Skip to content

Tekak Gatal: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah tekak gatal? Artikel ini akan membincangkan punca kepada masalah tekak gatal berserta rawatan masalah ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca
  3. Sejarah Pesakit dan Simptom
  4. Pemeriksaan dan Ujian
  5. Cara Rawatan
  6. Bilakah Hendak Berjumpa Doktor?

Pengenalan

Tekak gatal adalah antara simptom paling kerap yang menyebabkan seseorang, kanak-kanak dan juga orang dewasa, untuk datang ke klinik bagi mendapatkan rawatan. Tekak yang terasa gatal itu boleh jadi struktur tonsil dan kawasan sekitarnya, farinks, larinks, atau epiglottis.

Punca-punca pelbagai yang menyebabkan keradangan pada mana-mana struktur tersebut menimbulkan simptom tekak gatal yang kebiasaannya berlaku seiringan dengan simptom lain seperti demam, selsema, hidung tersumbat dan bersin. Tekak gatal itu juga mungkin disebut oleh pesakit sebagai tekak sakit atau tekak tak selesa dalam banyak keadaan. 

Punca Tekak Gatal



1. Jangkitan Virus

Punca tekak gatal paling kerap ialah jangkitan virus pada mana-mana struktur tekak. Virus yang biasanya menjangkiti tekak ialah rhinovirus, influenza, parainfluenza, adenovirus, respiratory syncytial virus (RSV) dan juga coronavirus yang menyebabkan COVID-19.

Selain gatal atau sakit tekak, jangkitan virus pada tekak biasanya akan menyebabkan juga simptom demam, selsema, sakit kepala dan sakit badan. Virus yang menyebabkan ruam seperti cacar air dan demam campak turut boleh menyebabkan tekak gatal atau sakit. Jangkitan virus biasanya akan sembuh dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan khusus dan pemberian ubat antibiotik adalah tidak perlu.

2. Jangkitan Bakteria

Selain jangkitan virus, jangkitan bakteria pada tekak boleh juga menyebabkan simptom tekak gatal, tekak sakit, demam dan selsema. Bakteria yang biasanya menyebabkan masalah ini ialah bakteria streptococci kumpulan A. Untuk kes jangkitan bakteria, pesakit mungkin akan memerlukan rawatan antibiotik. 



3. Alahan

Selain jangkitan kuman, alahan seperti alahan rhinitis boleh turut menyebabkan tekak gatal. Alahan rhinitis berlaku apabila pesakit yang sensitif terdedah kepada bahan alergen seperti hama, debunga, bulu haiwan dan makanan tertentu.

Bahan-bahan alergen bertindak balas dengan sistem imun pesakit dan menyebabkan keradangan saluran hidung yang simptom-simptomnya merangkumi selsema, hidung tersumbat, hidung berair, mata berair, mata merah dan tekak sakit atau gatal. Alahan rhinitis cenderung berlaku dalam kalangan penghidap asma, ekzema atau golongan dengan sejarah keluarga yang ada masalah asma, ekzema dan alahan rhinitis

4. Iritasi akibat Bahan Tercemar

Habuk, asap, udara tercemar, bahan kimia dan asid boleh menyebabkan radang pada saluran pernafasan yang turut merangkumi tekak dan mengakibatkan simptom tekak gatal atau tekak sakit. 

5. Iritasi akibat Udara Sejuk atau Kering

Udara yang terlalu sejuk atau terlalu kering boleh menyebabkan iritasi pada tekak apabila bernafas. Tekak gatal dan batuk merupakan simptom yang boleh berlaku apabila saluran pernafasan mengalami iritasi. 

6. Gastroesophageal reflux disease (GERD)



GERD berlaku apabila asid dari perut terembes ke saluran rongga makanan yang merangkumi esofagus, rongga tekak dan mulut. Asid perut tidak mencederakan sel perut yang telah dibina khas untuk merintanginya namun sel tekak dan esofagus akan cenderung untuk cedera dan mengalami keradangan apabila terkena asid kuat.

Masalah ini kerap berlaku dalam kalangan orang berat badan berlebihan, tidak mengawal makan dan suka baring sebaik sahaja selepas makan. GERD biasanya menyebabkan simptom gatal atau sakit tekak, batuk berpanjangan, rasa masam di tekak, loya, muntah, pedih ulu hati dan sakit dada.

7. Kanser Tekak

Tekak gatal yang berlaku disebabkan kanser tekak lebih jarang berlaku jika dibandingkan dengan tekak gatal akibat punca-punca yang lain seperti jangkitan kuman dan alahan. Akan tetapi, kanser tekak merupakan punca yang harus dipertimbangkan jika pesakit mengalami simptom tekak gatal berpanjangan yang disertai dengan simptom seperti susut berat badan, hilang selera makan, air liur atau hidung berdarah, sukar bercakap atau menelan, perubahan suara, sakit telinga dan ketulan pada leher. 

