Skip to content

Demamnya semakin pulih, tetapi keadaannya pula semakin teruk.

Sepatutnya ketika demam seseorang itu semakin pulih dan suhu semakin turun, sepatutnya keadaan pesakit akan bertambah sihat.

Tetapi ada sesetengah keadaan dan juga penyakit yang menyebabkan keadaan seseorang itu menjadi lebih teruk ketika suhu badannya semakin normal.

Kisah pesakit

Seorang pesakit berumur 23 tahun sampai ke jabatan kecemasan disebabkan pesakit mengalami sakit ulu hati yang sangat teruk berserta muntah-muntah. Dia dibawa oleh kawan serumah dengannya.



5 hari sebelum itu pesakit mengalami demam yang sangat tinggi. Dia hanya mengambil ubat demam sahaja. Selera makan juga berkurangan dan pesakit hanya mengambil makanan dan minum air dengan kuantiti yang sedikit.

Pada hari yang ke-5, suhu demam sudah berkurangan akan tetapi keadaan dia menjadi semakin buruk dimana pesakit mengalami muntah-muntah yang kerap dan sakit ulu hati. Kawan-kawan pesakit tidak membawa pesakit pada hari tersebut dengan anggapan dia akan pulih kerana demamnya sudah tiada.

Tetapi mereka terpaksa membawa pesakit pada malam tersebut kerana pesakit nampak terlalu letih dan tidak henti mengalami muntah.

Penyiasatan

Kami pun mengambil darah seperti biasa untuk mengetahui punca kepada masalah ini. Tetapi daripada penceritaan simptom dan sejarah pesakit, kami dah boleh agak penyakit apa yang menyebabkan keadaan pesakit menjadi lebih teruk.

Tekanan darah masih normal ketika itu. Tetapi denyutan nadinya laju iaitu dengan bacaan 140 denyutan seminit. Ini menunjukkan pesakit mungkin akan mengalami tekanan darah rendah jika ia tidak dirawat dengan segera.



Daripada keputusan darah ia menunjukkan bacaan platlet pesakit yang sangat rendah. Bacaan yang normal adalah lebih daripada 150 (x10^9/L). Tetapi bacaan pesakit adalah 9 sahaja. Kemudian, bacaan sel darah putih pun rendah iaitu 1.5 (bacaan normal adalah diantara 4-12).

Jika bacaan platlet dan sel darah putih rendah, dalam pemikiran kami satu sahaja iaitu Demam denggi. Sebenarnya ada juga beberapa penyakit yang boleh menyebabkan hal ini berlaku seperti kencing tikus, pelbagai jenis kanser dan banyak lagi.

Tetapi keadaan pesakit semakin teruk ketika suhu badan menurun ni selalunya ia lebih spesifik kepada demam denggi. Sebab jika perasan, siapa yang pernah masuk dalam hospital disebabkan demam denggi, doktor akan risau dan lebih berhati-hati ketika mana suhu badan pesakit semakin turun. Maksudnya tak demam. (Beli thermometer di sini)

Fasa baik demam ini dipanggil sebagai fasa kritikal kerana kebanyakan pesakit akan menjadi lebih teruk pada fasa ini. Denggi berdarah juga selalu berlaku ketika fasa ini. Ujian denggi pun menunjukkan pesakit mempunyai jangkitan denggi iaitu dengan kehadiran antibodi IgM dalam darahnya.

Pesakit dimasukkan ke dalam ICU untuk pemantauan. Ini kerana bila-bila masa sahaja pesakit boleh pengsan disebabkan tekanan darah yang rendah. Bahkan dengan bacaan platlet yang rendah seperti itu, bila-bila masa sahaja boleh berlakunya pendarahan.

Setelah lebih daripada 48 jam, keadaan pesakit semakin pulih dan pesakit dibenarkan balik dari wad selepas 3 hari. Keadaan pesakit sebenarnya boleh menjadi lagi teruk jika pesakit lambat mendapatkan rawatan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Apa yang sepatutnya dibuat

Ada beberapa perkara yang anda boleh buat untuk mengelakkan masalah ini berlaku pada anda.

1. Pergi jumpa doktor jika demam lebih 3 hari



Demam yang serius selalunya akan berpanjangan lebih daripada 3 hari. Sebagai contoh demam denggi selalunya akan lebih 3 hari dan ia boleh membawa kepada 4- 7 hari. Jika pesakit datang awal iaitu pada hari ke-3 demam, darah untuk pemeriksaan boleh diambil dan pesakit boleh dikesan awal mengalami demam denggi.

Oleh itu, pemantauan yang lebih kerap boleh diberikan kepada pesakit ini untuk mengelakkan keadaan pesakit semakin teruk

2. Minum air kerap

Untuk pesakit denggi, air yang cukup adalah kunci untuk mengelakkan pelbagai komplikasi oleh penyakit ini. Air tidak cukup akan menyebabkan darah menjadi pekat dan susah untuk dipam. Perkara ini akan menyebabkan terdapat beberapa kawasan seperti bahagian usus mengalami kekurangan oksigen.

Ketika itu, salur darah akan menjadi rosak dan pendarahan pada seluruh tubuh akan berlaku. Inilah yang dinamakan sebagai denggi berdarah.

Denggi berdarah tak semestinya seseorang itu muntah darah atau berak berdarah, selalunya pesakit tidak menunjukkan pendarahan kerana pendarahan tersebut berlaku di seluruh tubuh pesakit.

3. Terus jumpa doktor jika muntah kerap

Muntah yang kerap ini mempunyai pelbagai punca seperti keracunan makanan, demam denggi. kencing tikus, demam biasa dan pelbagai punca yang lain. Penting untuk mengetahui status hidrasi seseorang iaitu sama ada dia kekurangan air dalam badan ataupun tidak.



Doktor dan staf kesihatan sahaja yang boleh memeriksa dan mengetahui sama ada seseorang itu mengalami kekeringan ataupun tidak. Tekanan darah rendah boleh berlaku kepada orang ini dan boleh menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

Kesimpulan

Jangan anggap jika demam seseorang itu semakin pulih, bermaksud keadaannya akan bertambah baik. Seperti pesakit ini, keadaanya bertambah buruk dan sepatutnya telah dibawa pergi berjumpa doktor ketika dia masih demam lagi.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five + 19 =