Skip to content

10 Khasiat Buah Kulim Yang Anda Perlu tahu

Apakah khasiat buah kulim pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat buah kulim, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalamnya.

Pengenalan

Pokok kulim (Scorodocarpus Borneensis Becc.) yang tergolong dalam keluarga Olacaceae merupakan tanaman berkayu dan mengeluarkan buah kulim atau dikenali juga sebagai bawang hutan. Ia dikatakan mula-mula ditemui di Kulim, Kedah dan mendapat nama daripadanya. Mungkin ramai yang tidak tahu akan buah kulim kerana ia kini sukar ditemui kecuali di dalam hutan tebal. Pokok kulim tumbuh secara semula jadi di Thailand Selatan, Pulau Sumatera, Pulau Lingga, Semenanjung Malaysia, dan Borneo. Penduduk tempatan menggunakan hampir kesemua bahagian pokok kulim termasuklah buah, daun, batang dan akar untuk pelbagai tujuan keperluan harian dan kesihatan.

Buah kulim seakan-akan kacang walnut, mempunyai lapisan luar bertemperung yang keras berwarna coklat. Saiz buah kulim sebesar buah pinang dan mempunyai isi lembut berwarna putih. Ia juga dipanggil dengan nama bawang hutan kerana ia mempunyai bau bawang putih yang kuat, malah lebih menyengat dan menusuk.

Kandungan Nutrisi



Buah kulim mengandungi komponen makronutrien termasuklah karbohidrat, protein dan lemak, dan juga komponen mikronutrien seperti vitamin B, vitamin C, vitamin E, manganese, selenium, zat besi, kuprum and kalium. Namun, kandungan nutrisi yang tepat bagi setiap nutrien tidak dapat dinyatakan oleh kerana tidak banyak kajian yang dijalankan ke atas buah kulim.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Berkhasiat

Kajian menunjukkan buah kulim mengandungi sebatian-sebatian kimia, terutamanya metabolit sekunder yang yang berperanan dalam pelbagai manfaat kesihatan. Ia juga merupan sebahagian daripada bioaktif fitokimia bagi nutrient tumbuhan. Metabolit ialah sebatian yang disintesis oleh tumbuhan untuk fungsi-fungsi penting seperti pertumbuhan, pendebungaan dan sistem pertahanan tumbuhan. Kini, banyak kajian yang dijalankan terhadap sebatian ini untuk mengkaji kepentingannya kepada manusia.

Antara komponen metabolit sekunder yang ditemui dalam buah kulim termasuklah fenol, flavonoid, terpenoid, saponin, tannin, phenolic glycosides, cyanogenic glycosides, stilbenes, kompaun nitrogen (alkaloid, amines, betalain). Bahan-bahan ini yang diektstrak dari buah kulim menunjukkan bahawa ia mempunyai fungsi sebagai antikanser, antihemolitik, antimikroa, analgesik, antitumor, anti-ulser dan anti-radang.

10 Khasiat Buah Kulim

1. Manfaat Antioksidan

Buah kulim mengandungi pelbagai nutrien dan komponen fitikomia seperti vitamin C dan E, flavanoid, fenol, terpenoid, saponin dan tannin yang bertindak sebagai antioksida dan menghalang tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ialah ketidakseimbangan antara radikal bebas dan antioksidan dalam badan. Radikal bebas ialah unsur yang tidak stabil yang boleh mengakibatkan kerosakan sel, dan seterusnya menyebabkan penyakit dan penuaan. Sebaliknya, antioksidan ialah bahan yang boleh menyumbangkan elektron kepada radikal bebas, menjadikannya stabil dan kurang reaktif.



2. Menghalang Pembiakan Bakteria

Antimikrob adalah komponen atau bahan yang digunakan untuk merawat dan mencegah jangkitan bakteria, virus, kulat atau parasit. Kajian mendapati terdapat aktiviti antimikrob pada buah kulim yang dapat menghalang hampir kesemua patogen bakteria. Hasil ujian menunjukkan ekstrak buah kulim bertindak balas terhadap bakteria seperti Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA), Salmonella Typhi dan Candida Albicans.

