Skip to content

Ubat Simvastatin: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat simvastatin? Artikel ini akan membincangkan kegunaan ubat simvastatin, dos dan kesan sampingannya kepada badan.

Kegunaan

Seperti yang diketahui ubat simvastatin ini digunakan untuk merawat masalah kolestrol tinggi.

Kegunaan simvastatin secara spesifik adalah:

  • Pencegahan sakit jantung atau angin ahmar bagi mereka yang berisiko
  • Mereka yang mengalami Kolesterol Tinggi (Hypercholesterolemia)
  • Famillial Hypercholesterolemia – Penyakit genetik yang menyebabkan bacaan kolesterol tinggi
  • Hipertrigliseridemia – lebihan lemak trigliserida dalam darah


Antara kegunaan lain di luar indikasi FDA adalah:

  • Mereka yang baru sahaja mengalami sakit jantung
  • Mereka yang baru sahaja menjalani pembedahan pintasan jantung
  • Aterosklerosis (pengumpulan lemak dalam saluran darah yang mengecilkan aliran darah yang seterusnya meningkatkan insiden darah beku)
  • Masalah lemah jantung
  • Rawatan sampingan bagi mereka yang baru sahaja menjalani prosedur percutaneous coronary intervention (PCI)- peletakkan stent dalam saluran darah koronari yang tersekat

Cara pengambilan ubat

  • Diambil pada lewat waktu malam sebelum tidur (pencernaan dan perkumuhan kolesterol lebih aktif ketika tidur malam membolehkan kolesterol dikumuh keluar menerusi tinja ke dubur)
  • Diambil sebelum atau selepas makan dengan segelas air 250 ml, perlu ditelan kebiasaannya
  • Jika terlupa dos, abaikan dos yang terlupa diambil. Langkau dos yang terlupa diambil itu dan ambil dos seterusnya dalam masa yang ditetapkan. Elak ambil dos berganda (double dosing).
  • Dos berbeza mengikut keadaan semasa pesakit. Julat dos yang boleh digunakan antara 5 – 80 mg/hari dalam kalangan dewasa. Dos boleh dinaikkan dan diturunkan mengikut prestasi kolesterol pesakit.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Disimpan dalam suhu bawah 30°C, jangan digunakan melepasi tempoh luput ubat. Jauhkan dari haba, lembap dan kanak-kanak.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Formulari kebangsaan yang digunakan hospital dan klinik kerajaan biasanya menyimpan simvastatin berkekuatan 10 mg, 40 mg dan 20 mg (jarang ditemui). Namun begitu terdapat pelbagai pilihan ubat simvastatin di pasaran, antaranya:

  • Zocor (MSD): 10 mg/20 mg/40 mg/80 mg – ini adalah jenama inovator.

Jenama generik yang terdapat di Malaysia adalah seperti dibawah:

  • Simvor tablet (Ranbaxy): 10 mg/20 mg/40 mg
  • Pharmaniaga Simvastatin (Pharmaniaga): 10 mg/20 mg/40 mg
  • Simvahexal (Imexs Pharma): 10 mg dan 20 mg (salutan filem)
  • Simvacip-10, -20 dan -40 (Cipla): masing-masing 10 mg/20 mg/40 mg
  • Simvastatin Winthrop (Sanofi-Aventis): 20 mg dan 40 mg
  • Simvacor (YSP): 20 mg dan 40 mg (salutan filem)
  • Stavid (Hovid): 10 mg/20 mg/40 mg
  • Vascor (Duopharma): 20 mg dan 40 mg (salutan filem)

Cara Ubat Berfungsi

Simvastatin tergolong dalam keluarga besar ubat antikolesterol statin, contoh lain yang juga digunakan dalam fasiliti kesihatan kerajaan seperti atorvastatin dan pravastatin.



Penghasilan kolesterol adalah tinggi ketika waktu malam. Oleh disebabkan itu, ubat kolesterol ini selalunya dinasihatkan untuk diambil pada waktu malam. Selain dari itu, salah satu enzim yang terlibat dalam menghasilkan kolesterol ini adalah HMG-CoA reductase.

