Apakah itu masalah alergi kulit atau alahan kulit berserta punca-punca?
Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan masalah ini, punca-puncanya berserta rawatan yang boleh anda lakukan dirumah.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Adakah anda tahu bahawa, badan manusia terdiri daripada satu sistem yang berfungsi untuk melindungi badan daripada serangan kuman atau bahan-bahan luaran yang boleh memberi ancaman kepada badan?
Itulah yang dinamakan sebagai sistem imuniti. Satu sistem yang berfungsi sebagai sistem pertahanan badan. Sistem imuniti ini, ia umpama sebagai seorang “tentera” dalam badan manusia. Ia akan menghasilkan antibodi yang berfungsi untuk mengesan, membunuh dan melindungi badan kita daripada sebarang kuman dan bahan asing.
Ia terdiri daripada beberapa komponen antaranya ialah Sel darah putih (White Blood Cell). Sel darah putih ini memainkan peranan yang sangat penting dalam melawan dan menghapuskan kuman seperti bakteria, virus dan mikroorganisma yang lain daripada badan kita.
Tetapi, sistem imuniti ini mempunyai beberapa kekangan dalam mengekalkan kestabilan imuniti badan. Jika imuniti ini tidak dapat berfungsi dengan baik, maka beberapa kesan buruk atau penyakit boleh berlaku kepada seseorang.
Anda pernah mengalami sakit kulit seperti gatal-gatal, kemerahan dan rasa sakit? Selepas anda makan suatu makanan, bersentuhan dengan sebarang objek menyebabkan badan anda tiba-tiba rasa tidak selesa dan gatal-gatal. Mungkin ini salah satu penyakit yang boleh berpunca daripada imuniti badan.
Dalam artikel ini kita akan berbincang salah satu penyakit yang berlaku dalam disebabkan oleh sistem imuniti badan, iaitu penyakit alahan kulit.
Alergi Kulit
Secara umum, alahan akan berlaku apabila sistem imuniti mula bertindak balas secara berlebihan kepada bahan asing atau penyebab alahan, seperti habuk, makanan, asap, minyak wangi, bersentuhan dengan bahan asing dan sebagainya.
Alahan kulit atau dikenali sebagai dermatitis sentuh alergik adalah penyakit alahan pada kulit yang berlaku disebabkan oleh kulit bersentuhan dengan bahan penyebab alahan (alergen). Apabila antibodi badan mula untuk mengenal pasti alergen yang hadir, ia akan mula untuk bertindak balas dan menyebabkan kesan seperti alahan kepada badan. Selalunya penyakit alahan kulit ini akan memberi kesan seperti gatal, kemerah-merahan dan bengkak hasil tindak balas antara antibodi dan alergen.
Tahap kebahayaan alahan kulit ini bergantung kepada kekuatan imuniti badan seseorang itu, dan selalunya ia tidak mendatangkan keadaan yang serius, dan berbeza untuk setiap orang.
Antibodi sepatutnya menyerang dan menghapuskan kuman-kuman yang menyerang badan, tetapi dalam keadaan alahan ini antibodi “tersalah” menyerang sel badan sihat yang lain, maka alahan akan berlaku. Hal ini seterusnya, antibodi akan menghasilkan bahan kimia seperti histamin yang akan menyebabkan tanda-tanda alergi pada kulit.
Disebabkan penyakit ini berlaku disebabkan oleh imuniti badan, maka penyakit ini tidak membahayakan kesihatan orang lain dan tidak boleh mengancam nyawa. Yang menjadi masalahnya adalah, penyakit ini memberikan ketidak selesaan kepada seseorang kerana alahan yang dihadapi.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Punca Alergi Kulit
Badan kita akan mula untuk sensitif dengan alahan ini paling kurang 10 hari apabila kita bersentuhan dengan sesuatu alergen untuk kali pertama. Namun, apabila badan sudah mula sensitif dengan alergen itu, tindak balas alahan ini boleh berlaku dalam beberapa minit andai bersentuhan dengan bahan penyebab alahan itu.
Alergen ini yang perlu kita kenal dahulu, supaya kita dapat mengawal dan mengelakkan kulit bersentuh dengan alergen itu. Antara alergen yang menjadi punca ialah:
- Logam nikel
- Minyak wangi
- Alat solek/bahan kosmetik
- Pewarna rambut
- Tumbuh-tumbuhan
- Ubat-ubatan
- Jangkitan kuman
- Makanan
Jika anda dapat mengetahui punca kepada alahan kulit anda, anda mampu untuk mengurangkan risiko untuk terkena alahan kulit. Tetapi, seharusnya yang kita ketahui adalah setiap orang itu berbeza punca dan faktor alahan ini.
