Dehidrasi: Punca, Simptom dan Rawatan

Published by Dr Latif Saad on

Dehidrasi berlaku apabila seseorang itu kehilangan air daripada badan dengan lebih banyak berbanding air yang dia ambil. Perkara ini juga menyebabkan badan tidak boleh menjalankan fungsinya dengan normal. Jika seseorang itu tidak menggantikan air yang dia hilang, maka dia akan mengalami dehidrasi.

Semua orang boleh mengalami dehidrasi tetapi ianya lebih berbahaya jika ia berlaku pada kanak-kanak ataupun orang tua.

Punca utama yang boleh menyebabkan dehidrasi pada kanak-kanak adalah cirit-birit yang teruk dan muntah.

Dehidrasi juga boleh berlaku jika anda tidak meminum air yang mencukupi terutamanya ketika cuaca panas ataupun selepas bersenam.

Apakah simptom dehidrasi?

Terdapat beberapa simptom dan tanda apabila seseorang itu mengalami dehidrasi dan perkara ini bergantung sama ada pesakit adalah kanak-kanak ataupun orang dewasa

Kanak-kanak atau bayi

Tanda-tanda pada kanak adalah:

  • Bibir dan lidah kering
  • Tidak mengeluarkan air mata ketika menangis
  • Pampers tidak basah walaupun setelah 3 hjam
  • Mata atau pipi menjadi cekung
  • Ubun-ubun tenggelam
  • Nampak letih

Orang dewasa

Tanda-tanda pada orang dewasa adalah:

  • Haus
  • Kurang kencing
  • Kencing berwarna kuning pekat
  • Letih
  • Pening

Apakah punca dehidrasi?

Badan anda akan sentisa kehilangan air daripada peluh dan juga air kencing. Jika air tersebut tidak diganti, anda boleh mengalami masalah ini. Apa-apa situasi yang menyebabkan kehilangan air yang banyak daripada badan akan menyebabkan masalah dehidrasi berlaku

1. Berpeluh

Berpeluh adalah satu proses semulajadi badan yang berfungsi untuk menyejukkan badan. Bila anda panas, kalenjar peluh akan menghasilkan peluh untuk mengurangkan suhu badan. Caranya adalah dengan proses penyejatan.

Apabila titisan peluh menyejat menjadi wap air, ia akan membawa sedikit tenaga haba dan menyebabkan kawasan berpeluh tersebut mengalami pengurangan suhu. Berpeluh juga akan membantu dalam kelembapan kulit supaya ia kelihatan sihat.

Peluh mengandungi air dan garam. Jika seseorang itu berpeluh secara berlebihan, ia akan menyebabkan kehilangan air yang banyak daripada badan. Perkara ini boleh membawa kepada masalah kekurangan air dalam badan.

2. Muntah atau/dan cirit birit

Muntah dan cirit birit yang berterusan akan menyebabkan kehilangan air yang banyak daripada badan. Bahkan ia juga akan mengeluarkan elektrolit/garam darupada badan menyebabkan fungsi sel dalam badan menjadi tidak normal.

Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan tekanan darah rendah dan boleh membawa kepada kematian.

Masalah ini boleh disebabkan jangkitan virus ataupun keracunan makanan.

3. Demam

Demam juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah ini. Ini kerana suhu badan yang tinggi akan menyebabkan peluh lebih senang tersejat. Oleh itu, seseorang yang demam akan lebih mudah mengalami dehidrasi berbanding orang lain.

Sebab itu, jika seseorang itu demam, dinasihatkan untuk dia mengambil minuman dengan lebih kerap.

4. Terlebih buang air kencing

Pembuangan air kencing adalah sesuatu yang normal bagi seorang manusia. Terdapat beberapa penyakit seperti diabetes insipidus yang akan menyebabkan seseorang itu kerap membuang air kencing dalam jumlah yang banyak. Ini boleh menyebabkan pesakit tersebut mengalami masalah dehidrasi.

Kafein daripada minuman juga boleh menyebabkan seseorang itu lebih kerap membuang air kencing.

Siapakah individu yang lebih mudah mengalami masalah ini?

Semua orang boleh menghadapi masalah ini. Akan tetapi ada golongan yang lebih berisiko untuk menghadapi masalah kehilangan air daripada badan.

Bayi dan kanak-kanak

Golongan ini sangat mudah untuk mengalami cirit-birit dan muntah yang teruk menyebabkan mereka lebih mudah untuk menghadapi masalah ini.

Disebabkan saiz mereka yang kecil, ini meningkatkan jumlah luas permukaan bagi kehilangan air daripada badan mereka.

Golongan yang berumur

Semakin umur meningkat, kebolehan seseorang itu untuk menyimpan air dalam badan semakin berkurangan dan deria untuk rasa haus semakin tidak peka. Ia diterukkan lagi jika seseorang itu mengalami masalah nyanyuk dan mempunyai penyakit kronik yang lain seperti kencing manis dan darah tinggi.

