Skip to content

10 Khasiat Madu Yang Perlu Anda Tahu

Apakah khasiat madu kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat madu, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam madu.

Pengenalan

Bunga, lebah, dan madu adalah bentuk interaksi yang unik dan bermakna yang banyak menyumbang kepada pelbagai bentuk kehidupan. Lebah (Apis mellifera) merupakan sejenis serangga daripada keluarga Apidae. Lebah akan menghisap nektar di bunga yang menghasilkan sari, cecairan manis yang kaya dengan gula. Kemudian, ia akan akan disimpan di dalam perut lebah yang kemudiannya akan dipindahkan ke sarang lebah untuk diproses oleh kumpulan lebah yang lain pula. Sarang lebah diibaratkan seperti kilang yang menghasilkan madu, cecair likat dan pekat yang sering kita lihat berwarna kuning keemasan.

Madu telah dikenali sejak dahulu kala lagi. Kira-kira 5000 tahun dahulu, masyarakat purba seperti Yunani, Mesir, Rom, Maya dan Babylon telah menggunakan madu baik untu tujuan pemakanan dan juga perubatan. Sehingga kini, madu diterima secara meluas oleh semua peringkat umur malahan disokong dan dipegang oleh semua kepercayaan agama dan budaya. Islam meganjurkan penggunaan madu sebagai makanan dan ubatan.



Ia disebut di dalam kitab suci Al-Quran di dalam surah An-Nahl ayat 68-69 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

Selain itu, ia juga disebut di dalam kitab Bible agama Kristian dan diamalkan oleh agama lain termasuk Buddha, Hindu dan Yahudi.

Kandungan Nutrisi

Berikut merupakan kandungan nutrisi dalam satu hidangan madu. Ia kaya dengan pelbagai makronutrien dan mikronutrien penting yang diperlukan oleh tubuh badan.

Nutrien1 biji (24 gram)%DV
Air (g)3.6 
Tenaga (kcal)63.83%
Protein (g)0.10%
Lemak (g)0.00%
Karbohidrat (g)
– Serat (g)
– Jumlah gula (g)
– Sukrosa (mg)
– Glukosa (mg)
– Fruktosa (mg)
– Maltosa (mg)
17.3
0.0
17.2
187
7506
8596
302
6%
0%




Kalsium(mg)1.30%
Zat besi (mg)0.10%
Magnesium (mg)0.40%
Fosforus (mg)0.80%
Kalium (mg)10.90%
Natrium (mg)0.80%
Vitamin C (mg)0.10%
Folat (mcg)0.40%
Choline (mg)0.5 
Betaine (mg)0.4 

DV ialah daily value (nilai harian) yang bermaksud jumlah nutrien dalam satu hidangan yang menyumbang kepada tenaga keperluan harian untuk 2000 kcal. Dalam satu sudu madu, kebanyakannya terdiri daripada karbohidrat yang mencapai 63.8 kcal (3% daripada 2000 kcal keperluan harian) dan selebihnya 0.2 kcal terdiri daripada protein. Sementara itu, vitamin dan mineral yang terkandung dalam satu sudu madu adalah kurang dari 1% daripada jumlah pengambilan harian yang disyorkan. Madu perlu dimakan pada kuantiti yang banyak untuk medapatkan manfaat vitamin dan mineralnya yang mana akan melebihi pengambilan gula yang dicadangkan dalam sehari. Namun begitu, apabila ia diambil secara sederhana, madu dapat menyumbang kepada tenaga dan ia masih mampu menawarkan beberapa faedah kesihatan yang menarik.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Berkhasiat dalam Madu

Komposisi madu berbeza bergantung pada tanaman di mana lebah mendapat makannya. Walau bagaimanapun, hampir kesemua madu asli mengandungi flavonoid (seperti apigenin, pinocembrin, kaempferol, quercetin, galangin, chrysin dan hesperetin), asid fenolik (seperti ellagic, caffeic, p-coumaric dan ferulic acid), asid askorbik, tocopherols, catalase (CAT), superoxide dismutase (SOD), reduced glutathione (GSH), dan peptida. Sebilangan besar sebatian ini berfungsi dan bekerjasama untuk memberikan kesan antioksidan yang lebih berkesan. Warna madu juga mempengaruhi kandungan antioksidannya, di mana madu yang lebih gelap dipercayai mempunyai kandungan antioksidan yang lebih tinggi daripada madu yang lebih cerah warnanya.



