Skip to content

Bekam. Betul ke wujudnya darah kotor?

Bila kita buat bekam sahaja ramai yang mengatakan bahawa ia adalah salah satu cara untuk mengeluarkan darah kotor. Tapi bahagian ataupun darah jenis manakah yang sebenarnya dikeluarkan apabila bekam dibuat sehingga dipanggil sebagai darah kotor?

Jadi kami ingin menerangkan sedikit sebanyak berkenaan perkara ini.

Jenis-jenis darah bergantung kepada tempat pengambilannya.

Kami bukan ingin menceritakan berkenaan kumpulan darah yang terdiri daripada kumpulan A, B, AB dan O. Tetapi lebih spesifik lagi iaitu jenis darah yang diambil daripada sesuatu tempat.






Terdapat 3 jenis darah yang selalu diambil oleh doktor ataupun pengamal perubatan bergantung kepada kawasan yang diambil:

  1. Darah kapilari – Darah jenis ini diambil dengan cara cucuk dibahagian hujung jari untuk mengambil sedikit darah. Sebagai contoh ketika ingin mengukur tahap gula dalam badan.
  2. Darah vena – Diambil pada saluran darah yang boleh kita nampak. Selalunya diambil pada pelipat lengan.
  3. Darah arteri – Diambil pada bahagian denyutan nadi. Selalunya pada bahagian pergelangan jari. Pesakit selalunya akan mengerang kesakitan ketika diambil di bahagian ini.

Setiap daripada jenis darah ini mempunyai sebab-sebab yang tersendiri kenapa kita ambil dibahagian tersebut.

Kami ceritakan dulu perbezaan jenis darah ini sebelum menerangkan asal usul ‘darah kotor’ yang dikatakan.

Darah Arteri

Darah arteri adalah darah yang baru sahaja di pam daripada jantung ke seluruh bahagian tubuh badan kita.

Jika kita pegang pergelangan tangan kita dan merasakan nadi, maka itulah saluran darah arteri. Darah daripada arteri ini akan memasuki saluran kapilari untuk memberikan nutrien dan juga oksigen ke kawasan tersebut.



Beberapa ujian yang kita boleh uji daripada darah arteri ini adalah:

  1. Jumlah gas dalam darah(Ini adalah ujian yang selalu kita ambil terutamanya untuk melihat kandungan oksigen ataupun gas dalam darah)
  2. Fungsi hati
  3. Fungsi buah pinggang
  4. Full blood count
  5. Dan banyak lagi

Darah Kapilari

Darah daripada arteri pula akan memasuki saluran darah yang lebih kecil dibahagian organ dan otot. Di kawasan inilah berlakunya pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida. Nutrien juga akan memasuki bahagian sel badan ketika dikawasan kapilari.

Selalunya darah kapilara boleh diambil untuk memeriksa beberapa perkara seperti:

  1. Tahap kekuningan bayi
  2. Bacaan gula dalam darah
  3. Jenis kumpulan darah
  4. Kolesterol(selalunya di klinik akan diambil melalui darah vena)

Setelah melalui kapilari, darah akan bergerak ke dalam saluran darah vena

Darah veina

Darah vena mempunyai kandungan oksigen yang rendah kerana telah digunakan ketika melalui saluran kapilari. Daripada saluran vena, darah akan bergerak masuk ke dalam jantung dan dipam ke bahagian paru-paru untuk diberi oksigen semula.

Ujian yang boleh dilakukan menggunakan darah ini adalah banyak. Ia adalah:

  1. Full blood count(untuk periksa jumlah darah)
  2. Fungsi hati
  3. Fungsi buah pinggang
  4. Uric acid
  5. Kolesterol
  6. Gula
  7. Dan pelbagai lagi
Gambar menunjukkan saluran arteri,kapilari dan juga vena

Kesemua jenis darah ini mengandungi kandungan yang sama kecuali dalam bacaan kandungan oksigen sahaja.

Kandungan oksigen dalam saluran arteri akan lebih tinggi daripada darah dalam saluran kapilari. Kandungan oksigen dalam saluran kapilari pula akan lebih tinggi daripada darah di saluran vena. Ini disebabkan oksigen telah digunakan pada bahagian kapilari.



Kandungan oksigen dalam arteri > kapilari > Vena

Selain daripada itu, kandungan dalam darah adalah sama sahaja dan tidak berbeza. Kalau berbeza pun hanya mempunyai perbezaan yang sedikit.

Darah bekam pula dari mana pula?

Apabila bekam dilakukan, seseorang pengamal bekam itu akan menoreh-noreh bahagian kulit pesakit tanpa melibatkan saluran darah yang besar seperti saluran vena ataupun arteri.

Jadi darah yang dikeluarkan daripada kulit tersebut adalah darah kapilari.

Mengikut apa yang saya telah terangkan tadi, tiada perbezaan diantara ketiga-tiga jenis darah tadi kecuali pada aspek kandungan oksigen sahaja.

Tiada pun yang menunjukkan kandungan darah kapilari mempunyai toksik/bakteria ataupun apa-apa bahan yang menunjukkan dia lebih kotor berbanding darah di kawasan tubuh yang lain.

Kesimpulannya, istilah darah kotor tersebut adalah sesuatu yang tidak wujud. Darah adalah darah adalah darah. Bezanya hanya pada kandungan oksigen dan jenis kumpulan darah sahaja. Tiada yang menunjukkan darah daripada bekam ini lebih kotor daripada darah yang lain.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 − 6 =