Simptom Alergi Kulit
Selalunya tanda dan simptom anda mengalami alahan kulit adalah gatal kulit, lebam dan kemerah-merahan. Gatal kulit adalah tanda yang jelas untuk di diagnosa sebagai alahan makanan, selepas membuat pemeriksaan lanjut.
Gatal kulit boleh berlaku pada satu tempat sahaja atau boleh merebak ke anggota badan yang lain. Ruam dan gatal kulit ini boleh terjadi dalam keadaan kering, lembap, bengkak, melepuh, berkerak dan berair.
Jika kegatalan itu mendatangkan simptom yang lain seperti dibawah, anda dinasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor.
- Sakit tekak.
- Sakit sendi tulang.
- Kesan gigitan serangga atau binatang.
- Bernanah.
- Demam panas.
- Muntah dan cirit birit.
- Susah untuk bernafas.
Mengenal Pasti Punca
Secara umumnya, tiada ujian yang spesifik untuk menentukan punca kepada alahan yang berlaku. Doktor akan mengambil sejarah latar belakang pesakit untuk mencari punca kemungkinan yang menyebabkan alahan.
Adapun begitu, ada beberapa kaedah penyiasatan yang sering digunakan untuk mengenal pasti punca yang berlaku:
1. Ujian tampalan
Doktor akan mengenakan ujian tampalan dengan menggunakan beberapa alergen yang mengandungi protein dalam jumlah yang sedikit pada permukaan kulit pesakit. Jika pesakit mempunyai alahan kepada alergen itu, pesakit akan mengalami rasa gatal-gatal di tempat tampalan itu.
2. Ujian darah
Ujian darah akan digunakan untuk mengukur jumlah antibodi yang menyebabkan alahan, yang dikenali sebagai Immunoglobulin E (IgE). Kemudian sampel darah akan dihantar ke makmal untuk menentukan sensitiviti antibodi itu kepada sebahagian alergen.
Rawatan dan Pencegahan
Setelah mengetahui punca alergen itu melalui ujian pengesanan yang dijalankan oleh doktor, langkah yang paling baik adalah dengan mencegah dan menghindari kulit anda daripada terdedah kepada bahan alergen itu.
Kegatalan alahan itu datang daripada pelbagai bentuk dan punca. Oleh itu, alahan kulit ini boleh dirawat sendiri di rumah (home remedies) dengan mengamalkan langkah seperti berikut:
- Elakkan membasahi kulit dengan air yang panas.
- Biarkan tempat gatal itu dalam keadaan yang terbuka. Jangan tutup tempat gatal itu dengan kain atau pembalut luka.
- Elakkan menggaru di kawasan yang gatal.
- Gunakan pelembap jika kulit gatal itu dalam keadaan yang kering.
- Elakkan menggunakan bahan kosmetik.
- Gunakan sarung tangan ketika melakukan kerja-kerja rumah.
Rawatan bagi alahan kulit ini adalah:
- Ubat-ubatan: Ubat yang diberikan membantu untuk mengurangkan kesakitan yang dihadapi. Doktor akan memberikan ubat yang berbentuk pil, ubat sapu dan cecair. Bagi kes yang kronik, pelembap dan kortikostreroid topikal adalah rawatan yang terbaik. Antibiotik akan diberikan jika jangkitan bakteria berlaku.
- Immunotherapy: Jika rawatan secara ubat-ubatan tidak berkesan, mungkin doktor akan menjalankan rawatan terapi imuniti kepada pesakit. Terapi imuniti ini seperti suntikan dan ubat tablet.
- Emergency epinephrine: Jika pesakit mempunyai alahan yang sangat teruk, mereka mungkin perlu dikenakan pemberian epinephrine secara kecemasan.
Jika keadaan alahan kulit anda semakin teruk dan tidak sembuh setelah mengambil rawatan, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor semula untuk rawatan yang selanjutnya.
Rujukan:
- My Health – Alahan dermatitis sentuh
- Webmd – Skin allergies
- Mayoclinic – Skin rash
- Medical News Today – Skin rash