Madu juga mengandungi mineral dan vitamin di mana kandungannya antara 0.1% hingga 1.0%. Kalium ialah mineral utama yang boleh didapati dalam madu, diikuti oleh fosforus, natrium dan magnesium. Selain itu sejumlah kecil mineral dan vitamin lain juga boleh didapati seperti zat besi, zink, kuprum, kalsium, vitamin C, riboflavin, niacin, vitamin B1 dan B5.

10 Khasiat Madu kepada Kesihatan

1. Kesan Antioksidan

Beberapa manfaat kesihatan dan khasiat madu dipercayai berasal dari kandungan antioksidannya. Madu asli mengandungi pelbagai sebatian yang bertindak sebagai antioksidan, termasuk asid fenolik, flavonoid, dan asid askorbik. Antioksidan mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan dengan menyingkirkan radikal bebas.

Tekanan oksidatif dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan, termasuk penyakit jantung, barah, penyakit degeneratif, penyakit imun sistem dan keradangan. Selain berfungsi dalam melawan radikal bebas, polifenol merupakan perangsang sistem imun dan pengawal aktiviti hormon yang efektif. Polifenol diyakini sebagai ejen penting yang dapat membasmi radikal peroksil kerana adanya pergerakan hidrogen yang tinggi dalam struktur molekulnya. Daripada polifenol, asid fenolik cenderung menjadi kumpulan utama dalam madu.

2. Mencegah Jangkitan Kuman

Madu ialah agen anti-bakteria dan anti-mikrob semula jadi. Ia mengandungi hidrogen peroksida dan glukosa oksidase dan mempunyai tahap pH yang rendah, yang bermakna ia boleh membunuh bakteria berbahaya dan kulat. Juga, kerana komposisi kimia madu yang unik, ia tidak membantu dalam pertumbuhan bakteria dan yis.

Madu juga dapat digunakan untuk merawat dan membersih luka. Satu kajian dijalankan ke atas madu manuka menunjukkan ia dapat membunuh patogen termasuk E. coli (Escherichia coli), bakteria yang menyebabkan keracunan makanan dan jangkitan luka, S. aureus (Staphylococcus aureus), bakteria yang menyebabkan jangkitan kulit dan H. pylori (Helicobacter pylori), bakteria yang menyebabkan ulser perut dan gastritis kronik. Oleh itu, salah satu khasit madu adalah untuk membantu dalam masalah ulser perut dan gastrik.

3. Melegakan Batuk



Kajian menunjukkan bahawa madu dapat membantu melegakan sakit tekak dan batuk. 6 kajian dijalankan ke atas sekumpulan kanak-kanak mendapati bahawa sesudu makan madu beserta dextromethorphan (sejenis ubat perencat batuk) adalah lebih baik daripada Benadryl (diphenhydramine) atau tanpa sebarang rawatan. Penyelidikan juga mendapati madu dapat memberikan kelegaan yang lebih lama daripada Albuterol (salbutamol).

Satu kajian meta analisis turut mendapati pengambilan madu amat berkesan dalam merawat batuk yang kerap terutamanya pada waktu malam. Madu merupakan alternatif yang baik untuk kanak-kanak kerana dikhuatiri kebanyakan ubat batuk tidak selamat diambil oleh mereka. Antara amalan yang dipercayai telah lama digunakan untuk melegakan batuk ialah mengambil satu sudu teh madu asli dan elakkan cecair atau makanan lain selepas itu untuk melapisi kerongkong dan memberi kelegaan.

Artikel Berkaitan: Punca Batuk yang anda Perlu Tahu.

4. Membantu Penyembuhan Luka

Salah satu khasiat madu adalah untuk penyembuhan luka. Propolis ialah komponen dalam madu yang terdiri daripada 50% resin, 30% lilin, 10% minyak pati, 5% debunga, dan 5% sebatian organik yang lain. Propolis menekan aktiviti radikal bebas dan menggalakkan sintesis kolagen yang mana kedua-duanya penting untuk penyembuhan luka. Keupayaan propolis untuk mempromosikan penyembuhan luka terbukti berkesan untuk merawat ulser kaki yang sering kali terjadi dalam kalangan pesakit kencing manis.

Selain itu, madu juga digunakan untuk merawat jerawat dengan cara menyapu ke atas kulit muka. Kajian mendapati madu mempunyai ciri-ciri pembunuh kuman yang efektif dan ia juga membantu pertumbuhan semula tisu. Dalam kajian tersebut menunjukkan bahawa madu manuka dapat meningkatkan waktu penyembuhan dan mengurangkan jangkitan terhadap subjek yang diuji. Namun begitu, madu yang digunakan adalah madu terkawal daripada tetapan hospital yang bermaksud ia disteril dan diperiksa secara berkala.