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Sejarah Pesakit dan Simptom

Doktor akan siasat butiran berikut apabila mengambil sejarah pesakit

  • Simptom-simptom lain yang mengiringi tekak gatal
  • Kontak rapat dengan individu dengan masalah sama dan kontak rapat dengan pesakit covid-19
  • Sejarah penyakit seperti asma, ekzema, dan alahan
  • Sejarah keluarga dengan masalah asma, ekzema dan alahan
  • Keadaan di rumah seperti masalah habuk, kebersihan rumah, haiwan peliharaan dan jika pesakit merokok atau duduk bersama orang yang merokok

Simptom-simptom berikut boleh berlaku bersama tekak gatal bergantung kepada keadaan dan konteks pesakit: 

  • Demam
  • Batuk 
  • Selsema, hidung berair dan hidung tersumbat
  • Mata merah atau berair 
  • Kerap bersin 
  • Hilang deria bau dan rasa
  • Muntah 
  • Sakit kepala dan sakit badan
  • Rasa penat 
  • Sukar untuk bercakap atau menelan makanan
  • Sukar untuk bernafas
  • Ruam 

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan memeriksa keadaan umum pesakit seperti tahap kesedaran, pesakit masih berdaya atau tidak bermaya, suhu badan, kadar degupan jantung, kadar pernafasan dan tekanan darah. Doktor akan memeriksa jika ada limfa bengkak di leher dan belakang kepala. Doktor juga akan memeriksa tekak untuk melihat jika ada kemerahan dan bengkak pada mana-mana struktur seperti tonsil. Pemeriksaan sistem pernafasan akan dibuat untuk memastikan paru-paru pesakit tidak ada apa-apa masalah. 

Biasanya pesakit tidak memerlukan sebarang ujian, tetapi ujian-ujian berikut mungkin akan dibuat mengikut keadaan



  1. Ujian sel darah: untuk mengenal pasti jangkitan kuman
  2. Ujian swab: swab pada bahagian hidung dan belakang tekak dibuat jika pesakit disyaki ada masalah covid-19 dan swab tekak jika pesakit berkemungkinan dijangkiti bakteria streptococcus 
  3. X-ray paru-paru: jika pesakit ada sesak nafas 

Cara Rawatan

Kebanyakan kes tekak gatal disebabkan oleh virus yang biasanya akan lega dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan ekstensif.  

Rawatan mudah dan bersifat umum seperti dibawah boleh dicuba di rumah:

  • Ambil air secukupnya untuk mengelakkan air kurang dalam badan
  • Hirup sup atau minuman panas untuk mengurangkan gatal pada tekak dan mengelakkan air kurang dalam badan
  • Minum madu, tetapi jangan berikan madu kepada kanak-kanak bawah 1 tahun untuk mengelakkan botulism 
  • Berkumur dengan air garam suam untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas dan orang dewasa
  • Ambil lozenge sakit tekak
  • Membersihkan rumah untuk menghapuskan bahan alergen seperti bulu binatang, habuk dan hama
  • Menjauhkan diri daripada bahan pencemar seperti asap dan rokok
  • Kurangkan kontak dengan orang lain, jaga etika bersin dan pakai pelitup muka untuk elakkan orang lain terjangkit bersama 

Ubat-ubatan di bawah mungkin diperlukan:

  • Ubat demam seperti PCM atau NSAID
  • Ubat selsema seperti antihistamin dan dekongestan
  • Ubat batuk seperti dextromethorphan untuk batuk kering dan ekspektoran untuk batuk berkahak
  • Diphenhydramine untuk melegakan batuk dan membantu pesakit tidur
  • Antibiotik jika punca tekak gatal ialah jangkitan bakteria. Jangkitan virus tidak memerlukan antibiotik

Bilakah hendak berjumpa doktor?

Pesakit perlu berjumpa doktor jika ada simptom-simptom di bawah

  • Sesak nafas atau sukar bernafas
  • Demam melebihi 38 celsius 
  • Sukar menelan makanan dan cecair
  • Ruam pada badan
  • Sakit telinga 
  • Tekak gatal yang kemudiannya menjadi terlampau sakit dan tidak hilang dalam jangka masa seminggu
  • Tekak gatal yang berulang ulang dengan kerap
  • Ketulan atau bengkak ketara pada muka atau leher
  • Darah dalam air liur atau kahak 

Masalah Tekak yang Lain

Kanser TekakSakit Tekak
Tonsil BengkakKanser Tonsil
Tekak Gatal

Rujukan

  1. Addey, D., & Shephard, A. (2012). Incidence, causes, severity and treatment of throat discomfort: a four-region online questionnaire survey. BMC ear, nose, and throat disorders, 12, 9.
  2. Itchy Throat: Causes, Home Remedies, and Prevention – Healthline
  3. Tickle in Throat: How to Get Rid of It and Causes – Healthline
  4. Laryngitis – NHS 
  5. Gupta, G., & Mahajan, K. (2018). Acute laryngitis.
  6. Wolford, R. W., Goyal, A., SY, B. S., & Schaefer, T. J. (2018). Pharyngitis.
  7. Tonsillitis – Illnesses & conditions | NHS inform 
  8. Krüger, K., Töpfner, N., Berner, R., Windfuhr, J., Oltrogge, J. H., & Guideline group (2021). Clinical Practice Guideline: Sore Throat. Deutsches Arzteblatt international, 118(Forthcoming), 188–194. Advance online publication.
  9. Sore throat – Diagnosis and treatment – Mayo Clinic 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen − 10 =