Skip to content

10 Khasiat Kunyit yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat kunyit kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat kunyit, kandungan kunyit dan juga komponen yang berkhasiat dalam kunyit.

Pengenalan

Semua pasti kenal dengan tumbuhan berwarna kuning ini yang tidak asing lagi digunakan dalam masakan Masyarakat Melayu. Kunyit, adalah tumbuhan herba berakar yang berasal dari keluarga tumbuhan  Zingiberaceae, yang mendiami kawasan tropika Asia Selatan. Kunyit mula digunakan oleh masyarakat India 4000 tahun yang lalu dipercayai digunakan dalam masakan dan tujuan keagamaan.

Namun, tahukah anda, selain dari kegunaan kunyit yang meluas dalam masakan, kunyit juga mempunyai manfaat kepada kesihatan tubuh? Sebanyak 133 spesis kunyit atau Curcuma yang telah dikenalpasti sehingga kini dan digunakan secara meluas dalam bidang perubatan. Artikel ini akan membincangkan lebih lanjut tentang khasiat kunyit kepada kesihatan dan potensi perubatan yang dimiliki tumbuhan rempah berwarna kuning ini.

Kandungan Nutrisi Kunyit



Menurut kajian, kunyit yang telah digunakan secara meluas berabad yang lalu sebagai rempah dalam masakan serta ubatan traditional dilihat selamat tanpa kesan sampingan. Satu sudu serbuk kunyit mempunyai 29 kalori, 6 gram karbohidrat, 2 gram serat dan hampir 1 gram protein. Selain itu, mineral-mineral seperti fosforus, manganese dan juga potassium juga terdapat didalam kunyit.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Berkhasiat dalam Kunyit

Kunyit dan juga komponen aktifnya, “curcumin” tidak memberi kesan toksik walaupun diambil pada dos yang tinggi. Justeru, United States Food and Drug Administration (FDA) telah memutuskan bahawa kunyit dan komponen aktifnya “curcumin” adalah secara umumnya selamat untuk digunakan. Kunyit kemudiannya divariasikan kegunaannya dalam bijirin, kerepek, keju, dan lain-lain secara meluas. Hasil kajian menunjukkan kunyit mengandungi banyak komponen-komponen aktif antaranya “curcumin”, “volatile oil” dan juga “curcuminoids” yang memainkan peranan penting kepada kesihatan. Berikut akan dibincangkan 10 khasiat kunyit kepada kesihatan yang perlu anda ketahui.

10 Khasiat kunyit kepada kesihatan

1. Meningkatkan kemampuan antioksida dalam badan

Badan kita sangat terdedah dengan risiko oksida setiap hari. Oksida ini datang dari radikal bebas, yang boleh merosakkan sel-sel dalam badan seterusnya menjadi punca kepada pelbagai penyakit. Justeru, kehadiran antioksida adalah sangat penting bagi melindungi badan dari kerosakan sel-sel protein, DNA dan lainnya. Curcumin, komponen aktif dalam kunyit dilihat berfungsi sebagai antioksida bagi melawan radikal bebas dan mengaktifkan kemampuan antioksida badan itu sendiri.

2. Berpotensi mencegah kanser



Kanser merupakan antara penyakit yang semakin meningkat masa kini. Banyak faktor yang menjadi punca kepada penyakit kanser antaranya adalah gaya hidup yang tidak sihat dan pemakanan yang tidak seimbang menyebabkan sel-sel dalam badan mudah untuk terkena penyakit.

Menurut kajian, curcumin dalam kunyit memberi kesan langsung terhadap aktiviti sesetengah sel kanser, justeru menghapuskan dan menghalang pembentukan sel-sel kanser yang lain. Namun, kajian masih dijalankan untuk menentukan dos curcumin yang sesuai dan keberkesanannya untuk digunakan bagi merawat kanser.

3. Membantu melegakan Sakit Sendi

Arthritis terjadi kerana keradangan, iaitu aktiviti badan bertindak balas untuk melawan sel-sel asing atau sel-sel yang boleh membahayakan kesihatan. Ini adalah penting kerana jika badan tidak bertindak balas untuk melawan sel-sel asing dan bahaya tersebut, perkara yang lebih buruk akan terjadi.