5. Mengurangkan Risiko Kanser

Produk semula jadi seperti madu mempunyai kesan antikanser yang berpotensi tinggi. Madu telah terbukti mempunyai kesan antiradang, antimikroba, antimutagenik, antioksidan, dan antitumor. Kesan-kesan ini memberikan khasiat madu kepada kesihatan badan.. Kandungan fenolik dalam madu telah dilaporkan mempunyai aktiviti antileukemia terhadap pelbagai jenis sel leukemia. Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengkaji komponen madu dan aktiviti sel kanser.



Kegiatan antikanser telah terbukti terhadap pelbagai barisan sel dan tisu barah, seperti payudara, kolorektal, ginjal, prostat, endometrium, serviks, dan kanser mulut. Madu memberi kesan kepada perkembangan barah dalam pelbagai peringkat penyakit. Ia juga terbukti menyebabkan apoptosis sel tumor, iaitu kematian sel, mengurangkan keradangan, menghambat pertumbuhan tumor, dan meningkatkan sistem ketahanan badan.

6. Kulit dan Rambut yang Sihat

Komponen penyembuhan madu digunakan dalam banyak persediaan kosmetik untuk kulit dan rambut. Selain daripda manfaaat antioksidan dan antiseptic, madu digunakan dalam kosmetik untuk memberi kesan pelembutan, penyegar dan penyejuk.

Madu melincin dan menjaga kelembapan kulit, menjadikannya bahan yang ideal dalam penghasilan pelbagai produk kecantikan, bermula dari lip balm dan losyen hingga syampu, dan scrub muka dan badan. Pakar penjagaan kulit dan kosmetik semula jadi turut mengesyorkan amalan seperti menggunakan madu untuk merawat jerawat dan bibir kering, dan bahan semula jadi untuk rambut yang sihat dan berkilau.

7. Merawat Cirit-birit

Madu digunakan untuk merawat masalah pencernaan seperti cirit-birit. Ia terbukti berkesan sebagai rawatan untuk bakteria H. pylori yang menjadi punca utama jangkitan dalam usus dan ulser perut. Madu juga berfungsi sebagi agen prebiotik yang berkesan. Ia menjadi makanan untuk bakteria baik yang hidup di dalam usus, penting untuk menjaga sistem pencernaan dan juga kesihatan badan secara keseluruhan.

Kajian terhadap 150 kanak-kanak yang menghidap gastroenteritis akut mendapati bahawa mereka yang menerima madu dengan larutan rehidrasi oral mempunyai kadar sembuh dari cirit-birit lebih baik berbanding mereka yang tidak menerima madu. Selain itu, mereka yang mengambil madu juga tidak kerap membuang air dan sembuh daripada penyakit tersebut lebih cepat. Namun, perlu diingatkan bahawa pengambilan madu perlu diambil dalam kuantiti yang sederhana kerana gula yang berlebihan boleh menyebabkan cirit-birit menjadi lebih teruk.

Artikel Berkaitan: Punca kepada masalah Cirit-birit yang anda perlu tahu



8. Fungsi Prebiotik

Madu juga dikenali sebagai prebiotik yang berpotensi, kerana ia mempunyai oligosakarida yang menggalakkan pertumbuhan lactobacilli dan bifidobacteria, selain daripada komponen anti-mikrob yang boleh bertindak secara sinergi dengan probiotik terhadap patogen tertentu.

Prebiotik adalah makanan tambahan yang tidak dapat dicerna dan berfungsi sebagai makanan untuk probiotik, yang merupakan mikroorganisma hidup kecil, termasuk bakteria dan yis. Prebiotik penting dalam menjaga keseimbangan mikroflora usus yang merangsang pertumbuhan dan aktiviti bakteria baik dan menghalang bakteria jahat. Kedua-dua prebiotic dan probiotik merupakan komponen penting untuk usus yang sihat dan seterusnya menjamin kesihatan tubuh badan.

9. Kesihatan Mulut

Salah satu khasiat madu adalah ia membantu dalam kesihatan mulut. Penggunaan madu dalam diet seharian dapat meningkatkan kesihatan dan kesegaran mulut. Ciri-ciri perlindungan mulut yang ditunjukkan oleh madu dapat dikaitkan dengan kandungan antioksidan yang dapat menghalang pertumbuhan bakteria dan menyebabkan karies gigi. Selain itu, madu juga mempunyai ciri perlindungan kesihatan mulut yang lain termasuklah mencegah plak gigi, gingivitis dan periodontitis.

