Sebanyak 2/3 daripada mereka yang mengalami kemurungan tidak sedar yang mereka menghadapi masalah tersebut dan disebabkan perkara itu mereka tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
Disamping itu, tanggapan masyarakat yang salah ke atas perkara ini menyebabkan mereka yang mengalami masalah ini tidak dirujuk kepada tempat yang sepatutnya. Malah kemurungan yang mereka hadapi sering direndah-rendahkan oleh orang disekeliling mereka.
Punca kemurungan
Punca spesfik kepada masalah kemurungan masih tidak diketahui. Tetapi perkara ini boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk genetik dan faktor persekitaran.
Daripada kajian yang ada, pesakit yang mengalami kemurungan di awal kanak-kanak adalah lebih disebabkan keadaan persekitaran berbanding keturunan. Mungkin keadaan dalam keluarga ataupun sekolahnya yang menyebabkan kemurungan itu berlaku.
Tetapi bagi mereka yang mengalami kemurungan ketika remaja ataupun dewasa, ia lebih kepada kemurungan yang berkaitan dengan faktor genetik.
- Genetik(Keturunan): Mereka yang mempunyai adik beradik, ataupun ibubapa yang mengalami penyakit kemurungan akan mempunyai 3 kali ganda risiko untuk mendapat masalah tersebut juga. Tetapi ini tidak bermakna mereka yang tidak mempunyai sejarah keluarga dengan masalah kemurungan tidak akan mempunyai masalah tersebut.
- Stress: Rasa stress ataupun kehilangan seseorang yang disayangi boleh menjadi faktor risiko untuk penyakit kemurungan berlaku. Mereka yang sudah dweasa dan mempunyai penyakit yang membawa kepada kecacatan ataupun ketidakmampuan untuk mengurus diri akan menyebabkan rasa tidak berguna dan mereka boleh menjadi murung.
Beberapa faktor psikososial lain yang boleh memberi tekanan kepada pesakit juga adalah:
- Kurangnya sokongan masyarakat
- Bebanan untuk menyara keluarga
- Keseorangan
- Kematian seseorang yang disayangi
Bunuh Diri
Kemurungan menjadi perkara utama kepada 1/2 daripada percubaan untuk membunuh diri. Pesakit yang mempunyai penyakit kemurungan dan tidak dirawat mempunyai kebarangkalian 20% untuk melakukan cubaan bunuh diri.
Risiko untuk melakukan cubaan bunuh diri:
- Mempunyai penyakit kemurungan (Major depressive disorder)
- Sejarah percubaan untuk membunuh diri sebelum ini
- Mempunyai penyakit yang kronik
- Kurang sokongan masyarakat dan keluarga
- Keseorangan
- Bercerai
- Kebimbangan yang sangat banyak
- Mempunyai perancangan untuk membunuh diri
- Telah membuat latihan untuk membunuh diri
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom atau tanda tanda penyakit kemurungan (Major depressive Disorder)
Untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai penyakit kemurungan ataupun tidak, selalunya para doktor akan menggunakan kriteria yang telah digariskan dalam Garis panduan DSM-5.
Perkara tersebut adalah, pesakit perlulah mempunyai sekurang-kurangnya 5 simptom dibawah selama 2 minggu(salah satu simptom tersebut mesti hilang minat pada sesuatu perkara yang dia suka sebelum ini ataupun mood yang tertekan)
- Mood yang tertekan
- Kurang atau hilang minat pada perkara ataupun aktiviti yang disukai sebelum ini
- Perubahan berat badan yang sangat ketara
- Rasa letih atau tidak bersemangat
- Rasa diri sudah tidak berharga
- Kehilangan kebolehan untuk fokus dalam sesuatu perkara
- Pemikiran berkenaan kematian yang berulang-ulang dan membuatkan dia rasa untuk membunuh diri
***Kesemua simptom ini perlulah menyebabkan gangguan dalam pekerjaan dan juga hubungan dengan masyarakat
Rawatan Kemurungan
Pesakit yang mengalami simptom diatas perlulah segara berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Ahli keluarga dan kawan-kawan pula perlulah memahami perkara ini. Jika terdapat simptom-simptom tersebut pada seseorang individu, mintalah atau bawalah dia untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.
Pesakit selalunya akan diperiksa dan ditanya dulu oleh doktor sama ada mempunyai simptom-simptom tersebut sebut. Jika ada tanda-tanda tersebut, pesakit perlulah dipastikan tidak berada dalam keadaan ingin membunuh diri. Jika dia ingin membunuh diri, pesakit akan terus dirujuk ke hospital ketika itu juga untuk mendapatkan rawatan di sana.
Rawatan terbahagi kepada dua iaitu:
- Penggunaan ubat
- Psikoterapi
Penggunaan Ubat
Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah ini. Ia adalah:
- Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs): sebagai contoh Fluvoxamine, Sertraline, Fluoxetine dan citalopram
- Serotonin/norepinephrine reuptake inhibitors (SNRI): sebagai contoh aripiprazole
- Tricyclic antidepressants (TCAs): Sebagai contoh amitryptaline, clomipramine dan desipramine
Doktor juga perlu memastikan bahawa pesakit tidak mempunyai penyakit bipolar. Ini kerana jika pesakit mempunyai masalah bipolar, pengambilan ubat anti-depressant akan menyebabkan pesakit masuk ke fasa manic
Psikoterapi
Dalam rawatan ini, ahli psikologi akan menggunakan beberapa teknik untuk membantu perubahan dalam diri seseorang mengikut cara yang betul bagi membantu mereka dalam menyelesaikan masalah, membetulkan sesuatu kepercayaan, membetulkan pegangan dan juga emosi orang tersebut.
Terdapat beberapa terapi dalam rawatan ini iaitu:
- Cognitive-behavioral therapy (CBT)
- Interpersonal therapy
- dan beberapa lagi jenis psikoterapi
Setiap daripada terapi mempunyai teknik yang tersendiri untuk dijalankan pada pesakit
Jika anda mempunyai masalah kemurungan yang teruk dan tidak tahu untuk berkongsi dengan sesiapa ataupun anda rasa ingin membunuh diri, anda boleh menghubungi persatuan Befrienders pada link tersebut.
Mereka adalah badan bukan kerajaan yang berfungsi untuk membantu mereka yang mengalami masalah kemurungan
Rujukan:
- American Psychiatric Association. Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Washington, DC: American Psychiatric Association; 2013.
- Pampallona S, Bollini P, Tibaldi G, Kupelnick B, Munizza C. Combined pharmacotherapy and psychological treatment for depression: a systematic review. Arch Gen Psychiatry. 2004 Jul. 61(7):714-9.
- Ishak WW, Ha K, Kapitanski N, Bagot K, Fathy H, Swanson B, et al. The impact of psychotherapy, pharmacotherapy, and their combination on quality of life in depression. Harv Rev Psychiatry. 2011 Dec. 19(6):277-89.