Skip to content

Kencing Kotor: Punca, Simptom dan Rawatan

Terdapat pelbagai tafsiran berkenaan dengan kencing kotor. Ada sesetengah doktor cakap, air kencing yang dalamnya ada protein adalah kencing kotor. Ada juga yang mengatakan kencing kotor ini adalah jangkitan kuman pada saluran air kencing.

Pengenalan


Kencing kotor adalah jangkitan kuman pada tempat buang air kencing dan ia menyebabkan beberapa simptom pada mereka yang menghadapinya seperti sakit ketika buang air kencing dan sakit pada bahagian ari-arinya(Bahagian bawah abdomen).

Pesakit yang berisiko untuk menghadapi masalah ini adalah kaum wanita terutamanya wanita yang mengandung

Simptom Kencing Kotor

Ada sesetengah pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom walaupun dia sedang mengalami jangkitan kuman pada tempat air kencingnya.

Perkara ini selalu berlaku pada wanita mengandung kerana air kencing mereka selalunya diperiksa ketika temujanji di klinik. Walaupun mereka tidak mempunyai sebarang simptom, tetapi ada sesetengah daripada keputusan ujian air kencing mereka menunjukkan terdapat jangkitan kuman.

Oleh sebab itu, jangkitan kuman pada tempat buang air kencing dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:

  • Yang mempunyai simptom (symptomatic)
  • Yang tidak mempunyai simptom (asymptomatic)

Simptom yang selalunya diadukan oleh mereka yang mengalami kencing kotor adalah:

Sakit Ketika KencingSakit Ari-ari
Badan menggigilDemam yang tinggi
Kerap kencingLetih



Periksa Simptom anda Di Sini

Apakah yang menyebabkan kencing kotor berlaku?


Pada asalnya saluran air kencing adalah bebas daripada sebarang kuman seperti virus mahupun bakteria. Ini disebabkan seseorang itu sentiasa menghasilkan air kencing daripada buah pinggang. Oleh itu, air akan sentiasa mengalir dan menolak sebarang kuman yang berada dalam saluran air kencing.

Perlu diketahui bahawa air kencing merupakan medium yang sesuai untuk penghasilan bakteria. Ia mempunyai pH yang rendah iaitu 5.5, kandungan urea dan asid organik yang tinggi. Semua bahan ini adalah sesuai dan sangat diperlukan untuk pembiakan bakteria. Perkara ini akan membuatkan bakteria mudah membiak jika ia berjaya memasuki saluran air kencing.

Hubungan seks pun sebenarnya meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat kencing kotor terutamanya wanita. Lelaki selalunya jarang mendapat jangkitan kuman pada tempat buang air kencing selepas melakukan seks kecuali jika mereka melakukan seks diluar tabii iaitu memasukkan zakar ke dalam dubur.

Terdapat komplikasi yang merbahaya jika masalah kencing kotor ini tidak dirawat dengan betul. Kuman pada saluran air kencing bahagian bawah boleh berpindah dan naik ke atas hingga ke buah pinggang(ginjal). Ini akan menyebabkan keadaan yang merbahaya iaitu jangkitan kuman pada buah pinggang yang dipanggil sebagai

Faktor Risiko

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu berisiko untuk menghadapi masalah kencing kotor.

1. Wanita

Wanita mempunyai saluran air kencing yang pendek berbanding lelaki dan bukaan tempat buang air kencing adalah lebih dekat pada bahagian dubur. Ini menyebabkan kuman lebih mudah ke saluran air kencing tersebut.

2. Wanita yang mengandung

Mereka yang sedang mengandung akan mempunyai perubahan hormon dan ini akan menyebabkan saluran buang air kencing lebih besar berbanding biasa. Ini menyebabkan kuman lebih mudah naik ke bahagian saluran air kencing.

Sebab itulah mereka yang mengandung selalunya didapati mengalami kencing kotor ketika temujanji di klinik.

3. Wanita berumur

Wanita yang berumur terutamanya yang menopause juga akan mengalami perubahan hormon yang menyebabkan tisu pada badan mereka tidak elastik seperti dahulu. Bahkan tempat buang air juga akan menjadi lebih terbuka dan memudahkan kuman naik ke saluran air kencing

4. Masalah prostat

Prostat adalah struktur pada bahagian kaum lelaki. Ia berfungsi untuk menghasilkan semen ketika ejakulasi. Tetapi ketika seseorang itu berumur, prostat boleh membesar dan membengkak menyebabkan air kencing susah untuk dikeluarkan.

