Skip to content

Buah pinggang bocor: Punca, Simptom dan rawatan

Buah pinggang bocor juga dikenali sebagai Nephrotic syndrome dalam istilah perubatan. Ia berlaku apabila buah pinggang tidak boleh menapis protein menyebabkan protein masuk ke dalam air kencing.

Perkara ini berlaku apabila terdapat kerosakan pada saluran darah kecil(Glomerular) di bahagian buah pinggang yang berfungsi untuk menapis darah. Ini menyebabkan sebahagian daripada protein dalam darah masuk ke dalam air kencing.

Oleh itu, jika ada doktor cakap buah pinggang anda bocor bermaksud terdapat protein dalam air kencing anda.

Simptom-simptom buah pinggang bocor



Terdapat beberapa simptom yang anda perhatikan iaitu:

  • Kaki bengkak air. Selalunya apabila ditekan pada kawasan yang bengkak itu, akan terdapat lekuk yang mengambil masa untuk menjadi normal semula. Keadaan ini dipanggil edema
  • Kencing berbuih. Tidak semestinya kencing berbuih ini disebabkan masalah buah pinggang bocor. Tetapi jika anda kerap mengalaminya setiap kali buang air kencing, pemeriksaan perlulah dilakukan
  • Berat badan bertambah
  • Badan lemah
  • Kurang selera makan

Kenapa simptom ini terjadi?

Perlu diketahui salah satu fungsi protein dalam darah adalah untuk menahan air supaya tidak keluar daripada salur darah.

Jika terlalu banyak protein keluar daripada salur darah, makan air itu juga akan keluar daripada salur darah dan pergi ke kawasan tisu sekeliling.

Inilah yang akan menyebabkan kawasan tisu pada badan menjadi bengkak terutamanya kaki kerana air turun pada bahagian tersebut mengikut graviti.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Buah Pinggang Bocor



Masalah ini berlaku apabila saluran darah kecil yang dipanggil sebagai glomerular rosak. Saluran darah ini berfungsi untuk menapis darah supaya bahan kumuh daripada badan dapat disingkirkan melalui air kencing.

Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan kerosakan dibahagian glomerular iaitu:

  • Kencing manis: Sebab itu mereka yang kencing manis akan dipantau ujian air kencingnya bagi mengetahui ada protein atau tidak. Jika ada dan tidak dirawat, pesakit akan mengalami kegagalan buah pinggang selepas selang beberapa tahun.
  • Tekanan Darah Tinggi
  • Systemic Lupus Erythematosus: Dalam penyakit ini, sistem pertahanan badan menyerang sel badan sendiri. Jika ia menyerang bahagian buah pinggang, masalah buah pinggang bocor ini boleh berlaku
  • Minimal change Disease: Ini merupakan salah satu punca yang menjadi penyebab nephrotic syndrome pada kanak-kanak. Ia berlaku apabila terdapat sel darah putih yang menyerang bahagian buah pinggang itu sendiri
  • Focal Segmental Glomerulosclerosis: Jika sampel ginjal dilihat dibawah mikroskop, terdapat tisu parut di kawasan glomerula yang mungkin disebabkan penyakit genetik ataupun keturunan.

Komplikasi

Terdapat beberapa komplikasi yang boleh disebabkan masalah ini?

  • Thromboembolism(pembekuan darah): Buah pinggang yang bocor akan menyebabkan protein jenis albumin keluar daripada salur darah. Ini menyebabkan hati lebih banyak menghasilkan protein termasuk protein untuk pembekuan darah. Perkara ini pula akan menyebabkan darah lebih mudah beku
  • Kolesterol tinggi: Selain daripada penghasilan protein yang tinggi daripada hati, hati juga akan menghasilkan kolesterol yang lebih banyak jika berlakunya kebocoran buah pinggang
  • Tekanan darah tinggi: Kerosakan pada bahagian glomerular boleh menyebabkan air terkumpul di dalam badan dan mengakibatkan tekanan darah tinggi
  • Kegagalan buah pinggang: Mereka yang mengalami masalah ini secara kronik mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalami kegagalan buah pinggang terutamanya mereka yang ada kencing manis.

