Skip to content

Ubat Vildagliptin: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Kemajuan dalam teknologi farmaseutikal semasa telah menghasilkan penemuan yang memberangsangkan dalam penghasilan ubat-ubatan penting untuk pesakit, terutamanya dalam masalah diabetis. Pelbagai kumpulanubat baru untuk kencing manis berjaya dihasilkan untuk menambah baik pengawalan dan rawatan utama kencing manis dalam masyarakat. Kali ini penulis mahu membicarakan satu ubat yang agak terkenal dalam rawatan kencing manis negara kita iaitu ubat vildagliptin.

Kegunaan

Vildagliptin adalah salah satu contoh ubat kencing manis jenis perencat enzim dipeptidil peptidase-4 (DPP4) (akan diterangkan seterusnya nanti). Dalam Buku Biru Formulari Farmaseutikal ada menyatakan penggunaan vildagliptin hanya dimulakan atas sebab-sebab tertentu iaitu:

  • Rawatan tambahan pesakit kencing manis yang gagal mengawal bacaan gula atau tidak boleh mengambil ubat metformin atau ubat jenis sulfonilurea(iaitu ubat gliclazide atau glibenclamide) disebabkan kesan sampingan atau kontraindikasi terdapat ubat tersebut.
  • Alternatif kedua pada pesakit kencing manis jenis 2 yang tidak mampu menurunkan gula walaupun diberikan dos maksimum ubat metformin dan terdedah pada risiko hipoglisemia (kurang gula dalam darah).
  • Alternatif kedua rawatan pada pesakit yang masih lagi sukar menurunkan gula walaupun diberi dos maksimum ubat sulfonilurea dan pesakit tidak boleh mengambil ubat metformin.
  • Rawatan alternatif ketiga bagi pesakit yang masih tidak mampu mengawal gula walaupun sudah dalam rawatan metformin dan ubat sulfonilurea.
  • Diberikan sebagai rawatan utama (monoterapi) diabetis yang tidak mampu menurunkan gula walaupun dengan pengawalan diet serta senaman, serta tidak mampu mengambil metformin disebabkan perkara seperti di atas.
  • Rawatan sampingan bagi pesakit diabetis yang melalui pengawalan diet serta senaman untuk mengurangkan gula dalam darah
  • Rawatan bersama-sama terapi insulin untuk pesakit diabetis yang masih tak mampu mengawal gula mereka (Biasanya pesakit sedemikian perlu diletakkan dalam dos serta rejimen pengambilan insulin mereka secara stabil (optimum) terlebih dahulu sebelum perlu memulakan vildagliptin).

Disebabkan pemberian ubat ini amat memerlukan kriteria di atas serta pemantauan penuh para doktor sebelum memulakan apa-apa terapi melibatkan ubat inilah vildagliptin diletakkan hanya doktor pakar sahaja yang boleh memulakan ubat ini. Preskripsi doktor amat diperlukan untuk dibeli di farmasi komuniti.

Cara Pengambilan Ubat



Cara pengambilan ubat ini biasanya seperti berikut:

  • Jika pesakit memang dalam rawatan utama vildagliptin, atau ada mengambil ubat bersama-sama metformin atau rawatan bersama metformin dan gliclazide, dos biasanya adalah 50 mg selang 12 jam (dua kali sehari).
  • Pesakit kegagalan buah pinggang (eGFR sederhana hingga ke serius – end-stage renal disease (ESRD): maksimum 50 mg sehari sahaja).
  • Jika pesakit ada mengambil bersama ubat gliclazide dan ubat-ubat berkaitan sulfonilurea sekalipun, pemberian ubat paling maksimum diberikan adalah 50 mg sekali sehari (selang 24 jam) sahaja.
  • Boleh sahaja diambil sebelum dan selepas makan, perlu ditelan secara keseluruhannya dengan segelas air. Ambil dalam waktu ditetapkan seperti nasihat doktor. Jika terlupa mengambil ubat, pesakit perlu mengambil ubat sementara teringat. Jika lupa mengambil ubat tetapi sudah hampir waktu pengambilan ubat seterusnya, pesakit disarankan untuk tidak mengambil dos lama dan menggandakan dos. Ambil ubat mengikut saranan dos biasa seperti sepatutnya.
  • Ada sesetengah sediaan tablet vildagliptin yang turut mempunyai campuran bersama metformin yang semestinya dalam tablet bersalut filem. Tablet salutan filem tidak boleh dipecahkan, dipotong dan dikunyah. Tablet jenis ini juga perlu diambil demgan cara ditelan sepenuhnya dengan segelas air kosong. Tablet jenis ini maksimum boleh diambil adalah 100 mg vildagliptin dan 2000 mg metformin.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Ubat biji vildagliptin perlu disimpan dalam suhu bilik (di bawah 30°C) dan jauhkan dari kanak-kanak atau dari kelembapan.