3. Mencegah Kanser

Buah kulim mengandungi bahan-bahan seperti alkaloid, flavonoid, dan fenol yang berfungsi sebagai agen antikanser.

  • Alkaloid berupaya melaras jalur isyarat utama yang terlibat dalam percambahan, kitaran sel, dan metastasis, menjadikannya komponen utama agen antikanser. Kajian menemukan antara komponen alkaloid yang membantu dalam menghalang proses tersebut adalah scorodocarpine B dan dehydroxyscorodocarpin B.
  • Tannin ialah polifenol yang terdapat secara semula jadi pada tumbuhan. Kajian menunjukkan tannin mempunyai aktiviti luar biasa dalam mencegah barah. Selain itu, tannin juga dikatakan berpotensi dalam rawatan kanser melalui ubat antikanser ataupun kemoterapi. Kajian lain menunjukkan bahawa gabungan tanin dan ubat antikanser mempunayi kesan terhadap chemoprotective, chemosensitive, dan antagonis yang disertai dengan kesan antikanser.
  • Flavonoid dan fenol bertindak sebagai pembersih radikal bebas yang boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan kerosakan sel.

4. Bahan Awet Semula Jadi

Saintis dari Jepun mendapati bahawa komponen buah kulim berguna sebagai pengawet semula jadi. Sebilangan besar komponen dalam buah kulim adalah sebatian yang mengandungi sulfur, seperti methyl methylthiomethyl disulfide dan bis(methylthiomethyl) disulfide. Kelebihan utama sulfur dioksida ialah gabungan aktiviti antioksidan dengan kemampuannya untuk menghalang polifenol daripada teroksida, yang kebiasaannya kita lihat pada buah yang berubah menjadi coklat dan lebam. Selain itu, sulfur dioksida juga bertindak sebagai bahan pengawet yang menghalang pertumbuhan bakteria yang boleh merosak makanan.

5. Perencah Semula Jadi

Buah kulim merupakan salah satu tumbuhan yang digunakan sebagai bahan perasa dalam masakan. Walaupun kini ia jarang ditemui, masyarakat orang asli dan orang-orang terdahulu menggangap buah kalim sebagai salah satu bahan yang penting dalam masakan mereka. Baunya yang seperti bawang putih menjadikannya bahan yang ideal untuk menambah rasa pada makanan dan menjadikannya lebih sedap tanpa tambahan garam yang berlebihan.



Buah kulim terkenal sebagai rawatan semula jadi dan digunakan dalam perubatan tradisional oleh masyarakat Melayu. Sebilangan besar kegunaan tumbuhan dalam perubatan yang dicatatkan pada masa ini telah pun didokumentasikan sama ada dalam perubatan tradisional Melayu oleh penulis-penulis dan pengkaji-pengkaji di Malaysia. Namun begitu, tidak banyak kajian saintifik yang dijalankan ke atas buah kulim menjadikannya lebih sukar untuk melihat kepada khasiat dan kebaikan buah ini dengan lebih jelas. Berikut merupakan lain-lain khasiat dan kebaikan buah kulim menurut perubatan tradisional.

6. Sistem Pencernaan yang Sihat

Buah kulim digunakan untuk melegakan gejala masuk angin seperti kembung perut, mual dan rasa tidak selesa. Selain itu, terdapat juga rekod perubatan yang menggunakan buah kulim untuk masalah pencernaan.

Artikel Berkaitan:

7. Merawat Keracunan Makanan

Bakteria, virus dan parasit merupakan antara punca terjadinya keracunan makanan, biasanya disebabkan oleh pengendalian makanan yang tidak betul. Empat jenis mikroorganisma yang biasanya menyebabkan keracunan makanan adalah campylobacter, salmonella, E. coli, dan listeriayang menyebabkan keracunan makanan adalah campylobacter, salmonella, E. coli, dan listeria. Buah kulim dan rebusan kulit kadang-kalanya digunakan oleh masyarakat Melayu untuk merawat keracunan.

