Skip to content

Ubat Sitagliptin: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat kencing manis sitagliptin (Jenama Januvia)? Artikel ini akan membincangkan dos, kegunaan dan kesan sampingan bagi ubat ini?

Pengenalan

Terdapat pelbagai jenis ubat kencing manis. Ubat sitagliptin merupakan salah satu ubat kencing manis jenis penebat DPP4 yang digunakan untuk merendahkan bacaan gula dalam darah.

Ia selalu digunakan pada pesakit yang masih lagi tidak mencapai kawalan gula yang bagus apabila pesakit telah mengambil ubat kencing manis yang biasa seperti metformin dan gliclazide

Kegunaan



Kegunaan ubat sitagliptin adalah sama seperti ubat penebat DPP4 yang lain iaitu:

  • Rawatan tambahan diabetis bagi pesakit yang gagal mencapai penurunan tahap gula dan/atau tidak mampu mengambil ubat metformin atau ubat-ubat sulfonilurea (gliclazide, glibenclamide dsb) kerana tidak mampu menahan kesan sampingan ataupun mempunyai kontraindikasi berkaitan pengambilan ubat tersebut.
  • Rawatan tambahan diabetis pada pesakit yang belum mencapai sasaran penurunan gula walaupun dalam rawatan metformin sahaja dan berisiko tinggi memperoleh hipoglisemia (kurang darah), terutamanya warga tua dengan pelbagai penyakit lain berisiko (darah tinggi, komplikasi jantung sebagai contoh)
  • Rawatan bagi pesakit kegagalan buah pinggang di mana penggunaan metformin tidak digalakkan.
  • Pengecualian ubat untuk digunakan bagi pesakit diabetis dengan tahap HbA1c lebih dari 9% (kajian ada menunjukkan kurang keberkesanan penggunaan sitagliptin untuk menurunkan kadar gula)

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Dos Ubat Sitagliptin

Pemberian sitagliptin hanya boleh dimulakan oleh doktor pakar sahaja setelah pemeriksaan teliti dibuat, meliputi pelbagai prestasi organ utama badan termasuklah prestasi dan tahap buah pinggang pesakit. Preskripsi doktor amat diperlukan untuk dibeli di farmasi komuniti.

Apapun, berikut disertakan sestengah cara pengambilan ubat tersebut:

  • Dos kebiasaannya bagi pesakit biasa: 100 mg sekali sehari sahaja (sama pengambilan seperti saxagliptin). Dos ini juga termasuklah bagi warga tua (walaupun begitu, penilaian dan pemerhatian perlu dilakukan jika keadaan buah pinggang mereka makin susut), pesakit kegagalan hati, dan pesakit yang ada dalam terapi ubat kenicng manis lain seperti metformin ataupun ubat sulfonilurea (gliclazide) ataupun kedua-duanya sekali.
  • Pesakit kegagalan buah pinggang dengan kadar eGFR 30 hingga 50 ml/min (atau 45 ml/min dalam sesetengah rujukan) perlu mengambil dos 50 mg sekali sehari, manakala pesakit dengan kadar eGFR kurang dari 30 ml/min perlu mengambil 25 mg sekali sehari.

Bila Perlu Ambil Ubat?

Ubat boleh sahaja diambil sebelum atau selepas makan, kebiasaanya sekali sehari sahaja. Jika tertinggal dos kebiasaannya perlu diambil serta merta selepas teringat.

Jika baru teringat dos pada waktu hampir dengan dos seterusnya perlu meninggalkan dos yang terlupa dan ambil sahaja dos yang baru tanpa menggandakan dos ubat tersebut. Ubat perlu ditelan dengan segelas air kosong.

Jenis Ubat Stigliptin Campuran



1. Sitaglpitin + Metformin

Seperti vildagliptin dan saxagliptin, ubat ini juga turut muncul dalam formulasi campuran bersama ubat lain. Sitagliptin turut dicampur bersama ubat metformin jenis pelepasan biasa. Selain itu, sitagliptin turut diformulasikan bersama metformin jenis pelepasan berterusan (extended-released formulation).

Namun begitu, ubat ini juga sepertimana sitagliptin biasa perlu ditelan sepenuhnya dengan segelas air kosong dan tidak boleh dipecah, dikunyah dan dipotong juga. Dos maksimum bagi ubat berkenaan adalah campuran 100 mg sitagliptin dan 2000 mg metformin.

2. Sitagliptin + Ertugliflozin

Sitagliptin juga turut dicampur bersama satu lagi ubat kencing manis jenis penebat saluran penghantaran bersama natrium-glukosa (sodium-glucose cotransporter-2 inhibitor, SGLT-2 inhibitor) bernama ertugliflozin.