Lebihan air kencing dalam pundi kencing akan menjadi medium yang sesuai untuk pembiakan bakteria.

5. Pesakit batu karang

Salah satu tempat yang suai untuk habitat bakteria adalah batu karang.

6. Masalah saraf seperti Neurogenic bladder.

Pesakit ini selalunya mengalami masalah saraf hingga menyebabkan dia tidak mampu mengawal pembuangan air kencingnya. Pesakit selalunya perlu dipakaikan pampers kerana ia akan kencing pada bila-bila masa.

Pesakit juga tidak mampu mengosongkan pundi kencingnya dengan sepenuhnya. Ini bermaksud akan ada sentiasa baki air kencing di dalam pundinya menyebabkan bakteria boleh membiak di kawasan pundi kencing tersebut.

Kesudahan pesakit kencing kotor


Terdapat pesakit yang baik dengan sendirinya apabila meminum air yang banyak. Tetapi sebahagian daripada pesakit memerlukan rawatan antibiotik untuk membunuh kuman di dalam saluran air kencing tersebut. Simptom selalunya akan berkurangan dalam tempoh 3 hari.

Terdapat juga beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami komplikasi yang teruk ketika menghadapi masalah ini. Faktor tersebut adalah:

  • Mereka yang sudah berumur
  • Pesakit yang mengalami masalah pada sistem imun seperti pesakit kencing manis, pesakit yang perlu makan steroid dan mereka yang mengalami HIV.
  • Pesakit yang mempunyai masalah saraf iaitu neurogenic bladder.
  • Pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan kemoterapi

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Diagnosa lain


Simptom yang ditunjukkan dalam masalah kencing kotor juga boleh merujuk kepada penyakit lain. Penyakit-penyakit tersebut adalah:

Kanser ProstatKanser Pundi Kencing
Keradangan ApendikProstat Bengkak
Batu KarangKeradangan saluran vagina

Ujian pengesahan kencing kotor


Terdapat beberapa cara untuk mengesahkan sama ada seseorang itu mengalami kencing kotor ataupun tidak. Perkara yang selalunya diperiksa adalah air kencing pesakit tersebut.

Cara pengambilan spesimen air kencing

Pesakit perlu mengambil air kencing dengan cara yang betul untuk mengelakkan ujian tersebut diulang kerana cara pengambilan spesimen yang salah.

Cara yang pengambilan air kencing yang betul adalah:

  1. Kena bersihkan tempat buang air kencing terlebih dahulu. Dinasihatkan untuk basuh guna air terlebih dahulu untuk membersihkan kawasan tersebut daripada sebarang bakteria
  2. Ambil bahagian tengah air kencing. Ketika kencing, elakkan untuk terus menadah air kencing tersebut. Biarkan air kencing tersebut keluar terlebih dahulu dan ambil air kencing dibahagian tengah. Ini untuk mengeluarkan bakteria dan bendasing pada permulaan air kencing itu dan mengambil bahagian tengah yang dianggap bersih daripada sebarang bakteria kecuali jika memang benar ada jangkitan kuman.
  3. Tutup bekas dengan rapat dan elakkan air kencing itu terkeluar daripada bekas. Jika ia terkeluar membasahi luar bekas, mungkin specimen itu akan dibatalkan kerana dikhuatiri bakteria atau bendasing daripada luar telah masuk ke dalam bekas tersebut


Terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan untuk air kencing tersebut. Ia adalah:

1. Siasatan air kencing secara keseluruhan dan pemeriksaan dibawah mikroskop(UFEME)

Dalam pemeriksaan ini, kandungan air kencing akan diperiksa sama ada mempunyai protein, gula, sel darah merah, sel darah putih, kompaun nitrate, pH air kencing dan beberapa perkara lagi.

Untuk pesakit yang mengalami jangkitan kuman pada tempat buang air kencing, air kencing pesakit ini akan mempunyai sel darah putih dan juga kompaun nitrate. Ini menunjukkan terdapat bakteria di dalam air kencing tersebut sehingga menyebabkan sel darah putih terpaksa masuk di dalam air kencing untuk membunuh bakteria tersebut.

2. Kultur air kencing

Bakteria yang terdapat di dalam air kencing selalunya susah untuk dilihat dibawah mikroskop. Prosedur yang selalunya dibuat adalah air kencing pesakit akan diambil dan diletakkan dalam satu medium yang lebih mudah untuk bakteria tersebut membiak. Ketika ia sudah membentuk satu koloni, spesimen bakteria itu akan dilihat dibawah mikroskop untuk mengenalpasti bakteria tersebut.

