Skip to content

Autisme: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah simptom dan punca kepada masalah Autisme?

Artikel ini akan menerangkan dengan lengkap masalah autsime di kalangan kanak-kanak, simptom dan tanda-tandanya berserta rawatan yang boleh diambil oleh mereka

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Autisme
  3. Simptom Autisme
  4. Cara diagnosis
  5. Rawatan

Pengenalan


Autisme berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu ‘autos’ yang bermaksud sendiri. Ia merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Dari sudut perubatan, autisme adalah gangguan saraf yang memberi kesan kepada seseorang individu dalam perkembangan komunikasi sosial, interaksi sosial dan tingkah laku yang berulang-ulang serta mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda.



Autisme lazimnya terjadi kepada kanak-kanak iaitu 1 dalam 68 orang dan beberapa kajian menunjukkan bahawa autisme lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak lelaki kerana faktor genetik.

Punca Autisme


Autisme selalunya terjadi pada usia kecil lagi. Penyebab utama autisme ialah faktor genetik. Walapun begitu, punca keseluruhan tentang genetik yang menyebabkan autisme masih belum jelas sepenuhnya. Selain itu, terdapat juga teori yang menyatakan bahawa autisme ini berlaku apabila ibu yang mengandung terjebak kepada pencemaran udara terutamanya bahan metal atau tabiat yang tidak sihat seperti merokok, minum arak atau penyalahgunaan dadah.

Ini akan menjejaskan kesihatan janin dalam kandungan dan kemungkinan besar boleh menjadi punca masalah autisme atau masalah serius yang lain.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom dan Tanda Autisme


Terdapat 3 simptom utama autism iaitu dari segi komunikasi, tindak balas sosial dan tingkah laku yang berulang:

1. Komunikasi



Kanak-kanak yang mengalami masalah ini selalunya akan mempunyai masalah dalam komunikasi. Disebabkan dia lambat untuk bercakap ada sesetengah perkara yang diinginkan hanya diminta dengan cara menunjukkan jari sahaja. Selain itu terdapat tanda-tanda lain seperti:

  • Ketiadaan pertuturan atau lambat dalam pertuturan
  • Kehilangan kemahiran bahasa pada mana-mana peringkat umur
  • Pertuturan yang tidak biasa atau jelas seperti mengulangi ayat atau membuat bunyi aneh
  • Kurang cerdas semasa bermain
  • Kurang bergaul atau berbincang dengan orang lain
  • Tiada tindak balas apabila nama dipanggil

2. Tindak balas sosial

Pergaulan sosial kanak-kanak autisme akan berlainan daripada kanak-kanak yang lain kerana mempunyai simptom atau tanda yang spesifik seperti:

  • Hilang tumpuan dan kurang mimik muka
  • Tiada kesedaran perasaan terhadap orang lain
  • Suka bersendirian tanpa berkongsi pengalaman dengan orang lain
  • Suka bermain sendirian dan tidak menunjukkan minat kepada kanak-kanak lain

3. Tingkah laku yang berulang dari segi minat dan aktiviti

Ibubapa mungkin akan perasan kanak-kanak ini sangat berminat dengan satu-satu perkara dan jika dia tidak berminat atau tidak suka dengan perkara tersebut, maka mereka akan menolaknya seboleh yang mungkin.

Tanda-tanda selain itu adalah:

  • Menggerakkan anggota badan berulang kali seperti bertepuk tangan, menggoyangkan badan ke hadapan dan belakang, menganguk kepala
  • Menunjukkan ketidakselesaan di mana-mana kawasan seperti menghadapi kesusahan melampau pada perubahan, ingin memakai baju yang sama setiap hari
  • Terlalu peka atau tidak langsung peka terhadap kawasan deria seperti sakit, bunyi, lampu, suhu, tekstur, atau pergerakan
  • Menumpukan perhatian kepada satu objek sahaja seperti tayar kereta mainan
  • Tertekan ke atas perubahan kecil yang berlaku dalam persekitaran
  • Hanya berminat terhadap satu atau dua perkara sahaja.
  • Suka menyusun suatu barang dengan warna yang sama

Pergerakan seperti bertepuk tangan, menggoyangkan tangan(flaping hand) ini dikenali sebagai stimming. Ia menjadi satu tanda yang kuat seseorang kanak-kanak itu sedang menghadapi masalah autism.

