Skip to content

Angin Pasang (Hernia): Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah penyakit angin pasang dan punca-punca kepada masalah ini?

Dalam artikel ini, kami akan membincangkan secara lengkap berkenaan masalah angin pasang ini berserta punca, tanda dan rawatan kepada masalah ini

Pengenalan


Angin pasang ataupun hernia yang selalu dimaksudkan dalam masyarakat kita adalah benjolan pada bahagian ari-ari dan benjolan tersebut boleh membawa ke bahagian testis(inguinal hernia). Ia disebabkan kandungan di dalam abdomen terkeluar melalui bukaan pada otot abdomen memasuki satu kantung.



Disebabkan wujudnya bukaan tersebut, kandungan abdomen itu akan terkeluar terutamanya ketika pesakit sedang berdiri ataupun batuk. Ketika pesakit baring pula, usus dan selaputnya boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendirinya ataupun dengan bantuan daripada pesakit.

Angin Pasang dimana usus daripada dalam badan terkeluar melalui otot bahagian abdomen yang lemah hingga membentuk kantung

Sifatnya yang demikian iaitu mempunyai pasang dan surut menyebabkan masyarakat kita memanggil penyakit tersebut sebagai angin pasang.

Para pembaca perlu mengetahui bahawa hernia boleh berlaku pada beberapa bahagian badan yang lain seperti:

  • Umbilical hernia: Hernia yang berlaku pada bahagian pusat
  • Epigastric hernia: Hernia yang berlaku pada bahagian atas abdomen
  • Lumbar hernia: Hernia yang berlaku pada bahagian belakang badan sama ada sebelah kiri ataupun kanan.
  • Incisional hernia: Hernia yang berlaku pada kawasan pembedahan sebelum ini.

sakit perut

Punca Angin Pasang

Angin pasang selalunya berlaku disebabkan otot pada bahagian ari-ari menjadi lemah. Apa-apa keadaan yang menyebabkan tekanan di dalam abdomen semakin meningkat boleh menyebabkan otot dibahagian tersebut menjadi lemah dan menyumbang kepada masalah hernia.

Apabila otot menjadi lemah, ia akan menghasilkan bukaan pada abdomen yang membenarkan kandungan dalam abdomen seperti usus dan selaputnya keluar ke dalam kantung di luar abdomen

Beberapa faktor risiko yang boleh menyumbangkan kepada masalah tersebut adalah:

  • Lebih berat badan(obes)
  • Pekerjaan yang melibatkan mengangkat objek berat
  • Batuk yang kronik
  • Selalu sembelit menyebabkan dia selalu meneran untuk membuang air besar
  • Dialysis secara peritoneal
  • Chronic obstructive airway disease(COAD). Ia disebabkan merokok
  • Ascites: Pengumpulan air dalam bahagian abdomen disebabkan masalah kegagalan buah pinggang, masalah hati atau beberapa perkara yang lain
  • Mempunyai sejarah keluar menghidap masalah hernia

kanser perut

Simptom Angin Pasang

Simptom yang selalu berlaku pada pesakit adalah benjolan di bahagian testis atau scrotum. Selain itu, benjolan tersebut juga mempunyai beberapa karakter yang lain iaitu:

  • Benjolan itu boleh surut dengan cara menolak benjolan tersebut ke dalam abdomen balik semula
  • Ia juga akan surut apabila pesakit baring
  • Benjolan tersebut akan membesar bila pesakit berdiri atau batuk

Akan tetapi ada sesetengah angin pasang yang tidak boleh surut walaupun ditolak dengan bantuan orang lain. Bermaksud usus ataupun selaputnya sudah terperangkap di dalam kantung tersebut.

Ini adalah satu keadaan yang berbahaya kerana usus didalam kantung tersebut boleh terpusing hingga menyebabkan pangkal pada bahagian kantung tersebut seolah-oleh dicekik(strangulated hernia).

Ini akan menyebabkan saluran darah kebahagian usus dalam kantung tersebut terganggu dan bahagian usus tersebut boleh mati.

Dalam keadaan ini pesakit selalunya mengadu:

  • Sakit pada benjolan angin pasang
  • Ia tidak boleh ditolak masuk ke dalam abdomen
  • Pesakit akan mempunyai simptom muntah-muntah, tidak boleh buang air besar dan tidak boleh buang angin. Ini menunjukkan pesakit sudah mempunyai simptom sumbatan pada usus(bowel obstruction)

Pada ketika ini pesakit perlu dihantar ke hospital dengan kadar yang segera.

Periksa Simptom anda Di Sini

Penyakit Lain yang Berkaitan


Terdapat beberapa diagnosa yang lain yang menunjukkan simptom yang sama. Ianya adalah:

  • Hydrocele: angin pasang yang berair. Dimana dalam kantung tersebut mempunyai air dan tidak mempunyai usus. Ia selalu berlaku pada bayi yang baru lahir
  • Acute orchitis(Keradangan testis)
  • Kanser testis
  • Testicular torsion

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ujian Pemeriksaan




Untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai masalah angin pasang selalunya tidak memerlukan pegambilan sampel darah ataupun pengimejan.

Cukup dengan pemeriksaan fizikal terhadap pesakit dan mengetahui ciri-ciri benjolan tersebut, kita boleh mengesahkan bahawa seseorang itu mempunyai masalah angin pasang.

Ciri-ciri benjolan yang disebabkan angin pasang adalah:

  • Ia membesar apabila seseorang itu meneran, batuk ataupun dalam keadaan berdiri.
  • Benjolan itu boleh disurutkan samada kita menolak sendiri benjolan tersebut ataupun ia surut sendiri apabila seseorang itu berada dalam keadaan baring
  • Apabila diperiksa menggunakan stethoscope, terdapat bunyi usus.