Bakteria itu juga akan diuji dimakmal untuk melihat antibiotik yang mana berkesan untuk membunuh kuman tersebut.

Hanya pesakit yang tidak sembuh selepas peneggunaan antibiotik sahaja akan menjalani ujian ini.

3. Siasatan-siasatan yang lain

Selalunya hanya dua siasatan diatas sahaja dibuat untuk mengesahkan sama ada seseorang itu mengalami kencing kotor ataupun tidak.

Tetapi terdapat ujian lain yang boleh digunakan untuk melihat keadaan pesakit iaitu Full blood count dan renal profile

Pengambilan sampel darah diambil untuk melakukan ujian ini seperti full blood count, ia digunakan untuk melihat bilangan sel darah putih dalam badan. Selalunya pesakit yang mengalami kencing kotor yang serius akan mempunyai peningkatan dalam sel darah putih.

Manakala, renal profile pula adalah untuk melihat keadaan fungsi buah pinggang.



Komplikasi


Kencing kotor pada orang biasa selalunya tidak menyebabkan sebarang komplikasi. Tetapi pada mereka yang mempunyai masalah imun seperti pesakit kencing manis ataupun HIV, ia boleh menyebabkan komplikasi yang boleh menyebabkan kematian.

Beberapa komplikasi tersebut adalah:

  • Keradangan pada bahagian testis disebabkan jangkitan kuman(Orchitis)
  • Jangkitan kuman pada ginjal/buah pinggang(Acute Pyelonephritis).
  • Jangkitan bakteria yang telah merebak di dalam darah. (Urosepsis)

Rawatan Kencing Kotor

Ada sebahagian daripada pesakit yang mengalami kencing kotor ini yang mampu baik dengan sendirinya dengan pengambilan air yang banyak terutamanya pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom.

Tetapi jika pesakit tersebut mempunyai simptom, pesakit wajib dirawat dan diberikan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan kuman tersebut menjadi lebih teruk

1. Rawatan antibiotik

Beberapa kriteria pada pesakit yang memerlukan penggunaan antibiotik adalah:

  • Mereka yang mempunyai tanda tanda kencing kotor
  • Mereka yang sedang mengandung walaupun tidak mempunyai simptom kencing kotor

Wanita yang mengandung jika disahkan mempunyai kencing kotor tetapi tidak mempunyai simptom masih perlu dirawat menggunakan antibiotik. Ini kerana ia boleh menyebabkan kelahiran tidak cukup bulan.

2. Ubat untuk mengalkalikan air kencing

Seperti yang diceritakan pada bahagian atas, bakteria lebih suka kawasan yang berasid berbanding yang beralkali.

Oleh itu, penggunaan ubat untuk mengalkalikan air kencing adalah disyorkan untuk merencat perkembangan bakteria dalam saluran air kencing seterusnya membantu dalam rawatan kencing kotor.

Ubat yang selalu digunakan adalah Ural atau Mist Potassium Citrate

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Little P, Turner S, Rumsby K, Warner G, Moore M, Lowes JA, et al. Dipsticks and diagnostic algorithms in urinary tract infection: development and validation, randomised trial, economic analysis, observational cohort and qualitative study. Health Technol Assess. 2009 Mar. 13(19):iii-iv, ix-xi, 1-73.
  2. Gupta K, Hooton TM, Naber KG, et al. International clinical practice guidelines for the treatment of acute uncomplicated cystitis and pyelonephritis in women: A 2010 update by the Infectious Diseases Society of America and the European Society for Microbiology and Infectious Diseases. Clin Infect Dis. 2011 Mar. 52(5):e103-20
  3. Abrahamian FM, Moran GJ, Talan DA. Urinary tract infections in the emergency department. Infect Dis Clin North Am. 2008 Mar. 22(1):73-87, vi.
  4. Lane DR, Takhar SS. Diagnosis and management of urinary tract infection and pyelonephritis. Emerg Med Clin North Am. 2011 Aug. 29(3):539-52
  5. Wagenlehner FM, Schmiemann G, Hoyme U, Fünfstück R, Hummers-Pradier E, Kaase M, et al. [National S3 guideline on uncomplicated urinary tract infection: recommendations for treatment and management of uncomplicated community-acquired bacterial urinary tract infections in adult patients]. Urologe A. 2011 Feb. 50(2):153-69.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sixteen − 1 =