Kanser Hidung: Punca, Simptom dan Rawatan

kanser hidung

Apakah punca dan rawatan kepada masalah Kanser Hidung?

Artikel ini akan menerangkan dengan lengkap berkenaan masalah kanser hidung berserta cara untuk mencegah kanser ini daripada terjadi.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Faktor Risiko dan Punca Kanser Hidung
  3. Simptom Kanser Hidung
  4. Ujian Pengesahan
  5. Rawatan
  6. Pencegahan

Pengenalan


Kanser hidung merupakan sebuah kes kanser yang amat jarang berlaku. Kawasan yang akan dihidapi ialah daripada rongga hidung hingga bahagian atas tekak. Kanser ini kerap berlaku pada mereka yang menghisap rokok.

Kanser ini mempunyai dua jenis iaitu:

  1. Kanser di rongga hidung.
  2. Kanser nasofarink (Kawasan yang menghubungkan antara rongga hidung dan larynx)

Faktor Risiko dan Punca Kanser Hidung


Berikut ialah punca-punca yang memberi risiko untuk kita mengalami kanser ini:

  • Lelaki. Penyakit ini lebih banyak dialami oleh lelaki berbanding perempuan.
  • Orang dewasa yang berumur di antara 30 dan 50 tahun.
  • Mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami masalah kanser hidung.
  • Terdedah dengan virus Epstein-Barr virus (EBV) atau human papillomavirus (HPV).
  • Jenis kanser ini popular dalam kalangan penduduk China, Asia Utara dan Selatan.
  • Merokok. Duduk dalam kalangan masyarakat yang kuat merokok juga boleh menjadi risiko kepada mereka yang tidak merokok.
  • Minum alkohol.
  • Terdedah dengan habuk kayu atau kimia bernama formaldehyde di tempat kerja untuk jangka masa yang panjang dan lama.
  • Banyak makan makanan yang menggunakan garam untuk tahan lama. Contohnya: jeruk atau ikan masin (salt-cured food).

Simptom Kanser Hidung


Wujud bagi sesetengah kes yang tidak mempunyai simptom kerana kanser hidung pesakit masih di fasa permulaan. Antara simptom atau tanda-tanda yang kita boleh didapati ialah:

  • Sukar untuk bernafas melalui hidung.
  • Merasa tekanan atau sakit di hidung.
  • Hilang deria bau.
  • Hidung berair dengan banyak. Kadang kala bermukus atau hidung berdarah.
  • Bengkak di leher.
  • Masalah penglihatan atau pendengaran.
  • Muka: Bengkak atau sakit.
  • Sakit kepala.
  • Sukar untuk membuka mulut.

Harus diingatkan kepada anda, bahawa doktor sahaja yang dapat mengesahkan penyakit ini. Justeru, jika anda dapati diri anda mempunyai sebarang tanda-tanda dalam senarai di atas, sila lakukan pemeriksaan di hospital.

Ujian Pengesahan


Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk mengesahkan seseorang itu mengalami kanser hidung.

1. Pemeriksaan Fizikal

Doktor akan mendapatkan maklumat penting daripada pesakit seperti simptom, sejarah perubatan, serta sejarah keluarga sama ada telah dijangkiti kanser hidung atau tidak.

Kemudian doktor akan memeriksa hidung pesakit untuk mengesan sebarang benjolan atau bengkak. Kawasan lain yang juga diperiksa oleh doktor ialah telinga dan leher.

2. Endoskopi dalam rongga hidung

Doktor akan memasukkan tiub kecil dan fleksibel, dilengkapi dengan kamera kecil dan cahaya ke dalam rongga hidung melalui lubang hidung pesakit. Kamera tersebut kemudian akan menghantar gambar ke monitor untuk doktor teliti sama ada terdapat sesuatu yang abnormal dalam hidung pesakit.

3. Ujian pengimejan (Imaging test)

Ujian pengimejan dapat membantu doktor untuk mengesan kanser tersebut. Selain itu, ujian ini dapat membantu doktor untuk melihat sama ada sel kanser telah merebak dalam badan pesat atau tidak.