Manakala, penggunaan ubat simvastatin ini akan merencat fungsi enzim ini dan menyebabkan penghasilan kolesterol dalam badan menjadi rendah. Jangka masa ubat bertindak dan berada dalam tubuh badan adalah pendek (<5 jam), oleh itu lebih sesuai diambil pada waktu malam sebelum tidur.

Kesan sampingan

Antara kesan sampingan direkodkan termasuklah:

  • Sembelit
  • Cirit-birit
  • Kembung perut
  • Sakit perut
  • Sakit kepala
  • Pening
  • Sakit-sakit otot, otot lembik atau lemah otot yang bukannya berpunca dari kurang bersenam (boleh menyebabkan myopati (sakit-sakit otot dan otot lembik) dan rhabdomyolysis: pengoyakan otot lembut ke dalam saluran darah)
  • Kenaikan tahap alanine dan aspartate transaminase (parameter untuk ujian fungsi hati)
  • Kurang darah merah (anemia)
  • Hati Bengkak
  • Jaundis (kekuningan)
  • Reaksi hipersensitif (bengkak, kulit kemerah-merahan, kegatalan dsb) – boleh menjadi kesan serius
  • Sakit urat
  • Kebas otot
  • Sukar tidur
  • Boleh menyebabkan hiperglisemia (kadar gula naik dalam darah)

Simvastatin tidak boleh digunakan untuk golongan berikut:

  • Masalah hati
  • Sengal-sengal otot (myopati) disebabkan ubat kolesterol lain (niasin, ezetimibe, fenofibrate dsb)
  • Pengambilan bersama ubat-ubat yang mengganggu metabolisme simvastatin (termasuklah keluarga azole iaitu ubat antikulat – itraconazole, ketoconazole; keluarga antibiotik jenis Macrolide – clarithromycin, erythromycin; Ubat HIV – ritonavir, indinavir; asid fusidik), gemfibrozil, danazol dan cyclosporin
  • Pesakit mengandung atau bakal mengandung
  • Pesakit menyusu (tidak digalakkan kerana tiada data mencukupi)
  • Alahan terhadap simvastatin dan ubat dari keluarga statin lain (atorvastatin dsb)

Peringatan (precaution)

Ambil ubat mengikut saranan doktor dan jangan melebihi dos yang ditetapkan. Jangan berhenti mengambil dos ubat sehinggalah diberitahu doktor berkenaan dos yang digunakan.

Ubat ini boleh menyebabkan mengantuk, jadi tidak digalakkan untuk mengawal jentera berat atau memandu.

Dos 80 mg harian untuk simvastatin hanya dikhaskan untuk pesakit yang mengambil dos harian 80 mg selama 12 bulan tanpa sebarang kesan myopati dan rhabdomyolysis. Jika pesakit selain dari pesakit ini mengambil dos 80 mg sehari, insiden rhabdomylysis dan myopati akan lebih berisiko didapati pesakit tersebut.

Ubat ini masih lagi boleh digunakan dalam pesakit berikut dengan pantauan para doktor:



  • Pesakit kegagalan buah pinggang
  • Pesakit berisiko mendapat myopati / rhabdomyolysis: hipotiroidisme tidak terkawal, sejarah diri atau keluarga yang terlibat masalah berkaitan otot dan sendi badan, warga tua 65 tahun ke atas. Jika ada sebarang tanda, mungkin doktor perlu memberhentikan rawatan dan menukarkan ke alternatif lain.
  • Ada sejarah berkenaan toksisiti otot selepas mengambil ubat-ubatan statin/fibrate (juga ubat kurangkan lemak badan seperti statin)
  • Pesakit kerap mengambil arak

Interaksi antara ubat

Interaksi berikut ada direkodkan di sini tetapi ini hanyalah sebahagian daripadanya. Beritahu doktor sekiranya ada mengambil apa-apa ubat bersama simvastatin terlebih dahulu. Ini adalah antara ubat dan makanan yang berinteraksi dengan ubat ini:

