Skip to content

Diabetes Otak ataupun Penyakit Alzheimer’s?

Umum kita ketahui mengenai Diabetes Type 1 dan Diabetes Type 2. Namun, tahukah kita bahawa terdapat Type 3 atau Diabetes Otak?

Sebelum kita berbicara dengan lebih lanjut mengenai Diabetes Type 3 dan kaitannya dengan penyakit Alzheimer’s, ayuh kita berkenalan secara ringkas dengan Diabetes Mellitus terlebih dahulu.

Apa itu Diabetes?

Diabetes atau kencing manis adalah penyakit kronik yang dikategorikan dalam kumpulan penyakit tidak berjangkit atau non communicable disease. Penyakit ini terjadi apabila kadar gula yang tinggi dalam darah melebihi paras normal.



Diabetes mempunyai dua jenis yang utama iaitu;

1. Diabetes Type 1 (Insulin Dependent Diabetes Mellitus)

Diabetes yang disebabkan oleh ketiadaan atau kurang penghasilan hormon insulin. Ianya kerana sistem imun tubuh sendiri yang memusnahkan beta cells dalam pankreas. Beta cells adalah sel yang bertanggungjawab dalam penghasilan insulin.

2. Diabetes Type 2 (Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus)

Diabetes yang disebabkan oleh insulin resistance. Ini bermaksud, sel dalam badan manusia tidak dapat menggunakan insulin yang ada untuk menyerap gula dalam darah (glukosa). Dalam kata lain, walaupun insulin mencukupi namun ianya tidak efisyen kerana sel badan kita sendiri yang tidak bertindak kepada insulin.



Selain dua jenis tersebut, ada lagi satu keadaan dimana diabetes berlaku pada ibu mengandung yang dikenali sebagai Gestational Diabetes. Keadaan hyperglycemia yang disebabkan oleh perubahan hormon ketika mengandung yang mengganggu tindakan insulin. Kebanyakan kes akan sembuh selepas melahirkan anak namun ada juga sesetengah kes yang berlarutan selepas bersalin menjadi Diabetes Type 2.

Apa itu Hormon Insulin?

Hormon insulin adalah hormon yang paling penting apabila berbicara mengenai diabetes. Tujuan utama hormon ini adalah memberi keseimbangan pada paras gula dalam darah atau glukosa. Apabila gula terlalu tinggi, akan berlaku hyperglycemia. Gula terlalu rendah, akan berlaku hypoglycemia.

Umumnya, selepas kita menikmati makanan paras gula akan naik dalam darah. Apa yang berlaku adalah ;

1. Sel pankreas – beta cells akan merembeskan insulin ke dalam salur darah.
2. Insulin kemudian akan melekat pada sel-sel dalam badan dan memberi signal kepada sel-sel tersebut untuk menyerap gula dalam darah.

Mekanisme insulin boleh diibaratkan seperti sebuah “kunci”. Sel-sel yang menerima insulin pula diibaratkan seperti sebuah “pintu”. Kunci diperlukan untuk membuka pintu yang tertutup. Begitulah analogi insulin kepada sel. Glukosa tidak akan mampu masuk kedalam sel-sel badan tanpa adanya insulin.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Diabetes Otak dan Kerintangan Insulin(Insulin Resistance)

Untuk memahami punca penyakit ini, perlu kita fahami apa itu insulin resistance atau kerintangan insulin pada sel manusia terutama pada otak.

Insulin dihasilkan di pankreas sebagaimana yang kita tahu sebelumnya. Namun, otak manusia juga telah dibuktikan mampu menghasilkan insulin. Walaupun begitu, menurut kajian terbaru yang dikeluarkan ada menyatakan bahawa para pengkaji masih belum boleh memastikan secara tepat bahawa otak menghasilkan insulin dengan sendiri. Kehadiran kepekatan insulin yang tinggi pada otak sehingga kini masih hangat diperdebatkan oleh para pengkaji walaupun hipotesis sebelum ini menyokong insulin dihasilkan di sistem saraf pusat (CNS) manusia.

Salah satu punca utama diabetes otak adalah kerintangan insulin(insulin resistance) iaitu satu keadaan apabila sel-sel dalam badan dan otak tidak berupaya menggunakan insulin seperti yang berlaku pada Diabetes Type 2. Sebab itulah, ada dalam kalangan pengkaji yang mengatakan bahawa Diabetes Type 3 merupakan peringkat advance untuk Diabetes Type 2.



