Punca | Simptom | Diagnosa Lain | Ujian Pengesahan | Rawatan Sifilis
Apakah itu Sifilis?
Penyakit Sifilis adalah salah satu penyakit yang disebarkan melalui hubungan seksual dan ia disebabkan jangkitan bakteria Treponema pallidum. Ia juga boleh disebarkan melalui ibu ke bayi dalam kandungan dan pemindahan darah.
Jika tidak dirawat ia akan masuk kepada 4 peringkat iaitu:
- Peringkat pertama,
- kedua,
- pendam dan
- ketiga.
Punca sifilis
Sifilis adalah disebabkan jangkitan bakteria bernama Treponema pallidum. Ianya kecil sehingga mana ia tidak boleh dilihat dengan mikroskop biasa. Oleh itu, salah satu cara untuk melihat bakteria ini adalah dengan menggunakan ‘darkfield microscope‘ yang bertujuan untuk melihat pergerakannnya.
Bakteria ini tidak hidup lama diluar badan. Oleh itu, ia merebak selalunya disebabkan sentuhan kulit pada mereka yang mengalami jangkitan tersebut seperti melakukan hubungan seks.
Ketika mana T pallidum ini sampai ke mukosa(lapisan kulit bahagian dalam faraj ataupun zakar) seseorang manusia, bakteria itu akan terus memasuki dinding mukosa tersebut dan pergi ke dalam saluran limfa dan saluran darah. Ia mengambil masa lebih kurang 3 minggu untuk menghasilkan simptom pada seseorang manusia.
Bakteria ini boleh pergi ke mana sahaja bahagian badan dan boleh menyebabkan jangkitan kuman dikawasan tersebut jika tidak dirawat.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom dan tanda tanda sifilis
Simptom dan tanda tanda penyakit sifilis adalah bergantung kepada fasa jangkitan tersebut. Ketika bakteria tersebut masuk ke dalam badan melalui hubungan seks, ia akan mengambil masa lebih kurang 2 minggu sebelum pesakit tersebut masuk ke dalam fasa pertama
Fasa pertama
Ia berlaku pada 10 – 90 hari selepas dijangkiti kuman tersebut. Simptom tersebut adalah ulser yang tidak sakit berlaku pada zakar ataupun kawasan faraj. Jika hubungan seks itu dilakukan dengan mulut, maka mulut pun akan mempunyai ulser yang sama dan ia tidak menyebabkan kesakitan
Fasa kedua
Pada fasa ini, akan berlakunya ruam di seluruh badan pesakit. Ia selalunya berlaku 2-10 minggu pesakit mempunyai ulser sebelum ini. Ketika ini juga pesakit akan mempunyai rasa letih, sakit kepala, kurang selera makan, sakit otot dan juga demam.
Fasa pendam
Pada ketika ini, pesakit tidak mempunyai apa-apa simptom dan ia boleh berlaku daripada beberapa tahun hinggalah lepas 25 tahun. Selepas itu pesakit akan mempunyai fasa 3 sifilis yang sangat dahsyat
Fasa Ketiga
Selepas melepasi fasa pendam, pesakit akan mengalami pelbagai simptom kerana sifilis telah merebak keseluruh badan dan merosakkan tisu dan organ tersebut. Pesakit mungkin akan mengalami:
- Simptom saraf: Kebas, mati pucuk, tidak boleh mengawal buang air kecil dan buang air besar, sawan, nyanyuk dan sebagainya
- Simptom berkaitan jantung dan paru-paru: Sesak nafas dan rasa berdebar debar
- Ulser pada kulit yang banyak
Penyakit Lain yang Berkaitan
Terdapat beberapa diagnosis lain yang mempunyai simptom yang sama. Ia adalah:
- Kanser otak
- Lemah jantung
- Limfoma
- Angin ahmar
- Ketuat di bahagian kemaluan
Ujian Pengesahan
Terdapat beberapa beberapa jenis ujian makmal yang dilakukan untuk mengetahui seseorang itu mempunyai sifilis ataupun tidak. Ujian darah yang selalu kita lakukan adalah dinamakan sebagai Venereal Disease Research Laboratory (VDRL).
Perlu diingatkan bahawa ketika seseorang itu hendak melakukan pemeriksaan ketika mengandung, salah satu ujian darah yang dilakukan adalah VDRL kerana jika seseorang ibu mengandung itu mempunyai sifilis ia akan memberi komplikasi juga kepada anaknya seperti keguguran dan juga kecacatan selepas kelahiran anak tersebut
Rawatan sifilis
Selepas seseorang itu disahkan mempunyai sifilis, pesakit wajib menerima rawatan sifilis iaitu dengan pengambilan antibiotik. Disini selalunya para doktor akan memberikan temu janji untuk mendapatkan suntikan antibiotik.
Suntikan antibiotik yang selalu diberikan adalah jenis antibiotik benzathine penicillin yang akan dicucuk terus ke dalam otot.
Pesakit akan disusuli dengan ujian ulangan VDRL untuk melihat sama ada bacaannya masih tinggi ataupun tidak. Pesakit yang sudah sembuh daripada sifilis akan mempunyai bacaan VDRL yang terlampau rendah ataupun tidak dapat dibaca.
Rujukan:
- Fitzgerald TJ. The Th1/Th2-like switch in syphilitic infection: is it detrimental?. Infect Immun. 1992 Sep. 60(9):3475-9.
- CDC. Primary and secondary syphilis–United States, 2003-2004. MMWR Morb Mortal Wkly Rep. 2006 Mar 17. 55(10):269-73.
- HARRISON LW. The Oslo study of untreated syphilis, review and commentary. Br J Vener Dis. 1956 Jun. 32(2):70-8
- Workowski KA, Bolan GA. Centers for Disease Control and Prevention Sexually Transmitted Diseases Treatment Guidelines. MMWR. June 5, 2015. 64(RR3):1-137.
- Sumber featured image : Theatlantic.com