Skip to content

Meningitis: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah itu jangkitan Selaput Otak atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai Meningitis? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan punca kepada masalah ini berserta rawatannya.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Simptom Jangkitan Selaput Otak
  3. Faktor Risiko
  4. Bagaimana Meningitis Terjadi
  5. Punca Jangkitan Selaput Otak
  6. Prognosis
  7. Komplikasi
  8. Penyakit lain yang berkaitan
  9. Ujian Pemeriksaan
  10. Rawatan

Pengenalan


Meningitis adalah penyakit dimana terdapat jangkitan kuman pada selaput otak. Perlu diketahui bahawa otak manusia berserta saraf tunjangnya diselaputi 3 lapisan membran yang dikenali sebagai ‘meninges’.

Meningitis pula bermaksud keradangan pada selaput meninges disebabkan jangkitan kuman.



3 lapisan otak tersebut adalah seperti berikut.

  • Lapisan Dura – Terletak pada lapisan paling luar
  • Lapisan Arachnoid – terdiri daripada jaringan
  • Lapisan Pia – Lapisan yang melekat dengan otak

Didalam masalah meningitis, jangkitan kuman telah sampai kepada selaput otak tersebut dan membiak disitu. Ia akan menyebabkan keradangan dibahagian selaput itu dan menyebabkan beberapa komplikasi serta simptom

Simptom dan Tanda Jangkitan Selaput Otak


Terdapat beberapa simptom apabila seseorang itu mengalami penyakit meningitis. 3 simptom utama yang selalunya ada pesakit meningitis adalah:

Terdapat juga beberapa simptom lain yang mungkin dialami oleh pesakit

  • Perangai yang berubah
  • Meracau
  • Bertindak agresif
  • Sawan
  • Photophobia: Fobia terhadap cahaya. Tak boleh lihat cahaya
  • Konfius
  • Pengsan

Mereka yang mempunyai simptom di atas perlulah dibawa berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan kepada pesakit tersebut



Bagi bayi atau kanak-kanak pula, pesakit akan mempunyai beberapa simptom yang lain daripada orang dewasa seperti

  • Kurang menyusu atau makan
  • Menangis secara berterusan
  • Ubun-ubun yang membonjol ke hadapan
  • Sawan
  • Demam
  • Lehernya keras

Jika bayi ataupun kanak-kanak mempunyai simptom tersebut, mereka perlulah dibawa berjumpa dengan doktor

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Faktor risiko untuk menghidap penyakit meningitis


Terdapat beberapa faktor risiko untuk seseorang mendapat jangkita kuman ini. Ia adalah:

  • Umur kurang daripada 5 tahun ataupun lebih daripada 60 tahun
  • Kencing manis, kegagalan buah pinggang dan hypoparathyroidism
  • Masalah pada sistem imun yang akan menyebabkan bakteria ataupun virus senang untuk menyerang badan
  • Jangkitan HIV meningkatkan risiko untuk dijangkiti bakteria
  • Pergi ke tempat yang sesak dengan orang(sebagai contoh ketika melakukan haji)
  • Pesakit yang telah menjalani prosedur pembuangan limpa(splenectomy)
  • Pengambilan alkohol
  • Thalassemia
  • Jangkitan kuman pada bahagian dalam jantung
  • Kanser

Bagaimana meningitis terjadi?


Kebanyakan kes meningitis adalah disebabkan kuman penyakit tersebut telah membuat koloni di satu-satu tempat dalam badan. Daripada tempat itulah yang dia akan merebak kebahagian otak.

Tempat yang berpotensi untuk kuman tersebut membuat koloni adalah pada kulit, bahagian hidung dan tekak, saluran pernafasan, saluran permakanan dan juga saluran air kencing.

Kuman yang telah membuat koloni akhirnya akan menembus masuk melalui dinding saluran tersebut dan merebak ke bahagian selaput otak.

Ada 3 cara kuman ini memasuki kawasan selaput otak. Ianya adalah



  • Merebak melalui saluran darah.
  • Merebak melalui saraf(Sebagai contoh saraf dibahagian hidung yang bersambung terus ke otak)
  • Merebak terus daripada kawasan koloni sebagai contoh jangkitan kuman yang berlaku berdekatan dengan otak seperti jangkitan kuman di telinga(otitis media) dan mastoiditis
  • Pencerobohan ke selaput otak melalui saluran darah adalah punca yang selalu berlaku pada pesakit meningitis.