Jenama ubat yang ada dalam pasaran

Ubat ini dijual dalam pasaran sebagai vildagliptin sahaja (50 mg/tablet) dan digabung bersama-sama metformin dalam salutan filem. Setiap gabungan metformin – vildagliptin mempunyai sediaan vildagliptin berkekuatan 50 mg bersama kekuatan metformin berlainan, seperti ditunjukkan dalam poin berikutnya:

  • Galvus® dan Xiliarx® (vildagliptin 50 mg)
  • Galvus® Met dan Xiliarx® Met (sediaan tablet salutan filem, masing-masing berkekuatan 50 mg vildagliptin/500 mg metformin biasa, 50 mg/850 mg dan 50 mg/1000 mg)

Cara Ubat Berfungsi

Ketika bahan makanan diserap tubuh badan ke dalam darah, insulin memainkan peranan penting untuk mengurangkan gula dalam darah dan menggalakkan pengambilan gula oleh hati dan sel tubuh badan yang lain. Hal ini distabilkan lagi dengan pengaruh pihak lain seperti incretin.

Incretin terdiri daripada dua jenis protein iaitu glucagon-like peptide (GLP-1) dan glucose-dependant insulin polypeptide (GIP). Kedua-dua protein ini yang dilepaskan selepas habis makan, menaikkan pengeluaran insulin dari pankreas dan menurunkan sensitiviti hormon glucagon lalu menurunkan pelepasan gula dari hati dan seterusnya mengurangkan gula dalam darah, yang boleh diterjemahkan menerusi pengurangan bacaan gula ketika puasa (bangun tidur) serta waktu selepas makan (post-prandial).



Namun begitu protein ini amat bergantung kepada gula untuk menjalankan aktiviti mereka. Incretin juga mengurangkan penyerapan gula menerusi pengurangan pergerakan perut serta menghasilkan kesan kenyang menerusi kesan protein tersebut di dalam otak.

Incretin biasanya dinyahaktifkan menerusi peranan enzim dipeptidyl peptidase-4 (DPP4). Vildagliptin secara aktif menebat enzim ini dan membolehkan kesan incretin lebih lama dalam badan, seterusnya mengawal kenaikan gula bagi pesakit diabetis. Vildagliptin menurunkan HbA1c dalam julat 0.5 – 0.8%, dan tidak sama sekali menaikkan berat badan pesakit diabetis. Vildagliptin juga didapati mempunyai kesan perlindungan terhadap komplikasi kardiovaskular, jadi penggunaan vildagliptin dalam kalangan pesakit tersebut selamat digunakan.

Kesan sampingan

Terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin dihadapi oleh pesakit. Ia adalah:

  • Bengkak pada muka, mulut, tekak, kesukaran bernafas dan menelan makanan, ruam, kegatalan tiba-tiba (tindak balas angioedema atau hipersensitif) – terus berjumpa doktor dan hentikan terapi
  • Pening dan sakit kepala
  • Mengantuk
  • Badan rasa lemah
  • Denyutan jantung pantas
  • Berpeluh
  • Gementar
  • Loya dan muntah
  • Sakit perut
  • Sembelit
  • Jangkitan sistem pernafasan (nasofaringitis)
  • Bengkak pada kaki dan tangan (peripeheral oedema)
  • Kekuningan pada mata dan kulit badan, hilang selera makan, air kencing berwarna cerah, loya (mungkin tanda-tanda kerosakan hati)
  • Sakit-sakit sendi
  • Sakit-sakit abdomen perut (mungkin tanda-tanda keradangan pankreas)
  • Kulit mengelupas atau melepuh.

