Skip to content

Kancing gigi (Tetanus): Punca, Simptom dan Rawatan

Punca | Simptom Kancing Gigi | Komplikasi | Diagnosa Lain | Ujian Pengesahan | Rawatan

Masalah Kancing Gigi

Kancing gigi adalah satu keadaan dimana pesakit mengalami kekejangan pada otot diseluruh badan. Perkara ini adalah disebabkan toksin yang dihasilkan oleh bakteria bernama Clostridium tetani. Penyakit ini sangat terkenal pada waktu dahulu dan boleh menyebabkan kematian disebabkan pesakit tidak boleh bernafas.

Tetapi disebabkan penemuan vaksin, jumlah penyakit ini semakin berkurangan. Lebih kurang 50 – 75% pesakit tetanus ini akan mengalami apa yang dipanggil sebagai kancing gigi (lockjaw) dimana pesakit tidak boleh membuka mulut disebabkan otot yang mengawal pembukaan mulut sedang mengalami kekejangan.



Apabila penyakit ini semakin teruk, kesemua otot juga akan mengalami kekejangan terutamanya otot belakang badan menyebabkan keadaan badan pesakit akan melengkung ke belakang. Posisi ini dipanggil sebagai Opisthotonus.

Pada ketika ini, deria sakit masih berfungsi menyebabkan pesakit mengalami kesakitan yang sangat dahsyat. Ia sama seperti seseorang yang mengalami kekejangan otot tetapi kekejangan otot yang dihadapi oleh pesakit ini adalah lebih dahsyat kerana ia melibatkan semua otot dalam badan.

Kekejangan otot sebegini boleh menyebabkan patah tulang, tendon terputus dan juga kegagalan dalam pernafasan. (Tendon adalah struktur yang menyambungkan otot dengan tulang supaya pergerakan badan terhasil)

Neonatal tetanus iaitu kancing gigi yang berlaku pada bayi baru lahir. Ia merupakan kes yang sangat jarang berlaku di Malaysia. Jangkitan boleh berlaku disebabkan kelahiran yang tidak bersih menyebabkan berlakunya jangkitan pada kawasan tali pusat dan juga disebabkan ibu tidak sepenuhnya diberi immunisasi.

Ketika bayi masuk minggu kedua kelahiran, bayu akan kurang menyusu dan mudah menangis berserta mengalami kekejangan. Bayi yang mengalami kancing gigi selalunya akan menyebabkan kematian ataupun komplikasi yang teruk.

Punca Kancing Gigi



Penyakit inin adalah disebabkan jangkitan bakteria Clostridium tetani. Bakteria ini boleh menghasilkan spora yang tahan kepada panas dan juga bahan anti-bakteria. Organisma ini boleh dijumpai di dalam tanah, debu dalam rumah dan juga najis haiwan.

Spora boleh wujud selama bertahun-tahun dalam keadaan yang tidak sesuai untuk membiak. Apabila spora ini menjumpai kawasan yang sesuai sebagai contoh pada kawasan luka, ia akan membiak dan melepaskan toksin. Toksin yang dihasilkan oleh bakteria ini adalah:

  • Tetanolysin: Toksin ini adalah sejenis hemolysin iaitu menyebabkan pemecahan sel darah merah. Tetapi ia tidak menyebabkan kancing gigi
  • Tetanospasmin: Toksin inilah yang menyebabkan pesakit mengalami kekejangan otot

Seseorang individu itu selalunya terkena disebabkan:

  • Majoritnya disebabkan luka pada bahagain badan contoh luka disababkan tercucuk barang yang tajam, Luka gores dan juga luka melecet
  • Terpijak paku
  • Luka tembakan
  • Jangkitan pada tali pusat

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom dan Tanda tanda Kancing gigi (tetanus)

Tanda tanda kancing gigi akan berlaku selepas beberapa hari dijangkiti bakteria C tetanus. Simptom-simptom tersebut adalah:

  • Kekejangan otot dibahagian rahang mulut (kancing gigi)
  • Kekejangan otot dibahagian leher
  • Susah menelan (dysphagia)
  • Kekejangan otot dibahagian perut
  • Kekejangan otot pada seluruh badan sehingga menyebabkan belakang badan menjadi melengkung kebelakang (Opisthotonus)