Artikel Berkaitan: Tanda Keracunan Makanan dan Rawatan

8. Kesihatan Jantung



Kandungan antioksidan yang tinggi dalam buah kulim berfungsi dalam menjaga kesihatan jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung seperti kolesterol tinggi, penyakit jantung koronari dan serangan jantung. Antioksidan berfungsi untuk menyahaktifkan radikal bebas dan mencegah kerosakan sel yang dikaitkan dengan pengurangan risiko mendapat penyakit jantung. Selain itu, antioksidan juga dianggap berupaya menghalang penukaran molekul kolesterol dalam menjadi bahan yang boleh membentuk plak di dinding arteri dan menyekat aliran darah.

Artikel Berkaitan:

9. Mengurangkan Tekanan

Air rebusan buah kulim digunakan untuk melancarkan pengaliran darah dan mengelakkan tekanan. Dipercayai kerana terdapat komponen buah kulim yang membantu dalam menjaga jantung, ia juga berkesan terhadap sistem peredaran darah dalam badan.

10. Menurunkan Suhu Badan

Buah kulim dikatakan mempunyai ciri antipiretik (antipyretic) yang mampu menurunkan suhu badan ketika demam. Komponen nutrien seperti vitamin C dan kompaun fenolik seperti saponin dipercayai menyumbang kepada manfaat kesihatan yang dinyatakan.

Khasiat Buah yang Lain

Buah TembikaiBuah Betik
Buah KulimBuah Belimbing
Buah BidaraBuah Kiwi
Buah MarkisaBuah Jambu Air
Buah CikuBuah Tin
Buah PisangBuah Anggur
Buah EpalBuah Nanas
Buah DelimaBuah Jambu Batu
Buah Zaitun

Rujukan



  1. Cai , Y., Zhang , J., Chen, N. G., Shi , Z., Qiu , J., He , C., & Chen , M. (22 December, 2016). Recent Advances in Anticancer Activities and Drug Delivery Systems of Tannins. Medicinal Research Reviews, 37(4), 665-701. doi:https://doi.org/10.1002/med.21422
  2. Dewi, Y. S., & Purwayantie, S. (2019). Phythochemical and antioxidant activity from fruit of Kulim. International Conference on the Future of ASEAN, (pp. 1-8). Bali. Retrieved from Research Gate
  3. Egra, S., Kuspradini, H., Putri, A., & Wulandari, I. (2018). Chemical composition and bioactivity of essential oil from the leaves of Scorodocarpus borneensis Becc. (Olacaceae) grown in Indonesia. Asia Life Sciences, 27(2), 342-353. Retrieved from Research Gate
  4. Khasiat Buah Kulim. (18 October, 2020). Retrieved 28 February, 2021, from Agro Malaysia
  5. Ramli, M. R., Milow, P., & Chooi, O. H. (2015). Traditional Knowledge of a Practitioner in Medicinal Plants of Masjid Ijok Village, Perak, Malaysia. Ethno Med, 9(1), 59-66.
  6. S. Ainul Asyira, S. Noorasmah, S. R. Sarbini, & Z. Muta Harah. (22 December, 2016). Mineral content of fi ve indigenous leafy vegetables. Journal of Medicinal Herbs and Ethnomedicine, 2, 26-35. doi:10.19071/jmhe.2016.v2.3117
  7. Scorodocarpus borneensis (Baill.) Becc. (20 April, 2020). Retrieved 1 March, 2021, from Flora & Fauna Web
  8. Sudrajat, S., Kartika, R., & Kustiawan, W. (June, 2019). Analysis Phytochemical Compounds Of Ethyl Acetate Extract Garlic Tree, Scorodocarpus Borneensis Becc As A Source Of Bioactive Ingredients. INTERNATIONAL JOURNAL OF SCIENTIFIC & TECHNOLOGY RESEARCH, 8(6), 183-186. Retrieved from https://www.ijstr.org/final-print/june2019/Analysis-Phytochemical-Compounds-Of-Ethyl-Acetate-Extract-Garlic-Tree-Scorodocarpus-Borneensis-Becc-As-A-Source-Of-Bioactive-Ingredients.pdf
  9. Yohana Sutiknyawati Kusuma Dewi , Cico Jhon Karunia Simamora, & Dzul Fadly. (2020). Antioxidant and Antimicrobial Activities of Methanolic. Systematic Reviews in Pharmacy, 11(7), 246-252.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − 12 =