Apakah kegunaan ubat chlorpheniramine (piriton) ini? Artikel ini akan membincangkan kegunaan, dos dan kesan sampingan yang mungkin anda alami ketika mengambil ubat ini.
Kegunaan
Chlorpheniramine (juga dikenali dalam pelbagai jenama seperti Piriton dan sebagainya) adalah antara ubat yang biasa diberikan di hospital dan klinik kesihatan sebagai rawatan simptomatik bagi reaksi alergik tubuh badan yang kebiasaannya boleh disembuhkan dengan rawatan antihistamin (chlorpheniramine adalah sejenis ubat antihistamin, akan dibicarakan nanti).
Chlorpheniramine juga boleh ditemui di farmasi komuniti berhampiran anda – ubat ini diletakkan dalam kategori C dalam Akta Racun 1952 – farmasis boleh mencadangkan kepada anda ubatan tersebut dan boleh mendispens ubat tanpa perlu bantuan preskripsi doktor.
FDA meletakkan kegunaan chlorpheniramine sebagai ubat pilihan untuk:
- Selesema biasa
- Alergik rinitis (resdung)
Dalam pasaran, ubat ini wujud dalam beberapa jenis:
- Tablet untuk oral 4 mg
- Sirap untuk oral 2 mg / 5 ml (di luar ada juga yang dijual dengan kekuatan 4 mg / 5 ml, 2 mg / 5 ml selalu digunakan dalam fasiliti kerajaan)
- Suntikan biasa untuk dicucuk di otot (intramuskular, IM), saluran darah (intravena, IV) atau di bawah kulit (subkutaneus, SC) 10 mg setiap satu ampul (atau vial).
Kebiasaan cara penggunaannya adalah seperti berikut:
- Kanak-kanak >12 tahun dan dewasa: Ubat oral: 1 biji (4 mg) boleh sehingga 3 kali sehari (selang 8 jam) bila perlu, maksimum 24 mg/hari.
- Kanak-kanak ≥2 – 12 tahun: 0.1 mg/kg 3 kali sehari (untuk ubat oral)
- Boleh diambil sebelum atau selepas makan.
- Elakkan memandu dan mengawal jentera berat kerana ubat ini menyebabkan rasa mengantuk.
Penyimpanan
Ubat ini boleh disimpan di dalam suhu kering dan dingin (suhu bilik 25°C digalakkan) dan dijauhkan dari cahaya.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Cara Ubat Berfungsi
Seperti mana yang diberitahu sebentar tadi, chlorpheniramine adalah antara ubat antihistamin yang kerap digunakan dalam pesakit. Chlorpheniramine adalah ubat yang merencat kesan histamin menerusi pengaruhan subreseptor histamin bernama histamine-1 (H1) yang biasa terdapat dalam saluran pernafasan, pembuluh darah, dan juga perut. Ini akan menghalang kesan keradangan dan alahan yang disebabkan mast cell.
Ubat ini juga mampu merentasi sistem saraf pusat kerana sifat larut lemak (non-polar), dan menyebabkan ia memberikan kesan antikolinergik kepada pesakit seperti pengurangan rembesan air liur dan air mata, susah lawas berak dan kencing, mengantuk dan pening. Kesan ini banyak berlaku pada ubat ini memandangkan chlorpheniramine adalah ubat generasi pertama antihistamin yang dikeluarkan. Disebabkan itulah, sesetengah doktor dan farmasis mengesyorkan alternatif lain seperti cetirizine dan loratadine yang kesan sampingannya kurang
Kesan sampingan
Kesan sampingan biasa ini memang kerap dijumpai dalam pesakit, iaitu:
- Pening kepala
- Mengantuk
- Loya
- Muntah
Kesan sampingan lain juga mungkin berlaku kepada pesakit, tetapi biasanya banyak bergantung kepada seberapa banyak dos yang diberikan. Pesakit perlu bertanya pada para doktor berkenaan simptom dan tanda-tanda tersebut jika situasi tersebut terus melarat. Antaranya termasuklah:
- Kesan antikolinergik (biasa berlaku dalam antihistamin generasi pertama):
- Pengurangan rembesan air mata, menaikkan tekanan intraokular mata, mata kabur
- Pengurangan rembesan air liur
- Pengecutan saluran pernafasan, kontraksi bronkiol paru-paru – kesukaran untuk bernafas
- Menaikkan kadar nadi pesakit
- Susah buang air kecil dan besar
- Lemah otot dan sendi