Punca Jangkitan Selaput Otak


Penyebab meningitis boleh dibahagikan kepada bakteria, virus, kulat, parasit dan beberapa jenis ubat.

HIV boleh meningkatkan risiko untuk dijangkiti beberapa jenis kuman yang boleh menyebabkan meningitis seperti cryptococci, Mycobacterium tuberculosis, syphilis dan spesies lesteria.

Beberapa jenis bakteria yang menyebabkan meningitis adalah:

  • Haemophilus influenza
  • Streptococcus pneumoniae
  • Streptococcus agalactiae
  • Neisseria meningitidis
  • Listeria monocytogenes
  • Escherichia coli
  • Kebsiella pneumoniae

Beberapa kulat yang menyebabkan meningitis adalah:

  • Cryptococcus neoformans
  • Coccidioides immitis
  • Blastomyces dermatitidis
  • Histoplasma capsulatum
  • Candida spp
  • Aspergillus spp

Virus yang boleh menyebabkan meningitis adalah

  • Herpes virus
  • Epstein-Barr virus
  • Cytomegalovirus
  • Polio
  • Coxsackievirus – Boleh menyebabkan penyakit kaki tangan dan mulut

Prognosis (kesudahan pesakit yang mengalami jangkitan meningitis)


Pesakit meningitis yang datang dengan tahap kesedaran yang rendah mempunyai risiko untuk mengalami komplikasi pada saraf dan juga mati.

Satu episod sawan ketika jangkitan penyakit ini juga akan meningkatkan risiko kematian ataupun masalah pada saraf setelah pesakit sembuh.

Komplikasi meningitis


Terdapat beberapa komplikasi yang mungkin berlaku kepada pesakit meningitis. Ianya adalah



  • Pekak
  • Lumpuh
  • Sawan yang kerap berlaku
  • Ataxia: Tidak dapat berjalan dengan stabil
  • Hydrocephalus: Otak dipenuhi dengan air
  • Buta (Cortical blindness)

Pada kanak-kanak, ia boleh menyebabkan masalah

  • Cerebral palsy
  • Terencat akal
  • Masalah dalam pembelajaran
  • Masalah deria

Penyakit lain yang berkaitan


Terdapat beberapa diagnosa lain yang mungkin menunjukkan simptom ataupun berkaitan dengan beberapa simptom yang sama. Ianya adalah:

Ujian Pemeriksaan


Terdapat beberapa penyiasatan yang akan dilakukan untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai meningitis ataupun tidak. Tetapi perlu diketahui bahawa rawatan antibiotik akan terus dimulakan walaupun keputusan ujian masih belum diketahui

Pengambilan sampel darah

Pengambilan darah adalah penting untuk mengetahui beberapa perkara. ianya adalah:

  • Full blood count: Ia perlu untuk mengetahui bacaan sel darah dalam badan. Sel darah putih yang tinggi akan menunjukkan bahawa seseorang itu sedang mengalami jangkitan kuman.
  • Fungsi hati dan buah pinggang: Bacaan untuk mengetahui fungsi hati dan buah pinggang adalah penting supaya kita tahu adakah jangkitan kuman tersebut telah memberi kesan kepada organ tersebut ataupun tidak. Dan juga supaya pemberian antibiotik tidak melebihi dos yang disarankan.
  • Kultur darah untuk mengetahui kuman yang menyebabkan penyakit ini berlaku

Pengkulturan kuman

Pengambilan sampel daripada badan untuk menentukan punca ataupun kuman yang menyebabkan jangkitan ini adalah sangat penting. Ini kerana rawatan untuk kuman yang berlainan memerlukan ubat yang juga berlainan. Jika jangkitan itu disebabkan bakteria, maka kita bagi antibiotik. Jika jangkitan itu disebabkan virus, kita bagi antiviral.

Oleh sebab itu, penting untuk kita mengetahui puncanya. Beberapa sampel yang kita boleh dapatkan daripada badan pesakit adalah



  • Darah
  • Sapuan daripada Tekak
  • Air kencing
  • Luka pada kulit
  • Air tulang belakang
  • Lumbar puncture(Pengambilan air daripada tulang belakang)

Prosedur pengambilan air tulang belakang ini dinamakan sebagai ‘Lumbar puncture’ kerana air tulang belakang itu diambil daripada kawasan tulang belakang yang bernama tulang lumbar.