Alzheimer’s

Alzheimer’s adalah salah satu jenis penyakit dementia ataupun nyanyuk. Penyakit ini adalah proses degenerasi otak bercirikan perubahan pada tingkahlaku, mudah lupa dan kehilangan memori. Faktor penuaan merupakan penyebab utama penyakit ini walaupun sebenarnya faktor pemakanan dan aktiviti harian juga turut menjadi penyumbang. Prevalens penyakit ini menunjukkan peningkatan setiap tahun serata dunia dan kian membimbangkan.

Baru-baru ini, para saintis dan penyelidik telah menemui kaitan antara Alzheimer’s dengan diabetes. Bahkan, ramai doktor dan saintis terutama di sebelah barat kini menyebut Alzheimer’s sebagai Diabetes Type 3 atau kata mudah Diabetes Otak.

Walaupun perkaitan antara kedua-dua penyakit ini telah dibuktikan namun, seseorang yang mempunyai sejarah penyakit diabetes tidak semestinya akan menghidap Alzheimer’s dan begitu juga sebaliknya. Apa yang pasti adalah, seseorang pesakit diabetes berisiko besar untuk mendapat Alzheimer’s terutamanya bagi diabetes yang tidak terkawal.

Mengapa Dinamakan Sebagai Diabetes Otak?

Jawapannya adalah dalam penyakit Alzheimer’s, insulin resistance telah dibuktikan sebagai salah satu penyebab kepada penyakit tersebut. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, otak manusia memerlukan insulin untuk menyerap glukosa.

Apabila sel otak menjadi resistance kepada insulin, glukosa tidak dapat diserap lantas menyebabkan otak mengalami hypoglycemia atau kurang gula. Keadaan ini jika berterusan akan menyebabkan kerosakan sel otak lantas mengakibatkan penyakit Alzheimer’s.

Kajian-Kajian Hubungkait Antara Insulin dan Alzheimer’s

Diabetes Type 3 atau Diabetes Otak mula-mula ditemui pada tahun 2005. Perkaitan antara Diabetes Type 3 dengan penyakit Alzheimer’s telah dikenalpasti didalam banyak kajian oleh para penyelidik dari barat. Tidak hairanlah jika ada yang mendefinisikan Diabetes Type 3 sebagai Alzheimer’s.

Salah satu kajian yang dilakukan di Sekolah Perubatan Warren Alpert Universiti Brown. Para pengkaji mendapati bahawa penghasilan insulin yang kurang pada otak manusia menyebabkan degenerasi sel otak iaitu peringkat permulaan bagi penyakit Alzheimer’s.

Hasil autopsy yang dilakukan pada mayat pesakit Alzheimer’s mendapati insulin dan protein berkaitan sangat kurang ditemui pada sesetengah kawasan otak seperti frontal cortex, hippocampus dan hypothalamus – kawasan yang terkesan akibat Alzheimer’s. Namun, pada sesetengah kawasan otak yang tidak terkesan dengan Alzheimer’s seperti cerebellum pula tidak ditemui penurunan kadar insulin seperti yang berlaku di kawasan – kawasan yang terbabit.



Terdapat satu lagi kajian menarik yang dilakukan pada tahun 2012 dijalankan di Universiti California (UCLA), para pengkaji telah mengkaji kaitan antara diet tinggi kandungan gula dengan memori dan keupayaan belajar. Dalam kajian itu, seekor tikus diberikan makanan yang tinggi kandungan gula selama beberapa tempoh. Hasil kajian mendapati bahawa tikus tersebut mengalami penurunan pada kadar memori dan keupayaan belajar.

KONKLUSI

Melalui kajian-kajian yang telah dijalankan tersebut, dapat kita simpulkan bawah kaitan antara kedua penyakit ini sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Walaupun begitu, lebih banyak kajian serupa perlu dijalankan dengan lebih meluas agar penyakit ini semakin dapat difahami secara mendalam dan dapat membantu dalam menambah baik rawatan sedia ada agar menjadi lebih efektif.

Dengan izin Allah, pada masa akan datang kita akan cuba membincangkan satu lagi tajuk yang kami kira masih belum mendapat liputan meluas dalam negara kita ini iaitu Diabetes Type 3c.

Bacaan seterusnya: Alzheimer’s: Punca dan Cara rawatan

Sumber featured image: diabetes.co.uk

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8 + two =