- Pergerakan badan di luar kawalan
- Sukar duduk diam, badan bergetar-getar, tangan menggigil, berdebar-debar dan juga sawan (jarang berlaku)
- Penurunan fungsi hati – jaundis (jarang berlaku)
- Kadar nadi tidak sekata, aritmia
- Tekanan darah rendah
- Kepala pusing (vertigo)
- Tinnitus (deringan dalam telinga)
- Berpeluh
- Komplikasi masalah darah (agranulocytopenia, leukopenia, pancytopenia dan sebagainya)
- Hilang tumpuan
Disebabkan kesan yang pelbagai inilah, kebanyakan pesakit tidak disarankan sama sekali menggunakan ubat ini:
- Asma akut, komplikasi asma dan sakit berkaitan pernafasan (masalah yang agak kontroversi)
- Glaukoma (menaikkan tekanan intraokular mata, sangat berbahaya pada jenis open-angle dan narrow-angle glaucoma sekadar langkah berjaga-jaga)
- Pesakit yang mempunyai pembesaran kelenjar prostat simptomatik (benign prostatic hyperplasia – BPH), masalah berkaitan sistem perkumuhan
- Ulser perut terutamanya masalah pengecilan laluan keluar perut (stenosis peptic ulcer) dan kerosakan laluan keluar perut ke usus kecil (pyloriduodenal obstruction)
- Hipersensitiviti terhadap chlorpheniramine atau dexchlorpheniramine
- Ibu mengandung – penggunaan dalam kalangan ibu mengandung pada trimester pertama tidak menyebabkan apa-apa kesan sampingan dan kecacatan janin (teratogenik) dalam kajian. Malahan, terdapat rujukan penggunaan ubat ini dalam trimester ketiga menyebabkan berlakunya ketidakselesaan bayi, tubuh badan bayi menggigil dan sebagainya. Walaupun tidak mempunyai dapatan mencukupi dari kajian terhadap haiwan dan manusia, penggunaannya lebih disarankan untuk tidak digunakan, seperti mana pihak pembekal menyarankan.
- Ibu menyusukan anak: Chlorpheniramine ada ditemui dalam susu ibu dalam jumlah yang pelbagai. Namun begitu, adalah tidak digalakkan penggunaannya dalam kalangan ibu mengandung.
- Kanak-kanak: Walaupun dapatan terkini menyatakan pengambilan ubat untuk kanak-kanak 1 bulan ke atas, mengikut kebiasaanya dalam fasiliti kesihatan: data terhadap kanak-kanak di bawah umur 2 tahun masih belum mencukupi. Penggunaannya juga tidak digalakkan memandangkan bayi boleh mengalami kesesakan nafas yang amat serius sehingga boleh mengundang kematian. Sebab itulah kanak-kanak bawah umur 2 tahun tidak digalakkan penggunaannya.
- Pesakit yang ada mengambil ataupun 2 minggu dalam rawatan melibatkan perencat enzim monoamine oxidase (monoamine oxidase inhibitor) untuk kes depresi dan masalah psikologi lain seperti tranylcypromine dan sebagainya.
Peringatan (precaution)
Individu seperti dibawah perlulah berhati-hati menggunakan ubat ini dan perlu mendapat pantauan dari doktor.
- Warga tua: kesan antikolinergik dan toksisiti melibatkan warga tua lebih tinggi kerana ubat lebih lama berada dalam tubuh badan. Penggunaan sebagai ubat tidur menjadikan ubat tidak lagi berkesan sedikit demi sedikit dalam julat terapeutikal, dan pesakit perlu mengambilnya dalam dos yang tinggi untuk mencapai tahap terapeutik yang sesuai).
- Mengandung: Ada terdapat amalan ubat-ubat generasi terawal antihistamin seperti chlorpheniramine masih boleh digunakan dalam kalangan ibu mengandung, tetapi hanya sekiranya kelebihan mengatasi risiko; serta hanya digunakan jika perlu.
- Ibu menyusukan anak: Walaupun tidak digalakkan penggunaanya, penggunaannya sekali lagi harus diberikan jika terdapat kelebihan mengatasi risiko terhadap pesakit. Bayi juga perlu diawasi jika sekiranya bayi ada muncul dengan kesan sampingan seperti rasa tidak selesa ataupun mengantuk. Satu lagi cara alternatif adalah untuk menjarakkan masa pengambilan susu bayi anak dengan pengambilan ubat terbabit.