Justeru, keradangan untuk jangka masa pendek yang dikawal dengan baik adalah tidak membahayakan, namun jika ia dibiarkan untuk suatu tempoh masa yang panjang, penyakit-penyakit seperti arthritis pula akan terjadi. Curcumin yang terdapat didalam kunyit memiliki peranan yang sangat bagus untuk melawan keradangan, sehinggakan ada kajian yang dilakukan kepada pesakit yang menghidapi Rheumatoid Arthritis menunjukkan potensi curcumin sebagai anti-keradangan.

4. Mengurangkan risiko sakit jantung

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan penyakit jantung merupakan penyebab nombor 1 kematian di dunia. Antara faktor utama kepada penyakit jantung adalah apabila sel dinding pada salur darah tidak berfungsi dengan baik. Menurut kajian, curcumin yang merupakan komponen penting dalam kunyit memberi kesan baik kepada sel dinding pada salur darah justeru meningkatkan fungsinya.

Sel dinding yang berfungsi dengan baik pada salur darah dapat mencegah seseorang dari menghidapi penyakit jantung. Selain itu, curcumin juga memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan risiko penyakit jantung melalui ciri-ciri anti-keradangan dan antioksidanya yang sangat penting bagi kesihatan jantung.



5. Berpotensi mencegah diabetes

Diabetes terjadi apabila kadar gula tinggi dalam darah dan tidak distabilkan oleh insulin, boleh jadi kerana insulin yang dihasilkan tidak mencukupi atau boleh jadi juga kerana ketidakmampuan insulin untuk menurunkan kadar gula dalam darah.

Dalam suatu kajian makmal terhadap tikus, curcumin dilihat mampu menurunkan kadar gula dalam darah dan menambah jumlah insulin. Kebaikan curcumin kepada pengawalan kadar gula dalam darah mungkin disumbang oleh ciri-ciri anti-keradangan dan antioksidanya, namun, kajian masih perlu dijalankan bagi mengenalpasti kesan langsung pengambilan curcumin kepada pesakit diabetes.

6. Berfungsi sebagai agen antibakteria

Jangkitan bakteria adalah antara punca utama kepada berlakunya penyakit berjangkit. Justeru, banyak kajian dilakukan bagi mengenalpasti bahan-bahan dan komponen-kompenen penting yang dapat menghalang dari jangkitan bakteria.

Kajian makmal menunjukkan curcumin berkesan mengurangkan pertumbuhan beberapa jenis bakteria seperti E. Coli dan Salmonella Typhi yang biasanya datang dari makanan. Kemampuan curcumin bagi melawan bakteria-bakteria ini dilihat juga mampu menjadi potensi ia digunakan untuk mengubati jangkitan dan juga melindungi luka.

7. Berpotensi memelihara dari kerosakan organ hati

Hati memainkan peranan yang sangat banyak kepada kesihatan. Hati berfungsi menyingkirkan toksin, menyimpan glikogen, menghasilkan hempedu, menghasilkan protein albumin dan beberapa lagi. Justeru, andai hati tidak berfungsi dengan baik, banyak penyakit-penyakit yang bakal timbul, seperti jaundis (penyakit kuning), malnutrisi, risiko jangkitan dan banyak lagi.



Kajian terhadap tikus makmal mendapati ekstrak kunyit dan curcumin melindungi hati dari kerosakan kronik hasil dari ciri-ciri antioksidanya yang mengurangkan kesan tekanan oksida kepada hati, seterusnya memberi potensi kepada curcumin untuk menjadi medium pengubatan kepada penyakit hati.

8. Berfungsi sebagai agen anti-penuaan

Saban hari, kita terdedah dengan radikal-radikal bebas yang datang dari pelbagai faktor antaranya dari persekitaran dan makanan yang tidak sihat. Radikal-radikal bebas ini boleh menyebabkan kerosakan kepada sel-sel badan melalui proses oksidasi dan keradangan seterusnya mempercepatkan penuaan. Justeru, curcumin yang memiliki ciri-ciri antioksidasi dan anti-keradangan dilihat bukan sekadar mampu melambatkan penuaan, malahan berkemungkinan memiliki potensi perubatan yang lebih jauh dari itu.