  • Alkohol: meningkatkan insiden masalah hati
  • Limau gedang: menaikkan kepekatan simvastatin dalam darah. Pengambilan ketara 1 L jus ini mungkin menaikkan kesan toksisiti pada otot, tetapi pengambilan segelas (250 ml) jus ini setiap hari didapati tidak menunjukkan apa-apa kesan ketara.
  • Ubat penebat CYP450 3A4 (ubat antikulat: griseofulvin, itraconazole, voriconazole, ketoconazole; antibiotik macrolide: clarithromycin, erythromycin; Ubat HIV: indinavir, ritonavir dsb; cobicistat,
  • Ubat sawan (carbamazepine, phenytoin, topiramate dsb), ubat steroid (dexamthasone dsb), herba St John’s wort, antibiotik rifampicin : mengurangkan dos terapeutik simvastatin
  • Menaikkan kepekatan ubat jantung digoxin dalam darah
  • Berpotensi menaikkan kesan ubat pencair darah warfarin

Kesan terlebih dos

Ubat simvastatin kebiasaannya jarang menyebabkan keracunan jika diambil berlebihan. Terdapat kes toksisiti melibatkan simvastatin yang melibatkan pesakit datang dengan simptom-simptom seperti:

  • Kebas-kebas tangan dan kaki
  • Cirit-birit
  • Kenaikkan garam kalium dalam badan
  • Myopati
  • Rhabdomyolysis
  • Kegagalan buah pinggang akut
  • Kenaikan parameter fungsi hati
  • Kabur penglihatan

Rujukan

  1. MIMS Gateway
  2. Micromedex
  3. Medscape
  4. BNF 78
  5. QUEST3+ Product Search. Diambil dari: BPFK
  6. Buku Biru Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  7. Hennessy, E., Adams, C., Reen, F. J., & O’Gara, F. (2016). Is there potential of repurposing statins as novel antimicrobials? Antimicrobial Agents and Chemotherapy, 60(9), 5111 – 5121.
  8. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Pharmaniaga Simvastatin Tablet Simvastatin 10 mg/20 mg/40 mg [Internet]. Diambil dari: BPFK
  9. Simvastatin Winthrop 20 mg Tablet/ Simvastatin Winthrop 40 mg Tablet: Simvastatin [Internet]. BPFK
  10. Armitage, J. (2007). The safety of statins in clinical practice. The Lancet, 370(9601), 1781 – 1790.
Advertisements

4 thoughts on “Ubat Simvastatin: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan”

  1. Saya mempunyai tahap kolestrol 7.16 dgn HDL 2.66/LDL 4.10/TGLSDRD 0.92
    Saya mengambil ubt simvasstatin sjk 2015 dgn dos purata 10mg.sblm ni kptsn total kolestrol secara purata 5-6 dgn HDL2.5 dan LDL 2-3.
    Doct telah sarankn utk mkn berselang sehari ubt tersebut selama 6 bln. Dan kptsn slps 6 bln adalah seperti yg dinyatkn di awal td.doct tlh sarankn utk menambah dos 40 mg setiap hari.sy jd sangsi dan takut utk ambil dos sbyk itu.
    Tlg la bg pndgn kpd saya.
    Terima kasih.

    1. Susah untuk saya bagi kesimpulan secara menyeluruh kenapa doktor tersebut naikkan dos simvastatin. Tetapi selalunya untuk kenaikan dos ubat ini kena bergantung kepada beberapa faktor seperti umur, mempunyai tekanan darah tinggi atau tidak, ada kencing manis atau tidak, merokok, mempunyai sejarah sakit jantung atau strok.

      Jika seseorang itu ada kencing manis, darah tinggi atau/dan sejarah sakit jantung atau strok, selalunya doktor mahukan bacaan LDL yang rendah. Sebagai contoh jika ada kencing manis, kita mahu bacaan LDL kurang dari 2.6.

      Jadi untuk saya komen secara keseluruhan itu susah sebab butiran puan saya tidak ketahui. Saya nasihatkan puan untuk bertanyakan kepada doktor berkenaan kenapa perlu dinaikkan dose sebanyak 40mg. Kenapa tak ambil sahaja balik seperti dulu iaitu mengekalkan 10mg tetapi mengambilnya setiap hari. Kemungkinan doktor tersebut mempunyai alasan yang kukuh kenapa perlu dinaikkan dos ubat ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − seven =