Skip to content

10 Khasiat Buah Jambu Air yang Perlu Diketahui

Apakah khasiat buah jambu air kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat jambu air, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam Jambu air.

Pengenalan

Sekali pandang buah ini nampak seakan-akan bentuk loceng pada zaman dahulu. Ya, itulah buah jambu air, yang kerap dijumpai ditanam di kawasan perkampungan baik di halaman rumah, mahupun di persekitaran kampung. Buah jambu air merupakan antara buah yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia. Menurut sejarah, buah jambu air berasal dari kawasan Timur India dan juga di kawasan Malaya.

Sehingga kini, buah jambu air banyak ditanam dan didapati di kawasan Asia Tenggara kerana suhunya yang sangat sesuai. Buah jambu air juga telah digunakan secara meluas dalam perubatan Ayurveda kerana khasiatnya yang sangat banyak. Selain buahnya, bahagian-bahagian lain pada jambu air juga banyak digunakan dalam bidang perubatan tradisional seperti bunganya yang digunakan untuk mengubati cirit-birit, serta akarnya yang digunakan oleh perubatan tradisional Cina sebagai penyejuk darah.

Kandungan Nutrisi



Buah jambu air digunakan secara meluas dalam pelbagai bentuk makanan seperti jeruk, acar buah, sebagai pencuci mulut (dessert) mahupun dimakan begitu sahaja. Menurut USDA, 100 gram buah jambu air mengandungi sebanyak 25 kalori dan 0.6 g protein. Selain itu, buah jambu air juga mengandungi pelbagai jenis nutrien lain dari vitamin dan mineral, seperti niacin, zat besi, sulfur, kalsium dan juga potassium. Buah jambu air juga sangat kaya dengan vitamin A dan C serta serat. Majoriti daripada komponen dalam buah jambu terdiri daripada air, iaitu sebanyak 90%, menjadikan buah jambu air sebagai agen hidrasi yang sangat baik.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat dalam Jambu Air                      

Selain kandungan vitamin dan mineral serta nutrisi lain yang terdapat dalam buah jambu air, beberapa kompoun seperti flavonoid dan juga jambosin turut dikenalpasti memainkan peranan yang penting kepada kesihatan. Berikut akan dibincangkan beberapa khasiat buah jambu air serta manfaatnya kepada kesihatan tubuh badan.

10 Khasiat Jambu Air pada Kesihatan

1. Melawan radikal bebas

Seiring dengan kemajuan teknologi, manusia semakin terdedah dengan radikal-radikal bebas yang datang dari persekitaran dan juga pemakanan. Radikal bebas ini boleh membahayakan kesihatan dan menjadi punca kepada penyakit-penyakit seperti kanser dan sebagainya. Kandungan flavonoid yang tinggi dalam buah jambu air berfungsi melawan radikal bebas seterusnya mengurangkan risiko seseorang individu daripada menghidapi penyakit.

2. Mengurangkan risiko strok



Strok merupakan suatu keadaan yang terjadi apabila saluran darah di bahagian otak tersumbat. Ini boleh disebabkan daripada pelbagai faktor, seperti pemakanan yang tidak sihat, stress yang melampau dan sebagainya. Kandungan vitamin C yang tinggi dalam buah jambu air berpotensi mengurangkan risiko strok dengan menghalang pembentukan plak yang menyebabkan saluran darah tersumbat.

3. Meningkatkan kolesterol “baik” (HDL kolesterol)

Kolesterol terbahagi kepada dua jenis, iaitu kolesterol “baik” (HDL kolesterol) serta kolesterol “jahat” (LDL kolesterol). Bagi memastikan tubuh badan berfungsi dengan baik dan sihat, seseorang individu perlu memastikan kolesterol jahatnya berada pada paras yang rendah serta kolesterol baiknya berada pada paras yang tinggi.

Jika tidak, individu tersebut berisiko menghidapi penyakit-penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan sebagainya. Niacin, yang terdapat dalam buah jambu air dilihat sangat berkhasiat kerana ia berfungsi untuk mengatur proses sintesis kolesterol dalam badan seterusnya meningkatkan paras kolesterol baik serta mengurangkan paras kolesterol jahat serta triglicerides.

4. Mencegah diabetes

Diabetes merupakan penyakit yang semakin membimbangkan rakyat Malaysia masa kini, berikutan peningkatan pesakit diabetes saban tahun. Diabetes berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya keturunan, pemakanan yang tidak sihat serta gaya hidup yang tidak seimbang. Majoriti daripada pesakit diabetes mengalami kegagalan fungsi insulin seterusnya mengakibatkan beberapa komplikasi seperti luka yang lambat untuk sembuh, penurunan berat badan serta kegagalan buah pinggang. Jambosin, sebuah komponen alkaloid bioaktif yang terdapat didalam buah jambu air berfungsi menghalang penukaran kanji kepada gula, secara langsung membantu mengatur kadar gula dalam darah. Namun, pesakit diabetes perlu dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.