Ujian Pemeriksaan

Ujian yang selalu dibuat untuk mengesahkan masalah ini adalah:

1. Ujian air kencing

Dalam ujian air kencing selalunya doktor akan melakukan satu ujian yang dinamakan sebagai Urine FEME dimana dalam ujian ini kita akan tengok kehadiran protein dan juga bahan-bahan lain.

Jika pesakit dikesan mengalami protein dan juga mempunyai simptom yang diperkatakan diatas iaitu bengkak kaki, maka pesakit akan disahkan mengalami buah pinggang bocor(nephrotic syndrome)

Ada juga dikalangan pesakit tidak mempunyai simptom tetapi protein dapat dikesan melalui air kencing tersebut. Selalunya doktor akan meminta pesakit melakukan ujian air kencing semula setelah seminggu.



Jika protein masih lagi ada, maka ujian bacaan protein selama 24 jam perlu dibuat dimana pesakit akan diminta mengumpulkan air kencing selama 24 jam. Kemudian bacaan protein daripada semua air kencing tersebut akan dilakukan untuk mengesan sama ada pesakit mengalami masalah buah pinggang bocor ataupun tidak

2. Ujian darah

Penting untuk mengambil ujian darah bagi mengesan bacaan protein(Albumin) dalam darah. Selalunya bacaannya akan rendah kerana protein tersebut telah disingkirkan ke dalam air kencing.

Ujian darah juga boleh menunjukkan bacaan kolesterol yang meningkat.

3. Pengambilan sampel dari buah pinggang

Jika masalah ini berterusan dan tidak diketahui puncanya, maka pengambilan sampel daripada buah pinggang perlu dibuat untuk mengetahui punca-puncanya.

Rawatan Buah Pinggang Bocor

Rawatan adalah bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah ini berlaku. Tetapi terdapat beberapa jenis ubat yang diberikan bagi mengawal masalah yang sedia ada

1. Ubat tekanan darah tinggi: Terdapat jenis ubat tekanan darah yang didapati dapat mengurangkan jumlah protein daripada buah pinggang. Ubat jenis ini adalah jenis angiotensin converting enzyme inhibitor(ACEI) dan juga Angiotensin Receptor Blocker(ARB).



Untuk pembacaan lanjut: Ubat Darah Tinggi

2. Ubat Kolesterol: Buah pinggang bocor ini boleh menyebabkan bacaan kolesterol menjadi tinggi. Oleh itu, ubat ini dapat mengurangkan penghasilan kolesterol daripada hati

3. Ubat cair darah: Pesakit yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami pembekuan darah perlulah diberikan ubat cari darah bagi mengelakkan serangan sakit jantung atau angin ahmar.

Selain daripada itu, pesakit juga perlu mengawal penyakit-penyakit yang menyebabkan masalah ini berlaku. Sebagai contoh jika seseorang itu mengalami masalah ini disebabkan kencing manis, maka pesakit tersebut perlu mengawal bacaa gula dalam badan.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Ferri FF. Nephrotic syndrome. In: Ferri’s Clinical Advisor 2018. Philadelphia, Pa.: Elsevier; 2018. https://www.clinicalkey.com. Accessed Oct. 28, 2017.
  2. Kasper DL, et al., eds. Glomerular diseases. In: Harrison’s Principles of Internal Medicine. 19th ed. New York, N.Y.: McGraw-Hill Education; 2015. http://accessmedicine.mhmedical.com. Accessed Oct. 28, 2017.
  3. Nephrotic syndrome in adults. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease/nephrotic-syndrome-adults. Accessed Oct. 30, 2017.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 5 =