Pendarahan dalam otak juga dikenali sebagai Intracranial haemorrhage. Ia merupakan salah satu keadaan yang boleh meragut nyawa dan pesakit perlu dibawa ke hospital secepat mungkin jika mempunyai simptom pendarahan tersebut.
Jenis pendarahan otak
Terdapat 3 jenis pendarahan yang boleh berlaku dibahagian otak. Ia adalah:
- Pendarahan Extradural
- Pendarahan Subarachnoid
- Pendarahan Intracerebral
Ketiga-tiga jenis pendarahan ini adalah merujuk kepada lokasi dimana pendarahan tersebut berlaku.
1. Pendarahan extradural
Pendarahan ini berlaku diantara tulang tengkorak dan juga lapisan otak paling luar(meninges). Ia selalunya berlaku disebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan selalunya melibatkan keretakan pada tulang tengkorak.
Pendarahan ini boleh menyebabkan tekanan dalam otak meningkat dengan cepat dan menyebabkan seseorang itu mengalami simptom muntah dan pengsan.
2. Pendarahan Subarachnoid
Pendarahan jenis ini berlaku diantara otak dan lapisan nipis yang menyelaputi otak. Lapisan ini dipanggil sebagai meninges.
Punca utama yang menyebabkan pendarahan ini selalunya disebabkan trauma. Tetapi ia juga boleh disebabkan pecahnya saluran darah di bahagian kepala terutamanya mereka yang mengalami masalah intracerebral aneurysm.
Intracerebral aneurysm adalah saluran darah yang membentuk kantung. Tekanan yang tinggi boleh menyebabkan kantung ini pecah dan pendarahan dibahagia otak pun berlaku.
3. Pendarahan intracerebral
Pendarahan jenis ini adalah pendarahan yang berlaku di dalam tisu otak. Ini adalah pendarahan yang selalu berlaku bagi mereka yang mengalami strok berdarah. Selalunya ia bukan disebabkan trauma pada bahagian kepala.
Terdapat beberapa simptom yang menunjukkan seseorang itu sedang mengalami masalah fungsi otak disebabkan pendarahan tersebut. Ia adalah:
- Sakit kepala yang teruk
- Susah untuk bertutur dengan sebutan yang betul
- Muntah
- Pengsan
- Lumpuh pada satu bahagian badan
- Tekanan darah meningkat dengan tinggi
Siapa yang berisiko mengalami masalah ini?
Kebanyakan masalah ini adalah disebabkan trauma di bahagian kepala. Gaya hidup yang tidak sihat selalunya akan mendedahkan seseorang itu kepada pendarahan jenis intracerebral.
Beberapa faktor risiko tersebut adalah:
- Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami pendarahan intracerebral
- Tekanan darah tinggi
- Kencing manis
- Pengambilan alkohol yang banyak
- Merokok
- Penggunaan beberapa jenis dadah seperti amfetamin, kokain dan ekstasi)
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Apakah simptom dan tanda pendarahan otak?
Simptom dan tanda untuk masalah ini selalunya bergantung kepada jenis pendarahan tersebut. Akan tetapi ia akan mempunyai:
- Sakit kepala yang teruk
- Sakit kepala yang berkaitan dengan trauma kepala yang baru sahaja berlaku
- Sakit kepala disertai dengan sakit leher
- Konfius
- Muntah-muntah
- Sawan
- Pengsan
Pendarahan otak pada kanak-kanak
Masalah ini yang berlaku pada kanak-kanak boleh disebabkan penderaan kepada kanak-kanak tersebut. Masalah tersebut berlaku mungkin disebabkan pukulan kepada bahagian kepala ataupun disebabkan menggoncang kanak-kanak ataupun bayi tersebut.
Gegaran yang terlalu kuat pada bayi boleh menyebabkan masalah Shaken baby syndrome iaitu salah satu punca kepada pendarahan di bahagian otak.
Beberapa tanda-tanda kanak tersebut mengalami penderaan adalah:
- Bengkak dibahagian kepala
- Patah atau retak pada bahagian kaki dan tangan
- Muntah
- Sawan
- Lebam-lebam dibahagian badan
Bayi yang kurang daripada 12 bulan mungkin akan mempunyai ubun-ubun yang terbonjol keluar disebabkan pendarahan dalam otak.
Apakah ujian yang digunakan untuk mengesan masalah ini?
Untuk mengesahkan bahawa seseorang itu mengalami masalah ini ataupun tidak ialah dengan menggunakan CT-scan. Daripada alat ini, pendarahan dalam kepala boleh diketahui dan jenis pendarahan tersebut juga boleh ditentukan.
Apakah rawatan untuk pendarahan otak?
Masalah ini adalah masalah yang dikenali sebagai ‘medical emergency’ dan jika tidak di rawat cepat, pesakit mungkin akan kehilangan nyawa.
Pembedahan
Ketika pendarahan berlaku, tekanan dalam otak akan meningkat dan ini menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan normal. Pesakit akan mengadu sakit kepala yang kuat dan muntah-muntah.
Jika terlalu teruk, tekanan otak ini akan menyebabkan bahagian pons iaitu bahagian bawah otak ditolak keluar daripada tengkorak menerusi lubang yang dikenali sebagai foramen magnum. Ini boleh menyebabkan pesakit meninggal dunia disebabkan fungsi pons yang terjejas.
Oleh itu, salah satu pembedahan yang dibuat adalah dengan memotong sebahagian daripada tulang tengkorak supaya tekanan dalam otak dapat dikurangkan.
Jika darah beku dibahagian otak adalah terlalu besar, pembedahan untuk mengeluarkan darah beku tersebut juga perlu dilakukan.
Apakah Komplikasi kepada masalah ini?
Terdapat beberapa komplikasi disebabkan masalah ini. Ia adalah:
- Sawan
- Lumpuh
- Selalu sakit kepala
- Masalah pembesaran mental dan fizikal bagi kanak-kanak
- Hilang ingatan
- Susah untuk menumpukan perhatian
Rujukan:
- Abusive head trauma (shaken baby syndrome). (2014). Kids Health
- Intracranial hemorrhage, cerebral hemorrhage, and hemorrhagic stroke. (2016). – Clevel and Clinic
- Mayo Clinic Staff. (2017). Intracranial hematoma: Overview.
- Sahni R, et al. (2007). Management of intracerebral hemorrhage.