23/09/2020

The Diagnosa

Dapatkan Tips kesihatan dan penjelasan kepada penyakit anda disini

buasir

Buasir: Punca, Tanda dan Rawatan

Buasir adalah penyakit yang melibatkan pembengkakkan saluran darah di tempat pembuangan air besar. Pesakit selalunya mengadu pendarahan ketika membuang air besar.

Ini menyebabkan ia menjadi salah satu sebab untuk seseorang itu datang berjumpa dengan doktor

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Tanda Buasir
  3. Punca Buasir
  4. Struktur Dubur
  5. Jenis Buasir
  6. Diagnosa lain
  7. Ujian pengesahan
  8. Prognosis
  9. Rawatan Buasir

Masalah Buasir


Ramai daripada masyarakat mengadu pendarahan ketika mana membuang air besar dan majoritinya adalah disebabkan buasir. Ada juga sesetengah keadaan dimana buasir itu terlampau besar dan ia keluar daripada dubur berbentuk seperti ketulan.

Perlu diketahui tidak semua simptom pendarahan dan ketulan ditempat buang air besar disebabkan masalah ini. Penyakit lain juga perlu diperiksa agar rawatan yang betul dapat diberikan

Simptom dan Tanda-Tanda buasir


Kebanyakkan simptom kepada masalah ini adalah tidak spesifik. Ini kerana ia juga boleh merujuk kepada penyakit lain. Simptom yang selalu dihadapi oleh pesakit adalah:

  • Pendarahan ketika buang air besar (berak berdarah)
  • Ketulan di tempat pembuangan air besar
  • Sakit pada ketulan tersebut
  • Jika ada jangkitan kuman, ia boleh menyebabkan pembentukkan nanah

Tetapi simptom-simptom seperti ini terutamanya jika pesakit hanya datang dengan pendarahan ketika buang air besar sahaja, ia juga boleh merujuk kepada penyakit lain. Disebabkan perkara tersebut simptom-simptom lain juga perlu dilihat untuk membezakannya dengan penyakit lain.

Punca Buasir dan Bagaimana ia Terjadi


Kebanyakkan masalah ini akan menghasilkan simptom apabila ia bengkak, randang dan membesar hingga terkeluar daripada dubur. Ramai daripada doktor percaya bila seseorang itu meneran dalam jangka masa yang lama terutamanya ketika sembelit, ia akan menyebabkan masalah ini

Ini kerana bila seseorang itu meneran, ia akan menyebabkan darah terkumpul dikawasan dubur dan tidak boleh bergerak. Darah yang terkumpul itu akan membuatkan saluran darah dikawasan itu bengkak dan membesar. Inilah yang menjadi punca kepada masalah buasir ini.

Beberapa penyebab yang dikatakan berkaitan dengan masalah ini adalah:

1. Sembelit

Ketika mana seseorang itu sembelit, ia akan menyebabkan dia mempunyai masalah ketika membuang air besar.Pesakit selalunya akan meneran dalam jangka masa yang lama untuk mengeluarkan najis. Faktor ini mungkin benar atau tidak kerana masih tiada kajian yang benar-benar menunjukkan sembelit menjadi penyebab kepada masalah ini.

Tetapi ramai doktor percaya ia akan menyebabkan pembengkakan dan pembesaran saluran darah dibahagian tersebut. Malah apabila ubat untuk melembutkan najis diberikan kepada pesakit, masalah sembelit bersama masalah ini pun akan semakin pulih

2. Hamil

Kehamilan memang terbukti menjadi faktor risiko untuk seseorang menghidapi masalah ini. Selalunya, penyakit tersebut akan hilang selepas wanita tersebut melahirkan anak.

Kaitannya dengan kehamilan adalah disebabkan perubahan hormon di dalam badan seseorang wanita. Ini membuatkan saluran darah disitu lebih senang membesar jika dibandingkan dengan sebelum mengandung.

3. Sejarah Keluarga

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah ini akan mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding orang lain.

4. Ciri birit yang kronik

Jika seseorang itu mengalami cirit-birit yang lama, ia akan menyebabkan bahagian dubur mengalami tekanan dan saluran darah dikawasan tersebut akan lebih mudah mengembang dan berubah menjadi buasir

5. Faktor risko yang lain

Terdapat beberapa faktor risiko lain yang menyebabkan seseorang itu lebih mudah mengalami masalah ini. Ia adalah:

Struktur Dubur


Saluran permakanan manusia bermula daripada mulut dan berakhir di dubur. Makanan akan dikunyah di dalam mulut untuk meningkatkan jumlah permukaan yang akan bertindak dengan enzim. Kemudian ia ditelan dan melalui esofagus untuk dibawa ke perut, usus kecil dan berakhir di usus besar.

Di akhir usus besar terdapat satu ruangan yang dinamakan sebagai rektum. Tinja akan memasuki rektum dimana ia terkumpul disitu terlebih dahulu. Setelah penuh, barulah ia dikeluarkan melalui saluran anus(Dubur).

Di kawasan ano-rectal(anus dan rektum) inilah terdapat struktur yang berkait dengan penyakit ini. Ini kerana dikawasan ini mempunyai saluran darah yang banyak. Saluran darah ini pula boleh membesar dan menjadi ketulan yang dinamakan sebagai buasir.

Garisan dentate terdapat dibahagian tengah dubur. Jika buasir itu berasal dari bahagian atas ia dipanggil sebagai internal haemorhoid dan selalunya tidak menyebabkan rasa sakit. Buasir daripada bahagian bawah garisan dentate sahaja yang akan menyebabkan rasa sakit.

Kawasan dubur ini dibahagikan kepada dua iaitu bahagian atas iaitu atas daripada garisan dentate(dentate line) dan bahagian bawah yang dibawah garisan dentate. Ketulan yang berasal dari bahagian atas tidak akan menyebabkan rasa sakit dan simptomnya lebih kepada berak berdarah.