Air yang kita ambil ini pula dinamakan sebagai bendalir cerebrospinal(cerebrospinal fluid). Ia dinamakan sedemikian sebab bendalir itulah yang mengelilingi otak(cerebro/cerebrum) dan juga saraf tunjang(spinal).

Penting untuk kita ambil air tulang belakang ini untuk mengesahkan bahawa seseorang itu mengalami jangkitan kuman pada kawasan selaput otak. Bendalir ini juga kita akan analisis untuk melihat:

  • Kuman yang hadir dalam bendalir tersebut (yang menjadi punca kepada meningitis)
  • Jumlah protein
  • Jumlah glukosa
  • dan beberapa perkara yang lain

Pengimejan bahagian otak

CT- scan tidaklah wajib untuk semua pesakit melainkan ada beberapa sebab yang lain seperti untuk memastikan ia bukan disebabkan penyakit lain seperti

  • Kanser otak
  • Strok (angin ahmar)
  • Nanah dalam otak
  • dan beberapa diagnosa yang lain

Rawatan


Jika seseorang itu disyaki mempunyai meningitis, pesakit tersebut perlulah dimasukkan ke dalam hospital untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Punca kepada jangkitan meninges itu perlu diketahui terlebih dahulu supaya ubat yang diberikan dapat bertindak dan membunuh kuman yang sepatutnya.

Sebab itulah pentingnya pengambilan air tulang belakang. Sebab pengamal perubatan ingin tahu punca ataupun kuman yang menyebabkan jangkitan meninges itu berlaku. Dengan mengetahui jenis kuman tersebut, barulah pemilihan ubat dapat dibuat dengan betul.

Selalunya, pesakit yang masuk ke dalam wad akan dimulakan terus dengan antibiotik yang boleh bunuh banyak jenis bakteria (emperical antibiotik) dan juga antiviral. Setelah keputusan darah ataupun air tulang belakang menunjukkan jenis kuman yang terlibat, barulah kita lihat balik kesesuaian penggunaan ubat antibiotik ataupun antiviral tersebut.



Ianya bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah kita dapat merawat masalah meningitis tersebut dengan lebih tepat. Secara mudahnya, jika pesakit mengalami:

  • Jangkitan bakteria, doktor akan beri antibiotik
  • Jangkitan virus, doktor akan beri antiviral
  • Jangkitan kulat, doktor akan beri anti-fungal
  • Jangkitan Tuberculosis, dokor akan beri ubat Tuberculosis

Pesakit yang sudah mendapat rawatan yang sepatutnya dan sudah sembuh daripada jangkitan tersebut akan dipantau beberapa bulan untuk memerhati sebarang komplikasi yang mungkin berlaku selepas masalah ini.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Mann K, Jackson MA. Meningitis. Pediatr Rev. 2008 Dec. 29(12):417-29; quiz 430.
  2. Koedel U, Klein M, Pfister HW. New understandings on the pathophysiology of bacterial meningitis. Curr Opin Infect Dis. 2010 Jun. 23(3):217-23.
  3. Thigpen MC, Whitney CG, Messonnier NE, Zell ER, Lynfield R, Hadler JL, et al. Bacterial meningitis in the United States, 1998-2007. N Engl J Med. 2011 May 26. 364(21):2016-25.
  4. Worsøe L, Cayé-Thomasen P, Brandt CT, Thomsen J, Østergaard C. Factors associated with the occurrence of hearing loss after pneumococcal meningitis. Clin Infect Dis. 2010 Oct 15. 51(8):917-24.
  5. van de Beek D, de Gans J, Spanjaard L, Weisfelt M, Reitsma JB, Vermeulen M. Clinical features and prognostic factors in adults with bacterial meningitis. N Engl J Med. 2004 Oct 28. 351(18):1849-59.
  6. Gilbert DN, Moellering RC Jr, Sande MA. Antimicrobial Therapy. In: Sanford Guide to Antimicrobial Therapy. 33rd ed. March 15, 2003.
  7. van de Beek D, Brouwer MC, Thwaites GE, Tunkel AR. Advances in treatment of bacterial meningitis. Lancet. 2012Nov 10. 380(9854):1693-702.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 + eight =