Skip to content

Kulit Merekah: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah kulit merekah? Artikel ini akan membincangkan punca kepada masalah kulit merekah dan rawatan kepada masalah ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca
  3. Sejarah Pesakit dan Simptom
  4. Pemeriksaaan dan Ujian
  5. Rawatan

Pengenalan

Kulit ialah lapisan pertahanan paling luar yang melindungi manusia daripada pelbagai ancaman persekitaran dan menghalang kehilangan air. Lapisan pertahanan ini boleh dibayangkan sebagai tembok “bata dan mortar”. Namun banyak punca boleh menjejaskan struktur “bata dan mortar” kulit, menyebabkan fungsi pertahanan dan pejagaan kelembapan kulit melemah. Akibatnya kulit menjadi terdedah kepada kerosakan dan senang kering lalu merekah. 

Punca

Terdapat beberapa punca kepada masalah ini berlaku iaitu:



1. Kulit kering 

Kulit kering atau dikenali juga sebagai xerosis ialah keadaan di mana kulit kehilangan kelembapan dan menjadi kering lalu merekah. Masalah ini biasa terjadi kepada ramai orang dan boleh berlaku akibat pelbagai sebab. Antara sebab-sebab itu ialah berendam atau mandi terlalu lama, cuaca sejuk dan kering, selaran cahaya matahari, pemakaian sabun atau pencuci yang menyebabkan kulit hilang kelembapan dan membersihkan kulit secara terlalu berlebihan. 

2. Dermatitis Sentuhan

Contact dermatitis berlaku apabila kulit dicuci atau bersentuhan dengan bahan yang mengakibatkan iritasi pada kulit atau bahan yang pesakit ada alahan terhadapnya. Biasanya bahan itu ialah sabun atau pencuci yang tidak sesuai dengan kulit pesakit namun boleh juga jadi bahan berasaskan getah lateks, bahan kosmetik atau barang kemas tertentu. Bahan-bahan itu mengakibatkan iritasi atau mengaktifkan tindak balas alahan yang menyebabkan keradangan kulit. 

3. Ekzema 



Ekzema atau dikenali juga sebagai atopic dermatitis ialah keadaan yang biasanya berlaku kepada kanak-kanak namun boleh juga terjadi kepada orang dewasa. Masalah ini kerap berlaku dalam kalangan keluarga yang ada sejarah penyakit asma dan resdung. Ekzema menyebabkan kulit menjadi kering dan senang merekah. 

4. Jangkitan Kulat

Athlete’s foot ialah jangkitan kulat pada kaki yang sering memakai kasut bertutup dalam jangka masa yang lama, memakai stokin lembab dan dibasahi peluh atau terdedah kepada kelembapan. Keadaan yang lembab dalam kasut bertutup menggalakkan kulat untuk menjangkiti kaki. Kulat ini boleh tersebar daripada satu hos kepada hos yang lain melalui perkongsian kasut dan tuala atau memijak permukaan yang sebelum ini dipijak oleh pesakit yang ada masalah ini. 

5. Kaki pesakit Kencing Manis (Diabetic Foot)

Jika athlete’s foot menyebabkan kulit merekah akibat kelembapan berlebihan, diabetic foot pula menyebabkan kulit merekah kerana kulit terlalu kering. Diabetic foot ialah komplikasi kencing manis yang sangat kerap terjadi apabila paras gula dalam darah tidak terjaga. Gula berlebihan menyebabkan kerosakan saraf (neuropathy) dan antara fungsi yang terjejas ialah keupayaan kulit untuk berpeluh. Kaki pesakit kencing manis yang tidak berpeluh menjadi kering dan kemudiannya senang merekah. 

6. Hipotiroid

Hormon tiroid memainkan peranan penting dalam penjagaan kulit. Hypothyroid ialah keadaan di mana badan mengalami masalah kurang hormon tiroid dan antara kesannya kepada pesakit ialah kulit kering dan merekah. Simptom-simptom lain yang disebabkan masalah ini ialah keletihan, sembelit, berat badan meningkat dan tidak tahan sejuk.

7. Psoriasis



Psoriasis berlaku apabila sistem imun badan menyerang tisu-tisu badan sendiri dan mengakibatkan masalah sistemik yang kronik dan berpanjangan. Kulit ialah bahagian yang diserang, menyebabkan ruam kemerahan yang sangat gatal dan plak seakan-akan warna perak muncul di kulit kepala, lutut, belakang badan dan belakang siku. Kulit pesakit mengalami iritasi akibat radang dan senang menjadi kering lalu merekah.