Sama seperti campuran sitagliptin bersama metformin tadi, ubat ini juga perlu ditelan bersama segelas air kosong, tidak boleh ditelan, dikunyah mahupun dipotong. Dos maksimum yang biasa boleh diberikan pada pesakit ialah 15 mg ertugliflozin dan 100 mg sitagliptin.

Penyimpanan

Ubat tablet tidak mengira sitagliptin sahaja ataupun campuran bersama ubat kencing manis yang dinyatakan di atas tadi, perlu disimpan di bawah 30°C dan dijauhkan dari kanak-kanak dan dsimpan di tempat kering dan dingin (suhu bilik lebih diutamakan).

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Seperti dinyatakan dalam Buku Biru Formulari, ubat yang terdapat dalam fasiliti kesihatan KKM adalah:



  • Januvia® (Merck Sharp & Dohme, MSD) (sitagliptin biasa) dengan kekuatan 25, 50 dan 100 mg.
  • Janumet® (MSD) (campuran sitagliptin dengan metformin formulasi biasa): 50 mg sitagliptin/500 mg metfromin, 50/850 dan 50/1000.

Dalam pasaran negara, ubat tersebut juga muncul dalam jenama inovator lain juga:

  • Janumet® XR (MSD) (campuran sitagliptin biasa tetapi metformin jenis pelepasan berterusan, extended-release formulation/ XR, dalam salutan filem) dengan kekuatan 50 mg sitagliptin/500 mg metformin XR, 50/1000 dan 100/1000.
  • Steglujan® (campuran sitagliptin bersama ertugliflozin dalam salutan filem) dengan kekuatan 5 mg ertugliflozin/100 mg sitagliptin dan 15/100.

Pasaran negara turut mempunyai ubat sitagliptin biasa dalam bentuk generik: hovid-Sitagliptin (Hovid) berkekuatan 100 mg.

Cara Ubat Berfungsi

Seperti vildagliptin dan saxagliptin, sitagliptin secara aktif menebat enzim dipeptidyl peptidase-4 (DPP4), membolehkan kesan protein incretin lebih lama dalam badan, seterusnya mengawal kenaikan gula bagi pesakit diabetis.

Saxagliptin menurunkan HbA1c dalam julat 0.5 – 0.8%, dan tidak sama sekali menaikkan berat badan pesakit diabetis. Sitagliptin setakat ini mempunyai kurang interaksi bersama enzim hati penting tidak seperti vildagliptin dan saxagliptin.

Namun begitu sitagliptin lebih aktif dibuang menerusi buah pinggang (lebih dari 80%), yang seterusnya memerlukan pemerhatian lebih kerap dan pengurangan dos perlu diberikan pada pesakit yang terlibat. Walau bagaimanapun keberkesanannya tetap diakui dalam penggunaan pada warga tua dan yang memiliki risiko komorbiditi lain.

Kesan Sampingan

Pernyataan mengenai kesan sampingan di sini hanya merujuk kepada sitagliptin sahaja. Jika terdapat kesan sampingan selepas mengambil sitagliptin, pesakitperlu berjumpa doktor seberapa segera. Antara kesan biasa yang direkodkan termasuklah:

  • Hipoglisemia (kurang gula dalam darah) dengan simptom seperti berikut:
    • Pening kepala
    • Hampir pitam
    • Berpeluh-peluh
    • Terketar-ketar
    • Badan menggigil
    • Jantung rasa berdebar-debar
    • Perubahan dalam penglihatan
    • Ragam angin berubah
    • Terasa lapar
  • Hipersensitif:
    • Sukar bernafas atau menelan makanan
    • Bengkak-bengkak tangan, kaki, muka, mata dan tekak (angioedema)
    • Kulit kemerahan, gatal, ruam kulit, bintik-bintik merah (gegata), kulit mengelupas dan berkuping
    • Boleh jadi lebih serius- sindrom Steven-Johnson

*Jika keadaan berterusan perlu segera berjumpa doktor dan menghentikan pengambilan saxagliptin.

