Apakah itu masalah bayi tersedak susu dan juga punca-puncanya?
Artikel ini akan membincangkan dengna lengkap berkenaan masalah ini berserta tanda-tanda yang anda perlu tahu ketika bayi anda mengalami masalah tersedak susu.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Baru baru ini, gempar negara dengan satu lagi kes kematian bayi berusia 4 bulan di pusat jagaan kanak kanak di tangan pengasuhnya. Bayi malang tersebut ditemui sudah tidak bermaya beberapa ketika setelah pengasuhnya memberikan susu melalui botol. Pengasuh tersebut telah ditahan polis untuk di soal siasat untuk mengesan jika ada kemungkinan aspek jenayah.
Berita ini pastinya membuatkan para ibubapa diselubungi rasa risau dan gerun terutama bagi mereka yang menghantar anak ke pusat jagaan. Adakah ini berpunca daripada unsur jenayah ataupun bayi malang tersebut meninggal kerana sebab lain?
Bagi mereka yang belum mengetahui, antara salah satu punca kematian bayi secara senyap yang sering terjadi ialah tersedak susu. Samada menyusu secara terus ataupun dari botol susu, keduanya mempunyai risiko yang sama. Semua ibubapa dan pengasuh bayi perlu mengetahui cara untuk mengenal pasti sekiranya bayi sedang tersedak dan apa yang harus mereka lakukan.
Mengapa bayi tersedak?
Punca utama bayi tersedak apabila sedang menyusu ialah kerana susu yang masuk ke dalam mulut bayi terlalu banyak, melebihi apa yang mampu bayi telan pada satu satu masa. Ini sering terjadi apabila ibu mempunyai lebihan susu yang banyak..
Ibu juga boleh mengenal pasti tanda tanda penghasilan susu yang banyak apabila sewaktu menyusu, susu keluar dengan laju ke dalam mulut bayi. Hal ini dicetuskan oleh hormon oxytocin yang dirembeskan apabila bayi menghisap puting ibu. Apabila susu keluar dengan laju, ia mungkin melebihi kemampuan bayi untuk menelan menyebabkan mereka tercekik.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Apakah simptom dan tanda bayi yang tersedak susu?
Ketika susu ibu dihasilkan terlalu banyak, ini akan menyebabkan mulut bayi penuh dengan susu dan membuatkan dia susah untuk menelan. Antara tanda yang perlu anda kenal pasti apabila bayi mengalami kesukaran untuk menelan susu adalah:
- Batuk
- Tidak duduk diam
- Bayi juga akan menggigit puting ibu.
Jika bayi anda mengalami masalah ini, lambatkan penyusuan dengan menunggu bayi habis menelan terlebih dahulu dan kemudian teruskan penyusuan.
Jika bayi tersedak susu dan susu tersebut masuk ke dalam paru-paru, bayi akan menghasilkan simptom ini:
- Muka menjadi biru
- Bayi berhenti bernafas
- Bayi terbatuk-batuk
- Bayi tidak memberikan sebarang respons
Bayi yang mengalami masalah ini, perlulah dibawa terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Apa cara yang betul bagi ibu untuk menyusu?
1. Posisi menyusu secara berbaring
Posisi bayi ketika menyusu amat penting bagi mengelakkan mereka tersedak. Memandangkan bayi akan dipangku oleh ibu ketika menyusu, jadi posisi ibu juga memainkan peranan. Ibu disarankan untuk berbaring sambil menyusu bagi mengurangkan daya tarikan graviti terhadap pengeluaran susu dan bayi boleh mengawalnya.
2. Berhenti menyusu untuk beberapa minit
Berhenti menyusu setiap 15 hingga 20 minit akan memberi peluang kepada bayi untuk berehat dan bernafas dengan baik. Jika aliran susu terlalu laju, ibu disarankan agar menunggu sehingga 20 hingga ke 30 saat sebelum sambung menyusu. Tambahan lain, ibu boleh menyusu secara mengiring dan meletakkan bayi dalam posisi sama bagi membolehkan lebihan susu yang berada dalam mulut bayi boleh meleleh keluar bagi memberi bayi masa untuk menelan.