Ujian ini dapat dijalankan melalui x-ray kepala dan hidung, imbasan CT (CT scan), MRI, dan ultrasound pada leher.

4. Ujian EBV dan HPV.

Langkah ini adalah untuk mengesan kewujudan virus EBV atau HPV yang mampu mengakibatkan kanser ini.

5. Biopsi

Doktor akan mengambil sampel daripada abnormal sel yang dijumpai, kemudian akan dihantar ke makmal untuk dilakukan ujian ke atas sampel tersebut.

Rawatan Kanser Hidung


Untuk rawatan tumor hidung ada dua jenis, iaitu rawatan penyembuhan dan melegakan. Ia bergantung kepada tahapan kanser tersebut sama ada ia masih berada di kawasan hidung ataupun telah merebak ke tempat lain:

A) Rawatan penyembuhan:

1. Terapi radiasi

Langkah ini merupakan rawatan yang asas dan amat berkesan bagi kanser hidung dalam fasa awal, terutamanya kanser yang bersaiz kecil. Terapi radiasi digunakan untuk membunuh sel kanser dan menghentikan penumbuhan kanser tersebut daripada terus merebak ke sistem lain.

2. Kemoterapi

Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan untuk membunuh sel kanser. Ubat-ubatan tersebut boleh digunakan sama ada dalam bentuk pil, atau disuntik ke dalam saluran darah.

Terdapat tiga cara untuk menggunakan langkah ini untuk merawat kanser hidung, bergantung atas situasi tertentu. Iaitu:

  1. Kemoterapi sebelum terapi radiasi dijalankan.
  2. Kemoterapi semasa terapi radiasi dijalankan.
  3. Kemoterapi selepas terapi radiasi dijalankan.

3. Pembedahan

Tujuan pembedahan dibuat adalah untuk membuang sel kanser daripada badan pesakit dan kemudian pesakit akan menjalani rawatan kemoterapi untuk membunuh sel-sel kanser yang masih tinggal

Akan tetapi, doktor jarang menjalankan pembedahan bagi masalah kanser ini kerana selalunya kanser tersebut sudah berada pada tahapan akhir ketika dikesan. Selain dari itu, sel kanser tersebut terletak berdekatan dengan organ yang amat penting di kepala, seperti otak, mata, dan sistem saraf yang bertanggungjawab untuk penglihatan manusia.

Dikhuatiri jika dijalankan pembedahan akan memberi kesan negatif kepada organ-organ penting tersebut, sekaligus menyebabkan komplikasi sampingan kepada pesakit.

B) Rawatan tujuan melegakan.

Rawatan ini bertujuan untuk mengawal simptom yang berkait dengan masalah ini sepanjang proses rawatan, demi memberikan keselesaan kepada pesakit, seperti analgesik iaitu ubat untuk tahan sakit.

Cara untuk Mengelakkan Kanser Hidung?


Hakikatnya, penyakit kanser secara lazimnya tidak dapat dielakkan, terutamanya bagi mereka yang sudah lanjut usia. Hal ini juga termasuk untuk kanser ini.

Namun, terdapat beberapa langkah yang dapat kita amalkan untuk mengurangkan risiko mengalami kanser ini iaitu:

  • Berhenti merokok, dan elakkan diri terdedah dengan asap rokok.
  • Berhenti minum arak atau alkohol.
  • Kurang makan makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi (salt-cured food).

Rujukan:

  1. Dr. Mosaad Abdel-Aziz (2017). Basics of E.N.T.
  2. Nasopharyngeal cancer – WebMD
  3. Nasal-paranasal tumor – Mayoclinic
  4. Nasopharyngeal Carcinoma – Mayoclinic

Hafizul Khair

Muhammad Hafizul Khair bin Abu Hassan merupakan pelajar pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Beliau aktif di universiti dengan menyandang jawatan sebagai pengarah unit persatuan. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Hafizul Khair di SINI

Kenali Hafizul Khair melalui profil beliau di SINI

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *