Skip to content

Ubat Etoricoxib(arcoxia): Dos dan Kesan Sampingan

Apakah dos dan kesan sampingan ubat etoricoxib (arcoxia) ini? Artikel ini akan membincangkan dos, kegunaan dan kesan sampingan ubat ini.

Kegunaan

Sepertimana celecoxib, etoricoxib jugadiletakkan dalam Kumpulan A, bermakna hanya Doktor Pakar sahaja yang boleh memulakan ubat ini, dan pembelian ubat tersebut perlu mendapatkan preskripsi doktor. Pemberian ubat ini biasanya diberikan mengikut situasi semasa pesakit itu sendiri dan tidak boleh sama sekali dimulakan tanpa penelitian dari para doktor terlebih dahulu.

Etoricoxib sehingga kini masih tidak mempunyai pelesenan FDA untuk pasaran Amerika Syarikat kerana kebimbangan terhadap insiden kardiovaskular melibatkan ubat selektif COX-2, namun begitu ubat ini dilesenkan hanya untuk kegunaan seperti berikut:

  • Serangan Gout
  • Rheumatoid artritis
  • Sakit sendi disebabkan osteoartritis
  • Ankylosing spondiolysis (sejenis penyakit artritis reumatoid yang melibatkan saraf tunjang badan)
  • Sakit-sakit otot kronik


Etoricoxib juga digunakan sebagai ubat penahan sakit akut (mengikut penelitian para doktor) dan penahan sakit selepas prosedur gigi.

Cara Pengambilan ubat ini

  • Ubat ini boleh diambil sebelum makan; tetapi biasanya diambil selepas makan untuk mengelakkan gastrik.
  • Ikut dos seperti disyorkan oleh doktor dan hanya perlu diambil sekiranya perlu. Maksimum pengambilan harian adalah sekali sehari sahaja.
  • Pesakit osteoartritis: biasanya 30 mg sehari tapi boleh dinaikkan ke 60 mg sehari dan diambil bila perlu.
  • Pesakit rheumatoid artritis dan ankylosing spondiolysis: 90 mg sehari bila perlu.
  • Bagi pesakit gout yang juga menghidapi artritis, ubat ini biasa perlu diambil dalam dos tinggi (120 mg) sekali sehari sahaja dan hanya diambil untuk 8 hari sahaja.
  • Ubat perlu ditelan dengan segelas air kosong (250 ml) secara keseluruhannya, tidak boleh dipotong dan dikunyah.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Boleh disimpan dalam suhu kurang dari 30°C dalam bungkusan asal. Jauhkan dari keadaan lembap dan bercahaya.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Berikut adalah antara jenama ubat ini di pasaran Malaysia:

  • Arcoxia (Merck Sharp & Dohme [MSD]): 30 mg, 60 mg, 90 mg dan 120 mg (formulari KKM hanya mendaftarkan 60 mg, 90 mg dan 120 mg sahaja).
  • Jenama generik:
    • Axcel Etoricoxib (Kotra Pharma): 60 mg, 90 mg dan 120 mg.
    • hovid-Etoricoxib (Hovid): 30 mgh, 60 mg, 90 mg dan 120 mg
    • Etrobax (Ranbaxy): Etrobax 60 (60 mg), Etrobax 90 (90 mg) dan Etrobax (120 mg)
    • Coxitor (Novartis): 90 mg dan 120 mg
    • Etrix (Genpharma): 60 mg, 90 mg dan 120 mg
    • Eberil (Medispec): 60 mg, 90 mg dan 120 mg.

Cara Ubat Berfungsi

Ubat ini adalah satu lagi jenis ubat inflamatori bukan berasaskan steroid (nonsteroidal anti-inflammatory drug, NSAID), sama fungsi seperti ubat NSAID lain di pasaran seperti aspirin, diclofenac dan mefenamic acid.

Ubat-ubat ini, bersama etoricoxib berfungsi merencat enzim siklooksigenase dalam badan yang digunakan dalam penghasilan prostaglandin yang mengakibatkan rasa sakit pada seseorang.



Walaubagaimanapun, 3 contoh ubat yang dikemukakan tadi mengaruh secara kekal 2 subenzim siklooksigenase, COX-1 dan COX-2. Manakala etoricoxib secara spesifiknya mengaruh enzim COX-2 sahaja, seterusnya mengurangkan kesan sampingan seperti gastrik atau ulser perut

Kesan sampingan

Berikut antara kesan sampingan biasa dijumpai:

  • Bengkak air (seperti ubat NSAID lain, etoricoxib boleh mengurangkan pengeluaran air dalam tubuh badan)
  • Tekanan darah naik (kerana pengumpulan air dalam badan)
  • Sakit dada
  • Sakit-sakit otot dan sendi
  • Berat badan naik tiba-tiba
  • Gastrik
  • Loya dan muntah
  • Kembung perut
  • Pedih ulu hati
  • Ulser mulut
  • Perubahan pada deria rasa
  • Sindrom usus sensitif (irritable bowel syndrome, IBS)
  • Hipersensitiviti pada kulit (mungkin melibatkan kegatalan), boleh juga menyebabkan angioedema dan anafilaksis
  • Sakit kepala dan pening kepala
  • Susah tidur
  • Demam
  • Batuk
  • Bersin
  • Sukar bernafas
  • Jangkitan saluran perkumuhan
  • Boleh mengubah kadar creatinine buah pinggang (boleh menurunkan tahap prestasi buah pinggang), dan juga tahap enzim ALT dan AST ketika pemeriksaan makmal untuk buah pinggang dan hati
  • Serangan jantung – Jarang

Antara kesan sampingan serius yang kerap direkodkan melibatkan etoricoxib termasuklah:

  • Meningkatkan insiden darah beku (Sakit jantung dan angin ahmar)
  • Hipersensitif [kesan sampingan kutaneus serius (SCARS), sindrom Steven-Johnson dan nekrolisis epidermis toksik]
  • Kewujudan lubang dalam saluran penghadaman (gastrointestinal perforation)

Oleh disebabkan itu, ubat ini tidak boleh sama sekali diberikan kepada pesakit-pesakit berikut:

  • Alahan (hipersensitif) pada etoricoxib dan ubat tahan sakit NSAID yang lain.
  • Alahan pada ubat-ubatan berasaskan sulfonamide (cth: antibiotik untuk membunuh kuman)
  • Kegagalan buah pinggang (pelepasan kreatinin, CrCL di bawah 30 ml/min) dan kegagalan hati yang serius (klasifikasi Child-Pugh gred C)
  • Ada ulser perut dan usus ataupun mengalami pendarahan dalam perut dan usus.
  • Pesakit mengandung (Kategori C jika kandungan <20 minggu, D jika kandungan sudah berusia 30 minggu dan seterusnya kerana boleh menyebabkan penutupan pramatang duktus arteriosus janin dan kegagalan fungsi buah pinggang janin)
  • Pesakit menyusu
  • Pesakit radang usus seperti penyakit Crohn dan ulseratif kolitis
  • Pesakit kegagalan jantung, serangan jantung, saluran darah ke otak tersekat sementara (angin ahmar), darah tinggi
  • Pesakit yang ada atau mempunyai sejarah polip hidung, asma, resdung ataupun rinitis akut
  • Pesakit yang ada atau pernah mengalami masalah peredaran darah (penyakit arteri periferal), atau pernah menjalani pembedahan arteri kaki.
  • Kanak-kanak bawah 16 tahun

Peringatan (precaution)

Memandangkan terdapat risiko kesan sampingan mengancam nyawa melibatkan sistem kardiovaskular serta penghadaman yang tinggi dengan pengambilan dos serta tempoh  pengambilan ubat yang berterusan, penggunaan ubat ini hanya disyorkan jika perlu sahaja.

Sesetengah pesakit masih lagi boleh mengambil ubat ini, namun perlukan pengawasan dari para doktor, antaranya.

  • Pesakit mengandung yang kandungannya lebih dari 20 bulan hanya perlu diberikan ubat ini Jika perlu. Jika digunakan perlulah mengehadkan penggunaannya kepada dos paling kurang dengan jangka masa yang pendek.
  • Pesakit kegagalan hati tahap A dan B (menurut klasifikasi Child-Pugh) perlu menggunakan ubat ini hanya bila perlu sahaja dan masih perlu pantauan doktor.
  • Pesakit kegagalan fungsi buah pinggang: pengambilan masih lagi perlu dipantau doktor dan jika perlu sahaja. Jika pesakit tahap ringan boleh mengambil ubat ini maksimum 60 mg sehari, dan di tahap sederhana boleh mengambil ubat ini maksimum 30 mg sehari.
  • Ibu menyusu: Walaupun pihak pembekal tidak menggalakkan penggunaan etoricoxib sebab ubat muncul dalam susu ibu, namun begitu penggunaanya masih lagi boleh diteruskan tetapi dengan pantauan doktor.

Maklumat yang disertakan di sini mungkin tidak berapa lengkap. Sebaiknya berhubunglah dahulu dengan para doktor berdekatan jika mengalami penyakit-penyakit tertentu yang mungkin membolehkan pesakit mengambil etoricoxib ini.

Interaksi antara ubat

Sebaiknya berbincanglah dahulu dengan doktor jika pesakit ada mengambil bersama ubat etoricoxib ini bersama ubat-ubatan atau makanan lain untuk mengelakkan terjadinya sebarang kesan sampingan yang tidak diingini. Antaranya:



  • Ubat yang banyak bertindak dengan enzim sitokroma P450 CYP2C9 yang juga memetabolismekan etoricoxib:
    • Ubat seperti Fluconazole, itraconazole (ubat kulat), efavirenz (ubat HIV/AIDS), dextromethorphan (ubat batuk): menyebabkan kesan etoricoxib meningkat
    • Ubat seperti Rifampicin (antibiotik), carbamazepine (ubat sawan, penyakit psikosis dan kesakitan), barbiturat (juga ubat sawan dan dalam penyakit berkaitan psikosis): menurunkan kesan etoricoxib
  • Mengurangkan kesan ubat darah tinggi lebih-lebih lagi ubat perencat enzim ACE (perindopril, enalapril, captopril, ramipril), ubat perencat reseptor angiotensin (losartan, telmisartan), ubat diuretik (hydrochlorothiazide, frusemide), perencat reseptor beta (atenolol, metoprolol dsb) dan ubat-ubat tekanan darah tinggi lain.
  • Menaikkan kepekatan ubat lithium (penyakit mania), tacrolimus, cyclosporine (dalam rawatan imunosupresan bagi kes penerimaan organ buah pinggang sebagai contoh), dan methotrexate (antikanser dan juga dalam sesetengah rawatan autoimun dan gout). Ini juga membahayakan sistem buah pinggang pesakit.
  • Menaikkan kesan digoxin (ubat untuk kegagalan jantung)
  • Menaikkan insiden pendarahan lebih-lagi pendarahan dalam saluran gastrousus jika digunakan bersama ubat cair darah (warfarin, apixaban, fondaparinux), dan dengan ubat NSAID lain (ibuprofen, aspirin), ubat kemurungan dan kebimbangan SSRI (duloxetine, escitalopram), dan glukokortikoid (prednisolone, dexamethasone dsb).
  • Herba-herba seperti ginkgo biloba, dong quai, halia, bawang putih boleh menaikkan kesan pendarahan etoricoxib.

Kesan terlebih dos

Kes toksisiti disebabkan etoricoxib jarang berlaku, tetapi tiada kesan serius pernah dilaporkan terhadap keracunan etoricoxib. Simptom biasa yang mungkin dijumpai adalah simptom tipikal terlebih dos NSAID antaranya:

  • Sakit-sakit abdomen badan
  • Perut meragam
  • Kembung perut
  • Loya dan muntah
  • Tekanan darah naik (jarang)
  • Kegagalan fungsi ginjal akut (jarang)

Rawatan yang diberikan untuk kes keracunan sedemikian kebiasaannya berpandukan pada simptom pesakit dan juga penilaian klinikal terutamanya tekanan darah, nadi dan pernafasan untuk kesan kardiovaskular serta parameter darah, hati dan ginjal.

Rujukan

  1. MIMS Gateway
  2. BNF 78
  3. Arcoxia. Dalam: Drugs.com [Internet].
  4. Buku Biru Farmaseutikal Kebangsaan. Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  5. Etoricoxib [Carian]. Dari: myHealthbox [Internet].
  6. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Arcoxia® Tablet [Internet].
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 3 =