Skip to content

Psoriasis: Punca, Simptom dan Rawatan

Psoriasis adalah masalah autoimun dimana sel pertahanan badan akan menyerang bahagian kulit. Ini menyebabkan sebahagian daripada kulit akan mati dan menebal. Masalah ini selalunya kerap berlaku dibahagian kepala dan pesakit selalunya akan mengadu kelemumur yang banyak daripada bahagian kepala.

Selain dari kulit, masalah ini juga boleh menyerang sendi dan menyebabkan pesakit mengalami sendi yang bengak dan sakit. Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah ini akan mempunyai risiko untuk menghadapi masalah yang sama.

Penyakit Psoriasis


Psoriasis adalah penyakit keradangan kulit yang akan menyebabkan sel kulit menjadi mati dan juga menebal. Persekitaran, keturunan dan faktor imun memainkan peranan penting dalam permulaan penyakit ini.



Penyakit ini selalunya berlaku pada bahagian kulit kepala, siku, lutut dan bahagian belakang badan. Ia juga boleh menyebabkan keradangan sendi dan sebanyak 30% pesakit ini akan menghadapi masalah sendi.

Ia bukan penyakit berjangkit. Tetapi ia cenderung untuk mempunyai serangan yang turun dan naik bergantung kepada punca pada ketika itu seperti faktor persekitaran termasuk tekanan hidup dan juga jangkitan kuman. Ia boleh mengganggu kualiti hidup dan pesakit yang mempunyai masalah ini mungkin boleh menghadapi stress yang tinggi.

Terdapat beberapa jenis masalah ini. Ia adalah

  • Psoriasis guttate
  • Psoriasis kuku
  • Psoriasis Pustular
  • Psoriasis sendi
  • Parapsoriasis

Bagaimana penyakit ini berlaku?


Penyakit psoriasis adalah kompleks dan mempunyai pelbagai faktor yang mempengaruhinya seperti genetik dan komponen sistem imun badan.

Proses berlakunya penyakit ini belum 100% difahami oleh para saintis. Terdapat beberapa teori yang menceritakan bagaimana proses penyakit ini berlaku termasuk yang melibatkan jangkitan kuman dan tekanan emosi. Tetapi dalam kebanyakkan pesakit ini tiada faktor yang terlibat dalam mencetuskan serangan tersebut.



Apa yang saintis temui pada kulit pesakit ini adalah sel darah putih didapati berkumpul pada lapisan kulit yang menyebabkan kulit menebal dan mati.

Penemuan dibawah mikroskop yang mempunyai kulit pesakit ini menemukan beberapa perkara iaitu

  1. Saluran darah yang membesar
  2.  Peningkatan sel darah putih pada lapisan kulit
  3. Penebalan lapisan sel kulit

Saluran darah yang membesar dan peningkatan sel darah putih telah menunjukkan bahawa sedang berlaku keradangan pada kawasan tersebut. Bahkan proses itu juga menyebabkan sel kulit membahagi dengan lebih cepat hingga menyebabkan kulit menebal dan mati menghasilkan keruping berwarna putih.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca psoriasis


Penyakit ini sebenarnya melibatkan sel kulit yang cepat membahagi. Sel kulit yang terlibat dipanggil sebagai Keratinocyte. Ia merupakan sel yang akan mengekalkan integriti kulit supaya ia boleh berfungsi sebagai lapisan yang kalis air, mengelakkan jangkitan bakteria dan beberapa fungsi yang lain

Apabila ia terlalu cepat membahagi, ia akan menjadikan kulit lebih tebal dan sel yang terhasil tidak normal. Hasilnya, kulit yang terhasil adalah kulit tebal, berkuping, pecah dan akan lebih mendedahkan lagi seseorang kepada jangkitan kuman pada bahagian kulit

Faktor persekitaran

Banyak faktor persekitaran yang boleh mencetuskan serangan penyakit seperti:

  • Suhu yang rendah
  • Luka pada kulit
  • Jangkitan kuman
  • Alkohol
  • Tekanan
  • dan beberapa jenis ubat

Dalam satu kajian, jangkitan kuman pada gusi menyebabkan serangan psoriasis pada seseorang pesakit menjadi teruk. Apabila jangkitan kuman pada gusi dirawat, serangan psoriasis pun berkurangan



Faktor genetik

Pesakit yang ada masalah ini mempunyai kaitan dengan keturunan. Apabila seseorang itu mempunyai saudara ataupun adik-beradik yang mempunyai masalah ini, dia  juga mempunyai risiko yang tinggi untuk menghadapi masalah yang sama.

Punca yang selalu mencetuskan serangan psoriasis di kalangan mereka adalah jangkitan pada saluran pernafasan bahagian atas dimana mereka mempunyai simptom batuk dan selesema yang biasa. Selepas daripada itu, barulah serangan penyakit ini berlaku

Obesiti juga dikaitkan dengan genetik dan juga masalah yang lain seperti psoriasis. Selalunya bagi pesakit ini, serangan akan menjadi lebih teruk ketika mana berat badan bertambah. Jika berat badan menurun, serangan psoriasis pun berkurangan

Faktor imun

Kajian menunjukkan bahawa psoriasis adalah salah satu jenis penyakit ‘autoimmune’. Di dalam penyakit autoimmune, sel imun badan menjadi keliru dan cuba untuk menghapuskan sel badannya sendiri.