8. Sindrom Sjogren 

Sindrom Sjogren ialah masalah autoimun yang menyebabkan sistem imun badan menyerang kelenjar-kelenjar badan yang menghasilkan cecair seperti kelenjar air liur, kelenjar air mata dan kelenjar peluh. Pesakit mengalami masalah mata kering, mulut kering dan juga masalah kulit kering akibat masalah penghasilan peluh yang menjadikannya senang merekah. 

9. Scleroderma  

Scleroderma ialah masalah autoimun yang menyebabkan kulit badan menjadi tegang dan ketat akibat penghasilan kolagen dan tisu tebal berlebihan yang mengambil alih tempat tisu normal pada kulit. Pesakit boleh mengalami masalah kulit kering dan kemudiannya merekah. 

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Sejarah Pesakit dan Simptom

Doktor akan mendapatkan maklumat lanjut daripada sejarah pesakit mengenai 

  • Bilakah kulit merekah bermula 
  • Bahan dan produk yang dipakai atau dicuba pesakit sebelum masalah bermula
  • Adakah pesakit rasa gatal dan sakit pada bahagian kulit merekah
  • Pernahkah kawasan kulit merekah mengeluarkan cecair nanah atau bau busuk
  • Sejarah penyakit lain seperti asma, resdung, ekzema, kencing manis atau penyakit autoimun
  • Sejarah alahan pesakit
  • Sejarah asma, resdung dan masalah kulit dalam keluarga pesakit

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan memeriksa jenis masalah kulit, corak, warna, saiz dan kawasan bahagian badan yang terkesan. Doktor akan perhatikan juga jika ada nanah atau luka pada bahagian kulit yang bermasalah. 

Pesakit mungkin perlu atau tidak perlu sebarang ujian makmal untuk mengenal pasti punca yang menyebabkan masalah kulit merekah berlaku. Ujian-ujian di bawah mungkin dibuat bergantung kepada keadaan dan punca yang disyaki:



  1. Swab cecair dan luka kawasan bermasalah: jika doktor mengesyaki ada jangkitan kuman tertentu
  2. Sampel biopsi kulit: jika doktor mengesyaki ada masalah penyakit autoimun 

Cara Rawatan

1. Pencegahan: 

  • Elakkan menggunakan bahan atau pencuci yang dikenal pasti menyebabkan kulit kering dan merekah
  • Gunakan air suam untuk mandi berbanding air panas atau sauna
  • Elakkan daripada menggosok badan dengan tuala secara kasar untuk keringkan badan. Keringkan badan dengan menekap bahagian badan dengan tuala tersebut
  • Elakkan memakai pakaian dan stokin basah dalam jangka masa yang lama
  • Pastikan kasut bertutup yang dipakai tidak terlalu ketat
  • Pakai sarung tangan untuk mengendalikan bahan yang boleh menyebabkan iritasi kulit atau untuk melakukan kerja yang akan membasahkan tangan untuk jangka masa yang lama
  • Pastikan paras gula terkawal jika pesakit ada kencing manis

2. Pakai pelembap (moisturizer):

Kulit kering boleh dielakkan daripada merekah dengan memakai pelembab. Individu dengan masalah ekzema dan psoriasis juga boleh mendapat manfaat daripada pemakaian pelembap

3. Ubatan daripada doktor

Ubat yang lebih spesifik bergantung kepada punca yang menyebabkan kulit pesakit merekah. Jika pesakit ada sakit seperti eczema atau psoriasis, doktor mungkin akan memberi krim steroid untuk dipakai. Jika pesakit ada jangkitan bakteria pada kulit, doktor mungkin akan berikan antibiotik. Jika pesakit ada jangkitan kulat, doktor mungkin berikan ubat antifungal. 

Rujukan 

  1. Matsui, T., & Amagai, M. (2015). Dissecting the formation, structure and barrier function of the stratum corneum. International immunology, 27(6), 269-280.
  2. Cracked skin on hands and feet: Causes and treatments – Medical News Today
  3. Contact Dermatitis – Mayo Clinic
  4. Atopic Dermatitis – Mayo Clinic  
  5. Athlete’s foot – Mayo Clinic
  6. Mancino, G., Miro, C., Di Cicco, E., & Dentice, M. (2021). Thyroid hormone action in epidermal development and homeostasis and its implications in the pathophysiology of the skin. Journal of endocrinological investigation, 44(8), 1571–1579.
  7. Scleroderma symptoms – skin | SRUK
  8. Sjögren’s Syndrome and Your Body 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × one =