • Batuk-batuk
  • Letih dan lemah
  • Loya dan muntah
  • Sakit perut
  • Cirit-birit
  • Berpinar-pinar
  • Kulit terlampau sensitif cahaya matahari
  • Kulit bengkak, gatal-gatal dan ruam
  • Kesan hipersensitif (angioedema – bengkak-bengkak bahagian badan) – jarang berlaku
  • Pengurangan sel darah merah dan putih (neutropenia dsb)
  • Sukar bernafas
  • Bacaan nadi dan pernafasan tak menentu
  • Jangkitan saluran pernafasan dan saluran air kencing
  • Sukar bangun dari tempat tidur (hipotensi ortostatik)
  • Boleh menyebabkan fibrillasi atrial, srangan jantung, mati pucuk, depresi pada sesetengah pesakit.

Oleh sebab itu, ubat losartan tidak boleh digunakan bagi golongan berikut:

  • Ibu mengandung: Kategori D FDA. Boleh membahayakan tekanan darah dan fungsi ginjal ibu dan anak. Kecacatan kekal otak juga turut dilaporkan. Penggunaan perlu dihentikan apabila ibu mula tahu mengandung.
  • Ibu menyusu: Ubat tidak dikenal pasti boleh keluar dari susu ibu, tetapi kajian haiwan mendapati ubat ada muncul dalam susu ibu tikus.
  • Bayi bawah 44 minggu.
  • Pesakit buah pinggang yang mempunyai saluran darah sempit (Renal Artery Stenosis)
  • Pengambilan bersama dengan aliskiren (penebat renin) dalam pesakit diabetis atau fungsi buah pinggang bawah 60 ml/min
  • Pesakit kegagalan hati serius
  • Pesakit kanak-kanak dengan kegagalan buah pinggang GFR <30 ml/min/1.73 m2.
  • Kanak-kanak bawah 6 tahun

Peringatan (precaution)

Ubat ini boleh menyebabkan pening kepala dan mengantuk, jadi tidak boleh memgang jentera berat dan tidak boleh memandu.

Penggunaan ubat ini perlu digunakan dengan pantauan doktor terhadap golongan ini:

  • Pesakit buah pinggang renal stenosis (tidak mengira unilateral atau bilateral), pesakit stenosis jantung (tidak mengira injap aortik dan mitral)
  • Pesakit pernah mengalami angioedema tanpa diketahui sebab (idiopati) atau mempunyai ahli keluarga yang mengalami angioedema atau mengalami angioedema selepas pengambilan ubat jenis penebat ACE lain.
  • Pesakit kurang air dan garam (ion natrium) dalam badan
  • Pesakit kegagalan jantung serius
  • Pesakit kulit hitam
  • Sel hati rosak/robek (cirrhosis)
  • Pesakit kegagalan buah pinggang dan hati (ringan dan sederhana).
  • Warga tua
  • Pesakit menyusu

Interaksi antara ubat

Seperti biasa, beritahu doktor jika ada mengambil ubat-ubat lain selain losartan. Berikut adalah interaksi losartan bersama ubat-ubat pilihan:



  • Menaikkan kesan hipotensi, lebihan garam kalium (hyperkalemia) dan menaikkan risiko kegagalan buah pinggang (nefrotoksisiti) dengan ubat penebat ACE (perindopril, enalapril, captopril) dan aliskiren (penebat renin)
  • Menaikkan kesan hipotensi dengan ubat darah tinggi lain (amlodipine, prazosin, metoprolol dsb), NSAID (aspirin, mefenamic acid, diclofenac dsb), ubat mati pucuk (sildenafil dsb)
  • Menaikkan insiden hyperkalemia dengan ubat penahan garam kalium untuk rawatan darah tinggi (amiloride, spironolactone), suplemen kalium (kalium klorida dsb), antibiotik trimethoprim, ubat cair darah (heparin, enoxaparin, tinzaparin dsb), ubat darah tinggi jenis penebat beta (bisoprolol, metoprolol dsb).
  • Menaikkan insiden kecederaan sistem ginjal (sodium dihydrogen fosfat – ejen pengasidifikasi air kencing)
  • Menaikkan kesan nefrotoksisiti (NSAID– aspirin, mefenamic acid, diclofenac dsb; lithium – ubat psikoterapi; ubat imunosupresan – cyclosporin, tacrolimus
  • Menaikkan kesan hipersensitif (angioedema) – ubat kencing manis jenis penebat DPP4 (sitagliptin, vildagliptin dsb)
  • Mengurangkan kepekatan losartan dalam darah: rifampicin, ubat sawan (phenytoin, phenobarbitone, valproic acid, sodium valproate, carbamazepine), ubat antibiotik nafcillin, ubat antikulat fluconazole dsb, jus limau gedang
  • Menaikkan serum losartan: ubat HIV/AIDS (ritonavir, indinavir, efavirenz dsb), ubat jantung (amiodarone), ubat gastrik omeprazole, ubat asma zafirlukast
  • Menaikkan kesan hipoglisemia dengan insulin

Kesan terlebih dos

Kes toksisiti losartan biasanya datang dengan tanda-tanda seperti tekanan darah rendah dan bacaan nadi tinggi dan rendah (mungkin datang dari reaksi stimulasi parasimpatetik dalam badan). Antara gejala lain:

  • Kesan sampingan ringan- sederhana: hipoglisemia tanpa simptom, kejang otot dan pening kepala.
  • Kesan serius: Ada kajian mendapati kes kegagalan buah pinggang tanpa pengeluran air kencing (anuric renal failure) selepas mengambil dos losartan 2700 mg dan amlodipine 200 mg. Terdapat juga kes kejutan, keruntuhan sistem peredaran darah (circulatory collapse), dan pesakit makin tidak sedarkan diri boleh berlaku dengan pengambilan dos tinggi valsartan (satu lagi jenis ARB), tetapi mungkin boleh berlaku.

Rawatan utama utk pesakit ini adalah:

  • Pemberian cecair IV untuk hipotensi (dalam pesakit ringan dan sederhana)
  • Dalam pesakit serius, rawatan simptomatik perlu diberikan. Prioriti utama untuk menstabilkan sitem kardiovaskular terlebih dulu).

Ubat Darah Tinggi yang lain

Ubat AmlodipineUbat Perindopril
Ubat CaptoprilUbat Losartan
Ubat EnaprilUbat Candesartan
Ubat TelmisartanUbat Darah Tinggi

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. Micromedex
  4. MIMS Gateway
  5. Medscape
  6. Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan: Product Search [Internet].
  7. Malaysian Society of Hypertension, Ministry of Health Malaysia & Academy of Medicine of Malaysia (2018). Clinical practice guidelines on management of hypertension (5th ed.). Malaysia: Malaysian Society of Hypertension.
  8. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Acetan Tablet: Losartan potassium [Internet].
  9. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Hyzaar®/ Fortzaar® (losartan kalium 50mg/12.5mg, 100mg/12.5mg, 100mg/25mg) [Internet].
  10. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Hartan 50 mg film-coated tablets: Active ingredient: Losartan potassium 50 mg [Internet].
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + 14 =