Disebabkan itulah, ubat ini tidak boleh digunakan oleh populasi berikut:

  • Kanak-kanak bawah 18 tahun (masih tidak mencukupi bukti)
  • Ibu mengandung dan yang berhasrat mengandung (masih tidak mencukupi bukti)
  • Ibu menyusukan anak (kajian haiwan mendapati vildagliptin ditemui dalam susu ibu)
  • Pesakit kegagalan hati termasuklah yang mengalami kenaikan enzim hati alanine aminotransferase (ALT) dan aspartate aminotransferase (AST) 3x lebih dari maksimum normal (upper limit normal, ULN) sebelum rawatan
  • Hipersensitif terhadap ubat vildagliptin dan ubat penebat DPP4 lain (sitagliptin dsb).
  • Pesakit kencing manis Jenis 1
  • Pesakit diabetik ketoasidosis

Peringatan

Ubat ini boleh menyebabkan pening kepala dan mengantuk, jadi mungkin tidak digalakkan untuk memegang jentera berat dan memandu.

Ubat ini masih boleh digunakan bagi pesakit berikut, tetapi dengan pengawalan doktor:

  • Pesakit komplikasi jantung
  • Pesakit kegagalan hati (jika rawatan dihentikan dan tahap parameter hati turun semula ke normal, pesakit mungkin akan tidak lagi mengambil ubat penebat DPP4 lagi).
  • Pesakit kegagalan buah pinggang

Interaksi antara ubat

Sebaiknya berhubunglah terus dengan doktor berkenaan ubat yang diambil pesakit bersama-sama dengan ubat kencing manis vildagliptin. Berikut hanya disertakan beberapa interaksi antara vildagliptin:

  • Pemberian bersama ubat penebat enzim ACE untuk darah tinggi (perindopril, ramipril, enalapril, captopril dsb) dan penebat reseptor angiotensin  (ARB) untuk darah tinggi (losartan, valsartan dan segala keluarga sartan lain) : Menaikkan kesan angioedema pesakit, sebaiknya penggunaan disertakan dengan pengawalan doktor.
  • Ubat berkaitan glukokortikoid (prednisolone, methylprednisolone, dexamethasone dsb): menaikkan kesan hiperglisemia pada pesakit vildagliptin
  • Ubat thiazide untuk darah tinggi (hydrochlorothiazide), ubat tiroid serta ubat simpatomimetik (ubat agonis alfa dan beta yang digunakan dengan menaikkan pengeluaran adrenalin dan noradrenalin dari sinaps saraf tunjang): mengurangkan kesan hipoglisemia vildagliptin.

Kesan Terlebih Dos

Maklumat toksisiti berkenaan vildagliptin agak terhad. Kajian mengenai toleransi ubat vildagliptin terhadap pesakit sihat dalam dos meningkat menunjukkan kesan ke arah toksisiti. Selepas pemantauan 10 hari dijalankan, pengkaji mendapati



  • Dos 400 mg: 3 kes sakit-sakit otot dan kebas-kebas ringan dan sekejap, demam serta kenaikan tahap parameter hati lipase secara sementara dalam kalangan individu terlibat.
  • Dos 600 mg: seorang mendapat bengkak air kaki dan tangan dan kenaikan parameter C-reactive protein (CRP), creatine phosphokinase (CPK), aspartate aminotransferase (AST) serta myoglobin. 3 subjek lain mendapat bengkak air dekat kaki. 2 subjek lagi ada mendapat kebas-kebas.

Segala penemuan klinikal dan simptom serta tanda-tanda pesakit dialami para subjek dalam kajian ini berjaya dihilangkan selepas pengambilan vildagliptin dihentikan

Biasanya rawatan berkaitan pengambilan berlebihan vildagliptin adalah bersifat suportif. Vildagliptin sendiri tidak dapat dikeluarkan melalui hemodialisis tetapi bahan metabolisme ubat ini dapat diasingkan dari hemodialisis. 

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. MIMS Gateway
  4. QUEST 3+ Product Search
  5. Malaysia Endocrine & Metabolic Society, Ministry of Health, Academy of Medicine Malaysia, Diabetes Malaysia & Family Medicines Specialists of Malaysia (2021). Clinical practice guidelines: Management of type 2 diabetes mellitus (6th Edition). Malaysia: Ministry of Health.
  6. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Galvus® Met vildagliptin and metformin fixed combination 50 mg/500 mg, 50 mg/850 mg and 50 mg/1000 mg. Diambil dari: Quest 3 plus
  7. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Galvus® pil vildagliptin 50 mg. Diambil dari: quest 3 plus
  8. Galvus 50 mg tablet [Internet]. Diambil dari: Medicines
  9. Vella, A. (2012). Mechanism of action of DPP-4 inhibitors – new insights. The Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism, 97(8), 2626–2628. doi: 10.1210/jc.2012-2396
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen + twenty =