  • Sakit sendi
  • Jangkitan saluran pernafasan (terutamanya hidung dan tekak)
  • Jangkitan saluran kencing
  • Sakit dada
  • Letih lesu
  • Pening dan sakit kepala
  • Sakit perut
  • Loya dan muntah
  • Bengkak pada tangan, kaki dan pergelangan kaki

Kesan serius yang turut dilaporkan termasuklah:



  • Keradangan pankreas (pankreatitis): sakit-sakit bahagian abdomen badan yang berkekalan dan serius
  • Penurunan prestasi buah pinggang – jika keadaan berterusan doktor perlu berhenti menggunakan ubat ini dan mungkin perlu memilih alternatif lain
  • Tindak balas imun badan yang serius seperti bullous pemphigoid (insiden lepuhan kulit yang serius)

Disebabkan itulah, penggunaan sitagliptin ini tidak digalakkan penggunaannya dalam pesakit tersebut:

  • Kanak-kanak (kajian terhadap kanak-kanak bawah 10 tahun sangat sedikit, kajian terhadap kanak-kanak 10 – 17 tahun mendapati tidak berapa efektif dalam merawat diabetis)
  • Perempuan mengandung – kajian dalam haiwan mendapati kesan toksisiti janin
  • Perempuan menyusu – sitagliptin ada keluar dalam susu ibu, rujukan menyatakan tidak berapa digalakkan penggunaannya
  • Pesakit kencing manis Jenis 1
  • Pesakit diabetik ketoasidosis
  • Hipersensitif terhadap sitagliptin

Peringatan (precaution)

Pemberian ubat tersebut kepada golongan ini boleh diberikan tetapi dengan pemantauan doktor. Antara yang terlibat:

  • Pesakit kegagalan buah pinggang (ringan dan sederhana) – jika sekiranya prestasi buah pinggang makin menurun dengan penggunaan saxagliptin, perlu dihentikan penggunaan ubat
  • Pesakit yang pernah atau ada mengalami keradangan pankreas
  • Sakit-sakit sendi yang agak teruk dan berterusan – walaupun boleh berlaku selepas sehari hingga bertahun-tahun selepas penggunaannya, pemerhatian kerap perlu dilakukan
  • Insiden bullous pemphigoid (kulit melepuh dan bertompok-tompok) – jika makin kerap berlaku penggunaan sitagliptin perlu dihentikan dan rawatan terus diberikan
  • Pesakit yang pernah mengalami masalah berkaitan jantung terutamanya kegagalan jantung – jika keadaan jantung makin teruk perlu dihentikan penggunaannya.

Interaksi antara ubat

Adalah lebih baik pesakit berhubung terus dengan para doktor berkenaan ubat yang ada dimakan bersama sitagliptin (jika ada). Apapun, berikut adalah beberapa interaksi yang penting:

  • Insulin dan sulfonilurea (ubat kencing manis): menaikkan kesan hipoglisemia
  • Pemberian bersama ubat penebat enzim ACE untuk darah tinggi (perindopril, ramipril, enalapril, captopril dsb) dan penebat reseptor angiotensin  (ARB) untuk darah tinggi (losartan, valsartan dan segala keluarga sartan lain) : Menaikkan kesan angioedema
  • Ubat berkaitan glukokortikoid (prednisolone, methylprednisolone, betamethasone, dexamethasone dsb): menaikkan kesan hiperglisemia pada pesakit sitagliptin
  • Menaikkan kesan sakit otot (rhabdomyolysis) ubat-ubat statin (atorvastatin, simvastatin, pravastatin dsb)
  • Menaikkan kepekatan digoxin (ubat jantung) dalam darah – pemerhatian doktor amat penting untuk mengelakkan kesan toksisiti jantung yang boleh menyebabkan maut

Kesan terlebih dos

Kebanyakan rujukan terkini ada menjelaskan toksisiti selepas memakan dos besar ubat-ubat penebat DPP4 tidak ada menimbulkan apa-apa kesan sampingan dalam kalangan pesakit. Kes toksisiti melibatkan sitagliptin jarang berlaku dan jarang dilaporkan kes serius berkaitan pengambilannya. Rawatan yang biasa diberikan untuk keadaan kes sekiranya ada adalah berunsur simptomatik dan sokongan kepada pesakit.

Rujukan

  1. MIMS Gateway
  2. BNF 78
  3. Medscape
  4. Micromedex
  5. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  6. Malaysia Endocrine & Metabolic Society, Ministry of Health, Academy of Medicine Malaysia, Diabetes Malaysia & Family Medicines Specialists of Malaysia (2021). Clinical practice guidelines: Management of type 2 diabetes mellitus (6th Edition). Malaysia: Ministry of Health.
  7. Xourgia, E., Papazafiropoulou, A. K., Karampousli, E. & Melidonis, A. (2017). DPP-4 inhibitors vs. SGLT-2 inhibitors: Pros and cons. Journal of Renal Medicine, 1(2:7), 1 – 7.
  8. Deacon, C. F. (2020). Dipeptidyl peptidase 4 inhibitors in the treatment of type 2 diabetes mellitus. Nature Reviews Endocrinology, 16, 642 – 653.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

9 − five =