- Pesakit sawan: jika diambil berterusan menaikkan insiden sawan
- Pesakit glaukoma, BPH, kerosakan saluran perkumuhan: boleh dimulakan juga untuk kalangan pesakit ini tetapi dengan pantauan rapi doktor.
- Komplikasi sakit berkaitan jantung (serangan jantung, kegagalan jantung; aritmia jantung dan sebagainya) dan paru-paru (bronkitis dan bronkiektasis)
- Pesakit hipertiroid: meningkatkan simptom hipertiroid dalam pesakit sedia ada (kesukaran bernafas, sukar mengawal otot dan sebagainya). Boleh dimulakan tetapi perlu pengawasan doktor.
- Pengurangan fungsi hati.
Perhatian sedemikian perlu dititikberatkan terlebih dahulu oleh para doktor sebelum memulakan pemberian chlorpheniramine kepada mereka. Pesakit perlu diberitahu kesan sampingannya dan perlu dinilai terlebih dahulu sebelum menggunakan chlorpheniramine untuk sakit mereka.
Interaksi antara ubat
Nyatakan kepada doktor terlebih dahulu mengenai kesesuaian pengambilannya terlebih dahulu bersama ubat-ubatan yang anda makan untuk mengelak sebarang permasalahan serius.
- Alkohol, MAOI (tranylcypromine, isocarboxazid): meningkatkan kesan depresi otak; terutamanya kesan tidur dan kesan psikoterapi lain.
- MAOI dan ubat antikolinergik (atropine, hyoscine, benzhexol, ipratropium, tiotropium dan sebagainya): meningkatkan kesan antikolinergik chlorpheniramine
- Ubat berkaitan HIV/AIDS (perencat enzim protease: ritonavir): menaikkan kesan chlorpheniramine
- Ubat berkaitan benzodiazepine (midazolam, alprazolam, lorazepam), barbiturat (phenobarbitone), ubat tahan sakit opioid (buprenorphine, tramadol), ubat merawat kebimbangan (chloral hydrate, zolpidem), ubat antipsikotik (aripiprazole, olanzapine, quetiapine, risperidone), ubat antikemurungan (dothiepin, imipramine, amitryptyline), ubat antihistamin lain (loratadine, azelastine, cinnarizine): meningkatkan kesan sedatif chlorpheniramine
- Phenytoin, gabapentin (ubat sawan): menaikkan kesan toksisiti phenytoin dan gabapentin dalam rawatan sawan, sebaik-baiknya pantauan bagi mengelak terjadinya kesukaran bernafas dan kesan sedatif serius, dengan dos yang kecil.
Kesan Terlebih Dos
Pengambilan chlorpheniramine dalam jumlah yang banyak selalu berlaku tetapi jarang-jarang membawa kesan serius. Penggunaan chlorpheniramine dalam dos yang besar kebiasaannya adalah melalui sifatnya yang kerap disalahgunakan untuk alternatif kesan halusinasi. Tetapi antara kesan biasa yang dilaporkan meliputi:
Kes ringan dan sederhana | Kes serius |
Mengantuk | Konfius |
Kesan antikolinergik biasa (lanjutan dari nota yang telah dibincangkan di atas), Kadar nadi tinggi (tachycardia) | Psikosis, Sawan, Koma |
Tekanan darah tinggi (sedikit tinggi) | Denyutan jantung menjadi tidak sekata |
Loya dan muntah | Rhabdomyolysis (pengoyakan otot-otot ke saluran darah)* |
+ Celaru | Kegagalan akut fungsi buah pinggang* |
+ Halusinasi | |
+ Gelisah (agitation) |
+ dijumpai dalam kes sederhana
*jarang-jarang ditemui dalam pesakit yang mengalami keliru, halusinasi dan gelisah dalam kes serius
Rawatan kebiasaannya melibatkan rawatan simptom dan sokongan sahaja.
- Arang ubatan (activated charcoal) atau/dan gastric lavage jika pengambilan kurang dari 4 jam
- Physostigmine (ubat perencat acetylcholinesterase, AChE) boleh digunakan untuk menentukan toksisiti antihistamin
- Sawan: Selalunya boleh sembuh dengan sendiri ataupun boleh menggunakan ubat benzodiazepine
Rujukan
- Buku Biru Formulari Ubat, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
- BNF 78
- Chlorpheniramine. Dalam: MIMS Gateway [Internet].
- Kar, S., Krishnan, A., Preetha, K. & Mohankar, A. (2012). A review of antihistamines used during pregnancy. Journal of Pharmacology and Pharmacotherapeutics, 3(2), 105–108. doi: 10.4103/0976-500X.95503