Untuk merawat bayi pramatang atau tidak cukup bulan adalah sesuatu yang mencabar kerana dengan berat bayi yang sangat rendah, membuatkan beberapa jenis alatan untuk rawatan bayi tidak cukup umur ini tidak boleh digunakan. Sebagai contoh tiub pernafasan, jika bayi itu terlalu kecil, maka tiub pernafasan yang besar tidak boleh masuk ke dalam saluran pernafasan bayi.
Tetapi kemajuan perubatan telah membenarkan perkara ini berlaku. Saban tahun bayi-bayi pramatang masih lagi boleh diselamatkan walaupun berat badan mereka sangat rendah.
Yang terbaru, seorang bayi baru sahaja dilahirkan pada 5 bulan lepas dengan berat badan yang sangat rendah iaitu 245g sama seperti satu biji epal. Panjang badannya pada ketika itu adalah 22.9cm.
Bayi ini dinamakan Saybie. Dia dilahirkan di Hospital Sharp Birch di San Diego, California pada December 2018.
Setelah 5 bulan, bayi ini telah membesar menjadi bayi yang sihat dengat berat 2.5kg dan dibenarkan keluar daripada hospital untuk pertama kalinya. Ini menjadikan bayi ini bayi terkecil di dunia yang berjaya diselamatkan.
Kenapa bayi tersebut tidak cukup bulan?
Ibu bayi itu sebenarnya menghadapi komplikasi ketika mengandung yang dikenali sebagai pre-eclampsia. Pre-eclampsia ini adalah keadaan dimana ibu tersebut mempunyai tekanan darah tinggi berserta protein di dalam air kencing. Jika tekanan terlalu tinggi, pesakit mungkin akan sawan dan keadaan ini dipanggil sebagai sawan Eclampsia.
Pada ketika ini, keadaan pesakit akan menjadi lebih teruk. Pesakit dan anak di dalam kandungannya boleh meninggal dunia.
Boleh dikatakan Sawan eclampsia adalah suatu mimpi buruk para doktor jika ianya berlaku ketika di dalam hospital.
Disebabkan keadaan pre-eclampsia ini, pesakit telah menjalani pembedahan C-section pada 23 minggu kandungan untuk menyelamatkan ibu dan anak mereka.
Oleh itu, bayi yang dilahirkan adalah bayi pramatang. Bayi yang normal adalah bayi yang dilahirkan pada 37 minggu dan ke atas. Ajaibnya Saybie ini tidak mengalami sebarang komplikasi yang selalunya berlaku pada bayi pramatang seperti pendarahan otak, kerosakan pada retina mata dan banyak lagi.
Terdapat punca yang boleh menyebabkan kelahiran pramatang seperti:
- Pecah air ketuban awal
- Jangkitan kuman pada kawasan tempat buang air kencing
- Pre-eclampsia
Dengan kemajuan dalam teknologi perubatan, diharapkan negara kita juga akan mampu untuk menyelamatkan bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan ini dimasa hadapan.