Individu yang mempunyai penyakit yang kronik

Mempunyai penyakit kencing manis yang tidak terkawal akan menyebabkan anda lebih mudah mengalami masalah ini.

Jika anda mengalami darah tinggi pula, anda mungkin akan diberikan jenis ubat darah tinggi untuk mengeluarkan air kencing daripada badan anda supaya tekanan darah anda menjadi rendah.

Ubat ini akan menyebabkan anda lebih kerap kencing dan masalah dehidrasi lebih mudah untuk berlaku kepada diri anda

Mereka yang berkerja diluar bangunan

Suasana yang panas akan menyebabkan seseorang itu berpeluh dengan lebih banyak daripada biasa. Perkara ini boleh menyebabkan masalah kekurangan air dalam badan.

Apakah komplikasi yang boleh terjadi jika masalah ini tidak dirawat?

Masalah kekeringan air dalam badan ini boleh menyebabkan komplikasi yang teruk iaitu:

Strok Haba

Jika anda tidak mengambil air minum yang secukupnya ketika waktu panas, anda boleh berakhir dengan strok haba yang boleh meragut nyawa

Kegagalan buah pinggang

Kurang air dalam badan boleh menyebabkan buah pinggang gagal berfungsi. Ini adalah disebabkan ketika air berkurangan dalam badan, darah akan disalurkan pada organ-organ yang penting seperti otak dan jantung.

Organ seperti buah pinggang akan mengalami kekurangan bekalan darah dan menyebabkan kegagalan buah pinggang boleh berlaku.

Sawan

Elektrolik atau garam seperti potassium dan sodium membantu dalam penghantaran maklumat di dalam badan. Muntah atau cirit-birit boleh mengganggu elektrolit ini dan mendedahkan seseorang itu kepada serangan sawan.

Tekanan darah rendah

Tekanan darah rendah yang disebabkan masalah dehidrasi adalah sesuatu yang berbahaya kerana bekalan darah ke organ akan semakin berkurangan dan boleh menyebabkan organ dalam badan gagal untuk berfungsi. Ia boleh berakhir dengan kematian pesakit.

Apakah ujian untuk menentukan seseorang itu mengalami dehidrasi atau tidak?

Selalunya masalah ini disahkan melalui pemeriksaan fizikal. Pesakit akan mempunyai denyutan nadi yang laju berserta simptom yang diceritakan di atas tadi.

Bahkan jika masalah ini terlalu teruk, tekanan darah pesakit juga akan rendah.

Ujian fungsi buah pinggang

Salah satu ujian yang selalu diambil untuk melihat tahap dehidrasi seseorang adalah ujian fungsi buah pinggang.

Jika bacaan urea dan creatinine adalah tinggi daripada orang biasa, ini menunjukkan pesakit telah mengalami kekurangan air yang teruk kerana telah memberi kesan kepada buah pinggang.

Apakah rawatan dehidrasi?

Rawatan yang paling berkesan adalah dengan menggantikan air yang telah hilang daripada badan.

Untuk kanak-kanak yang mengalami masalah cirit-birit, muntah atau demam, mereka boleh diberikan oral rehydration salt(Garam untuk hidrasi) yang boleh dibeli di farmasi. Garam ini perlulah dilarutkan dalam air kosong terlebih dahulu dan diberikan pada pesakit.

Oleh itu, ia akan menggantikan cecair dan juga elektrolit yang hilang daripada badan pesakit.

Orang dewasa selalunya boleh mengambil minuman dengan lebih banyak untuk menggantikan cecair yang hilang. Jika muntah atau cirit-birit itu terlalu banyak, dinasihatkan untuk mengambil oral rehydration salt juga untuk mengekalkan keseimbangan elektrolit di dalam badan.

Kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami dehidrasi yang teruk perlulah dirawat di jabatan kecemasan. Selalunya cecair dan garam akan disalurkan terus ke dalam salur darah pesakit untuk rawatan yang lebih cepat.

Rujukan:

  1. Diarrhea. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. https://www.niddk.nih.gov/health-information/health-topics/digestive-diseases/diarrhea/Pages/facts.aspx
  2. Heat and athletes. Centers for Disease Control and Prevention. http://www.cdc.gov/extremeheat/athletes.html.
  3. Sterns RH. Etiology, clinical manifestations and diagnosis of volume depletion in adults. http://www.uptodate.com/home
  4. Dehydration comes on fast and can be fatal. (n.d.). emergencycareforyou.org/health–safety-tips/holiday-and-seasonal/summer/dehydration-comes-on-fast-and-can-be-fatal/#sm.0000buc587rwge1dvav2e2bad0cq6
  5. Electrolytes. (2019). my.clevelandclinic.org/health/diagnostics/16954-electrolytes

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science. Follow facebook saya di Latif Saad

Tinggalkan Komen Anda

avatar
  Ikut perbincangan ini  
Hantar notifikasi jika