Periksa Simptom anda Di Sini



Ujian Pemeriksaan


Diagnosa autisme adalah sulit dan tidak boleh dikenal pasti melalui ujian darah atau MRI. Pada kebiasaannya, doktor akan menyarankan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran, pertuturan, kemahiran sosial, tingkah laku dan pergerakan untuk melakukan pemeriksaan rutin semasa umur 9 bulan, 18 bulan, 24 atau 30 bulan.

Jika kanak-kanak tersebut mempunyai masalah semasa pemeriksaan ini, mereka mungkin perlu menjalani pemeriksaan secara lebih terperinci seperti ujian melihat dan mendengar , mengikut keperluan doktor.

Untuk menentukan seseorang kanak-kanak itu mempunyai masalah ini ataupun tidak, ia perlulah memenuhi kriteria seperti(Kriteria ini berdasarkan buku diagnosis DSM -V):

  1. Masalah dalam komunikasi dan interaksi sosial iaitu interaksi dengan orang lain dan masalah ini berlarutan.
  2. Suka melakukan perbuatan yang berulang dan sangat tidak suka untuk menukar perbuatan tersebut. Sebagai contoh kena susun mainan dengan cara sebegini, tidak boleh ubah langsung susunan tersebut.
  3. Tanda ini bermula pada ketika pesakit masih kanak-kanak lagi
  4. Simptom ini mengganggu pekerjaan dan sosial interaksi pesakit tersebut

Rawatan


Kanak-kanak autisme memerlukan rawatan multidisiplin atau terapi yang melibatkan pelbagai pakar dari bidang berbeza kerana masih tiada ubat yang dapat merawat autisme. Antara rawatan yang penting untuk kanak-kanak autisme adalah seperti berikut:

1. Terapi pertuturan dan bahasa

Terapi pertuturan membantu meningkatkan kemahiran komunikasi individu. Sesetengah individu dapat mempelajari kemahiran komunikasi lisan. Bagi orang lain, menggunakan gerak isyarat atau papan gambar adalah lebih realistik .Untuk memperbaiki komunikasi di kalangan kanak-kanak

2. Cara pulih kerja ( occupational therapy )

Terapi ini mengajar kemahiran yang membantu individu autisme hidup berdikari sebanyak yang mungkin seperti kemahiran berpakaian, makan, mandi , dan yang berkaitan dengan komuniti.



3. Terapi rangsangan pancaindera / deria

Terapi integrasi deria membantu individu dengan maklumat deria, seperti pemandangan, bunyi, dan bau. Ia juga membantu kanak-kanak yang terganggu oleh bunyi-bunyi atau tidak suka disentuh.

4. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan selalunya diberikan kerana kanak-kanak autisme mempunyai risiko untuk menjadi agresif pada bila-bila masa. Jika berlarutan, ianya akan mendatangkan bahaya kepada mereka. Oleh itu, ubat-ubatan yang diberikan mampu membantu mereka untuk menenangkan emosi daripada menjadi agresif dan membahayakan orang sekeliling.

5. Pendidikan khas

Kanak-kanak autistik perlu berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran supaya keperluan pendidikan mereka dapat diberi. Borang pendaftaran boleh diperoleh di Jabatan Pendidikan atau di sekolah. Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan yang dapat memberikan pendidikan kepada kanak-kanak autism seperti National Autistic Society of Malaysia ( NASOM )

6. Pendaftaran Kurang upaya ( Disability registration )

Kanak-kanak Autism boleh berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan mendapatkan borang-borang di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berhampiran.



Kesimpulan

Kesimpulannya, terapi pertuturan-bahasa yang diberikan kepada kanak-kanak autisme bertujuan untuk memastikan mereka mendapat kemahiran yang sewajarnya bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan individu lain pada tahap yang optimum. Ini sekaligus mengurangkan ciri-ciri autisme dan mereka juga berpeluang untuk mencapai tahap perkembangan normal seperti kanak-kanak lain sekiranya mendapat rawatan multidisiplin dengan lebih awal.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Bhandari, S. (2019, October 22). Autism: Definition, Symptoms, Causes, & Types. Retrieved July 08, 2020
  2. Autisme: Adakah Anak Saya Boleh Normal?, Portal MyHealth KKM
  3. Apa Itu Autisme? – Early Autism Project Malaysia. (2020). Retrieved 8 July 2020
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five − two =