5. Mencegah sembelit

Sembelit sering dialami oleh individu yang kurang pengambilan serat serta air dalam diet seharian, selain daripada gaya hidup yang tidak aktif. Sembelit terjadi kerana pergerakan usus akan menjadi lebih perlahan seterusnya menyebabkan najis menjadi keras. Buah jambu air yang kaya dengan serat serta mempunyai kandungan air yang tinggi dilihat bermanfaat untuk diambil bagi mencegah daripada terjadinya sembelit.



6. Mencegah dari kekejangan otot

Kekejangan otot terjadi kerana kurangnya sebahagian mineral yang berfungsi mengawal pergerakan otot seperti potassium dan sodium serta kekurangan air dalam badan (dihidrasi). Buah jambu air bertindak sebagai sumber potassium dan sumber air yang baik justeru berpotensi untuk menghalang individu daripada mendapat kekejangan otot.

7. Baik untuk kulit

Kulit merupakan organ yang sering terdedah kepada bahaya kerana kulit bertindak sebagai pertahanan pertama badan. Justeru, kesihatan kulit adalah sangat penting bagi memelihara tubuh badan daripada penyakit. Buah jambu air mengandungi kandungan vitamin A dan C yang tinggi serta baik untuk kulit dengan menghalang daripada kerosakan oksidatif yang berpunca daripada pemakanan dan persekitaran.

8. Baik untuk kesihatan jantung

Kesihatan jantung adalah sangat penting dalam kehidupan setiap individu. Pemakanan yang rendah sodium, tinggi potassium adalah merupakan antara faktor penting dalam penjagaan kesihatan jantung. Justeru, buah jambu air dilihat sangat baik untuk diambil bagi memelihara kesihatan jantung kerana kandungan potassiumnya yang tinggi serta rendah kandungan sodium.

9. Berpotensi merawat kerosakan hati

Hati memainkan peranan yang penting dalam tubuh badan. Proses menyahtoksin, menghasilkan protein dalam badan serta beberapa proses lain dijalankan oleh hati. Justeru, hati perlu berfungsi dengan baik bagi memastikan badan kekal sihat dan terhindar daripada penyakit. Menurut kajian, buah jambu air memiliki sifat hepatoprotektif yang berpotensi memelihara daripada kerosakan hati. Namun kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti keberkesanan dan sebarang kesan sampingannya terhadap kesihatan.



10. Baik untuk hidrasi badan

Sistem-sistem dan proses dalam tubuh badan memerlukan kandungan air yang mencukupi bagi berfungsi dengan baik. Jika tidak, masalah kesihatan akan berlaku serta menyebabkan ketidakselesaan pada badan apabila proses dehidrasi berlaku. Buah jambu air mengandungi jumlah air yang tinggi iaitu sebanyak 90% untuk setiap 100 gramnya, dilihat sangat baik untuk diambil bagi mengekalkan hidrasi badan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, buah jambu air mempunyai banyak khasiat yang sangat baik kepada kesihatan tubuh badan manusia. Namun, sebahagian kajian menyatakan terdapat potensi toksik bagi beberapa bahagian pada buah jambu air, seperti akar, dahan serta benihnya kerana terdapat kandungan cyanide dan boleh membahayakan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Justeru, sebaiknya makan buah jambu air sahaja bagi mengelakkan risiko kepada kesihatan dan sentiasalah amalkan pemakanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat supaya kesihatan diri terpelihara serta tercegah dari menghidapi apa jua jenis penyakit. 

Khasiat Buah yang Lain

Buah TembikaiBuah Betik
Buah KulimBuah Belimbing
Buah BidaraBuah Kiwi
Buah MarkisaBuah Jambu Air
Buah CikuBuah Tin
Buah PisangBuah Anggur
Buah EpalBuah Nanas
Buah DelimaBuah Jambu Batu
Buah Zaitun

Rujukan

  1. Staughton J. (2020) Top 4 Health Benefits of Rose Apple. Retrieved from organic facts.
  2. Water Apple: Health Benefits, Nutrition, Uses for Skin and Hair, Recipes, Side Effects (2020). Retrieved Nermed
  3. Watery Rose Apple facts and healths benefits. Retrieved from Health Benefits
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 − fifteen =