Ubat cair darah merupakan salah satu jenis ubat yang selalu digunakan untuk mereka yang mengalami masalah serangan sakit jantung. Ia juga digunakan untuk mereka yang mempunyai sejarah angin ahmar dan juga beberapa kegunaan yang lain.
Dalam perubatan, ubat cair darah bukan bermaksud kepekatan darah itu berkurangan apabila mengambil ubat ini. Tetapi fungsi sebenar ubat ini adalah untuk mengurangkan kemampuan darah untuk membeku(clotted).
Sebab itu mereka yang mengambil ubat ini akan berisiko untuk mengalami pendarahan yang teruk jika tidak dipantau.
Dengan mengurangkan potensi darah untuk membeku, maka kebarangkalian untuk darah membeku dan menyumbati saluran darah akan juga berkurangan. Dengan itu, serangan sakit jantung ataupun strok yang disebabkan penyumbatan darah akan berkurangan.
Jenis-jenis ubat untuk mencairkan darah
Terdapat 2 jenis ubat cari darah iaitu
1. Anti-coagulant
Ubat jenis ini berfungsi dengan cara merencat fungsi protein pembekuan darah.
Beberapa jenis ubat anti-coagulant yang selalu digunakan di Malaysia adalah:
- Heparin
- Warfarin
- Enoxaparin (Lovenox)
- Fondaparinox(Arixtra)
- Dabigatran(Pradaxa)
2. Ubat antiplatlet
Ubat ini akan merencat fungsi platlet yang memulakan pembekuan darah.
Beberapa jenis ubat antiplatlet yang selalu digunakan di Malasyia adalah:
- Aspirin
- Clopidogrel(Plavix)
- Ticlopidine(Ticlid)
Apakah fungsi atau kegunaan ubat cair darah?
Ia digunakan untuk beberapa jenis penyakit supaya pembekuan darah tidak berlaku terlalu cepat. Penyakit-penyakit tersebut melibatkan
- Serangan sakit jantung
- Angin Ahmar
- Masalah dengan peredaran darah terutamanya pada bahagian kaki
- Denyutan jantung yang tidak normal
- Kecacatan jantung sejak kecil
- Masalah pada injap jantung
Jika pesakit mengambil Ubat jenis warfarin, selalunya pesakit perlu mengambil darah yang kerap supaya darah tersebut tidak terlalu cair hingga menyebabkan pendarahan yang teruk
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Apakah kesan sampingan ubat cair darah?
Terdapat beberapa kesan sampingan yang boleh berlaku jika anda mengambil ubat ini. Kesan-kesan tersebut adalah:
- Mudah lebam
- Berak berdarah
- Darah haid keluar dengan lebih banyak daripada biasa
- Batuk atau muntah darah
- Serangan gastrik
- Air kencing berdarah
Pesakit perlulah berhati-hati atau mengelakkan diri daripada aktiviti yang boleh mendedahkan dirinya pada kecederaan fizikal. Ini kerana kecederaan tersebut boleh menyebabkan pendarahan yang teruk.
Terdapat ubat yang boleh melawan balik kesan ubat ini sebagai contoh warfarin. Kesannya boleh dilawan dengan pemberian Vitamin K pada pesakit. Idarucizumab pula boleh melawan kesan ubat cair darah jenis Dabigatran.
Oleh itu, jika pesakit mengalami pendarahan yang teruk disebabkan ubat cair darah, maka ubat-ubat sebegini boleh diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan pendarahan yang teruk
Tips bagi pesakit yang mengambil ubat ini
Ketika mana anda mengambil ubat ini, pastikan anda mengikuti tips ini:
- Beritahu doktor perubatan yang anda sedang mengambil ubat cair darah berserta ubat yang lain. Ini penting supaya ubat yang diberikan oleh doktor yang seterusnya tidak mengganggu fungsi ubat tersebut
- Elakkan sukan ataupun aktiviti yang mendedahkan diri anda dengan kecederaan. Ia mungkin menyebabkan pendarahan yang teruk jika kecederaan tersebut berlaku
- Beritahu doktor anda jika mereka hendak melakukan pembedahan ataupun prosedur yang melibatkan gigi.
Rujukan:
- FDA Drug Safety Communication: Update on the risk for serious bleeding events with the anticoagulant Pradaxa (dabigatran). (n.d.). U S Food and Drug Administration Home Page
- Medication Guide COUMADIN (warfarin sodium). (n.d.). FDA
- Blood Thinners. (n.d.). MedlinePlus