3. Mengurut dada sebelum menyusu
Ibu juga dicadangkan untuk mengurut dada selama beberapa minit sebelum menyusu bagi mengeluarkan susu awal yang biasanya mengalir laju. Setelah itu, apabila aliran susu sudah normal, bawa bayi untuk menyusu. Namun begitu, ibu diingatkan agar tidak mengurut terlalu lama kerana ia mungkin akan menghantar maklumat kepada badan untuk menghasilkan lebih banyak susu dan menimbulkan masalah.
Bolehkah menyusu botol menyebabkan bayi tersedak susu?
Konsepnya sama sahaja tapi dengan cara yag berbeza. Bayi yang menyusu dari botol dalam posisi berbaring menyebabkan susu keluar dengan laju, melebihi keupayaan bayi mengawal minuman mereka.
Memegang botol terlalu tinggi dari paras putting botol ataupun putinng botol yang mempunyai lubang yang terlalu luas juga boleh menyebabkan bayi tersedak. Bayi juga akan menyedut susu secara berlebihan tanpa mereka sedari.
Pakar kanak kanak mencadangkan agar meletakkan botol susu secara sekata dengan lantai iaitu secara lurus. Dengan cara ini bayi dapat mengawal aliran susu, sama seperti menyusu dari ibu. Teknik ini juga akan membolehkan bayi menyedut susu dengan sendiri, memberikan mereka peluang untuk mengawalnya, dan mereka boleh berhenti menyusu sekiranya mereka mahu.
Bayi juga tidak sepatutnya dibiarkan menyusu bersendiri tidak kira berapa umur mereka kerana mereka tidak mampu mengawal aliran susu secara penuh. Oleh sebab itu, ibubapa dan pengasuh bayi perlu dilatih dengan cara yang betul untuk menyusu botol.
Apa harus saya lakukan sekiranya bayi tersedak?
1. Jangan panik dan kekal bertenang.
Pakar mengatakan bayi yang terbatuk sewaktu menyusu adalah normal kerana mereka mempunyai gag reflex yang terlampau aktif kerana sistem saraf mereka masih belum matang. Gag reflex ini terjadi apabila badan kita bersedia untuk muntah. Dalam bayi yang menyusu, aliran susu yang terlampau laju boleh mengaktifkan gag reflex. Bayi juga sedang membesar dan menerokai cara baru untuk menggunakan badan(mulut) mereka.
2. Berhenti menyusu dengan segera.
Setelah itu, letakkan bayi agar mereka duduk tegak dan tampung kepala dan leher mereka. Ini akan memberikan bayi masa untuk menelan.
3. Tepuk belakang badan bayi
Anda juga boleh menepuk di belakang badan bayi. Bayi yang tersedak susu atau cecair akan kembali normal dalam masa yang singkat.
Perlu ke bawa bayi ke hospital?
Seperti yang dibincangkan tadi, gag reflex bayi akan matang sepenuhya apabila mereka membesar. Ini juga bermakna apabila mereka sudah boleh menelan dengan baik, mereka tidak akan lagi mengalami masalah tersedak.
Namun, adalah lebih baik jika ibubapa dan pengasuh mengambil kursus CPR yang akan membantu sekiranya bayi tersedak. Walapun kebarangkalian untuk terjadi adalah rendah, bayi yang tersedak mungkin boleh menjadi biru dan berhenti bernafas.
Jika ibu mempunyai masalah untuk menyusu, anda boleh ke hospital berdekatan bagi mendapatkan khidmat daripada doktor dan jururawat. Mereka akan membantu anda mengenai bayi menyusu, posisi yang betul, penghasilan susu yang berlebihan dan aliran susu yang laju.
Jika ibu mendapati bayi masih lagi kerap tersedak setelah melakukan perkara di atas, segera bawa bayi berjumpa dengan pakar kanak kanak bagi mengenal pasti sekiranya bayi mempunyai masalah pada saluran pernafasan dan saluran pemakanan mereka.
Rujukan
- Baby Choking on Milk. Healthline.