Sebab itu kita dapat melihat bahawa terkumpulnya sel darah putih pada bahagian kulit kerana ia cuba menyerang sel kulit itu sendiri.

Simptom


Beberapa simptom yang menunjukkan seseorang itu mempunyai masalah ini adalah:



Keruping yang berwarna keputihan yang selalu berlaku dibahagian kepala, siku dan juga lutut

  • Kawasan kulit yang terlibat juga menjadi kemerah-merahan
  • Kulit Gatal pada kawasan badan yang terlibat
  • Kuku yang menjadi tidak rata
  • Sakit dibahagian sendi

Periksa Simptom anda Di Sini

Prognosis


Walaupun penyakit ini selalunya tidak berbahaya, tetapi ia adalah penyakit yang boleh dikirakan sebagai penyakit seumur hidup. Ia mempunyai masa-masa ketika penyakit itu datang menyerang dan baik semula apabila dirawat.

Penyakit psoriasis yang biasa tidak menyebabkan kematian. Tetapi penyakit psoriasis yang teruk boleh meningkatkan risiko kematian awal disebabkan ia boleh membawa kepada penyakit kronik yang lain.

Beberapa penyakit yang dikatakan mempunyai kaitan dengan masalah ini adalah:

  1.  Penyakit jantung: 90 kajian telah menunjukkan pesakit psoriasis mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidapi serangan sakit jantung dan strok.
  2. Tekanan darah tinggi
  3.  Kegagalan buah pinggang

Komplikasi


Beberapa komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pesakit ini adalah:

  • Jangkitan bakteria pada kulit yang terlibat
  • Mempunyai risiko untuk penyakit limfoma
  • Mempunyai risiko untuk serangan sakit jantung atau angin ahmar
  • Serangan sendi
  • Injap jantung yang bermasalah

Diagnosa-diagnosa lain


Beberapa diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama adalah:

Ujian Pengesahan


Untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai masalah ini, ia tidak memerlukan pengambilan sampel darah mahupun sampel kulit. Cukup sahaja dengan pemeriksaan dan juga pengambilan sejarah membolehkan seseorang doktor mengatakan seseorang pesakit itu mempunyai penyakit psoriasis ataupun tidak.



Sampel darah boleh diambil jika diagnosa lain diambil kira. Sebagai contoh penyakit Systemic Lupus Erythematosus dan Rheumatoid arthiritis.

Rawatan Psoriasis


Rawatan bagi penyakit ini selalunya melibatkan penggunaan krim, pengambilan ubat, phototherapy dan juga terapi pengurangan stress

Pesakit selalunya datang ke klinik ketika serangan psoriasis berlaku dimana kulit pesakit akan kemerah-merahan, menebal dan menjadi gatal-gatal.

Rawatan sokongan dan krim

Beberapa rawatan bila berhadapan dengan perkara ini adalah:

  • Pendedahan kepada matahari
  • Mandi laut
  • Penggunaan krim pelembab seperti gel petroleum
  •  Penggunaan krim steroid
  • Penggunaan krim dengan campuran vitamin D

Penggunaan phototherapy

Penggunaan mesin phototherapy yang mengeluarkan Sinaran UV bersama dengan penggunaan krim direkomendasi untuk rawatan psoriasis. Tetapi ia mempunyai risikonya tersendiri jika digunakan dalam jangka waktu yang lama seperti risiko kanser kulit.

Oleh kerana itu, pesakit yang masih mempunyai simptom yang teruk akan direkomen untuk menggunakan rawatan ini.



Penggunaan ubat

Pada kes psoriasis yang sangat teruk, beberapa jenis ubat boleh diambil dengan arahan doktor seperti:

  • Retinoids
  • Methotrexate
  • Cyclosporine
  • Azathioprine
  • Dan beberapa jenis ubat yang lain

Elakkan daripada kecederaan kulit

Kecederaan kulit perlu dielakkan seperti luka, melecur dan ‘sunburn’ kerana ia boleh menyebabkan psoriasis di tempat tersebut. Serangan yang berlaku pada tempat yang cedera dipanggil sebagai “fenomena Kobner”.

Elakkan daripada penggunaan beberapa jenis ubat

Jika boleh pesakit perlulah mengelakkan beberapa jenis ubat seperti

  • Ubat tahan sakit jenis nSAIDS(sebagai contoh mefenemic acid, diclofenac dan lain-lain lagi)
  • Beta-blocker- adalah salah satu jenis ubat tekanan darah tinggi

Pesakit perlulah juga mengurangkan pengambilan alkohol untuk mengurangkan serangan penyakit ini

Periksa Simptom anda Di Sini



Rujukan:

  1. Gulliver W. Long-term prognosis in patients with psoriasis. Br J Dermatol. 2008 Aug. 159 Suppl 2:2-9.
  2. Krueger JG, Bowcock A. Psoriasis pathophysiology: current concepts of pathogenesis. Ann Rheum Dis. 2005 Mar. 64 Suppl 2:ii30-6.
  3. Keaney TC, Kirsner RS. New insights into the mechanism of narrow-band UVB therapy for psoriasis. J Invest Dermatol. 2010 Nov. 130(11):2534.
  4. sumber featured image:  Wikipedia
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight − six =