Tahi telinga keras merupakan salah satu masalah yang selalu dihadapi oleh individu dalam masyarakat. Tahi telinga memainkan salah satu fungsi penting untuk mengekalkan kebersihan telinga itu sendiri. Ianya terhasil di dalam lubang telinga yang bersambung dengan bahagian gegendang telinga.
Walaupun kekotoran daripada luar boleh masuk ke dalam telinga, tetapi kebanyakkan kotoran tersebut adalah terhasil daripada sel kulit mati pada bahagian lubang telinga itu sendiri.
Sel kulit mati ini terhasil kerana lapisan kulit sememangnya berterusan menghasilkan sel baru untuk menggantikan sel lama yang telah mati menyebabkan sel kulit yang mati ini tertanggal dan menjadi kekotoran di dalam telinga.
Perlu diketahui bahawa tahi telinga ini mengandungi satu bahan yang bernama cerumin yang dihasilkan oleh kalenjar yang melapisi saluran lubang telinga. Ia berfungsi melembabkan tahi telinga supaya ia mudah ditolak keluar dengan sendirinya.
Apakah yang menyebabkan tahi telinga menjadi banyak?
Kuantiti tahi telinga yang terhasil adalah berbeza diantara individu dan ia tiada kaitan dengan kebersihan diri. Sesetengah individu terutamanya lelaki dan mereka yang sudah berumur, mereka lebih mudah untuk mempunyai tahi telinga yang banyak.
Ketika seseorang itu semakin tua, tahi telinganya akan berubah daripada sudut komposisi dan mungkin akan menyebabkan masalah. Kalenjar yang menghasilkan tahi telinga iaitu kalenjar cerumin akan mengecut dan rembesan cerumin akan semakin berkurangan. Manakala, sel kulit mati pula akan sentiasa dihasilkan.
Ini akan menyebabkan tahi telinga itu menjadi keras disebabkan kurangnya kompaun cerumin yang dihasilkan. Tahi telinga yang berfungsi untuk membersihkan telinga semakin tidak efektif seperti orang muda dan boleh menyebabkan tahi telinga keras dan tersumbat.
Tetapi faktor umur yang bertambah hanyalah satu faktor yang akan mengganggu kebolehan telinga untuk membersihkan dirinya sendiri. Membersihkan telinga dengan putik kapas ataupun pin rambut mungkin akan menyebabkan tahi telinga tersumbat. Ini kerana perbuatan tersebut akan membuang sebahagian tahi telinga sahaja, sebahagian yang lain akan ditolak dengan lebih dalam menyebabkan ia mengeras dan menyebabkan sumbatan telinga berlaku.
Punca tahi telinga keras dan menyebabkan telinga tersumbat
Ini adalah 2 perkara yang kerap menyebabkan tahi telinga tersumbat:
- Umur yang meningkat
- Mengorek telinga dengan putik kapas atau pin rambut
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Komplikasi mengorek tahi telinga
Terdapat beberapa komplikasi jika kita mengorek telinga. Ianya adalah:
- Menolak tahi telinga dengan lebih dalam menyebabkan ia mengeras dan menyumbat lubang telinga
- Saluran lubang telinga boleh terluka
- Selepas terluka, ia boleh menyebabkan kuman masuk dan menyebabkan jangkitan telinga
- Ia juga boleh menyebabkan kecederaan pada gegendang telinga.
- Kecederaan pada gegendang telinga boleh menyebabkan pesakit boleh menjadi pekak
Ujian Pemeriksaan
Untuk mengesahkan seseorang itu mengalami sumbatan tahi telinga satu alat yang dinamakan sebagai otoskop boleh digunakan untuk melihat dalam telinga.
Ia adalah alat seperti teropong yang mempunyai kanta dan lampu untuk melihat saluran dalam telinga.
Terdapat juga alat lain yang menggunakan kamera. Tetapi selalunya alat ini hanya digunakan di klinik pakar telinga
Rawatan Mengeluarkan Tahi Telinga
Bagi pembersihan yang biasa, anda boleh gunakan kain lembab ataupun tisu lembab. Kain itu disapukan dibahagian luar lubang hanya untuk membuang tahi telinga yang sudah terkeluar daripada lubang tersebut.
Tidak perlu untuk menggunakan putik kapas untuk mengeluarkan tahi telinga yang berada di dalam lubang
Untuk mengeluarkan tahi telinga yang banyak ataupun sudah membentuk sumbatan di dalam telinga, beberapa cara boleh dilakukan. Ianya adalah
- Melembutkan tahi telinga tersebut: Beberapa bahan boleh digunakan untuk melembutkan tahi telinga seperti menitiskan minyak zaitun ataupun menggunakan bahan yang boleh menguraikan cerumin(Ceruminolytics) seperti bahan sodium bikarbonat. Sodium bikarbonat boleh dapatinya di farmasi. Pastikan ianya adalah untuk masalah tahi telinga keras. Tetapi jika sebelum ini anda menghadapi masalah pada gegendang telinga sebagai contoh ia pernah berlubang, kurang deria pendengaran dengan mendadak ataupun apa-apa masalah pada bahagian telinga sebelum ini, anda dinasihati untuk berjumpa doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan ubat ini.
- Pancut dengan air: Prosedur ini selalunya dilakukan di klinik dan hanya perlu jika cara yang pertama tadi gagal untuk mengeluarkan tahi telinga. Setelah pesakit menggunakan cara pertama tadi, tahi telinga akan menjadi lebih lembut dan mudah untuk dikeluarkan dengan cara pancutan air ke dalam lubang telinga.
- Menggunakan alat: Jika cara kedua gagal ataupun terdapat keadaan yang menghalang daripada menggunakan cara pertama dan kedua sebagai contoh sebelum ini mempunyai gegendang telinga yang mempunyai masalah, maka pesakit perlu dirujuk kepada pakar telinga, hidung dan tekak(Ear, nose, throat/ENT). Kepakaran ini juga dikenali sebagai otolaryngology. Mereka akan menggunakan alat khas untuk mengeluarkan tahi telinga itu dengan selamat.
ARTIKEL BERKAITAN: Telinga berdesing
Artikel Berkaitan Telinga
Sakit Telinga | Telinga Berair |
Jangkitan Telinga | Gegendang Telinga Pecah |
Telinga Tersumbat | Telinga Bernanah |
Tahi Telinga Keras | Telinga Berdesing |
Telinga Gatal |
Rujukan:
- Burton MJ, Doree C. Ear drops for the removal of ear wax. Cochrane Database Syst Rev 2009; (1): CD004326.
- Clegg AJ, Loveman E, Gospodarevskaya E, Harris P, Bird A, Bryant J et al. The safety and effectiveness of different methods of earwax removal: a systematic review and economic evaluation. Health Technol Assess 2010; 14(28): 1-192.
- US Food and Drug Administration (FDA). Don’t get burned: Stay away from ear candles. January 07, 2015.
- Wright T. Ear wax. BMJ Clin Evid 2015.
- Sumber featured image adalah thehimalayantimes.com