Terdapat juga tanda tanda yang lain seperti:

  • Demam
  • Berpeluh
  • Tekanan darah yang meningkat

Periksa Simptom anda Di Sini

Komplikasi

Apabila toksin tetanus telah melekat pada bahagian saraf, ianya tidak boleh ditanggalkan lagi. Saraf yang baru perlu tumbuh untuk menggantikan saraf yang rosak dan ia mengambil masa beberapa bulan. Terdapat beberapa komplikasi penyakit kancing gigi:

  • Patah tulang
  • Kurang oksigen disebabkan masalah pernafasan
  • Darah beku dalam paru-paru
  • Tidak boleh buang air kencing
  • Kematian

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang boleh menghasilkan simptom yang sama. Ianya adalah:



Ujian Pengesahan

Tiada ujian makmal yang spesifik untuk mengesan kehadiran C tetani bagi mengesahkan penyakit kancing gigi. Pesakit selalunya di diagnos dengan menggunakan pemeriksaan klinikal dimana jika pesakit mengalami simptom kancing gigi, susah makan, kekejangan otot pada seluruh badan, kemungkinan ia adalah disebabkan penyakit tetanus

Ujian spatula

Ujian spatula adalah ujian yang mudah untuk mengesan penyakit kancing gigi dimana satu spatula iaitu batang kayu/besi yang leper akan dimasukkan untuk menyentuh bahagian tekak. Bagi orang biasa, ia akan menyebabkan pesakit mengalami apa yang dikatakan sebagai ‘gag reflex’ iaitu pesakit akan mengecutkan bahagian tekak dan menolak spatula tersebut.

Di dalam penyakit kancing gigi, pesakit akan terus menggigit spatula tersebut apabila tekak disentuh dengan spatula

Rawatan Kancing gigi (tetanus)

Pesakit yang mengalami masalah ini perlulah dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (Intensive Care Unit/ICU). Ini kerana kebarangkalian untuk mengalami kekejangan dan juga masalah pernafasan adalah tinggi. Bagi pesakit yang mengalami keadaan yang teruk, mereka perlulah ditidurkan dan tiub pernafasan perlu dimasukkan ke dalam paru-paru. Ini penting untuk mengelakkan masalah pernafasan ataupun komplikasi yang lain seperti patah tulang.

1. Ubat-Ubatan

Menghapuskan kuman C tetani

Ubat antibiotik digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah ini. Ketika peperangan dunia sebelum ini, ramai yang meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman di tempat luka dan juga mengalami kancing gigi. Apabila ubat antibiotik jenis penicillin ditemui, kematian disebabkan luka berkurangan dengan mendadak termasuk juga mereka yang kena kancing gigi.



Tetapi sekarang para doktor lebih suka menggunakan antibiotik jenis metronidazole untuk merawat penyakit ini kerana keberkesanannya dalam mengurangkan kematian disebabkan kancing gigi.

Meneutralkan toksin yang belum lagi memasuki sistem saraf

Tetanus immunoglobulin (TIG) adalah salah satu rawatan yang digunakan untuk merawat penyakit ini. Ia berfungsi untuk meneutralkan toksin yang belum lagi melekat ataupun memasuki sistem saraf.

2. Pencucian luka

Luka yang pesakit ada perlulah sentiasa dicuci agar, bakteria berserta sporanya dapat dihilangkan daripada luka tersebut

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Pearce JM. Notes on tetanus (lockjaw). J Neurol Neurosurg Psychiatry. 1996 Mar. 60(3):332.
  2. Weinstein L. Tetanus. N Engl J Med. 1973 Dec 13. 289 (24):1293-6.
  3. Tiwari TSP. Manual for the Surveillance of Vaccine-Preventable Diseases. Chapter 16: Tetanus. Centers for Disease Control and Prevention.
  4. Thwaites CL, Beeching NJ, Newton CR. Maternal and neonatal tetanus. Lancet. 2015 Jan 24. 385 (9965):362-70.
  5. World Health Organization. WHO Technical Note: Current recommendations for treatment of tetanus during humanitarian emergencies. January 2010.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × two =