Hasil kajian mendapati bahawa madu ialah makanan yang kurang kariogenik berbanding gula. Makanan kariogenik bermaksud makanan manis yang dapat menyebabkan karies gigi. Dalam kajian tersebut, uji kaji yang dijalankan ke atas madu dan jus buah menunjukkan kesan hakisan terhadap lapisan gigi. Enamel gigi terhakis hanya sepuluh minit setelah pengambilan jus buah, sementara pengambilan madu menunda pemerhatian ini hingga setengah jam setelah pengambilan madu, dan hakisan gigi tidak begitu terlihat seperti yang diperhatikan pada pemakan jus buah.

10. Kesihatan Mata

Penggunaan madu dalam rawatan penyakit mata telah digunakan sejak beratus tahun dahulu lagi dan ia telah direkod dan didokumentasikan dengan baik. Mereka telah menggunakan madu dari Attica dan madu teratai India sebagai bahan penawar untuk masalah mata. Sehingga hari ini, penduduk tempatan India masih menggunakannya sebagai ubat titisan mata.



Sementara itu, orang-orang Malia pula menggunakan madu sebagai salah satu bahan dalam merawat demam campak. Madu biasanya digunakan pada mata untuk mencegah kesan parut pada kornea yang berlaku sebagai komplikasi jangkitan demam campak. Selain itu, satu uijan klinikal yang dilakukan ke atas 102 pesakit dengan masalah mata yang berbeza seperti blepharitis, konjuntivitis, dan keratitis mengakui madu sebagai rawatan konvesional.

Selepas penggunaan madu di bawah kelopak mata bawah seperti salap mata, peningkatan dilihat pada 85% kes, tanpa penurunan yang terjadi pada 15% yang lain. Penggunaan madu dalam konjuntivitis dapat mengurangkan kemerahan, bengkak, pembuangan nanah dan masa untuk membunuh bakteria.

Tetapi di dalam perubatan moden, masih tiada lagi kajian mapan yang menunjukkan penggunaan madu ini berkesan dalam rawatan mata. Oleh itu elakkan penggunaan madu pada jika ada menghadapi masalah mata.

Kesimpulan

Walaupun terdapat pelbagai khasiat madu yang dibincangkan di dalam artikel, hanya beberapa rawatan sahaja pada ketika ini yang menggunakan madu seperti rawatan bagi masalah luka.

Anda dinasihati untuk berjumpa dengan doktor bagi sebarang kegunaan madu yang melibatkan sebarang penyakit.

Diharapkan artikel khasiat madu ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada para pembaca mengenai hal ini.

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan:



  1. Ajibola, A., Chamunorwa, J. P., & Erlwanger, K. H. (2012). Nutraceutical values of natural honey and its. Nurrition and Metabolism, 9(61), 1-12.
  2. Chua, L. S., A. Rahaman, N. L., Adnan, A. N., & Eddie Tan, T. T. (2013). Antioxidant Activity of Three Honey Samples in relation with Their Biochemical Components. Journal of Analytical Methods in Chemistry, 2013, 1-8.
  3. Eteraf-Oskouei, T., & Najafi , M. (2013, June 6). Traditional and Modern Uses of Natural Honey in Human. Iranian Journal of Basic Medical Sciences, 16(6), 731-742.
  4. Frey, M. (2020, June 23). Honey Nutrition Facts and Health Benefits. Retrieved February 10, 2021, from Very Well Fit
  5. Goldman, R. (2019, November 15). The Top 6 Raw Honey Benefits. Retrieved February 10, 2021, from Healthline
  6. Honey Nutrition Facts & Calories. (n.d.). Retrieved February 11, 2021, from Nutrition Data
  7. Marengo, K. (2019, April 17). What are the health benefits of raw honey? Retrieved February 10, 2021, from Medical News Today
  8. McQuillan, S. (2019, July 12). Sweet on Honey: What’s in It, If It’s Good for You, and All the Other Buzz on Nature’s Golden Nectar. Retrieved February 10, 2021, from Everyday Health
  9. Samarghandian, S., Farkhondeh, T., & Samini, F. (2017). Honey and Health: A Review of Recent Clinical Research. Pharmacognosy Research, 9(2), 121-127. doi:10.4103/0974-8490.204647
  10. Sarfraz Ahmed , S., & Othman, N. (2013, December 2). Honey as a Potential Natural Anticancer Agent: A Review of Its Mechanisms. Evid Based Complement Alternat Med, 1-7. doi::10.1155/2013/829070
  11. The Health Benefits of Honey and Its Nutritional Value. (2020, January 14). Retrieved February 11, 2021, from The European Food Information Council
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seven + seventeen =