Siasatan lain perlu dibuat jika pesakit mempunyai faktor risiko seperti:

  • Batuk yang kronik: boleh buat x-ray, spirometry, periksa kahak
  • Ascites: Air di dalam bahagian abdomen selalunya disebabkan kegagalan buah pinggang ataupun hati. Oleh itu, pengambilan sampel darah untuk mengetahui fungsi hati dan buah pinggang perlu dibuat
  • Kanser dubur: Pesakit yang disyaki mempunya kanser dubur, perlulah menjalani prosedur scope dimana satu kamera dimasukkan ke dalam dubur untuk melihat keadaan dalam dubur dan usus besar.

Rawatan Angin Pasang

Rawatan hernia terbahagi kepada dua iaitu rawatan konservatif ataupun pembedahan

1. Rawatan konservatif

Rawatan konservatif bermaksud kita tidak melakukan apa-apa prosedur ataupun pembedahan untuk benar-benar menyembuhkan masalah tersebut. Rawatan kita lebih kepada memerhati hernia tersebut adakah ia semakin besar ataupun mendatangkan simptom-simptom seperti usus tersumbat(obstructed hernia) ataupun usus terperangkap di dalam kantung(incacerated hernia)

Terdapat juga satu alat yang berbentuk seperti kekuda. Ia seperti tali pinggang tetapi diikat pada peha yang berdekatan dengan angin pasang tersebut. Ia berfungsi untuk menahan usus dan kandungan dalam abdomen daripada terkeluar.

Akan tetapi jika benjolan hernia semakin besar ataupun terlalu sakit dibahagian tersebut, pesakit perlulah dibawah berjumpa dengan doktor

Cadangan Alat Penyokong Angin Pasang(Hernia Belt)

2. Pembedahan

Beberapa indikasi untuk melakukan pembedahan bagi pesakit angin pasang adalah:

  • Benjolan angin pasang yang besar dan mempunyai risiko untuk terpusing menyebabkan pangkal usus tersebut tercekik.
  • Benjolan yang tidak boleh surut.
  • Benjolan yang berasa sakit
  • Angin pasang pada kanak-kanak

Pembedahan ini boleh dilakukan secara membuka terus bahagian abdomen ataupun melakukan pembedahan secara laparoskop. Iaitu kamera dimasukkan ke dalam abdomen melalui lubang yang kecil dan pembedahan dilakukan tanpa melibatkan pembukaan abdomen secara besar.

Dalam pembedahan ini, usus akan ditarik masuk balik ke dalam abdomen. Manakala dinding otot yang telah terbuka akan dibaiki semula ataupun diletakkan satu jaringan supaya usus tidak boleh keluar daripada abdomen tersebut.

Terdapat beberapa kes dimana angin pasang berlaku semula selepas beberapa tahun pembedahan tetapi ianya sangat jarang berlaku. Oleh itu, pesakit masih perlu elakkan faktor risiko untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku semula.

Cara untuk mengelakkan Angin Pasang


Terdapat beberapa cara dan tips untuk mengelakkan masalah ini. Pekara tersebut adalah:

1. Kekalkan berat badan ideal

Mereka yang berlebihan berat badan menunjukkan mereka kurang bersenam dan otot dibahagian abdomen adalah lemah. Ini menyebabkan lebih muda angin pasang tersebut berlaku.

2. Makan makanan jenis sayur-sayuran dan buah



Serat banyak dan tinggi di dalam makanan ini boleh mengelakkan masalah sembelit daripada berlaku. Malah ia juga boleh mengelakkan masalah buasir

3. Amalkan angkat berat dengan cara yang betul

Terdapat cara angkat bebanan yang betul bagi mereka yang mengamalkan latihan angkat berat. Perkara ini jika tidak dijaga, ia boleh menyebabkan otot bahagian abdomen menjadi lemah dan masalah angin pasang boleh berlaku

4. Elakkan merokok atau berhenti merokok

Mereka yang merokok boleh menyebabkan batuk yang kerap hingga mana dinding abdomen menjadi lemah

5. Berjumpa dengan doktor

Jika anda mengalami batuk yang lama dan kerap, anda perlulah berjumpa untuk tujuan pemeriksaan dan pengambilan ubat jika perlu.

Cadangan Alat Penyokong Angin Pasang(Hernia Belt)



Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Manthey DE. Abdominal hernia reduction. Clinical Procedures in Emergency Medicine. 2003.
  2. Brandt ML. Pediatric hernias. Surg Clin North Am. 2008 Feb. 88(1):27-43, vii-viii.
  3. Katz DA. Evaluation and management of inguinal and umbilical hernias. Pediatr Ann. 2001 Dec. 30(12):729-35.
  4. Levine BJ, Nabha S, Bouzoukis JK. Chronic inguinal hernia. J Emerg Med. 1999 May-Jun. 17(3):515-6.
  5. Matthews RD, Neumayer L. Inguinal hernia in the 21st century: an evidence-based review. Curr Probl Surg. 2008 Apr. 45(4):261-312.
  6. Bobrow RS. The hernia. J Am Board Fam Pract. 1999 Jan-Feb. 12(1):95-6
  7. Wants GE. Abdominal wall hernias. Schwartz SI, Shires GT, Spencer FC, eds. Principles of Surgery. 6th ed. 1994.
  8. Mensching JJ, Musielewicz AJ. Abdominal wall hernias. Emerg Med Clin North Am. 1996 Nov. 14(4):739-56
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 + 13 =