9. Membaik pulih kesihatan kulit

Kulit merupakan pertahanan badan yang pertama bagi melindungi tubuh dari bakteria, virus, bahan kimia dan perbagai lagi unsur yang boleh membahayakan kesihatan. Justeru kulit sangat terdedah kepada jangkitan, keradangan dan sebagainya jika tidak memiliki pertahanan yang baik.

Antioksida, anti-keradangan dan juga anti-mikrob yang merupakan antara ciri penting dalam curcumin dilihat memiliki potensi sebagai salah satu medium perubatan bagi penyakit kulit, tambahan pula ia tidak membahayakan kesihatan jika diambil pada dos yang tinggi. Namun, disebabkan curcumin kurang stabil pada pH yang tinggi, tidak mudah larut dan warnanya yang tidak menarik menyebabkan curcumin jarang digunakan sebagai rawatan kulit.

10. Mencegah obesiti

Obesiti merupakan salah satu daripada penyakit kronik yang memerlukan perhatian serius berikutan trend yang menunjukkan peningkatan dalam kalangan rakyat Malaysia. Obesiti terjadi kerana lebihan lemak yang terkumpul dalam tubuh badan seseorang dan diklasifikasikan mengikut bacaan BMI individu.



Banyak faktor yang menjadi punca kepada obesiti antaranya pengamalan makanan yang tidak sihat, kurang aktiviti fizikal dan banyak lagi yang menyebabkan keradangan kronik kepada badan. Menurut kajian makmal, curcumin dengan ciri anti-keradangannya dilihat berkesan untuk bertindak menghalang keradangan kronik sel tisu lemak yang menjadi penyebab obesiti seterusnya membantu dalam menurunkan berat badan.

Sebagai penutup, kunyit merupakan rempah yang sering digunakan dalam masakan dan memiliki potensi serta khasiat penting kepada kesihatan tubuh badan. Namun begitu, lebih banyak ujian klinikal dan data-data perlu dikaji secara khusus untuk menyatakan khasiat-khasiat yang dimiliki kunyit kepada kesihatan. Walaubagaimanapun, amalan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat merupakan antara faktor terpenting bagi memelihara kesihatan secara menyeluruh dan mencegah diri dari menghidapi apa jua jenis penyakit. Dinasihatkan juga untuk meneruskan pengambilan ubat yang disyorkan oleh doktor.

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan:

  1. Anand P, Sundaram C, Jhurani S, Kunnumakkara AB, Aggarwal BB. Curcumin and cancer: an “old-age” disease with an “age-old” solution. Cancer Lett. 2008 Aug
  2. Bedowski L. (2019). 12 Scientific Health Benefits of Turmeric and Curcumin. Retrieved from Everydayhealth 
  3. Bradford PG. Curcumin and obesity. Biofactors. 2013 Jan-Feb;39(1):78-87.
  4. Glassman K. Why is Turmeric Good for Me? Retrieved from WebMD
  5. Gunnars K. (2018). 10 Proven Health Benefits of Turmeric and Curcumin. Retrieved from Healthline
  6. Lee, H. Y., Kim, S. W., Lee, G. H., Choi, M. K., Jung, H. W., Kim, Y. J., Kwon, H. J., & Chae, H. J. (2016). Turmeric extract and its active compound, curcumin, protect against chronic CCl4-induced liver damage by enhancing antioxidation. BMC complementary and alternative medicine16(1), 316.
  7. Moghadamtousi, S. Z., Kadir, H. A., Hassandarvish, P., Tajik, H., Abubakar, S., & Zandi, K. (2014). A review on antibacterial, antiviral, and antifungal activity of curcuminBioMed research international2014, 186864.
  8. MyHealth Portal. Kegemukan (Obesiti). Retrieved from Portal Myhealth
  9. O’Brien S. (2018). Turmeric vs. Curcumin: Which Should You Take? Retrieved from Healthline
  10. Prasad S, Aggarwal BB. Turmeric, the Golden Spice: From Traditional Medicine to Modern Medicine. In: Benzie IFF, Wachtel-Galor S, editors. Herbal Medicine: Biomolecular and Clinical Aspects. 2nd edition. Boca Raton (FL): CRC Press/Taylor & Francis; 2011. Chapter 13.  
  11. WebMD (Turmeric).
  12. WebMD (Health Benefit of Turmeric).
  13. World Health Organizations. The Top 10 of Death.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

six − 3 =