Tetapi ketulan yang berada di bawah garisan tersebut akan menyebabkan rasa sakit yang teruk kepada pesakit.

Jenis buasir


Buasir terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Buasir dalam (Internal Haemorrhoid)
  2. Buasir luaran (External Haermorrhoid)

Pembahagian ini dibuat disebabkan kawasan buasir tersebut adalah dibahagian yang berlainan dan simptom pun bebeza. Kawasan ano-rectal dibahagikan kepada bahagian atas dan bawah oleh satu garisan yang dinamakan sebagai garisan ‘dentate‘. Garisan ini terjadi disebabkan proses embrologi ketika bayi di dalam kandungan.

Buasir yang terjadi di atas garisan ‘dentate‘ dikenali sebagai buasir dalam (internal haemorrhoid). Disebabkan saraf yang bersambung dibahagian tersebut adalah saraf jenis organ dalam(Visceral nerve), selalunya pesakit tidak akan merasa sakit walaupun ketulantersebut besar.

Manakala, Ketulan yang terjadi di bawah garisan ‘dentate’ ia dikenali sebagai ‘external haermorhoid‘ iaitu buasir luaran. Saraf yang bersambung dengan kawasan ini adalah saraf jenis ‘somatic’. Jika masalah ini berlaku dikawasan tersebut, ia akan menghasilkan rasa sakit

Diagnosa-diagnosa lain


Terdapat diagnosa lain yang boleh dikatakan mempunyai persamaan simptom dengan penyakit ini adalah:

  • Acute proctatitis(Keradangan di bahagian rektum disebabkan jangkitan kuman)
  • Kanser rektum
  • Kanser anal
  • Polip(unjuran daripada dinding usus)
  • Keradangan usus(Inflammatory bowel disease)

Ujian Pengesahan


Proctoscope

Untuk mengetahui adakah pesakit ini benar-benar mempunyai masalah ini ataupun tidak terutamanya pesakit yang mempunyai simptom pendarahan ketika buang air besar sahaja, penggunaan proctoscope dapat membantu

Proctoscope adalah salah satu alat yang digunakan untuk melihat keadaan di dalam kawasan ano-rectum. Ia dapat melihat sama ada benar ataupun tidak wujudnya buasir di dalam saluran najis tersebut.

Prognosis


Kebanyakan pensakit akan baik dengan sendirinya ataupun baik dengan rawatan perubatan tanpa melakukan pembedahan. Tetapi ada juga kemungkinan untuk komplikasi berlaku sebagai contoh buasir yang melibatkan darah yang beku(Thrombosed), jangkitan kuman, pembentukan ulcer dan pembentukan nanah.

Peratusan untuk penyakit tersebut menyerang semula jika tiada pembedahan dilakukan adalah 10 hingga 50%. Manakala, jika pembedahan dibuat, peratusan buasir terjadi semula adalah 5%

Rawatan Buasir


Rawatan selalunya diberikan kepada pesakit yang hanya mengadu simptom tersebut dan rawatan yang selalu diberikan tidak melibatkan pembedahan. Ini kerana majoriti daripada penyakit buasir akan baik dengan sendirinya dengan pengambilan diet yang betul berserta ubat-ubatan yang sedikit sebanyak membantu

1. Diet

Pengambilan diet yang mempunyai serat yang tinggi boleh mengelakkan serta merawat penyakit buasir. Ini kerana ia boleh mengelakkan daripada masalah sembelit. Pesakit dinasihati untuk mengambil satu hidangan sayur untuk ketika setiap kali mengambil makanan yang berat. Kekacang juga salah satu makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi

Bukan itu sahaja, pengambilan air yang secukupnya juga boleh mengelakkan daripada menghadapi masalah sembelit. Kurangkan makanan yang mempunyai fiber yang rendah seperti roti putih, susu, keju, daging dan makanan terproses.

2. Ubat untuk melembutkan najis

Pengambilan ubat terutamanya lactulose mampu melembutkan najis dan mengelakkan daripada sembelit berlaku.

3. Ikat guna getah(Rubber band ligation)

Getah yang digunakan untuk mengikat saluran darah yang bengkak adalah getak khas. Prosedur ini akan menyebabkan bahagian saluran darah yang diikat itu mati dengan sendirinya meninggalkan saluran darah yang normal.

4. Pembedahan untuk buang buasir

Pembedahan hanya dilakukan jika pesakit masih mengalami penyakit buasir yang serius walaupun rawatan perubatan telah diberikan secukupnya.

Pembedahan selalunya menyebabkan komplikasi dan mempunyai kadar penyembuhan yang lama, tetapi setelah sembuh penyakit buasir jarang menyerang semula berbanding dengan cara rawatan lain. Terdapat beberapa cara yang lain untuk rawatan buasir. Tetapi cara ini adalah cara yang selalu digunakan untuk merawat penyakit ini.

Rujukan

  1. Gibbons CP, Bannister JJ, Read NW. Role of constipation and anal hypertonia in the pathogenesis of haemorrhoids. Br J Surg. 1988 Jul. 75(7):656-60.
  2. Johanson JF, Sonnenberg A. The prevalence of hemorrhoids and chronic constipation. An epidemiologic study. Gastroenterology. 1990 Feb. 98(2):380-6
  3. American Gastroenterological Association medical position statement: Diagnosis and treatment of hemorrhoids. Gastroenterology. 2004 May. 126(5):1461-2
  4. Rivadeneira DE, Steele SR, Ternent C, et al. Practice parameters for the management of hemorrhoids (revised 2010). Dis Colon Rectum. 2011 Sep. 54(9):1059-64.